Memperkukuh Pembelajaran Matematik melalui Pendekatan Berasaskan Konteks Kehidupan
5 November 2025
Memperkukuh Pembelajaran Matematik melalui Pendekatan Berasaskan Konteks Kehidupan
5 November 2025
Ditulis oleh:
Syed Azman Syed Ismail
Pelajar PhD (Pendidikan Matematik)
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Prof. Madya Dr. Siti Mistima Maat
Pensyarah Kanan
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Umumnya diketahui bahawa Matematik merupakan subjek yang sukar, membosankan dan tidak relevan dengan kehidupan pelajar. Persepsi tersebut sebahagiannya berpunca daripada kaedah pengajaran yang terlalu berfokuskan pada hafalan rumus dan latihan di atas kertas. Hakikatnya, matematik wujud dalam semua aspek kehidupan seperti di dapur, di padang bola, ketika mengira baki duit belanja atau menilai risiko cuaca. Perkaitan antara matematik dengan kehidupan sebenar dapat mencetuskan minat mereka terhadap matematik secara tidak langsung. Maka pembelajaran matematik pelajar akan menjadi lebih bermakna.
Kajian oleh Yunitasari et al. (2023) menunjukkan bahawa pembelajaran berasaskan konteks dunia nyata dapat membantu pelajar membina kefahaman yang lebih mendalam dan mengurangkan kerisauan terhadap matematik. Pelajar lebih mudah memahami konsep abstrak dalam matematik apabila ia dikaitkan dengan pengalaman harian mereka. Sebahagian perkaitan antara matematik dengan kehidupan adalah merangkumi perkara selanjutnya
Matematik di Dapur
Salah satu contoh paling dekat dengan kehidupan harian ialah aktiviti memasak di dapur yang sebenarnya kaya dengan konsep matematik. Apabila kita menyediakan resipi, kita sebenarnya menggunakan konsep pecahan, perkadaran dan sukatan. Jika resipi kek memerlukan tiga per empat cawan gula tetapi kita ingin membuat separuh adunan, pelajar perlu mengira jumlah gula yang diperlukan. Aktiviti ini bukan sahaja melatih kemahiran mengira pecahan malah dapat memperkukuh pemahaman pelajar terhadap konsep perkadaran yang menjadi asas kepada topik matematik yang lebih kompleks pada masa hadapan. Guru boleh menjadikan aktiviti ini sebagai projek kelas dengan meminta pelajar menukar sukatan resipi, membandingkan kos bahan atau mengira anggaran masa memasak. Bagi mendekatkan lagi matematik dengan minat pelajar, pengiraan kalori dan nutrien dalam makanan atau minuman kegemaran menyediakan konteks yang relevan. Sebagai contoh, guru boleh mengajar pelajar untuk mengira jumlah kalori untuk tiga keping pizza atau membandingkan kandungan gula dalam minuman berkarbonat kegemaran mereka dengan menggunakan operasi asas matematik secara praktikal.
Sukatan masakan membantu pelajar menguasai konsep pecahan dan perkadaran melalui aktiviti praktikal di dapur
Konsep geometri dan trigonometri diaplikasikan dalam sukan melalui pengiraan jarak dan sudut lontaran yang paling efektif.
Matematik di Padang Permainan
Padang bola atau gelanggang badminton juga boleh menjadi bilik darjah matematik terbuka. Dalam bola sepak, pemain dan jurulatih menggunakan peratusan penguasaan bola (ball possession rate), purata gol dan statistik serangan untuk menilai prestasi. Guru boleh membawa data perlawanan sebenar ke dalam kelas dan meminta pelajar membuat analisis mudah. Bagi sukan lain seperti bola keranjang, pemain perlu menganggar jarak, sudut dan ketinggian lontaran untuk menjaringkan gol. Pengiraan ini melibatkan konsep geometri dan fizik yang boleh dikaitkan dengan pembelajaran matematik. Kajian oleh Lu (2023) mendapati bahawa pelajar yang terlibat dengan analisis sukan menunjukkan peningkatan minat terhadap statistik kerana mereka melihat nilai praktikalnya. Selain sukan berpasukan, aktiviti individu seperti larian juga boleh digunakan dengan melibatkan pengiraan purata masa larian atau perbandingan kadar degupan jantung sebelum dan selepas berlari. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja mengukuhkan kemahiran matematik malah membolehkan pelajar memahami aplikasi sebenar konsep yang dipelajari di dalam kelas
Matematik dalam Pengurusan Kewangan
Pengurusan kewangan harian juga menawarkan peluang yang luas untuk mengaitkan matematik dengan kehidupan. Konsep asas seperti tambah, tolak darab dan bahagi menjadi lebih bermakna apabila dikaitkan dengan pengurusan wang. Mengira baki belanja, membandingkan harga promosi di pasar raya atau mengira jumlah diskaun adalah kemahiran hidup yang penting. Finland telah menunjukkan keberkesanan pendekatan ini dengan mendedahkan pelajar kepada konsep pengurusan kewangan melalui projek simulasi seperti bajet peribadi (personal budget) yang diselitkan dalam kurikulum matematik peringkat rendah (OECD, 2020). Aktiviti sebegini bukan sahaja mengajar pengiraan malah melatih pelajar membuat keputusan bijak dan memahami nilai wang. Selain pengurusan wang tunai, konsep matematik juga boleh diaplikasikan dalam transaksi digital. Aktiviti seperti mengira baki dalam e-wallet, membandingkan cas transaksi antara platform pembayaran dan merancang perbelanjaan melalui aplikasi kewangan merupakan kemahiran matematik yang semakin relevan untuk dikuasai generasi muda.
Pengurusan bajet peribadi melatih kemahiran matematik melalui pengiraan perbelanjaan, baki wang dan perancangan kewangan praktikal.
Permainan dam haji melatih pemikiran strategik melalui pemahaman sistem koordinat dan pergerakan pada grid geometri.
Matematik dalam Permainan Tradisional
Permainan tradisional seperti congkak, dam haji dan batu seremban bukan sahaja membina kemahiran motor halus tetapi turut melibatkan konsep matematik seperti pengiraan, pola dan strategi. Mengintegrasikan permainan tradisional dalam pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja memelihara warisan budaya malah menjadikan pembelajaran matematik lebih menyeronokkan. Congkak melatih kemahiran mengira, mengenal pola nombor dan merancang strategi melalui pengiraan biji. Dam haji menguji pemikiran strategik dengan konsep geometri asas seperti koordinat dan jarak pergerakan. Batu seremban pula menekankan pengiraan urutan dan koordinasi yang menjadi asas kepada konsep matematik kompleks. Kajian dalam bidang etnomatematik mendapati bahawa pelajar lebih bermotivasi apabila aktiviti pembelajaran berkait rapat dengan budaya mereka (Cesaria et al., 2025). Pendekatan ini dapat memelihara warisan budaya sambil menjadikan matematik lebih bermakna dan relevan dengan identiti pelajar.
Pelaksanaan Pembelajaran Matematik Secara Kontekstual
Guru yang ingin memulakan pendekatan ini boleh memilih konteks yang dekat dengan kehidupan pelajar seperti makanan, sukan atau hobi mereka. Data sebenar daripada resit pasar raya, jadual perlawanan atau graf cuaca boleh dijadikan bahan pengajaran. Pelajar juga digalakkan untuk menjelaskan dengan kata-kata mereka sendiri bagaimana matematik membantu menyelesaikan masalah. Pendekatan ini bukan sahaja mengukuhkan kefahaman, malah membina keyakinan pelajar untuk menerapkan konsep dalam kehidupan sebenar. Projek mini seperti tugasan ‘rekabentuk taman sekolah’ boleh dijalankan. Tugasan ini memerlukan pelajar mengira luas, perimeter dan bajet kos sekali gus menggabungkan pelbagai kemahiran matematik dalam aktiviti yang menyeronokkan. Selain itu, aktiviti luar kelas seperti mengukur panjang bangku sekolah atau menilai sudut cerun taman juga mampu menjadikan konsep abstrak lebih konkrit dan mudah difahami.
Matematik bukan sekadar angka di papan putih, sebaliknya merupakan bahasa yang membantu kita memahami dunia, membuat keputusan yang bijak dan menyelesaikan masalah. Apabila guru berjaya menunjukkan bahawa matematik wujud di setiap sudut kehidupan, pelajar bukan sahaja akan lebih memahami konsep, malah akan melihat nilai dan keindahan mata pelajaran ini. Seperti congkak yang menuntut strategi dan resipi yang memerlukan sukatan tepat, begitulah matematik yang hidup sebagai seni logik yang menghubungkan minda dengan realiti kehidupan.
Rujukan:
Cesaria, A., Adnan, M., Kemal, E., Rismen, S., Ramadoni, R., & Delyana, H. (2025). Exploring concepts of ethno-mathematics to introduce the local culture and its values for higher education students. Al-Jabar : Jurnal Pendidikan Matematika, 16(1), 315–335. https://doi.org/10.24042/ajpm.v16i1.26490
Lu, H.F. (2023). Statistical learning in sports education: A case study on improving quantitative analysis skills through project-based learning. Journal of Hospitality, Leisure, Sport & Tourism Education, 32, 100417. https://doi.org/10.1016/j.jhlste.2023.100417
OECD. (2020). PISA 2018 Results (Volume IV) : Are Students Smart About Money? OECD Publishing. https://doi.org/10.1787/48ebd1ba-en
Yunitasari, F., Sintawati, M., & Mastul, A.-R. H. (2023). The application of contextual teaching and learning for increasing learning outcomes and reducing anxiety in elementary school mathematics. International Journal of Learning Reformation in Elementary Education, 2(2), 77–85. https://doi.org/10.56741/ijlree.v2i02.283