Memahami Kerangka ESG dan SDG dalam Pengurusan Kelestarian Alam Sekitar
5 Ogos 2025
Memahami Kerangka ESG dan SDG dalam Pengurusan Kelestarian Alam Sekitar
5 Ogos 2025
Ditulis oleh:
Ts. Dr. Khairul Hafezad Abdullah
Pensyarah Kanan,
Program Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan dan Felo Penerbitan,
Penerbit Universiti Utara Malaysia,
Universiti Utara Malaysia
Dalam dekad ini, isu alam sekitar tidak lagi sekadar menjadi topik perbincangan dalam kalangan saintis, pencinta alam atau aktivis hijau. Sering menjadi topik perdebatan hangat, kita kini berhadapan dengan realiti yang mencemaskan seperti ketidaktentuan iklim, pencemaran industri yang berleluasa, serta kepupusan biodiversiti yang semakin mengancam keseimbangan ekosistem. Keadaan ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat global. Menzahirkan rasa bertanggungjawab, perkara ini turut menuntut satu pendekatan baharu dan menyeluruh dalam pengurusan alam sekitar. Sehubungan itu, dua kerangka global telah muncul sebagai pedoman penting, iaitu Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) serta Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Kerangka ESG merupakan singkatan istilah bahasa Inggeris, iaitu Environmental, Social and Governance. Konsep ini pada asalnya diperkenalkan sebagai satu piawaian pelaburan untuk menilai tahap kelestarian dan tanggungjawab sosial sesebuah organisasi. Namun, ESG kini telah berevolusi menjadi satu rangka kerja yang lebih komprehensif dan bersifat rentas sektor. Unsur “E” dalam ESG memberi penekanan terhadap pengurusan sumber semula jadi, kawalan pelepasan karbon, penggunaan tenaga boleh diperbaharui, serta adaptasi terhadap risiko perubahan iklim. Dalam konteks ini, ESG menggalakkan organisasi bukan sahaja mematuhi undang-undang alam sekitar, tetapi juga memperlihatkan komitmen memelihara bumi dan kesejahteraan komuniti. Dengan kata lain, ESG bukan sekadar keperluan pematuhan undang-undang, tetapi suatu strategi jangka panjang yang berpotensi mempengaruhi reputasi dan daya saing organisasi dalam jangka masa panjang.
Manakala SDG, atau Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals), merupakan satu pelan tindakan global yang dirangka oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2015. SDG merangkumi 17 matlamat utama dan 169 sasaran khusus bertujuan membentuk pembangunan yang lebih inklusif, adil dan lestari menjelang tahun 2030. Daripada keseluruhan 17 matlamat tersebut, terdapat beberapa matlamat yang berkait secara langsung dengan pemeliharaan alam sekitar. Antara matlamat tersebut ialah Matlamat ke-13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim), Matlamat ke-14 (Kehidupan di Laut), dan Matlamat ke-15 (Kehidupan di Darat). Namun begitu, SDG tidak terhad kepada aspek persekitaran semata-mata, bahkan merangkumi pelbagai dimensi seperti kesihatan, pendidikan, ekonomi, kesaksamaan gender, dan keadilan sosial, menjadikannya satu kerangka yang holistik dan saling melengkapi.
Menariknya, ESG dan SDG sebenarnya tidak berdiri secara terasing, sebaliknya saling menyokong antara satu sama lain. ESG lebih menjurus kepada amalan pengurusan dan tadbir urus di peringkat organisasi atau korporat, manakala SDG menjadi aspirasi kolektif masyarakat global. Apabila prinsip ESG dijadikan asas dalam perancangan dan pelaksanaan dasar pengurusan alam sekitar, secara langsung ia akan menyumbang kepada pencapaian SDG. Sebagai contoh, sesebuah syarikat yang melabur dalam teknologi tenaga bersih bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon dan menambah baik kelestarian operasi (seiring ESG), malah menyumbang kepada Matlamat SDG ke-7 (Tenaga Bersih dan Mampu Milik) dan ke-13 (Tindakan terhadap Iklim).
Di Malaysia, konsep ESG dan SDG semakin mendapat perhatian dalam wacana pembangunan negara. Banyak organisasi korporat kini telah mula melaporkan inisiatif kelestarian mereka dengan merujuk kepada kerangka ESG dan SDG. Namun begitu, kesedaran dan pemahaman tentang dua kerangka ini masih belum menyeluruh, terutamanya dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana, pihak berkuasa tempatan, serta masyarakat umum. Terdapat jurang yang ketara antara aspirasi global dan amalan sebenar di peringkat akar umbi. Oleh itu, langkah-langkah proaktif perlu diambil bagi menjadikan ESG dan SDG sebagai sebahagian daripada budaya kerja dan kehidupan seharian masyarakat.
Antara langkah yang boleh diambil termasuklah penyediaan latihan dan kesedaran yang berterusan dalam kalangan pekerja dan pemimpin organisasi, pemberian insentif kepada perniagaan yang mengamalkan kelestarian, serta penyelidikan berasaskan bukti dan fakta oleh institusi akademik. Dalam hal ini, peranan universiti dan institusi penyelidikan amat penting dalam menjana ilmu, membina kapasiti, dan menyebarluaskan kefahaman tentang ESG dan SDG kepada masyarakat umum.
Sebagai warga pendidik dan rakyat yang bertanggungjawab, kita perlu menyemai kefahaman bahawa kelestarian alam sekitar bukan sekadar agenda global atau komitmen antarabangsa, tetapi merupakan amanah generasi kepada generasi. Perkara ini sangat menyentuh soal nilai, gaya hidup, serta keupayaan kita untuk berfikir melangkaui kepentingan jangka pendek. Kegagalan kita hari ini akan diwarisi oleh anak cucu kita kelak. Maka, kefahaman dan penghayatan terhadap ESG dan SDG bukanlah pilihan, tetapi satu keperluan mendesak dalam dunia yang kian rentan ini.
Rajah 1 diambil di Taman Botani Universiti Utara Malaysia (UUM), menampilkan sekumpulan pelajar yang menyertai aktiviti pembelajaran di luar dewan kuliah. Aktiviti ini menekankan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar. Berlatarbelakangkan binaan kreatif berasaskan kayu yang dihasilkan oleh pihak institusi, suasana ini menggambarkan komitmen UUM dalam mendukung prinsip ESG serta penerapan SDG dalam ekosistem pendidikan.
Taman Botani ini bukan sekadar ruang rekreasi, tetapi menjadi tapak pembelajaran autentik yang menyemai nilai cinta alam, tanggungjawab sosial, dan pemikiran lestari. Kehadiran rekaan seperti motosikal dan kereta kayu daripada bahan semula jadi melambangkan usaha institusi untuk mempromosikan reka bentuk mampan, penggunaan bahan kitar semula, serta inovasi berteraskan alam. Dalam kerangka SDG, inisiatif ini berhubung langsung dengan SDG ke-4 (Pendidikan Berkualiti), SDG ke-11 (Bandar dan Komuniti Mampan) dan SDG ke-12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab).
Rajah 1: Menghayati ESG dan SDG melalui Pendidikan Lapangan
Melalui pendedahan sebegini, pelajar tidak hanya belajar dari sudut teori, tetapi turut mengalami sendiri nilai-nilai kelestarian dalam persekitaran sebenar. Elemen sedemikian mencerminkan peranan institusi pengajian tinggi bukan sekadar sebagai pusat ilmu, tetapi sebagai agen perubahan yang menggerakkan budaya lestari dalam kalangan generasi muda.
Kesimpulannya, kerangka ESG dan SDG memberikan hala tuju yang jelas untuk memimpin transformasi dalam pengurusan alam sekitar. ESG dan SDG merupakan dua pendekatan yang saling melengkapi antara satu sama lain baik dari sudut tadbir urus dan pelaksanaan, mahupun aspek visi dan matlamat bersama. Dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dan kemerosotan alam sekitar, masa untuk bertindak ialah sekarang. Setiap individu, institusi dan komuniti mempunyai peranan tersendiri. Melalui kefahaman dan tindakan bersandarkan ESG dan SDG, kita bukan sahaja melindungi bumi ini, tetapi turut membina masa depan yang lebih adil, sejahtera dan lestari untuk semua.
Rujukan:
Adewumi, A. S., Opoku, A., & Dangana, Z. (2024). Sustainability assessment frameworks for delivering environmental, social, and governance (ESG) targets: a case of building research establishment environmental assessment method (BREEAM) UK new construction. Corporate Social Responsibility and Environmental Management, 31(5), 3779-3791. https://doi.org/10.1002/csr.2768
Chopra, A. (2019). Shaping a fairer world with SDGs and human rights: 17 goals, 169 targets, agenda 2030. Notion Press.
Ministry of Economy. (2021, February). Sustainable Development Goals (SDG) Indicators Malaysia 2019. Department of Statistics Malaysia. https://ekonomi.gov.my/sites/default/files/2021-02/Sustainable-Development-Goals-%28SDG%29-Indicators-Malaysia-2019.pdf
Novitz, T., & Pieraccini, M. (2020). Agenda 2030 and the Sustainable Development Goals:‘Responsive, inclusive, participatory and representative decision-making’?. In Legal perspectives on sustainability (pp. 39-66). Bristol University Press.
Soratana, K. (2025). Environmental Factors in ESG Investing. In Environmental, Social, and Governance (ESG) Investment and Reporting (pp. 17-42). Cham: Springer Nature Switzerland. https://doi.org/10.1007/978-3-031-84235-1_2
Tang, D., & Solangi, Y. A. (2023). Fostering a sustainable energy future to combat climate change: EESG impacts of green economy transitions. Processes, 11(5), 1548. https://doi.org/10.3390/pr11051548