Strategi Melestarikan Penghargaan kepada Alam Sekitar melalui Program Sulam
6 November 2025
Strategi Melestarikan Penghargaan kepada Alam Sekitar melalui Program Sulam
6 November 2025
Ditulis oleh:
Ts Dr Nurun Nadhirah Md Isa
Pensyarah
Pusat Pengajian Sains,
Uitm Pahang Kampus Jengka
Sekitar tahun 2019, program berasaskan komuniti telah bermula di peringkat pengajian tinggi. Program ini selari dengan usaha mengetengahkan pendekatan “High-Impact Educational Practices’ atau HIEPs yang membuka peluang kepada para pelajar untuk berkomunikasi dengan komuniti dan dalam masa yang sama membantu menyelesaikan masalah setempat. Aktiviti berasaskan pengalaman seperti ini sejajar dengan teori Experiential Learning oleh Kolb (1984), yang menekankan pembelajaran melalui pengalaman langsung dan refleksi. Selain itu, program ini turut menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals, SDG) khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 11 (Komuniti Lestari) dan SDG 15 (Menjaga Ekosistem Daratan). Program SULAM perlu disepadukan secara rasmi dalam kursus berkaitan alam sekitar agar pelajar menilai dan melaksanakan aktiviti dengan lebih terarah serta memenuhi hasil pembelajaran kursus (CLO). Pelaksanaan program ini juga dijalankan untuk pelajar Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Biodiversiti di Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang.
Membawa mandat penting dalam melindungi alam sekitar dan hidupan liar, satu Program berasaskan SULAM telah dijalankan bersama-sama dengan murid-murid dari Sekolah Kebangsaan Jengka Pusat 2 pada 17 Jun 2025. Pelajar dari Program Sarjana Muda Sains (Kepujian) Pengurusan Biodiversiti dari Bahagian 5 perlu melaksanakan program SULAM bagi memenuhi keperluan kod kursus Pengurusan dan Pemuliharaan Biodiversiti Berasaskan Masyarakat. Bermula dengan perancangan bersama-sama dengan pensyarah kod kursus, pelajar diberi tunjuk ajar bagaimana menjalankan program bersama komuniti. Memandangkan pelajar dari latar belakang jurusan pengurusan biodiversiti, pengisian dan aktiviti yang dijalankan adalah berkaitan dengan perlindungan terhadap biodiversiti dan program tersebut diberi nama ‘Ecowarrior Junior: lindungi biodiversiti kita’.
Bersama guru dan peserta program
Pelajar sedang merekacipta bekas untuk menanam pokok cactus.
Program bermula pada pukul 7.30 pagi sejurus tamat perhimpunan pagi di sekolah tersebut. Sepanjang progam berlangsung, pengisian yang telah dirancang oleh para pelajar adalah, ceramah kesedaran 3R dan biodiversiti. Ceramah tersebut diberikan sendiri oleh para pelajar UiTM. Murid-murid telah pecahkan kepada beberapa kumpulan sebelum memulakan aktiviti ‘Explorace 3R’. Setiap kumpulan mempunyai seorang fasilitator bagi mengawal pergerakan murid sepanjang program. Didalam aktiviti ‘Explorace 3R’, murid-murid perlu melalui lima stesen iaitu kenali tong sampah, telefon rosak (perlu meniru bunyi haiwan), blind box, kuiz biodiversiti dan panic drawing. Semua aktiviti ini diharapkan dapat memberi kesedaran kepada murid sekolah tentang kepentingan memelihara alam sekitar, mengenali haiwan liar dan memelihara sumber biodiversiti.
Bagi aktiviti Inovasi 3R, murid-murid perlu membuat satu inovasi menghasilkan sebiji pasu bunga menggunakan bahan terpakai. Aktiviti inovasi ini memberi kesedaran kepada murid tentang kepentingan mengitar semula bahan terpakai dari bahan-bahan terbuang tanpa mencemarkan alam sekitar dan memastikan pengurusan alam sekitar yang lestari. Murid-murid perlu mengetahui bahawa tidak semua barang yang tidak lagi boleh digunakan dirumah, perlu dibuang, tetapi boleh ditukar kepada bentuk lain yang boleh memberi manafaat kepada manusia. Selain mendidik murid-murid ini dalam mengitar semula bahan terpakai, aktiviti inovasi ini mengasah kreativiti murid dalam mereka cipta pasu bunga yang menarik, dari bahan terbuang. Hadiah turut disediakan kepada murid-murid yang berjaya menghasilkan rekaan pasu bunga yang kreatif.
Beberapa soalan kaji selidik yang ringkas turut diberikan kepada murid-murid bagi mendapat maklum balas terhadap program yang telah dijalankan. Antara soalan-soalan yang ditanya adalah penilaian terhadap penceramah serta penilaian terhadap aktiviti sepanjang program. Rata-rata maklum balas daripada murid-murid adalah sangat positif dan mereka mengharapkan program seperti ini dapat dijalankan lagi di sekolah mereka. Mereka juga meluahkan rasa gembira dengan ilmu yang telah diberikan kepada mereka berkaitan dengan pemuliharaan dan pemeliharaan sumber biodiversiti dan alam sekitar.
Kesimpulannya, pelaksanaan program SULAM ini memberi banyak manafaat kepada komuniti lebih-lebih lagi kepada murid-murid sekolah. Tidak semua diantara mereka mempunyai peluang untuk melawat Zoo Negara bagi melihat secara dekat haiwan-haiwan tempatan mahupun dari luar negara. Melalui program ini, sedikit sebanyak dapat mendedahkan pelajar tentang kewujudan biodiversiti di Malaysia melalui aktiviti-aktiviti berunsurkan flora dan fauna semasa program dijalankan. Secara keseluruhannya, pelaksanaan program SULAM “Ecowarrior Junior: Lindungi Biodiversiti Kita” telah membuktikan keberkesanan pendekatan pembelajaran berasaskan komuniti dalam meningkatkan kesedaran alam sekitar di kalangan pelajar dan masyarakat. Melalui strategi yang terancang, sokongan pelbagai pihak dan integrasi kurikulum yang kukuh, program seperti ini mampu membentuk generasi yang lebih prihatin, bertanggungjawab serta menghargai kepelbagaian biodiversiti negara. Usaha melestarikan alam sekitar bukan hanya tanggungjawab individu tertentu, tetapi amanah bersama ke arah pembangunan negara yang lestari dan seimbang.
Rujukan:
Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia. (2019). Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) Framework. Putrajaya: KPT.
Kolb, D. A. (1984). Experiential Learning: Experience as the Source of Learning and Development. Prentice-Hall.
Rahman, N. A., Ahmad, S., & Hashim, H. (2024). Evaluating the Impact of Service-Learning Malaysia – University for Society (SULAM) on Student Learning and Community Engagement. Journal of Education and Society Studies, 8(2), 45–60.
Universiti Teknologi MARA (UiTM). (2023). Pelaksanaan Program SULAM dalam Kursus Universiti. UiTM Centre for Learning and Teaching (CPLT).
United Nations. (2020). Sustainable Development Goals (SDG): 2030 Agenda for Sustainable Development. New York: United Nations.