Peranan Berganda Sekolah: Dari Bilik Darjah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)
31 Mac 2026
Peranan Berganda Sekolah: Dari Bilik Darjah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS)
31 Mac 2026
Ditulis oleh:
Nor Ainsyafikah binti Madiran
Pembantu Penyelidik
Institut Alam Sekitar & Pembangunan (LESTARI),
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Dr. Aziemah binti Zulkifli
Felo/Pensyarah Kanan
Institut Alam Sekitar & Pembangunan (LESTARI),
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Gs. Dr. Aida Soraya binti Shamsuddin
Felo/Pensyarah Kanan
Institut Alam Sekitar & Pembangunan (LESTARI),
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Encik Muhammad Amirulamri bin Mohd Akhairi
Pegawai Penyelidik
Institut Alam Sekitar & Pembangunan (LESTARI),
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Prof. ChM. Dr. Goh Choo Ta
Pengarah
Institut Alam Sekitar & Pembangunan (LESTARI),
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Malaysia sering berdepan risiko bencana alam, khususnya banjir yang berlaku secara berulang semasa musim Monsun Timur Laut (MTL). Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada kehidupan masyarakat, malah turut mempengaruhi fungsi institusi awam, termasuk sekolah. Dalam konteks pengurusan bencana, sekolah memainkan peranan penting apabila bangunan ini digunakan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS), sekali gus mencerminkan perubahan fungsi daripada ruang pembelajaran kepada ruang perlindungan komuniti semasa kecemasan. Perubahan peranan ini menggambarkan realiti sebenar yang dihadapi oleh sekolah di kawasan terjejas banjir serta implikasinya terhadap kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Dalam situasi bencana, bangunan awam seperti sekolah, masjid dan dewan komuniti sering digunakan sebagai PPS. Sekolah menjadi pilihan kerana mempunyai kemudahan asas serta lokasi yang mudah diakses oleh komuniti setempat. Melalui peranannya sebagai PPS, sekolah membantu menyediakan perlindungan sementara, bantuan asas serta menjadi pusat koordinasi bantuan kepada mangsa banjir.
Namun begitu, penggunaan sekolah sebagai PPS turut menimbulkan beberapa cabaran, terutamanya gangguan terhadap proses PdP. Sesi persekolahan sering terpaksa ditangguhkan kerana bilik darjah dan kemudahan sekolah digunakan untuk tujuan penempatan dan kegunaan mangsa banjir, selain memerlukan kerja pembersihan dan penyelenggaraan sebelum PdP dapat disambung semula (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2022).
Selain itu, pengurusan logistik PPS memerlukan penyelarasan yang baik antara pentadbir sekolah, agensi kerajaan dan sukarelawan. Dalam sesetengah keadaan, kemudahan sekolah seperti meja, kerusi dan tandas turut mengalami kerosakan akibat penggunaan yang tinggi semasa PPS beroperasi. Situasi ini secara tidak langsung berpotensi memberi tekanan tambahan kepada pihak pentadbir sekolah dan guru yang turut terlibat membantu menguruskan mangsa banjir. Menurut garis panduan Pengurusan Bencana Banjir Institusi Pendidikan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (2025), sekolah yang dijadikan PPS perlu membuat persediaan awal, bekerjasama dalam pengoperasian semasa banjir serta memastikan keselamatan premis dan kelangsungan PdP. Selepas banjir surut, sekolah perlu membersihkan premis, mengenal pasti kerosakan dan melaporkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah yang menyelaras bantuan serta pemantauan berkaitan penggunaan sekolah sebagai PPS.
Situasi ini menjadi semakin signifikan memandangkan skala impak banjir di Malaysia yang semakin besar dari semasa ke semasa. Berdasarkan laporan Survei Khas Impak Banjir Monsun Timur Laut 2024/2025 (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2025), jumlah kerugian akibat banjir Monsun Timur Laut (MTL) 2024/2025 di Malaysia dianggarkan sekitar RM1.0 bilion, dengan kerugian terbesar melibatkan aset awam dan infrastruktur.
Kelantan mencatatkan kerugian tertinggi (RM271.7 juta), diikuti Terengganu (RM193.0 juta) dan Kedah (RM136.7 juta), menunjukkan negeri di Pantai Timur dan utara Semenanjung antara yang paling terjejas. Situasi ini memberi implikasi langsung kepada sektor pendidikan kerana banyak sekolah di kawasan terjejas bukan sahaja mengalami kerosakan fizikal, malah sering digunakan sebagai PPS bagi menempatkan mangsa banjir. Keadaan ini menggambarkan peranan berganda sekolah dalam situasi bencana, iaitu sebagai institusi pendidikan dan pada masa yang sama sebagai pusat perlindungan komuniti, yang seterusnya memberi kesan kepada kelangsungan proses pengajaran dan pembelajaran.
Secara keseluruhannya, realiti “bilik darjah ke PPS” menggambarkan peranan strategik sekolah dalam pengurusan bencana di Malaysia (Rajah 1). Sekolah bukan sahaja berfungsi sebagai institusi pendidikan, malah turut menjadi kemudahan kritikal dalam menyokong operasi bantuan dan perlindungan komuniti semasa musim banjir. Namun demikian, peranan berganda ini memerlukan sokongan dasar, koordinasi antara agensi, serta pengurusan yang lebih tersusun bagi mengimbangi keperluan pendidikan dan keperluan kemanusiaan semasa bencana.
Sehubungan itu, perancangan yang lebih sistematik perlu dilaksanakan, termasuk penambahbaikan garis panduan penggunaan sekolah sebagai PPS, penyediaan pelan kontingensi di peringkat sekolah, penyelenggaraan dan penilaian kerosakan secara berkala, serta pengukuhan mekanisme pemulihan pascabencana. Penglibatan komuniti setempat, agensi berkaitan dan pihak berkepentingan lain juga penting bagi memastikan proses pengoperasian PPS berjalan lancar tanpa menjejaskan kelangsungan PdP. Pendekatan yang bersepadu ini bukan sahaja dapat meminimumkan gangguan terhadap pendidikan, malah turut memperkukuh daya tahan institusi sekolah dalam menghadapi bencana pada masa hadapan.
Penulis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atas sokongan pembiayaan bagi penyelidikan bertajuk “Penilaian Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Mangsa Banjir di bawah Dasar dan Mekanisme Pengurusan BencanaNegara” melalui Geran Penyelidikan Kajian Banjir Monsun 2024 (ZF-2025-009/3).
Rajah 1: Sekolah berperanan sebagai pusat pembelajaran dan perlindungan komuniti semasa bencana, memperlihatkan keupayaan adaptasi dalam membantu masyarakat, namun turut berdepan cabaran terhadap kelangsungan PdP dan pengurusan sumber
Rujukan:
INFO KPM: Panduan pengurusan bencana banjir institusi pendidikan. (n.d.). https://www.moe.gov.my/info-kpm-panduan-pengurusan-bencana-banjir-institusi-pendidikan
SURVEI KHAS IMPAK BANJIR MONSUN TIMUR LAUT 2024/2025. (n.d.). DOSM/BPP/3.2025/SERIES 37. https://www.dosm.gov.my/uploads/content-downloads/file_20250620170107.pdf
M. K. Negara,Laporan Kesiapsagaan Bencana Semasa Mosun Timur Laut Malaysia, 2025
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2022). Garis Panduan Pengurusan Sekolah Sebagai Pusat Pemindahan Sementara. Putrajaya: KPM.
Kementerian Pendidikan Malaysia. (2025). Garis Panduan Pengurusan Sekolah Sebagai Pusat Pemindahan Sementara. Putrajaya: KPM.
NADMA. (2017). Arahan Majlis Keselamatan Negara No. 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara. Putrajaya: Agensi Pengurusan Bencana Negara.
UNICEF. (2012). Child-Centred Disaster Risk Reduction: Framework and Guidelines. New York: UNICEF.