Bayang-bayang Buli dan Luka yang Tidak Sembuh
23 Januari 2026
Bayang-bayang Buli dan Luka yang Tidak Sembuh
23 Januari 2026
Ditulis oleh:
Ts. Dr. Khairul Hafezad Abdullah
Pensyarah Kanan
Program Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia
Dr. Luqman Mahmud
Pensyarah Kanan
Program Pengurusan Sumber Manusia,
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia
“Dulu aku dibuli, sekarang aku takkan biarkan sesiapa pijak kepala aku”. Ungkapan ini kedengaran tegas, malah ada yang menganggapnya bernada dendam. Namun, jika direnung dengan hati terbuka, kata-kata tersebut sebenarnya menggambarkan betapa dalamnya luka yang pernah ditinggalkan oleh pembuli. Ucapan seperti ini bukan sekadar kisah peribadi mangsa buli, tetapi satu gema suara kolektif yang pernah melalui lorong gelap yang sama, dihina, diketepi serta dipermain.
Budaya buli bukanlah fenomena baharu. Kezaliman ini mungkin bermula dalam bentuk usikan yang kelihatan remeh, namun perlahan-lahan merebak menjadi barah yang merosakkan hubungan sosial. Ketika di alam persekolahan, khususnya di peringkat menengah, perbuatan membuli sering berlaku di ruang-ruang yang tidak dijangka seperti kawasan tangga kelas yang sunyi, celah meja kantin yang sesak, dan keheningan asrama yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan.
Lebih menyedihkan, kecenderungan untuk membuli ini selalunya akan terbawa hingga ke alam dewasa. Adakalanya mereka ini adalah kelompok yang mendapat tempat dan kuasa di dalam sesebuah jabatan atau organisasi. Sikap yang tidak dibendung semasa remaja akhirnya membentuk perwatakan dewasa yang toksik dan membarah. Perwatakan ini menindas secara halus dalam bilik mesyuarat, menyindir dalam e-mel, dan menjatuhkan rakan sekerja melalui perbualan digital di tempat kerja. Apa yang lebih membimbangkan ialah budaya membuli ini terus diwarisi.
Masyarakat menyaksikan satu kitaran ganas yang berulang. Mangsa menjadi pembuli, dan pembuli melahirkan generasi baharu yang tidak mengenal empati serta belas kasihan. Selagi perbuatan membuli dianggap sebagai “lumrah”, selagi itulah kesan buruknya akan terus menular. Trauma yang dibiarkan tanpa rawatan akan terus membengkak. Akhirnya, masyarakat secara keseluruhan menjadi mangsa bukan sahaja dari segi emosi, malahan juga dari segi keruntuhan nilai dan integriti sosial. Kini tiba masanya kita berhenti menormalisasikan budaya menindas ini. Sudah sampai waktunya suara mangsa bukan sekadar didengari, tetapi juga diberi kepercayaan dan pembelaan. Selagi kita hanya memandang buli sebagai “perkara biasa”, selagi itulah ia akan terus berakar.
Buli di Sekolah sebagai Akar kepada Luka Sosial
Buli bukan semata-mata tentang penderaan fizikal seperti penumbuk dan sepakan. Realitinya, perbuatan ini lebih licik dan berlapis. Perbuatan bersifat psikologi seperti cemuhan, sindiran, pengasingan sosial, serta ejekan terhadap rupa paras, latar belakang keluarga dan pencapaian akademik menjadi senjata senyap yang melukakan jiwa.
Statistik daripada Kementerian Pendidikan Malaysia mencatatkan sebanyak 6,208 kes buli melibatkan pelajar sekolah telah direkodkan sehingga Oktober 2024. Data ini diperoleh melalui Sistem Sahsiah Diri Murid (SDM) dan memberi gambaran yang membimbangkan tentang penularan budaya buli di sekolah menengah. Meskipun jumlah ini kelihatan tinggi, angka sebenar dipercayai jauh lebih besar. Ramai yang memilih untuk berdiam diri kerana dibelenggu rasa takut, malu, atau telah terbiasa dengan penderitaan yang mereka anggap sebagai sebahagian daripada kehidupan. Sebagai pendidik, kami turut membincangkan hal ini di dalam kelas bersama pelajar. Kebanyakan pelajar menyatakan mereka yang dibuli selalunya tidak menceritakan hal ini kepada pihak yang bertanggungjawab kerana tidak mahu masalah menjadi lebih besar dan rumit.
Tidak semua pembuli berasal daripada latar belakang bermasalah. Ada yang cemerlang dalam akademik, aktif dalam aktiviti kokurikulum, bahkan menjadi murid kesayangan guru. Mereka ini seperti memakai topeng yang menutupi seribu kejahatan. Di sebalik wajah yang kelihatan sempurna, tersembunyi sifat pemangsa yang membina hierarki sosial untuk menindas sesiapa sahaja yang dianggap lemah. Mangsa pula sering membawa luka itu ke alam dewasa.
Pengalaman pahit semasa di sekolah tidak terhapus hanya kerana tamatnya persekolahan. Luka yang tidak dirawat akan terus bernanah. Ada yang mula menunjukkan gejala kebimbangan sosial, kemurungan, rasa rendah diri, dan ketakutan untuk bersuara. Dalam sesetengah kes, individu yang pernah dibuli memilih jalan yang sama, iaitu menjadi pembuli di tempat kerja, seolah-olah cuba mengawal semula naratif yang pernah menjatuhkan mereka suatu ketika dahulu atau perbuatan yang telah membarah dalam diri mereka.
Tindakan berasaskan emosi menunjukkan bahawa buli tidak boleh dianggap sebagai isu remeh. Akar kepada luka sosial ini harus digali dan dirawat. Jika tidak, fenomena ini akan terus berakar dan membentuk masyarakat yang normalisasi penderitaan, serta membisu di hadapan kezaliman yang halus. Apa yang berlaku di sekolah tidak tamat di dewan peperiksaan. Watak-watak yang pernah dibuli atau membuli, membawa kesan itu ke tempat kerja dalam bentuk baharu, tetapi dengan luka yang sama.
Luka Lama Terus Bernanah dalam Dunia Pekerjaan
Apabila seseorang melangkah ke alam pekerjaan, ramai yang menyangka pengalaman pahit zaman persekolahan ditinggalkan. Namun, hakikatnya tidak semudah itu. Walaupun senario di pejabat yang kelihatan profesional, budaya buli masih hidup, cuma dalam rupa yang lebih licik dan terselindung. Ada yang memanggilnya mobbing. Ada yang menyebutnya sebagai buli organisasi. Apa pun istilah yang digunakan, perbuatan seumpama itu tetap nyata dan terkesan. Apa yang lebih meresahkan ialah implikasinya terhadap tekanan emosi dan kesejahteraan pekerja terus menghantui pemangsa.
Di tempat kerja, tindakan membuli sering berlaku dalam bentuk yang sukar untuk dibuktikan. Kuasa dimanipulasi secara halus. Rakan sekerja melempar sindiran dengan senyuman. Ada yang sengaja tidak dijemput ke mesyuarat penting, tidak diberikan maklumat, atau disisihkan daripada peluang yang sewajarnya. Buli kini juga menular ke alam siber dengan mesej bernada sinis dihantar melalui e-mel, perbualan kumpulan di aplikasi pesanan yang sengaja mengecualikan individu tertentu, merakam atau mengambil gambar mesej dan status peribadi untuk dikongsi kepada orang lain tanpa izin, atau penyebaran khabar angin secara senyap di media sosial dalaman. Semuanya berlaku dalam suasana yang tampak tenang, namun menjerut perlahan-lahan dari dalam.
Kajian oleh Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) pada tahun 2023 menunjukkan bahawa lebih 30 peratus pekerja di Malaysia pernah mengalami pengalaman dibuli di tempat kerja. Mungkin bentuknya tidak sejelas tamparan atau herdikan di khalayak, tetapi kesannya tetap meruntuhkan. Rasa tertekan, hilang keyakinan, semangat yang semakin pudar, dan akhirnya keputusan paling pahit terpaksa diambil, iaitu meninggalkan kerjaya demi mencari kembali harga diri yang telah lama terhakis. Adakah ini sebenarnya yang diinginkan oleh para pembuli, melihat mangsa mereka tersingkir dan meninggalkan organisasi?
Yang paling menyedihkan ialah apabila si pembuli itu sendiri pernah menjadi mangsa. Pengalaman dibuli sewaktu muda, yang tidak pernah dipulihkan dengan sokongan dan pemahaman yang sepatutnya, akhirnya bertukar menjadi kitaran pertahanan diri yang berlebihan. Mereka membina dinding dengan cara menyerang. Mereka percaya bahawa dunia ini keras dan jika tidak mendahului, mereka akan dihancurkan. Sehubungan itu, tindakan menindas dilihat sebagai cara untuk mereka bertahan.
Gambaran kes buli di tempat kerja
Titik Peralihan yang Terlepas Pandang
Ramai tidak menyedari bahawa peralihan daripada sekolah ke alam pekerjaan adalah titik kritikal yang sering terlepas daripada perhatian masyarakat dan dasar sosial. Kita terlalu fokus kepada modal insan seperti kejayaan akademik, kemahiran teknikal, dan kebolehpasaran graduan, tetapi kita lupa membentuk modal sosial iaitu manusia yang beradab dan berjiwa empati. Sekolah sepatutnya bukan sekadar tempat belajar fizik dan sejarah, tetapi ruang untuk melatih empati, integriti, dan keberanian moral.
Tanpa pendidikan karakter yang kukuh, sistem pendidikan kita hanya melahirkan individu cemerlang akademik tetapi rapuh dari segi emosi, mudah menjadi mangsa, atau lebih parah, mudah menjadi pemangsa. Di tempat kerja pula, organisasi sering menumpukan perhatian kepada produktiviti, hasil, dan penjimatan kos. Polisi anti-buli kadangkala hanya wujud di atas kertas, tanpa mekanisme pemantauan yang efektif. Dalam budaya kerja yang mengagungkan hasil tanpa empati, buli dibiarkan subur dalam diam.
Gabungan Pendidikan, Polisi dan Budaya sebagai Teras Menangani Buli
Untuk memutuskan rantaian buli yang terus berulang dari satu generasi ke generasi. Pendekatan yang digunakan perlu benar-benar menyeluruh dan mempunyai nilai kemanusiaan. Penyelesaian terhadap masalah ini tidak boleh bersifat sementara, iaitu muncul apabila sesuatu isu tercetus (bersifat reaktif). Usaha menangani buli mesti dimulakan sejak awal, dilaksanakan dengan tekad yang konsisten, dan disepadukan dalam semua lapisan sistem sosial.
Langkah pertama perlu bermula di peringkat sekolah. Sistem pendidikan negara harus memberi penekanan kepada pembinaan kemahiran emosi dan sosial, bukan sekadar mengejar pencapaian akademik. Pendidikan yang membentuk empati, rasa hormat, dan keberanian untuk bersuara perlu disemai sejak kanak-kanak. Program pencegahan buli harus menjadi sebahagian daripada budaya sekolah yang hidup dan berterusan, bukannya bersifat episodik (mengikut episod) atau digerakkan selepas insiden berlaku.
Seterusnya, di tempat kerja, polisi organisasi perlu beranjak daripada hanya mencegah kepada membina suasana yang menghormati antara satu sama lain. Meletakan tahap kegembiraan pekerja sebagai satu bentuk sistem penilaian prestasi organisasi adalah sebuah contoh masih jarang diamalkan di tempat kerja. Persekitaran kerja yang sihat perlu berteraskan nilai hormat, keterangkuman, dan kesejahteraan psikologi. Majikan perlu dilatih untuk mengenal pasti tanda-tanda awal berlakunya buli, bertindak dengan adil dan beretika, serta menyediakan saluran aduan yang benar-benar diyakini. Langkah-langkah ini bukan sahaja membantu mangsa, tetapi juga memulihkan kepercayaan terhadap sistem keadilan dalam sesebuah organisasi.
Selain itu, masyarakat perlu berani menolak naratif lapuk bahawa buli kononnya menjadikan seseorang lebih kuat. Kepercayaan ini hanyalah mitos berbahaya yang membenarkan penderitaan dan menormalisasikan keganasan emosi. Realitinya, ramai yang tidak menjadi kuat selepas dibuli. Sebaliknya, ramai yang membawa luka yang dalam, mereka tercedera emosi, terkilan, dan hancur secara dalaman dan senyap.
Masalah buli bukan sekadar isu disiplin yang memerlukan hukuman. Buli ialah luka sosial yang memerlukan pemulihan menyeluruh, melibatkan pendidikan nilai, dasar yang adil, dan budaya masyarakat yang tidak membenarkan kezaliman. Semua pihak, iaitu pendidik, majikan, pembuat dasar, ibu bapa dan masyarakat perlu berganding bahu memastikan luka ini tidak terus merebak dan mencengkam generasi mendatang.
Kesimpulan
Perlu difahami bahawa buli bukan sekadar isu peribadi yang terpencil. Perbuatan ini mencerminkan kegagalan bersama dalam membentuk sebuah masyarakat yang menjunjung kasih sayang, empati dan maruah insan sebagai teras kehidupan. Selagi kita terus memandang ringan perbuatan membuli, menganggapnya sebagai perkara biasa, sebahagian daripada lumrah kehidupan, atau ujian untuk menguatkan jiwa, selagi itulah kita sedang menyemai budaya kerja yang dilingkari rasa dendam, ketakutan dan kegelisahan.
Kini sudah tiba waktunya untuk kita bersikap lebih jujur dan berani. Buli tidak akan hilang dengan membiarkannya terus hidup dalam diam. Legasi gelap ini mesti ditamatkan, bukan hanya demi melindungi kanak-kanak dan remaja yang sedang membesar, tetapi juga demi kesejahteraan para pekerja dan pemimpin yang akan mengemudi masa depan. Apa yang kita gagal rawat di bangku sekolah, akan kembali menghantui alam pekerjaan. Sekiranya kita terus membisu, luka ini akan terus menjadi warisan yang memusnahkan generasi demi generasi.
Rujukan:
Duong, N. T. H., Vu, G. T. H., & Hoang, C. L. (2025). How and when workplace bullying detriments job performance: roles of affect-based trust and moral disengagement. Management Research Review, 48(4), 554-577. https://doi.org/10.1108/MRR-05-2024-0382
Muñoz‐Fernández, N., Wachs, S., Marcenaro, N., & Del Rey, R. (2025). An exploratory study on the perceived effectiveness of teacher interventions in bullying: Insights from the students' perspective. British Journal of Educational Psychology. 1-17. https://doi.org/10.1111/bjep.12778
Zheng, C., Nauman, S., & Jahangir, N. U. (2025). Workplace bullying and job outcomes: intersectional effects of gender and culture. International Journal of Manpower, 46(4), 715-735. https://doi.org/10.1108/IJM-01-2024-0008
https://berita.rtm.gov.my/laporan-khas/kolum/senarai-berita-kolumnis/senarai-artikel/di-sebalik-senyuman-tersimpan-kisah-hitam-buli-moden
https://malaysiatribune.news/rencana/buli-di-tempat-kerja-isu-tersembunyi-mencengkam-pekerja/
https://my.jobstreet.com/career-advice/article/buli-di-tempat-kerja
https://www.sinarharian.com.my/article/702323/berita/nasional/lebih-6000-kes-buli-di-sekolah---kpm