Pendekatan Inovatif Dalam Pendidikan Stem: Aplikasi Chem-E Car di Sekolah Rendah
8 Mei 2026
Pendekatan Inovatif Dalam Pendidikan Stem: Aplikasi Chem-E Car di Sekolah Rendah
8 Mei 2026
Ditulis oleh:
Dr Azmi bin Ahmad
Pensyarah
Jabatan Kejuruteraan Petrokimia,
Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail
Ts. Leong Kok Seng
Pensyarah
Jabatan Kejuruteraan Petrokimia,
Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail
Pernahkah kita terfikir bagaimana konsep kejuruteraan yang kompleks untuk difahami oleh pelajar dari sekolah rendah? Dalam bidang pendidikan pada hari ini, antara cabaran utama bukan sekadar menyampaikan ilmu dan pengetahuan kepada para pelajar, tetapi bagaimana untuk menjadikan ilmu yang diberikan adalah relevan, senang untuk difahami dan menarik minat pelajar-pelajar sejak dari usia muda. Persoalan ini telah dijawab di Sekolah Kebangsaan Pekan Pagoh melalui satu pendekatan yang kreatif dan berimpak tinggi menerusi satu program yang dinamakan STEM Innovation: Little Engineers in Chem-E Car Challenge. Program ini bermatlamatkan satu pembelajaran serta pengalaman yang membuka ruang kepada para pelajar untuk melihat dengan lebih dekat bagaimana sains berfungsi dalam dunia sebenar.
Dengan usaha bagi memperkenalkan STEM secara lebih dekat kepada generasi pelajar muda ini, pendekatan yang digunapakai dalam program ini dapat memberikan penekanan kepada kaedah pembelajaran secara lebih interaktif dan berasaskan pengalaman. Para pelajar tidak hanya diberi penerangan melalui kaedah pembelajaran konvensional, tetapi turut diberi peluang untuk melihat dan melibatkan diri dalam demonstrasi secara langsung, mencuba sendiri secara berkumpulan, dan memahami konsep sains melalui aktiviti praktikal. Pendekatan ini membolehkan proses pembelajaran lebih menyeronokkan serta mudah difahami, terutamanya bagi para pelajar sekolah rendah yang masih berada dalam peringkat awal, terhadap pendedahan bidang sains dan kejuruteraan. Pembelajaran yang lebih santai serta eksploratif menjadikan pelajar lebih terbuka untuk bertanya, mencuba dan berfikir secara kritis.
Tarikan utama program ini adalah aplikasi dalam penggunaan teknologi Thermoelectric Generator (TEG) yang merupakan satu konsep yang mampu untuk menukarkan perbezaan suhu kepada tenaga elektrik. Secara lazimnya, konsep ini diperkenalkan pada peringkat pendidikan yang lebih tinggi, namun ia telah berjaya diterjemahkan dalam bentuk yang mudah difahami melalui demonstrasi kereta mini. Melalui penglibatan para pelajar ini, mereka dapat melihat sendiri tentang bagaimana penghasilan dan penggunaan tenaga untuk menggerakkan sebuah kenderaan berskala kecil. Apa yang diterangkan dan difahami secara teori kini menjadi sesuatu yang boleh dilihat, disentuh dan diuji.
Gambar 1: Kereta yang dibina menggunakan konsep TEG
Pendekatan yang diguna pakai ini bukan sahaja dapat membantu para pelajar dalam memahami konsep asas seperti tenaga, haba dan elektrik, tetapi ia turut dapat mengaitkan aplikasi sebenar dalam kehidupan seharian. Secara tidak langsung, ia dapat membuka pandangan baharu kepada para pelajar berkaitan konsep sains dan kejuruteraan yang memainkan peranan penting dalam kehidupan manusia. Selain itu juga, pendekatan yang digunakan melalui konsep TEG sebagai tenaga alternatif sedikit sebanyak memperkenalkan idea berkaitan kelestarian dan penggunaan tenaga secara bijak dan berhemah selaras dengan keperluan masa kini.
Pembelajaran secara praktikal atau hands-on merupakan satu elemen penting yang menjadi tunjang utama dalam menjayakan program ini. Para pelajar dibahagikan kepada kumpulan kecil yang dibantu oleh para fasilitator, di mana para pelajar terlibat secara aktif dalam aktiviti pembinaan kereta mini seterusnya penghasilan Chem-E Car dengan aplikasi TEG. Sepanjang program ini berlangsung, pelajar-pelajar tersebut berpeluang untuk berbincang, mencuba, melakukan kesilapan dan seterusnya memperbaiki hasil kerja mereka dengan bimbingan para fasilitator. Pendekatan ini boleh membina kemahiran penting kepada para pelajar seperti penyelesaian masalah, pemikiran kreatif, dan keupayaan membuat keputusan.
Para pelajar turut belajar berkaitan kepentingan kerjasama dan komunikasi dalam mencapai sesuatu matlamat. Setiap pelajar dalam kumpulan masing-masing memainkan peranan yang berbeza, samada terlibat dalam merancang, membina atau menguji model kereta yang dihasilkan. Dengan pengalaman yang diperolehi ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman para pelajar terhadap konsep sains dan kejuruteraan, tetapi dalam masa yang sama dapat membentuk kemahiran insaniah yang sangat penting untuk perkembangan diri pelajar-pelajar tersebut.
Cabaran Chem-E Car yang dijalankan turut menambah elemen keterujaan dalam pembelajaran. Para pelajar perlu berusaha untuk memastikan model yang dibina dapat berfungsi dengan baik dan bergerak menggunakan konsep TEG. Situasi ini mendorong mereka untuk berfikir secara lebih analitikal, cuba mengenalpasti masalah, dan mencari cara untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dengan kreatif. Dalam suasana ini, kaedah pembelajaran tidak lagi pasif, sebaliknya lebih aktif kerana menjadi satu pengalaman yang lebih dinamik dan bermakna.
Gambar 2: Para pelajar semasa proses pembinaan kereta di dalam kumpulan
Melalui program seperti ini, impaknya dapat dilihat dengan jelas melalui perubahan positif dalam kalangan pelajar yang terlibat. Ramai pelajar menunjukkan peningkatan kefahaman terhadap konsep asas STEM serta minat yang lebih mendalam terhadap bidang ini. Para pelajar menunjukkan reaksi yang baik, berani untuk bertanya, cuba berkongsi idea, dan berkomunikasi dengan rakan-rakan serta fasilitator yang terlibat. Melihat perkembangan ini dapat membantu dalam membentuk keyakinan diri serta kemahiran komunikasi sejak usia muda lagi.
Di samping itu juga, program ini turut berjaya memupuk rasa ingin tahu dalam kalangan pelajar terhadap dunia sains dan kejuruteraan. Anggapan sebelum ini yang dianggap sukar atau membosankan kini dilihat sebagai satu daya penarik yang menyeronokkan. Perubahan persepsi ini merupakan satu pencapaian yang signifikan kerana ia menjadi asas kepada minat jangka panjang terhadap bidang STEM kepada para pelajar sekolah rendah. Sokongan yang sangat positif daripada pihak sekolah juga menunjukkan bahawa program seumpama ini mempunyai potensi yang besar untuk dikembangkan dan diperluaskan pada masa hadapan ke sekolah rendah dan juga sekolah menengah.
Gambar 3: Para pelajar bersama guru dan para fasilitator
Secara keseluruhannya, Little Engineers in Chem-E Car Challenge ini telah membuktikan yang pembelajaran STEM boleh disampaikan dengan cara dan kaedah yang kreatif dan interaktif. Pendekatan yang sesuai ini menjadikan konsep sains dan kejuruteraan yang kompleks dan susah mampu difahami oleh para pelajar sekolah rendah, sekaligus dapat membuka ruang dan peluang kepada mereka untuk meneroka bidang ini dengan lebih mendalam. Usaha seperti ini bukan sahaja memberi manfaat dari segi pembelajaran tetapi turut memainkan satu peranan penting dalam membantu untuk membina generasi masa hadapan yang celik sains dan kejuruteraan, berfikiran kritis dan bersedia menghadapi cabaran dalam dunia moden.
Program yang dijalankan ini bukan hanya sekadar program, ia merupakan satu inisiatif dalam bentuk pelaburan jangka panjang untuk membangunkan modal insan negara. Dengan memberikan pendedahan awal STEM kepada para pelajar, kita bukan hanya membantu para pelajar untuk memahami konsep dunia di sekeliling mereka, tetapi juga memberi inspirasi untuk menjadi pencipta dan penyelesai masalah.