Transformasi Latihan K-Ekonomi OKU Melalui Media Animasi
23 Disember 2025
Transformasi Latihan K-Ekonomi OKU Melalui Media Animasi
23 Disember 2025
Ditulis oleh:
Dr. Mohamad Zuber Abd Majid
Pensyarah kanan
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Ekonomi Berasaskan Pengetahuan (K-Ekonomi) merupakan antara pendekatan strategik yang diketengahkan bagi memperkasa Orang Kurang Upaya (OKU) untuk menjana sumber ekonomi secara mampan. Pendekatan ini menumpukan kepada dua disiplin utama, iaitu keusahawanan dan penguasaan teknologi, yang mampu membuka peluang pekerjaan serta keupayaan kendiri kepada golongan OKU. Kedua-dua disiplin ini boleh dilatih secara berkesan melalui penggunaan media animasi sebagai medium pembelajaran. Media animasi bukan sahaja bersifat interaktif, malah berupaya menyokong teori pembelajaran tingkah laku seperti pelaziman dan peneguhan positif. Melalui pendedahan berulang serta elemen visual dan audio yang menarik, OKU dapat membina kefahaman dan keyakinan secara berperingkat.
Sebagai pendedahan awal kepada latihan K-Ekonomi, antara topik pengayaan yang diperkenalkan kepada OKU merangkumi:
Pengenalan K-Ekonomi
Pengurusan Kewangan
Pemasaran
Penulisan Iklan
Penggunaan aplikasi seperti Canva, WhatsApp dan TikTok
Komunikasi media
Pembungkusan dan Penghantaran
Bagaimana Pelatihan K-Ekonomi Dijalankan?
Latihan K-Ekonomi untuk OKU memberi penekanan kepada tiga aspek utama, iaitu pendedahan kepada media animasi, pengajaran dan bimbingan, dan kepercayaan terhadap keupayaan OKU melalui satu proses kitaran berterusan. Proses ini diringkaskan seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1.
Rajah 1: Proses kitaran latihan K-Ekonomi untuk OKU
1. Pendedahan kepada Media Animasi
Proses pertama dalam kitaran latihan ialah pendedahan kepada media animasi yang merangsang deria penglihatan dan pendengaran OKU secara berulang. Elemen media seperti grafik, animasi, teks, audio dan video diterapkan dalam bahan pembelajaran bagi meningkatkan fokus dan kefahaman pelatih. Selain itu, elemen gamifikasi turut dimasukkan sebagai kaedah latihan berperingkat mengikut aras kesukaran pembelajaran. Pendekatan ini membantu OKU memahami disiplin keusahawanan dan literasi teknologi secara lebih menyeronokkan dan berkesan.
2. Pengajaran dan bimbingan
Proses kedua menekankan aspek pengajaran dan bimbingan, iaitu pelajar OKU dibantu oleh guru atau mentor untuk memahami topik-topik latihan berdasarkan tontonan media animasi dan aktiviti gamifikasi. Pendekatan pembelajaran secara konstruktivisme ini mengambil kira pengetahuan sedia ada pelajar OKU. Kefahaman dibina melalui sesi interaktif, perbincangan dan soal jawab. Secara tidak langsung, proses ini turut menyokong pembangunan kemahiran insaniah seperti komunikasi, pemikiran kritikal, penyelesaian masalah, literasi teknologi dan kemahiran keusahawanan.
3. Kepercayaan kepada OKU
Kitaran akhir latihan menekankan kepada keupayaan kendiri OKU untuk menyelesaikan latihan tanpa bimbingan secara langsung. Pada peringkat ini, OKU digalakkan melontarkan idea serta membuat keputusan melalui latihan gamifikasi yang disediakan dalam media pembelajaran. Jawapan dan hasil tugasan yang diberikan mencerminkan tahap kebolehgunaan serta keberkesanan latihan K-Ekonomi. Sekiranya pelajar masih belum mencapai tahap penguasaan yang diharapkan, proses latihan akan kembali kepada kitaran bimbingan sehingga pelajar benar-benar menguasai keseluruhan kandungan pembelajaran K-Ekonomi.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, transformasi latihan K-Ekonomi untuk OKU melalui penggunaan media animasi dan gamifikasi telah membuka ruang pembelajaran yang lebih inklusif, interaktif dan berkesan. Pendekatan latihan berasaskan kitaran pendedahan, bimbingan dan kepercayaan terhadap keupayaan kendiri OKU bukan sahaja meningkatkan kefahaman terhadap keusahawanan dan teknologi, malah membina keyakinan serta kebolehan OKU untuk berdikari dalam ekonomi digital. Seiring perkembangan ekonomi berasaskan pengetahuan, pendekatan ini wajar diperluaskan sebagai satu strategi pemerkasaan OKU yang mampan dan relevan.
Rujukan:
Barkhordari, S., Fattahi, M., Azimi, N. A. 2019. The impact of knowledge-based economy on growth performance: evidence from MENA Countries. Journal of the Knowledge Economy 10: 1168–1182.
Ghazali, N., Asnawi, N. H., Abd Hamid, N. H., Salleh, N. F., & Abd Rahim, L. N. (2025). Designing inclusive entrepreneurial education: A framework for empowering disabled entrepreneurs. International Journal of Research and Innovation in Social Science, 5825–5831.
Abd Majid, M. Z., Omar, M., Arham, A. F., Zainal Adnan, M. Z., & Arumugam, R. (2025). Exploring the integration of the K-Economy among people with disabilities in TVET institute. International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, 15(7), 767–777
Rončević, K., & Rieckmann, M. (2025). Education for sustainable development and inclusive education with particular consideration of learners with special needs: A scoping literature review. Frontiers in Education, 10, 1593060.