ComposTown: Penerokaan Maya Pengkomposan Demi Masa Depan Lestari
22 Januari 2026
ComposTown: Penerokaan Maya Pengkomposan Demi Masa Depan Lestari
22 Januari 2026
Ditulis oleh:
Pensyarah dan pelajar-pelajar Ijazah Sarjana Muda,
Jabatan Sains Biologi & Bioteknologi,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Hanif Ashraf bin Haidar Rizal, Dr Mohd Fareed bin Mohd Sairi, Puteri Nur Badrina binti Nor Md Rihan, Nur Syazani Amnani binti Mohd Shahzan, Yashawini Phriya a/p Rauichandran & Kavenittha a/p Murali
(hanifashrafhr@gmail.com, fareed@ukm.edu.my, adrina01@gmail.com, syazani.amnani@gmail.com, phriyayashawini@gmail.com, mkavenittha@gmail.com)
Dianggarkan sekitar 17,000 tan sisa makanan dibuang ke tapak pelupusan setiap hari di Malaysia dan ia mampu untuk memenuhi hampir 30 kolam renang bersaiz Olimpik (SWCorp, dipetik dalam The Star, 2024). Angka ini menggambarkan betapa seriusnya isu pembaziran makanan di negara kita, khususnya apabila sebahagian besar sisa tersebut sebenarnya masih boleh dimanfaatkan melalui proses kitar semula organik melalui pendekatan pengkomposan. Situasi ini bukan sahaja membebankan sistem pengurusan sisa negara yang semakin terhad dari segi kapasiti tapak pelupusan, malah turut menyumbang kepada pelepasan gas rumah hijau berbahaya seperti metana, yang terhasil daripada penguraian sisa organik dalam keadaan anaerobik. Gas ini mempunyai potensi pemanasan global yang jauh lebih tinggi berbanding karbon dioksida, yang boleh menyumbangkan kepada perubahan iklim dan memberi kesan negatif terhadap alam sekitar.
Walaupun impaknya jelas, kajian mendapati bahawa kekurangan kesedaran dan pengetahuan asas masih menjadi penghalang utama dalam usaha menguruskan sisa makanan secara lebih bertanggungjawab (Mokthar, Saiful Bahry, Ahmad, & Mohd. Khir, 2024). Ramai dalam kalangan masyarakat masih mengabaikan amalan mudah seperti pengkomposan di peringkat rumah, walhal kaedah ini terbukti mampu mengurangkan jumlah sisa organik secara cekap dan berkesan. Pada masa yang sama, pendekatan melalui Teknologi Pendidikan wajar diberi perhatian kerana ia menawarkan medium pembelajaran yang lebih moden, mudah diakses, dan dekat dengan gaya hidup pengguna masa kini. Dengan akses maklumat yang berada di hujung jari, teknologi ini membuka peluang yang lebih luas untuk mendidik masyarakat agar lebih prihatin terhadap kelestarian alam sekitar.
Penerapan teknologi pendidikan melalui gamifikasi pula membuka ruang baharu dalam penyampaian mesej berkaitan aspek: 1) Kepentingan pengurusan sisa makanan, 2) Literasi sains di sebalik pengkomposan, dan 3) Pendidikan alam sekitar yang lestari. Pendekatan ini mampu menarik minat khususnya golongan muda yang terdedah dengan dunia digital, menjadikan proses pembelajaran lebih interaktif, menyeronokkan dan mudah difahami. Kajian juga menunjukkan bahawa generasi muda lebih mudah memproses dan mengekalkan maklumat apabila ia disampaikan melalui pendekatan berasaskan permainan, berbanding kaedah tradisional seperti pengajaran teori di hadapan papan putih. Dari sudut neurosains, aktiviti permainan mampu merangsang pengeluaran dopamin, iaitu sejenis neurotransmiter yang berkait rapat dengan perasaan motivasi, tumpuan, dan pembentukan ingatan jangka panjang (Antonopoulou, 2024). Rangsangan ini mengaktifkan rangkaian saraf pembelajaran secara lebih efektif, menjadikan proses memahami konsep saintifik lebih cepat dan mendalam.
Rajah 1: Ruang Stesen Pengangkutan Awam (Waste Station)
Rajah 2: Peta Ruang ComposTown yang merangkumi lima lokasi berperingkat
Melalui pendekatan alam maya, ComposTown diperkenalkan untuk memberi peluang kepada komuniti, khususnya golongan muda, untuk menimba ilmu secara interaktif, mempromosikan amalan mesra alam, serta meningkatkan kesedaran tentang pemeliharaan bumi. Pendekatan ini turut selari dengan agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), khususnya SDG 4 yang menekankan kepentingan pendidikan berkualiti melalui penyediaan medium pembelajaran inovatif dan mudah diakses (UTeM, 2024). Selain itu, ComposTown menyokong SDG 12 melalui galakan pengurusan sisa makanan yang lebih bertanggungjawab serta membantu mengurangkan pembaziran dan kesan negatif terhadap alam sekitar (United Nations, 2024). Tambahan pula, platform ini juga selari dengan SDG 13 kerana amalan pengkomposan dapat mengurangkan pelepasan gas rumah hijau daripada tapak pelupusan, seterusnya menyumbang kepada usaha global mengekang perubahan iklim (UTM, 2024; CAP, 2024). Dengan gabungan elemen SDG, tahap pencapaian, dan simulasi menyeronokkan, ComposTown bukan sahaja merangsang pemikiran kritis dan kreatif, malah turut menyemai nilai kelestarian yang berteraskan pendidikan, tanggungjawab, dan tindakan iklim.
ComposTown direka sebagai sebuah persekitaran maya berperingkat yang menggabungkan elemen penerokaan dan pembelajaran secara bersepadu melalui aplikasi Gather App yang boleh dimuat turun dalam peranti digital. Pemain akan bermula di Waste Station yang merupakan ruang lobi untuk mendaftar sebagai komuniti ComposTown (Rajah 1). Kemudian, pengunjung menaiki kereta api sambil dipersembahkan dengan penceritaan mengenai sejarah pengkomposan sebelum tiba di ComposTown. Compostown menampilkan lima lokasi (Rajah 2) dengan fungsi serta aktiviti interaktif yang tersendiri untuk pemain bergerak dan berinteraksi. Oleh itu, pemain didedahkan secara beransur-ansur kepada asas pengkomposan, pengurusan sisa makanan dan konsep kelestarian alam sekitar secara tidak langsung. Dalam persekitaran maya ComposTown, pemain juga diperkenalkan kepada asas pengkomposan seperti peranan mikroorganisma, kepentingan nisbah karbon dan nitrogen, serta kitaran penguraian bahan organik. Pemain juga diberi peluang untuk memahami konsep tersebut melalui pengalaman simulasi yang realistik. Sepanjang permainan, pemain perlu mengurus sisa makanan secara maya, menangani isu pencemaran bau, serta menghasilkan kompos berkualiti yang boleh dimanfaatkan untuk tanaman dalam permainan.
Melalui pengalaman interaktif ini, masyarakat didorong untuk meneroka dan mengurus sisa makanan secara lebih praktikal serta selaras dengan kehidupan seharian. Setiap elemen permainan dirangka bagi meningkatkan kefahaman tentang proses penguraian bahan organik sambil memupuk tabiat pengurusan sisa yang berkesan. Dengan gabungan pendidikan, hiburan dan teknologi, ComposTown berperanan sebagai medium yang menginspirasikan perubahan amalan menguruskan sisa buangan domestik, seterusnya membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab terhadap kelestarian alam sekitar.
Rujukan:
Antonopoulou, H. (2024). The role of gamification in enhancing cognitive and neuropsychological learning: A review. Journal of Educational Technology & Neuroscience. https://www.researchgate.net/publication/387152154_The_Role_of_Gamification_in_Enhancing_Cognitive_and_Neuropsychological_Learning_A_Review
Consumer Association of Penang (CAP). (2024). Memorandum on Waste-to-Energy and Pengkomposan. Consumer.org.my. https://consumer.org.my/wp-content/uploads/2024/08/2024‑CAP‑Memorandum‑on‑Waste‑to‑Energy‑Incineration_BM.pdf
Mokthar, M. Z., Saiful Bahry, F. D., Ahmad, N., & Mohd. Khir, M. (2024). Food Waste Management and Awareness: A survey among Bandar Puncak Alam residents’ community. Environment‑Behaviour Proceedings Journal, 9(SI19), 145–149. https://doi.org/10.21834/e-bpj.v9iSI19.5771
The Star. (2024, Februari 4). When good food goes to waste. The Star. https://www.thestar.com.my/news/education/2024/02/04/when-good-food-goes-to-waste
United Nations. (2024). Goal 12: Responsible Consumption and Production. United Nations Sustainable Development. https://sdgs.un.org/goals/goal12
UTeM. (2024). Digital technologies as enablers of universal design for learning: higher education students' perceptions in the context of SDG 4. Discover Sustainability, 5, Article 473.
UTM NewsHub. (2024, September 4). Laman Kompos@Ladang Pendas: Amalan rendah karbon anak Orang Asli. UTM. https://news.utm.my/2024/09/laman-komposladang-pendas-amalan-rendah-karbon-anak-orang‑asli/