American Museum of Natural History: Bukan Sekadar Muzium
7 Oktober 2025
American Museum of Natural History: Bukan Sekadar Muzium
7 Oktober 2025
Ditulis oleh:
Prof. Dr. Badrul Munir Md Zain
Profesor
Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Dr. Mohd Ridwan Abd Rahman
Pensyarah Kanan
Pusat Pengajian Prauniversiti,
Universiti Malaysia Sarawak
Shuhainor Abdullah
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah
Sekolah Kebangsaan Seksyen 7,
Bandar Baru Bangi, Selangor
American Museum of Natural History (AMNH) merupakan muzium sejarah alam yang telah dibina pada April 6, 1869. Terletak di sebelah bahagian atas pulau Manhattan bersebelahan dengan Central Park, New York City (Rajah 1). Muzium ini dikunjungi saban hari oleh pelbagai lapisan pengunjung dari pelajar sekolah dan universiti, pelawat awam, sehingga ke penyelidik. Muzium ini mempunyai koleksi 32 juta spesimen tumbuhan, haiwan, kulat, fosil, mineral, batu, meteorit, dan artifak budaya manusia. Muzium ini bukan sekadar muzium yang mempamerkan bahan sejarah alam tetapi juga menyediakan program dan aktiviti bersesuaian dengan peringkat umur dan kategori pengunjung terutamanya melibatkan pelajar sekolah. Muzium ini juga mempunyai beberapa pusat penyelidikan bagi membolehkan penyelidik membuat penyelidikan berkaitan dengan koleksi muzium dan sejarah alam.
Pengunjung pertama kali ke AMNH pasti terpesona dengan susun atur spesimen dan skulptur yang menarik. Di antara skulptur yang ada pada aras bawah ialah skulptur Presiden Amerika Syarikat ke 26, Theodore Roosevelt (Rajah 2) yang melekat pada kerusi bagi memudahkan para pengunjung untuk merakamkan photo kenangan tanda kunjungan ke muzium ini. Selain skulptur terdapat juga rangka tulang dinosaur yang besar dan juga tinggi hampir mencapai bumbung aras 1.
Rajah 1: American Museum of Natural History, New York City
Rajah 2: Skulptur dan rangka dinosaur menarik perhatian pengunjung
Antara pameran yang sangat menarik ramai pengunjung adalah Hall of Saurischian Dinosaurs (Rajah 3). Ruang pameran ini mempamerkan dinosaur yang wujud pada masa lampau termasuklah Tyrannosaurus rex dan Apatosaurus. Ruang pameran Hall of Advanced Mammal juga mencuri perhatian dengan adanya pameran koleksi mamalia bersaiz besar yang wujud pada masa lampau. Pameran-pameran ini sangat penting bagi menambah pengetahuan tentang kewujudan haiwan purba dan faktor yang mendorong kepada kepupusan haiwan ini di muka bumi. Selain pameran yang melibatkan aspek kepelbagaian fauna terdapat juga pameran-pameran lain yang menarik seperti pameran Planetarium, Invisible World, Gems and Minerals, People of the World. Antara koleksi yang menarik perhatian adalah koleksi spesimen yang terdapat di Hall of Biodiversity (Rajah 4). Pada bahagian pameran ini, koleksi spesimen diatur dengan rapi sekali menampakkan seperti satu garapan pameran seni spesimen yang sangat cantik apabila dilihat dari jauh.
Rajah 3: Skulptur dan rangka dinosaur menarik perhatian pengunjung
Rajah 4: Hall of Diversity mempunyai aturan spesimen yang menarik dan disusun rapi
Rajah 5: Kenderaan yang membawa pelajar-pelajar sekolah melawat AMNH
American Museum of Natural History setiap hari dikunjungi oleh ramai pelajar sekolah (Rajah 5). Salah satu perkara yang sangat menarik tentang AMNH adalah muzium ini turut menyediakan pelbagai aktiviti dan program yang bersesuaian dengan peringkat umur pengunjung termasuklah untuk pelajar sekolah. The Science and Nature Program antara program yang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman pelajar tentang alam semula jadi dunia. Mereka berpeluang untuk mempelajari dan mendalami ilmu sains secara khusus dalam bidang zoologi, sains bumi, antropologi, paleontologi berdasarkan hasil penyelidikan saintis-saintis dan pemerhatian dari koleksi spesimen yang ada di AMNH. Selain itu, Science Alliance Middle School Program pula membolehkan pelajar mempelajari kemahiran baharu dan bertemu dengan saintis AMNH. Kelas yang dianjurkan adalah khusus untuk pelajar gred 6-8 dan gred 9-12. Mereka boleh memilih topik-topik yang diminati berkaitan dengan bidang antropologi, astrofizik, sains pemuliharaan, sains bumi dan biologi evolusi. Sudah semestinya, mereka akan dapat manfaat terbaik untuk menambah ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan alam semula jadi. Program-program seperti ini bukan sahaja dapat memperluaskan ilmu pengetahuan, malah boleh dijadikan sumber bagi aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah di Malaysia, khususnya dalam pengetahuan ilmu sejarah alam.
Rajah 6: Kerjasama penyelidikan melibatkan spesimen di AMNH bagi tujuan kajian genetik molekul primat menggunakan kaedah ancient DNA
American Museum of Natural History juga menyediakan peluang kerjasama penyelidikan, program sangkutan dan kemudahan untuk menjalankan kerja makmal genomik. Kerjasama penyelidikan antara Prof. Dr. Badrul Munir Md Zain (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan Dr. Mary Blair (Center for Biodiversity and Conservation, AMNH) telah bermula sejak 2014, dengan fokus kepada kajian genetik primat kerana kedua-duanya merupakan alumni Phd Columbia University, New York City (Rajah 6). Kerjasama penyelidikan ini telah dimanfaatkan dengan penerbitan bersama artikel saintifik Molecular phylogenetic relationships and unveiling novel genetic diversity among Slow and Pygmy Lorises, including resurrection of Xanthonycticebus intermedius dalam jurnal Genes dan Molecular data confirm the presence of Nycticebus bengalensis on Langkawi Island, Malaysia, dalam jurnal Biodiversitas.
Terkini kerjasama penyelidikan melibatkan pengesahan kemungkinan wujudnya kongkang hibrid di utara Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand. Kajian genetik molekul juga memfokus kepada primat kongkang di Sarawak melibatkan kerjasama AMNH dengan Dr. Mohd Ridwan Abd Rahman dan Roberta Chaya Tawie Tingga dari Universiti Malaysia Sarawak. Selain kongkang, kerjasama kajian juga melibatkan spesimen muzium AMNH spesies Lotong Berdahi Putih (Presbytis frontata) yang sangat jarang dijumpai dan dikaji di lapangan di Sarawak. Hasil dapatan kajian ini akan membantu dalam memahami aspek pertalian filogeni yang dapat digunakan untuk pengecaman genetik, pengurusan pemuliharaan genetik dan penerokaan kepelbagaian primat Malaysia yang masih ada di habitat liar di Malaysia dan juga koleksi spesimen di AMNH.
American Museum of Natural History sangat luas dengan pelbagai jenis pameran. Setiap aras AMNH mempunyai pameran dan bidang ilmu yang berbeza. Oleh itu, lawatan ilmiah ke muzium ini tidak cukup jika dilakukan dalam satu hari sahaja. American Museum of Natural History menyediakan peluang kerjasama penyelidikan yang melibatkan koleksi spesimen yang hampir lengkap atau sudah pupus di dunia. Kerjasama penyelidikan ini membolehkan pemindahan teknologi penyelidikan dari AMNH ke universiti tempatan Malaysia (UKM dan UNIMAS) yang melibatkan kaedah penjujukan generasi hadapan dan ancient DNA. American Museum of Natural History membuktikan bahawa muzium bukan sekadar tempat menyimpan koleksi, tetapi juga pusat pendidikan, penyelidikan, dan inovasi yang memberi manfaat besar kepada masyarakat global.
Rujukan
Blair ME, Cao GTH, López-Nandam EH, Veronese-Paniagua DA, Birchette MG, Kenyon M, Md-Zain BM, Munds RA, et al. (2023). Molecular phylogenetic relationships and unveiling novel genetic diversity among Slow and Pygmy Lorises, including resurrection of Xanthonycticebus intermedius. Genes 14: 643.
Davey C (2019). The American Museum of Natural History and How It Got That Way: With a New Preface by the Author and a New Foreword by Neil deGrasse Tyson. Fordham University Press. ISBN 978-0-8232-8707-9.
Macaulay-Lewis E (2021). Antiquity in Gotham: The Ancient Architecture of New York City. Fordham University Press. pp. 96–98. ISBN 978-0-8232-9384-1.
Md-Zain BM, Mohhoyua KS, Aifat NR, Ngadi E, Ayob N, Rovie-Ryan JJ, Ampeng A, Mohd-Ridwan AR, Blair ME, Abdul-Latiff MAB (2019). Molecular data confirm the presence of Nycticebus bengalensis on Langkawi Island, Malaysia. Biodiversitas 20: 1115-1120.