Pendidikan STEM di Persimpangan Baharu
6 Mac 2026
Pendidikan STEM di Persimpangan Baharu
6 Mac 2026
Ditulis oleh:
Zainun Mustafa, Rohaida Masri, Muhd Ibrahim Muhamad Damanhuri & Lilia Ellany Mohtar
STEM Nurturing Centre, Faculty of Science and Mathematics, Universiti Pendidikan Sultan Idris, 35900 Tanjong Malim, Perak, Malaysia
Malaysia kini berada di ambang perubahan besar dalam landskap pendidikan apabila negara bersedia melangkah daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013–2025 kepada Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035. Peralihan ini bukan sekadar kesinambungan dasar, tetapi satu detik penting untuk menilai semula keberkesanan pendekatan sedia ada dan menyesuaikannya dengan realiti semasa bilik darjah.
Lebih menarik, hala tuju baharu ini disokong oleh bukti empirikal daripada kajian tempatan yang meneliti minat murid terhadap STEM serta faktor yang mempengaruhi pengalaman pembelajaran mereka. Apabila dapatan ini disepadukan dengan penanda aras antarabangsa seperti Programme for International Student Assessment dan Trends in International Mathematics and Science Study, gambaran yang terhasil bukan sahaja menunjukkan kedudukan Malaysia di pentas global, malah memberi petunjuk jelas tentang strategi masa depan yang perlu diambil.
Rajah 1: Imej janaan kecerdasan buatan: Murid menjalani aktiviti STEM
Apa Sebenarnya Mempengaruhi Minat Murid?
Kajian menunjukkan bahawa minat murid terhadap STEM tidak terbentuk secara tunggal, sebaliknya dipengaruhi oleh ekosistem pembelajaran yang kompleks. Antaranya ialah faktor diri, kandungan pelajaran, guru, persekitaran sekolah, rakan sebaya dan keluarga. Namun, beberapa dapatan menonjol sebagai penentu utama. Pembelajaran bersama rakan didapati memainkan peranan sangat besar. Murid lebih memahami konsep apabila mereka terlibat dalam perbincangan kumpulan, projek kolaboratif dan aktiviti bersama. Pembelajaran menjadi lebih hidup kerana wujud interaksi sosial yang merangsang pemikiran. Sebaliknya, apabila murid tidak mempunyai rakan untuk berbincang, subjek seperti Sains dan Matematik menjadi lebih sukar difahami.
Selain itu, murid menunjukkan minat lebih tinggi apabila pembelajaran dikaitkan dengan kehidupan sebenar. Dalam Matematik misalnya, konsep yang diajar tanpa konteks aplikasi dunia nyata sering dianggap abstrak dan sukar. Apabila guru mengaitkan topik dengan situasi harian, murid lebih mudah melihat kepentingan pembelajaran tersebut. Peranan guru pula terbukti sangat kritikal. Walaupun ramai guru memahami kepentingan STEM, sebahagian masih menghadapi kekangan dari segi latihan praktikal, kefahaman integrasi disiplin dan kemahiran menyesuaikan aktiviti dengan tahap murid. Jurang antara teori dan amalan inilah yang menjadi cabaran utama dalam pelaksanaan STEM secara berkesan. Tambahan lagi, faktor struktur sistem turut memberi kesan. Kemudahan yang tidak mencukupi, kurikulum yang padat, masa pengajaran terhad dan pendedahan kerjaya STEM yang rendah semuanya menjadi halangan kepada pengalaman pembelajaran yang bermakna.
Petunjuk Penting untuk Pelan Pendidikan Baharu
Dapatan kajian ini bukan sekadar laporan akademik, tetapi merupakan komponen bagi melihat kembali pelaksanaan pendidikan STEM di Malaysia. Penemuan bahawa pembelajaran rakan sebaya meningkatkan minat murid memberi isyarat jelas bahawa model pengajaran tradisional berpusatkan guru perlu ditransformasikan kepada pendekatan kolaboratif. Kajian juga menegaskan bahawa guru memerlukan latihan berfokus dan praktikal, bukan sekadar kursus teori. Ini menyokong keperluan sistem pembangunan profesional berterusan yang menggabungkan pementoran, kolaborasi universiti–sekolah dan latihan mikro berasaskan situasi sebenar bilik darjah. Dalam masa yang sama, cabaran konsep abstrak dan kurikulum padat menunjukkan keperluan reka bentuk kurikulum yang menekankan aplikasi dunia sebenar, mengurangkan pertindihan kandungan dan menyediakan ruang masa untuk pembelajaran mendalam.
Selari dengan Trend Global, Berpaksikan Realiti Tempatan
Sistem pendidikan berprestasi tinggi di dunia lazimnya menumpukan kepada pembelajaran berasaskan projek, integrasi disiplin, kemahiran metakognitif dan literasi digital. Menariknya, dapatan kajian tempatan menunjukkan keperluan yang sama, serta menandakan bahawa reformasi bukan sekadar meniru trend global, tetapi memenuhi realiti sebenar di Malaysia. Hal ini memberi mesej penting, iaitu tentang pendidikan STEM yang berkualiti wajar dibina berasaskan bukti tempatan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada model luar negara. Pendekatan ini bukan sahaja lebih relevan, malah lebih mampan dalam jangka panjang.
Kesimpulan kajian ini menunjukkan bahawa minat murid terhadap STEM bukan ditentukan oleh kandungan semata-mata, tetapi oleh keseluruhan ekosistem pembelajaran iaitu hubungan sosial, pendekatan guru, sokongan keluarga dan kaitan dengan kehidupan sebenar. Jika dapatan ini dimanfaatkan secara sistematik dalam pembentukan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035, negara berpotensi membina sistem pendidikan STEM yang bukan sahaja meningkatkan pencapaian akademik, malah melahirkan generasi yang inovatif, yakin diri dan bersedia menghadapi cabaran dunia masa depan.
Nota: Penyelidikan ini dibiayai oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris dibawah Geran Penyelidikan Universiti (2023-0053-107-01)