Membudayakan STEM bagi Pelajar yang Kurang Berminat Berdasarkan Pendekatan Teori Tingkah Laku Fogg
18 Ogos 2025
Membudayakan STEM bagi Pelajar yang Kurang Berminat Berdasarkan Pendekatan Teori Tingkah Laku Fogg
18 Ogos 2025
Ditulis oleh:
Dr. Mohamad Hidir Mhd Salim
Felo Penyelidik,
Institut Informatik Visual,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik atau STEM semakin menjadi asas kemajuan dunia moden. Namun, tidak semua pelajar meminati bidang ini. Di Malaysia, cabaran untuk membudayakan STEM dalam kalangan pelajar semakin ketara. Kajian menunjukkan minat pelajar terhadap bidang ini sering menurun apabila mereka meningkat usia, terutamanya di peringkat menengah. Antara puncanya ialah kaedah pengajaran yang terlalu berfokus pada peperiksaan, kekurangan pendedahan kepada aplikasi STEM dalam dunia sebenar, serta persepsi bahawa kerjaya STEM hanya sesuai untuk “pelajar pintar” sahaja. Faktor-faktor ini menyebabkan pelajar berasa jauh daripada STEM, sedangkan kemahiran dalam bidang ini semakin penting untuk kerjaya masa depan dan pembangunan negara.
Sebenarnya, STEM boleh menjadi dekat untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian jika disampaikan dengan cara yang sesuai. Salah satu pendekatan berkesan yang boleh digunakan ialah dengan memahami dan mengaplikasikan Teori Model Tingkah Laku Fogg, yang diperkenalkan oleh BJ Fogg yang merupakan penyelidik daripada Universiti Stanford. Menurut teori ini, untuk mendorong seseorang melakukan sesuatu, tiga elemen utama mesti wujud pada masa yang sama iaitu motivasi, keupayaan, dan rangsangan.
Motivasi adalah elemen yang mendorong seseorang untuk bertindak. Bagi pelajar yang kurang berminat terhadap STEM, motivasi perlu dibina dengan mengaitkan pembelajaran kepada perkara atau aktiviti yang dekat di hati mereka. Jika seorang pelajar meminati media sosial, guru boleh menunjukkan cara/kaedah teknologi dan matematik digunakan untuk membina aplikasi seperti TikTok atau Instagram. Jika mereka minat bola sepak, analisis data perlawanan yang menggunakan statistik boleh dijadikan contoh. Motivasi juga boleh datang daripada kisah inspirasi seperti remaja yang mencipta penapis air murah untuk membantu kampung mereka atau membina aplikasi mudah alih untuk menyelesaikan masalah masyarakat setempat. Apabila pelajar nampak kaitan STEM dengan minat dan kehidupan mereka, mereka akan lebih terdorong untuk mencuba.
Rajah 1: Model Fogg Behaviour
Sumber: BJ Fogg (2009)
Walau bagaimanapun, motivasi sahaja tidak mencukupi jika pelajar tidak mempunyai keupayaan. Keupayaan merujuk kepada pengetahuan, kemahiran, dan kemudahan untuk memulakan sesuatu. Untuk pelajar yang baru berjinak-jinak dengan STEM, mulakan dengan aktiviti yang mudah tetapi menyeronokkan seperti membuat roket kertas untuk memahami konsep aerodinamik, mencipta pelita daripada bahan terpakai, atau menggunakan aplikasi percuma untuk melakukan simulasi eksperimen sains. Bahan pembelajaran juga perlu mesra pengguna, contohnya video ringkas, info grafik, atau panduan langkah demi langkah. Apabila pelajar merasakan mereka mampu melakukan sesuatu, walaupun kecil, keyakinan diri mereka akan meningkat, sekali gus membuka jalan kepada cabaran yang lebih besar.
Selain motivasi dan keupayaan, elemen terakhir yang penting ialah rangsangan, iaitu pencetus yang mendorong pelajar untuk bertindak. Dalam Model Fogg, rangsangan ini boleh dibahagikan kepada tiga bentuk. Pertama ialah spark, iaitu rangsangan yang memberi suntikan emosi atau inspirasi. Contohnya, guru boleh menayangkan video pendek tentang robot ciptaan pelajar sekolah lain atau melakukan eksperimen sains yang kelihatan “ajaib” tetapi mudah dilakukan, bagi membangkitkan rasa ingin tahu. Kedua ialah facilitator, iaitu rangsangan yang memudahkan tindakan. Sebagai contoh, menyediakan kit eksperimen lengkap dengan arahan ringkas atau mengadakan pembelajaran berpasangan supaya pelajar rasa lebih yakin. Hal ini membantu mengurangkan halangan untuk mereka mula terlibat. Ketiga ialah signal, iaitu isyarat atau peringatan yang mengajak pelajar bertindak pada masa yang sesuai. Misalnya, menetapkan “Cabaran STEM 5 Minit” setiap minggu atau memaparkan papan skor kelas untuk projek-projek kecil yang mereka hasilkan. Signal ini memastikan penglibatan pelajar berterusan dari masa ke masa.
Membudayakan STEM dalam kalangan pelajar yang kurang minat memerlukan gabungan motivasi yang relevan, keupayaan yang dibina secara berperingkat, dan rangsangan yang dirancang dengan bijak. Apabila ketiga-tiga elemen ini hadir serentak, pelajar akan mula melihat bahawa STEM bukan sekadar subjek di sekolah, tetapi sebahagian daripada kehidupan mereka. Dengan usaha yang konsisten, kita bukan sahaja dapat meningkatkan minat pelajar terhadap STEM, tetapi juga membina generasi yang lebih bersedia untuk menghadapi masa depan yang bergantung pada sains dan teknologi. Perubahan ini mungkin tidak berlaku sekelip mata, tetapi seperti menanam benih, jika terus disiram dan dijaga, minat terhadap STEM akan tumbuh dan berkembang, malah mungkin menghasilkan pencipta dan inovator masa depan.