Donat yang Anda Beli Mungkin Sudah Dipicit Orang Lain
31 Mac 2026
Donat yang Anda Beli Mungkin Sudah Dipicit Orang Lain
31 Mac 2026
Ditulis oleh:
Ts. Dr. Khairul Hafezad Abdullah
Pengerusi Program Pascasiswazah
Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia
Suatu petang ketika cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri, saya melangkah santai di sebuah pasar raya yang ketika itu agak sesak dengan kehadiran pengunjung. Suasana perayaan jelas terasa, dengan keluarga dan anak-anak kecil memenuhi ruang membeli-belah. Saya berhenti seketika di sebuah premis bakeri dalam pasar raya tersebut. Raknya tersusun kemas. Donat berlapis gula, roti bun yang gebu, kroisan yang keemasan semuanya kelihatan segar dan menyelerakan. Di hadapan rak tersebut, beberapa pelanggan memilih makanan dengan penuh teliti.
Namun, satu adegan kecil benar-benar mencuri perhatian. Seorang pelanggan menggunakan penyepit yang telah disediakan, memilih donat dengan cermat sebelum meletakkannya ke dalam dulang. Dalam masa yang sama, tidak jauh dari situ, seorang lagi pelanggan bertindak sebaliknya. Sebelum membuat pilihan, dia memicit beberapa biji donat, seakan-akan ingin memastikan tahap kelembutannya terlebih dahulu.
Adegan ini mungkin kelihatan biasa. Malah, bagi sesetengah orang, ia dianggap normal. Tetapi jika direnung lebih dalam, di sinilah bermulanya satu persoalan penting tentang kebersihan makanan dan tanggungjawab kita sebagai pengguna. Dalam wacana keselamatan makanan, kita sering memberi tumpuan kepada proses penyediaan makanan. Kita bercakap tentang dapur yang bersih, pekerja yang memakai sarung tangan dan pematuhan kepada piawaian kesihatan. Namun, satu peringkat yang sering terlepas daripada perhatian ialah interaksi pengguna dengan makanan sebelum pembelian. Bahagian paparan terbuka seperti rak roti sebenarnya merupakan titik kritikal dalam rantaian keselamatan makanan. Walaupun makanan tersebut telah disediakan dengan selamat, risiko pencemaran boleh berlaku pada saat ia dipamerkan. Lebih tepat lagi, risiko ini datang daripada kita sendiri sebagai pengguna.
Tangan manusia adalah medium yang sangat efisien dalam memindahkan bakteria. Dalam kehidupan seharian, tangan kita menyentuh pelbagai permukaan seperti troli pasar raya, telefon bimbit, wang kertas dan pemegang pintu. Keadaan ini menjadi lebih membimbangkan sekiranya seseorang baru sahaja keluar dari tandas tanpa membersihkan tangan dengan sempurna. Tidakkah hal ini menimbulkan rasa kurang selesa? Setiap sentuhan tersebut berpotensi memindahkan bakteria ke tangan kita, walaupun proses ini berlaku tanpa kita sedari. Apabila tangan tersebut digunakan untuk memicit atau menyentuh makanan, maka berlakulah apa yang dikenali sebagai pencemaran silang. Dalam kebanyakan kes, mungkin tiada kesan segera yang dapat dilihat. Namun, individu seperti kanak-kanak, warga emas atau mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah, risiko ini tidak boleh dipandang ringan.
Persoalannya, mengapa kita masih melakukannya?
Dari sudut psikologi, tindakan memicit makanan ini sebenarnya berkait rapat dengan keinginan untuk mendapatkan kepastian. Kita ingin tahu sama ada donat itu lembut atau keras, segar atau sudah lama. Penglihatan sahaja tidak mencukupi, lalu kita bergantung kepada sentuhan sebagai alat penilaian. Dalam istilah yang lebih formal, ini boleh dikaitkan dengan konsep tactile evaluation dalam tingkah laku pengguna. Sentuhan memberikan maklumat segera yang dianggap lebih meyakinkan berbanding pemerhatian visual semata mata. Tanpa kita sedari, kita sedang menjalankan “ujian kualiti” secara spontan. Namun, di sinilah timbul satu dilema etika. Perbuatan yang memberi kepastian kepada kita, mungkin mencipta risiko kepada orang lain. Donat yang kita picit mungkin akan dibeli oleh pelanggan seterusnya, tanpa mereka mengetahui bahawa ia telah disentuh sebelumnya.
Lebih menarik, fenomena ini juga mencerminkan kecenderungan untuk memindahkan tanggungjawab kebersihan kepada pihak lain. Dalam konteks premis bakeri yang kita bincangkan, apabila sistem dan kemudahan telah disediakan, sebahagian pengguna mungkin beranggapan bahawa aspek keselamatan telah pun dijamin. Tanpa disedari, hal ini mengurangkan kepekaan terhadap peranan diri kita sendiri dalam mencegah pencemaran. Kita mungkin berfikir, “Semua orang buat, jadi tidak mengapalah”. Atau, “Pihak kedai sudah sediakan sistem, jadi bukan salah saya sepenuhnya”. Pemikiran seperti ini, walaupun tidak diucapkan, mempengaruhi tingkah laku kita secara halus.
Pada dasarnya, kebanyakan premis bakeri telah menyediakan langkah kawalan yang mencukupi. Penyepit, sarung tangan plastik dan bekas tertutup bukan sekadar hiasan. Ia adalah sebahagian daripada sistem kawalan risiko yang direka untuk mengurangkan pencemaran. Namun, seperti dalam banyak aspek keselamatan, sistem sahaja masih belum mencukupi tanpa pematuhan. Dalam bidang keselamatan pekerjaan, kita sering menekankan bahawa peralatan keselamatan tidak bermakna jika tidak digunakan dengan betul. Prinsip yang sama terpakai dalam konteks ini. Di sinilah pentingnya membina budaya kebersihan yang lebih matang dalam kalangan masyarakat. Kebersihan bukan sekadar amalan individu, tetapi norma sosial yang perlu dipupuk secara kolektif. Apabila majoriti pengguna memilih untuk menggunakan penyepit, tingkah laku ini akan menjadi standard yang tidak dipersoalkan. Sebaliknya, jika amalan memicit makanan terus berlaku tanpa teguran atau kesedaran, ia berpotensi menjadi norma yang diterima. Lama kelamaan, garis antara tingkah laku yang betul dan yang berisiko menjadi semakin kabur.
Dalam konteks pendidikan dan kesedaran awam, isu ini sebenarnya membuka ruang yang sangat luas. Ia menunjukkan bahawa keselamatan makanan bukan hanya tanggungjawab industri atau pihak berkuasa, tetapi juga tanggungjawab pengguna. Mungkin kita tidak memerlukan kempen besar-besaran untuk mengubah tingkah laku ini. Kadangkala, peringatan yang ringkas tetapi konsisten sudah memadai. Paparan visual yang jelas, mesej yang mudah difahami dan sedikit dorongan sosial boleh membawa perubahan yang signifikan.
Dari sudut pandangan penulis, premis bakeri boleh memainkan peranan yang lebih proaktif dengan meletakkan poster keselamatan makanan secara strategik di setiap rak roti, kek dan donat. Malah, mungkin terdapat sesetengah premis bakeri yang telah pun mengamalkan pendekatan ini, namun pelaksanaannya boleh diperkukuh dan diperluas agar lebih konsisten serta mudah dilihat oleh pelanggan. Poster ini bukan sekadar hiasan, malah berfungsi sebagai nudge behaviour yang halus namun berkesan. Apabila pelanggan berhenti seketika di hadapan rak dan melihat mesej seperti “Sila gunakan penyepit. Elakkan menyentuh makanan secara langsung demi kebersihan bersama”, ia mewujudkan kesedaran segera. Dalam banyak keadaan, peringatan visual seperti ini mampu membuatkan seseorang berfikir dua tiga kali sebelum mereka bertindak.
Lebih menarik, pendekatan ini selari dengan prinsip psikologi tingkah laku yang menunjukkan bahawa isyarat visual di titik keputusan (point of decision) sangat berpengaruh dalam membentuk tindakan individu. Apabila mesej dipaparkan tepat pada saat pelanggan ingin memilih makanan, kebarangkalian untuk mereka mematuhi amalan yang betul menjadi lebih tinggi. Dengan kata lain, sebelum tangan mencapai donat, mata terlebih dahulu membaca peringatan, dan di situlah bermulanya perubahan kecil yang membawa kesan besar. Namun, perkara yang lebih penting ialah perubahan perlu bermula daripada kesedaran dalaman. Kita perlu melihat diri kita bukan sekadar sebagai pengguna, malah sebagai sebahagian daripada ekosistem keselamatan makanan. Setiap tindakan kecil kita mempunyai implikasi kepada orang lain.
Dalam konteks ini, kita wajar bertanya kepada diri sendiri, apakah yang akan berlaku sekiranya makanan yang kita picit itu akhirnya dibeli oleh orang lain, dan tanpa disedari mereka mengalami masalah kesihatan atau keracunan makanan? Tidakkah kesan ini bersifat berantai, di mana satu tindakan kecil boleh mencetuskan rangkaian akibat yang tidak dijangka kepada orang lain? Sesuatu yang bermula sebagai tindakan yang tampak remeh sebenarnya boleh berkembang menjadi risiko kesihatan yang signifikan, melibatkan individu lain yang tidak pernah pun membuat pilihan tersebut. Di sinilah terletaknya dimensi etika yang sering terlepas pandang. Tindakan kita di ruang awam bukan sahaja mencerminkan sikap peribadi, malah turut mempengaruhi kesejahteraan komuniti secara keseluruhan. Maka, kesedaran ini bukan sekadar soal kebersihan, tetapi soal tanggungjawab bersama.
Kembali kepada adegan di hadapan rak pastry tadi, persoalannya kini menjadi lebih jelas. Apabila kita berdiri di situ, memilih donat yang paling menarik, apakah peranan kita sebenarnya? Adakah kita sekadar pelanggan yang mencari pilihan terbaik, atau kita juga penjaga kepada kebersihan makanan yang akan dikongsi bersama? Mungkin jawapannya tidak memerlukan teori yang kompleks. Kadangkala, ia cukup dengan satu keputusan yang mudah. Gunakan penyepit ketika mengambil makanan. Elakkan menyentuh makanan secara langsung. Dan yang paling penting, kita perlu sedar bahawa tindakan kecil kita membawa makna yang lebih besar daripada yang kita sangka. Hal ini kerana dalam dunia keselamatan makanan, risiko besar sering bermula daripada perbuatan yang kelihatan kecil.