Keselamatan Pekerjaan di Era Iklim yang Tidak Menentu
17 September 2025
Keselamatan Pekerjaan di Era Iklim yang Tidak Menentu
17 September 2025
Ditulis oleh:
Ts. Dr. Khairul Hafezad Abdullah
Pensyarah Kanan,
Program Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia.
Felo Penerbitan,
Penerbit UUM, Universiti Utara Malaysia.
Iklim yang tidak menentu bukan sekadar persoalan mengenai alam sekitar semata-mata. Fenomena ini bukan sekadar isu yang terasing dalam wacana saintifik, tetapi sesuatu yang semakin jelas dirasai dalam kehidupan kita sehari-hari. Daripada cara kita bekerja, beriadah, sehinggalah kepada rutin mudah seperti berulang-alik ke tempat kerja, semuanya terkesan dengan perubahan iklim yang kian tidak menentu. Panas terik yang berpanjangan memaksa kita mencari perlindungan tambahan, hujan lebat secara tiba-tiba pula boleh menjejaskan perjalanan dan keselamatan kita, manakala ketidakstabilan cuaca memberi kesan langsung terhadap mood serta tahap produktiviti kita.
Dewasa ini, fenomena perubahan iklim turut menjadi antara faktor utama yang mencorakkan kehidupan kita, khususnya dalam aspek keselamatan pekerjaan. Jika dahulu keselamatan pekerjaan banyak tertumpu kepada pengendalian jentera dan risiko mekanikal semata-mata, kini situasi iklim yang tidak menentu membawa kesan yang jauh lebih luas. Perkara ini terjadi memandangkan pekerja seperti di sektor pertanian, pembinaan dan perikanan sering terdedah kepada risiko panas yang ekstrem, hujan lebat dan angin kencang. Lantaran itu, fenomena sedemikian tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja menyentuh kesejahteraan pekerja, malahan turut menentukan kelangsungan ekonomi sesebuah negara.
Bekerja di bawah teduhan, seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1, menjadi gambaran simbolik tentang bagaimana pekerja di sektor pertanian berdepan dengan cabaran iklim yang semakin tidak menentu. Naungan kanvas yang kelihatan ringkas itu sebenarnya melambangkan usaha mereka melindungi diri daripada risiko haba melampau yang kini semakin kerap melanda di seluruh dunia. Gambaran ini mengingatkan kita bahawa keselamatan pekerjaan tidak lagi hanya berkisar pada aspek mekanikal, sebaliknya turut menuntut strategi adaptasi terhadap gelombang haba berpanjangan. Sama ada melalui penyediaan teduhan, pemakaian pakaian pelindung, ataupun rekaan inovatif yang lebih mesra iklim, mesejnya jelas, iaitu pekerja hari ini memerlukan perlindungan berganda untuk berdepan dengan bahang panas yang semakin ekstrem.
Rajah 1: Bekerja di bawah teduhan
Secara saintifik, perubahan iklim berlaku apabila pola iklim global berubah secara ketara akibat peningkatan gas rumah kaca seperti karbon dioksida (CO₂), metana (CH₄) dan nitrus oksida (N₂O). Kesan rumah kaca mempercepatkan pemanasan global dan meningkatkan suhu purata bumi dengan ketara. Laporan Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) turut menegaskan bahawa dua dekad terakhir mencatatkan rekod suhu tertinggi dalam sejarah moden. Sementara itu, fenomena El Nino dan La Nina memperhebat ketidakstabilan iklim, sekali gus membawa kepada musim kemarau yang berpanjangan serta hujan lebat yang luar biasa.
Peningkatan suhu ekstrem kini menjadi antara punca utama risiko strok haba, terutamanya dalam sektor pertanian, pembinaan dan pekerjaan luar bangunan. Pekerja yang terdedah kepada sinaran matahari dalam tempoh yang panjang mengalami dehidrasi, kekejangan otot dan keletihan melampau. Kes-kes kematian akibat strok haba di Asia Tenggara semakin meningkat, menunjukkan bahawa keselamatan pekerjaan kini berkait rapat dengan kesihatan persekitaran. Selain itu, fenomena cuaca melampau seperti ribut petir dan banjir kilat mengancam pekerja di kawasan pembinaan, pelabuhan dan kilang yang berhampiran sungai atau laut. Struktur binaan boleh runtuh, mesin elektrik boleh rosak akibat renjatan elektrik, manakala risiko lemas meningkat ketika operasi menyelamat.
Perubahan iklim juga memburukkan kualiti udara. Jerebu akibat kebakaran hutan, pelepasan industri dan pencemaran bandar mendedahkan pekerja kepada penyakit pernafasan kronik. Pekerja sektor logistik, pengangkutan dan mereka yang bekerja di kawasan terbuka paling merasai impaknya, manakala penyakit seperti asma, bronkitis dan masalah jantung bukan sahaja menjejaskan produktiviti malah turut meningkatkan kos perubatan. Dalam konteks pekerja industri yang beroperasi di ruang tertutup, sistem pengudaraan yang tidak cekap ketika suhu meningkat boleh mencetuskan tekanan haba, seperti yang sering dihadapi oleh pekerja kilang elektronik, makanan dan tekstil. Perlu diingatkan bahawa kesan perubahan iklim ini tidak terhenti pada aspek fizikal semata-mata, tetapi turut menjangkau dimensi psikologi. Pekerja yang berulang kali terdedah kepada bencana alam seperti banjir atau ribut berisiko kehilangan rasa selamat, sekali gus mudah mengalami kebimbangan, kemurungan dan trauma pasca bencana. Tekanan mental sebegini akhirnya menjejaskan motivasi pekerja, menurunkan produktiviti dan merenggangkan hubungan antara rakan sekerja.
Antara sektor yang paling rentan terhadap kesan perubahan iklim terhadap keselamatan pekerjaan termasuklah:
Pertanian - Pekerja terdedah kepada haba melampau, kekurangan air serta risiko serangan penyakit tanaman yang semakin meningkat akibat iklim tidak menentu.
Perikanan - Nelayan berdepan ancaman ribut yang boleh menjejaskan keselamatan, selain itu nelayan turut terdedah kepada bahaya fizikal dan keletihan ketika berada di perairan terbuka.
Pembinaan - Pekerja sektor ini berdepan risiko kejatuhan struktur akibat ribut, terdedah kepada suhu tinggi yang boleh menyebabkan keletihan serta bahaya daripada debu dan bahan kimia di tapak binaan.
Perindustrian - Kilang berisiko mengalami kerosakan akibat banjir, manakala para pekerja pula terdedah kepada tekanan haba serta pencemaran udara yang menjejaskan kesihatan dan produktiviti.
Pengangkutan - Pekerja logistik dan pemandu kenderaan berdepan cabaran cuaca ekstrem, termasuk banjir yang menenggelamkan jalan raya serta asap tebal yang mengurangkan jarak penglihatan dan meningkatkan risiko kemalangan.
Rentetan daripada impak perubahan iklim ini, isu keselamatan pekerjaan memerlukan pendekatan strategik yang lebih menyeluruh, khususnya daripada pihak majikan. Polisi keselamatan pekerjaan perlu dikaji semula dengan mengambil kira faktor perubahan iklim. Antara langkah yang boleh dipertimbangkan ialah:
Menyusun jadual kerja fleksibel yang mengurangkan pendedahan pekerja kepada suhu panas terik.
Menyediakan kemudahan asas seperti air minuman, kawasan teduhan dan pakaian perlindungan yang bersesuaian.
Mengemaskini analisis risiko pekerjaan (HIRA) dengan memasukkan elemen perubahan iklim.
Melaksanakan latihan persediaan bencana untuk pekerja yang bertugas di kawasan berisiko tinggi, bagi memastikan mereka mampu bertindak pantas dan berkesan ketika berdepan situasi kecemasan.
Mengintegrasikan teknologi pintar seperti sensor haba dan sistem amaran awal banjir bagi meningkatkan respons keselamatan.
Selain itu, kerajaan juga wajar memainkan peranan penting dengan menggubal undang-undang baharu yang mengiktiraf perubahan iklim sebagai faktor risiko pekerjaan. Di Malaysia, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) wajar diperluas tafsirannya bagi memasukkan elemen iklim sebagai sebahagian daripada bahaya pekerjaan yang perlu dikawal. Namun, intervensi dasar sahaja masih belum mencukupi. Aspek kesedaran pekerja juga perlu diberi keutamaan dengan menekankan tanda-tanda awal strok haba, kepentingan hidrasi dan prosedur pemindahan selamat ketika bencana. Melalui bengkel, simulasi kecemasan, poster infografik dan modul latihan dalam talian, pekerja dapat dilatih untuk bertindak balas dengan tangkas dan tepat.
Pada masa yang sama, teknologi moden membuka ruang baharu dalam melindungi pekerja. Aplikasi ramalan cuaca, penggunaan dron bagi pemantauan tapak, sistem pengudaraan pintar, serta peralatan perlindungan diri berteknologi tinggi mampu mengurangkan kesan perubahan iklim terhadap keselamatan pekerjaan. Malah, pendekatan Internet of Things (IoT) kini membolehkan data suhu, kelembapan, kualiti udara dan paras air dipantau secara masa nyata. Keupayaan ini memberi peluang kepada majikan untuk membuat keputusan segera apabila wujud tanda-tanda bahaya, sekali gus memperkukuh keselamatan dan melindungi nyawa pekerja.
Sebagai penutup, perubahan iklim sememangnya cabaran besar, namun ia juga membuka ruang untuk kita berinovasi dan bersatu dalam melindungi pekerja. Dengan dasar yang berpandangan jauh, strategi majikan yang bertanggungjawab serta kesedaran pekerja yang semakin meningkat, keselamatan pekerjaan boleh menjadi tonggak utama dalam menghadapi dunia yang kian mencabar. Amat penting untuk kita melangkah bersama dengan tekad bahawa setiap pekerja berhak bekerja dalam persekitaran yang sihat dan selamat. Masa depan mungkin penuh ketidakpastian, tetapi dengan usaha kolektif, kita mampu membina generasi yang lebih berdaya tahan dan sebuah dunia kerja yang lebih mampan.
Rujukan
Abdullah, K. H., Abd Aziz, F. S., Dani, R., Hammood, W. A., & Setiawan, E. (2023). Urban pollution: a bibliometric review. ASM Science Journal, 18, 1-16. https://doi.org/10.32802/asmscj.2023.1440
Astro Awani. (2024, 22 Mac). 27 penyakit berkaitan cuaca panas, satu kematian direkodkan setakat 20 Mac. Mission Media Network Sdn. Bhd. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/27-penyakit-berkaitan-cuaca-panas-satu-kematian-direkodkan-setakat-20-mac-463521
Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC). (2023). Sixth Assessment Report: Climate Change 2023 Synthesis Report. https://www.ipcc.ch/assessment-report/ar6/
Intergovernmental Panel on Climate Change. (2007). El Niño-Southern Oscillation and tropical/extratropical interactions (Chapter 3, Section 3.6.2). In Climate Change 2007: Working Group I: The Physical Science Basis. IPCC. https://archive.ipcc.ch/publications_and_data/ar4/wg1/en/ch3s3-6-2.html
International Labour Organization. (2024). Ensuring safety and health at work in a changing climate. https://www.ilo.org/publications/ensuring-safety-and-health-work-changing-climate
Vietnam.vn. (2024, 26 April). Negara-negara Asia menghadapi haba yang teruk. VTV.vn. https://www.vietnam.vn/ms/cac-nuoc-chau-a-ung-pho-voi-nang-nong-gay-gat