Menyulam Ilmu STEM Melalui Bengkel Kecantikan Berasaskan Bahan Semula jadi
9 September 2025
Menyulam Ilmu STEM Melalui Bengkel Kecantikan Berasaskan Bahan Semula jadi
9 September 2025
Ditulis oleh:
ChM. Norsakina Zurina binti Zulkifli
Pensyarah,
Fakulti Sains Gunaan,
Universiti Teknologi MARA, Cawangan Perak Kampus Tapah
ChM. Rosliza binti Ali
Pensyarah,
Fakulti Sains Gunaan,
Universiti Teknologi MARA, Cawangan Perak Kampus Tapah
Sains dan teknologi sering kali dianggap bidang yang sukar difahami, melibatkan eksperimen di makmal, formula yang kompleks, dan kajian berjam-jam di atas meja penyelidikan. Hakikatnya, STEM yang merupakan singkatan bagi Science, Technology, Engineering and Mathematics wujud dalam kehidupan seharian kita dengan cara yang lebih mudah didekati. Dari makanan yang kita masak hingga produk penjagaan diri yang digunakan setiap hari, semua ini ada kaitannya dengan sains. Menyedari hakikat ini, Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dengan kerjasama Fakulti Sains Gunaan (FSG) UiTM Cawangan Perak, kampus Tapah telah menganjurkan Bengkel Pembuatan Produk Kecantikan Berasaskan Bahan Semula jadi pada 4 hingga 8 Jun 2025. Program selama lima hari ini menghimpunkan 10 orang remaja berusia antara 15 hingga 17 tahun dari kawasan DUN Ayer Kuning, khususnya anak-anak yatim yang diberi peluang mengikuti pengalaman berharga ini.
Rajah 1: 10 orang peserta yang berjaya mengikuti Bengkel Kecantikan Berasaskan Bahan Semula jadi
Bengkel ini menampilkan kelainan dengan menjadikan kecantikan sebagai medium untuk memperkenalkan asas sains. Para peserta berpeluang menghasilkan sendiri produk penjagaan diri berasaskan bahan semula jadi seperti sabun, lip balm, masker, dan skrub muka. Dengan pendekatan interaktif dan praktikal, aktiviti ini membolehkan mereka memahami proses asas formulasi produk tanpa tekanan seperti suasana pembelajaran formal di sekolah. Selain aspek formulasi, peserta turut mempelajari elemen lain yang sama penting seperti keselamatan bahan, teknik pembungkusan, pelabelan produk, serta asas pemasaran dan penjenamaan. Semua modul ini direka untuk memberi pengalaman yang menyeluruh, bukan sekadar menghasilkan produk, tetapi juga memahami perjalanan lengkap dari idea hingga ke pasaran.
Rajah 2: Latihan hands-on memberi pengalaman sebenar kepada setiap peserta
Rajah 3: Peserta bengkel tekun menghasilkan rekaan sticker sebagai identiti produk kecantikan
Salah seorang peserta, Yusuf Farees, 17 tahun, mengakui pengalaman lima hari ini memberi impak besar kepadanya. “Banyak sangat ilmu baharu yang saya pelajari sepanjang program ini. Tak sangka saya boleh hasilkan sendiri produk seperti ini. Selalu tengok orang jual sahaja, sekarang saya sudah tahu cara buat sendiri sabun, lip balm, skrub dan juga masker. Saya rasa sangat bertuah dan bangga dapat menyertai bengkel ini,” katanya dengan penuh semangat. Keterujaan Yusuf membuktikan bahawa sains boleh menjadi sesuatu yang menyeronokkan, terutamanya apabila diterapkan secara kreatif dan dekat dengan minat remaja. Produk kecantikan yang biasa dilihat di rak kedai kini menjadi medium untuk memahami sains kimia asas, seperti tindak balas saponifikasi, campuran bahan semula jadi, serta kaedah pengawetan produk.
Manfaat program ini tidak terhenti pada aspek teknikal sahaja. Dengan membimbing peserta menghasilkan produk sebenar yang boleh digunakan, sekali gus membina keyakinan diri mereka. Apabila melihat hasil kerja sendiri berjaya, semangat untuk mencuba perkara baharu akan meningkat.
Rajah 4: Yusuf Fareez merupakan salah seorang peserta program
Selain itu, pendekatan hands-on yang diterapkan memberi ruang untuk kreativiti berkembang. Peserta bukan sahaja mengikut resipi formulasi, tetapi turut digalakkan bereksperimen dengan variasi bahan dan aroma, menjadikan aktiviti lebih menyeronokkan. Dengan cara ini, mereka belajar bahawa sains bukan sekadar mengikut arahan, tetapi juga melibatkan daya cipta dan inovasi. Di sebalik keseronokan menghasilkan sabun dan lip balm, bengkel ini sebenarnya membuka mata para peserta tentang potensi masa depan dalam bidang STEM. Ilmu yang diperoleh boleh menjadi asas kepada bidang kerjaya seperti ahli kimia kosmetik, ahli teknologi farmaseutikal, pakar bahan semula jadi, atau usahawan produk kecantikan.
Rajah 5: Produk yang dihasilkan oleh peserta: Sabun, lipbalm, skrub dan masker
Pendedahan awal sebegini juga penting untuk merangsang minat belia terhadap sains gunaan. Ramai pelajar sering beranggapan sains terlalu susah atau tidak relevan dengan kehidupan, sedangkan bidang ini sebenarnya luas dan memberi peluang besar dalam pembangunan masyarakat dan ekonomi negara. Dengan pendekatan kreatif, sains menjadi lebih mudah difahami dan mampu melahirkan minat yang berpanjangan. Bengkel ini telah menerima maklum balas yang sangat positif daripada peserta dan fasilitator. Ia membuktikan bahawa program berbentuk pendidikan praktikal mampu memberi impak yang mendalam kepada golongan belia. Lebih penting, ia menjadi satu model yang boleh dicontohi untuk pembangunan modal insan di negeri Perak dan juga di peringkat nasional. Melalui gabungan sains, kreativiti dan keusahawanan, bengkel ini berjaya menyemai semangat baharu dalam kalangan peserta. Mereka bukan sahaja pulang dengan pengetahuan teknikal, tetapi juga dengan keyakinan diri, kesedaran tentang kepentingan ilmu, dan impian untuk mencorak masa depan yang lebih cerah.
Rajah 6: Peserta bersama penceramah dan fasilitator
STEM tidak semestinya diajar dengan buku teks yang tebal atau eksperimen makmal yang kompleks. Ia boleh diperkenalkan dengan cara yang menyeronokkan, praktikal, dan dekat dengan minat remaja seperti bengkel kecantikan ini. Program Bengkel Pembuatan Produk Kecantikan Berasaskan Bahan Semula jadi telah membuktikan bahawa ilmu sains boleh difahami, diaplikasikan dan diraikan dalam kehidupan seharian. Dengan lebih banyak inisiatif sebegini, kita mampu melahirkan generasi muda yang bukan sahaja celik ilmu, tetapi juga kreatif, berdikari, dan berdaya saing. Inilah hakikat sebenar pendidikan STEM mendekatkan ilmu dengan kehidupan, dan menyemai inspirasi untuk masa depan.