Pendidikan Ekonomi Kitaran Sebagai Pendekatan Mengurangkan Pembaziran Makanan
24 Disember 2025
Pendidikan Ekonomi Kitaran Sebagai Pendekatan Mengurangkan Pembaziran Makanan
24 Disember 2025
Ditulis oleh:
Dr. Fathiyah Mohd Kamaruzaman
Pensyarah kanan
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Dr. Mohamad Zuber Abd Majid
Pensyarah kanan
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Pembaziran makanan merupakan isu yang semakin membimbangkan. Menurut data yang dikumpulkan, lebih daripada sepertiga makanan di dunia berakhir sebagai sisa, memberikan kesan buruk terhadap alam sekitar. Pembaziran makanan ini bukan sahaja mencemarkan air dan tanah, tetapi juga menyumbang kepada masalah pemanasan global melalui pelepasan gas rumah hijau yang dihasilkan ketika proses penguraian sisa makanan di tapak pelupusan.
Isu pembaziran makanan di Malaysia, khususnya di sekolah menengah, menuntut peranan penting pendidikan dalam meningkatkan kesedaran terhadap ekonomi kitaran. Penerapan konsep ekonomi kitaran bukan sahaja membantu pelajar memahami cara meminimumkan sisa dan memanfaatkan sumber secara berkesan, malah juga membentuk mereka sebagai ejen perubahan yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Melalui pendidikan ekonomi kitaran, pelajar dididik menjadi individu yang celik alam sekitar dan inovatif, sejajar dengan matlamat pembangunan lestari (SDG) seperti SDG 2 (Kelaparan Sifar), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab), dan SDG 13 (Tindakan Terhadap Perubahan Iklim).
Dalam konteks pelaksanaan di sekolah, elemen kelestarian alam sekitar merentas kurikulum boleh dijadikan wadah bagi membincangkan isu pembaziran makanan dan kesannya terhadap persekitaran. Melalui pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman seperti aktiviti merancang menu, menggunakan bahan secara optimum, dan mengasingkan sisa mengikut kategori, pelajar dapat membina sikap positif terhadap penggunaan sumber yang boleh dikitar semula. Konsep ekonomi kitaran seterusnya memperkukuh nilai ini dengan mendorong pelajar mencipta semula bahan buangan menjadi produk berguna. Misalnya, aktiviti membuat kompos daripada sisa makanan yang digunakan semula dalam projek kebun sekolah bukan sahaja memperkukuh pemahaman pelajar tentang prinsip ekonomi kitaran, malah juga memberi pengalaman autentik dalam usaha memelihara alam sekitar. Hal ini lebih jelas ditunjukkan dalam Rajah 1.
Rajah 1: Proses aplikasi ekonomi kitaran dalam aktiviti pembelajaran di sekolah
Pendekatan pendidikan ekonomi kitaran menjadikan subjek teknikal dan vokasional lebih menarik serta relevan dengan kehidupan sebenar. Melalui penggabungan teori dan amali, pelajar bukan sahaja memahami konsep asas malah turut memperoleh pengalaman praktikal. Dalam konteks Program Vokasional Menengah Atas (PVMA) Penyediaan dan Penghasilan Makanan, pendidikan ekonomi kitaran diterapkan melalui latihan pengurusan sumber yang bijak meliputi penilaian, perancangan, serta penggunaan bahan dan tenaga secara optimum bagi mengurangkan pembaziran. Pendekatan ini secara tidak langsung memupuk pemikiran kreatif dan sikap proaktif pelajar dalam mencari penyelesaian lestari berasaskan amalan ekonomi kitaran.
Sebagai contoh, dalam aspek kejuruteraan dapur, pelajar didedahkan kepada penggunaan alat automasi seperti ketuhar pintar dan pengisar automatik bagi meningkatkan kecekapan penyediaan makanan. Penerapan teknologi ini bukan sahaja memudahkan tugasan, malah memperkenalkan pelajar kepada inovasi terkini dalam industri makanan. Melalui pendekatan ini, pelajar mempelajari kaedah pengurusan sisa sambil mengasah kemahiran mencipta penyelesaian inovatif terhadap isu sisa makanan. Pendekatan sedemikian menjadikan subjek teknikal dan vokasional lebih menarik serta relevan kerana pelajar dapat melihat perkaitan antara teori yang dipelajari dengan amalan sebenar yang memberi impak positif kepada alam sekitar dan memperkukuh kemahiran penyelesaian masalah secara kreatif.
Dalam menghadapi cabaran alam sekitar dan menanam kesedaran terhadap kelestarian, peranan guru dan pelajar amat penting dalam merealisasikan revolusi hijau di sekolah. Guru sebagai pemudah cara berperanan menyampaikan ilmu sambil mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna. Melalui galakan penyertaan dalam projek serta aktiviti berasaskan ekonomi kitaran, guru dapat membentuk pemikiran dan sikap pelajar agar lebih peka terhadap isu alam sekitar. Contohnya, aktiviti kolaboratif seperti projek tanam semula yang melibatkan pelajar dalam proses menanam dan menjaga tanaman, membantu mereka memahami kepentingan pemeliharaan alam serta interaksi antara organisma.
Selain itu, aktiviti reka guna minyak masak terpakai juga memberikan ruang kepada pelajar untuk menerapkan kemahiran praktikal yang dapat digunakan dalam kehidupan seharian. Dalam aktiviti reka guna, pelajar berpeluang mencipta produk baharu dari bahan terbuang, yang memberikan pemahaman mendalam tentang konsep kitaran dan penggunaan semula sumber. Melalui pendekatan ini, pelajar dapat belajar secara teori dan berinteraksi dengan fenomena alam secara langsung, menjadikan pembelajaran lebih bermakna.
Memandangkan teknologi semakin berkembang, hala tuju masa depan pendidikan ekonomi kitaran melibatkan integrasi teknologi terkini seperti Kecerdasan Buatan (AI) dan Internet Perkara (IoT) dalam sistem pengurusan sisa di sekolah. Dengan menggunakan penderia IoT, sekolah dapat memantau jumlah sisa yang dihasilkan secara real-time dan menggunakan data yang dikumpul untuk mengoptimumkan proses pengurusan sisa. AI juga dapat membantu dalam meramalkan pola penggunaan sumber, yang membolehkan pelajar merancang dan melaksanakan inisiatif pengurangan sisa dengan lebih berkesan. Inovasi ini bukan sahaja menjadikan sistem pengurusan lebih lancar malah juga mempersiapkan pelajar untuk dunia yang semakin bergantung pada teknologi moden. Dengan demikian, pendidikan ekonomi kitaran yang disokong oleh teknologi, tidak hanya membangun generasi pelajar yang celik alam sekitar turut juga menyediakan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menangani cabaran masa depan.
Sebagai penutup, pendidikan ekonomi kitaran bukan sekadar memahami teori tentang alam sekitar, malah menghayati tindakan yang mampu mengubah sisa menjadi sumber pembelajaran bermakna. Setiap lebihan makanan, bahan buangan, dan hasil dapur boleh dijadikan peluang untuk mendidik pelajar tentang tanggungjawab terhadap bumi. Oleh itu, sekolah perlu memainkan peranan utama dalam menerapkan amalan ekonomi kitaran melalui aktiviti pembelajaran harian, manakala masyarakat pula wajar menyokong inisiatif ini dengan melibatkan diri dalam program kitar semula dan inovasi hijau. Kesedaran dan kerjasama semua pihak akan memastikan pendidikan lestari benar-benar berakar dalam kehidupan seharian.
Rujukan:
Bernama (2024, 7 Ogos) KPKT lancar perancangan ekonomi kitaran, majukan pengurusan sisa pepejal. Astro Awani. https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kpkt-lancar-perancangan-ekonomi-kitaran-majukan-pengurusan-sisa-pepejal-482374
Bernama. (2024, 9 Oktober). Sejuta Kilogram Barang Kitar Semula Dikumpul Melalui PerKISS. Wilayah Sarawak Berita. https://bernama.com/bm/wilayah/news.php?id=2476606
Deksne, J., Lonska, J., Kodors, S., Litavniece, L., Zvaigzne, A., Silicka, I., & Kotane, I. (2025). Insights into Awareness and Perceptions of Food Waste and School Catering Practices: A Student-Centered Study in Rezekne City, Latvia. Resources, 14(4). https://doi.org/10.3390/resources14040059
Lonska, J., Kodors, S., Deksne, J., Litavniece, L., Zvaigzne, A., Silicka, I., & Kotane, I. (2025). Reducing Plate Waste in Latvian Schools: Evaluating Interventions to Promote Sustainable Food Consumption Practices. Foods, 14(1). https://doi.org/10.3390/foods14010126
Sehnem, S., Pereira, L. H., Junior, S. S., Bernardy, R. J., & Lara, A. C. (2022). Management of food waste in restaurants by way of circular practices. Journal of Material Cycles and Waste Management, 24(3), 1020–1036. https://doi.org/10.1007/s10163-022-01377-x