Budaya Keselamatan di Tempat Kerja Bukan Sekadar Kempen
10 April 2026
Budaya Keselamatan di Tempat Kerja Bukan Sekadar Kempen
10 April 2026
Ditulis oleh:
Ts. Dr. Khairul Hafezad Abdullah
Pengerusi Program Pascasiswazah
Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia
Kebanyakan organisasi pada hari ini sering menyebut keselamatan sebagai keutamaan. Namun, apabila kita meneliti realiti di lapangan, timbul satu persoalan iaitu, adakah keselamatan benar-benar dihayati atau sekadar dilafazkan? Perbezaan antara kedua-duanya sangat halus, tetapi kesannya amat besar. Di sinilah pentingnya promosi keselamatan di tempat kerja, bukan sebagai aktiviti bermusim, tetapi sebagai usaha berterusan untuk membentuk cara berfikir dan bertindak dalam kalangan pekerja, sekali gus menyemai budaya keselamatan yang baik.
Promosi keselamatan tidak harus dilihat sebagai sekadar penyebaran maklumat atau pematuhan kepada peraturan. Perkara ini sebenarnya merupakan satu proses sosial yang kompleks melibatkan pembinaan kesedaran, pembentukan sikap dan pengukuhan tingkah laku selamat. Dalam erti kata lain, ia berkait rapat dengan cara pekerja memahami risiko serta membuat keputusan dalam situasi kerja seharian. Jika pendekatan yang digunakan terlalu mekanikal atau terlalu berfokus kepada prosedur semata-mata, maka mesej keselamatan mungkin sampai, namun tidak semestinya dihayati.
Kita kerap melihat poster keselamatan yang digantung di dinding, lengkap dengan slogan seperti “Utamakan Keselamatan” atau ungkapan “Safety First” dalam bahasa Inggeris. Namun, adakah slogan ini benar-benar memberi kesan kepada pekerja? Atau ia hanya menjadi sebahagian daripada latar belakang visual yang akhirnya diabaikan? Di sinilah cabaran sebenar dalam promosi keselamatan. Mesej yang sama, jika disampaikan tanpa konteks atau tanpa penglibatan emosi nescaya akan kehilangan makna. Sebaliknya, apabila mesej itu dikaitkan dengan pengalaman sebenar, kisah kemalangan atau implikasi terhadap kehidupan pekerja, barulah ia mula memberi kesan yang mendalam.
Menarik untuk diperhatikan bahawa dapatan kajian dalam bidang keselamatan pekerjaan menunjukkan tingkah laku selamat tidak hanya ditentukan oleh tahap pengetahuan semata-mata. Dalam banyak keadaan, pekerja sebenarnya sedar akan apa yang sepatutnya dilakukan, namun tetap memilih untuk bertindak sebaliknya. Fenomena ini sering dihuraikan dalam literatur tingkah laku manusia sebagai knowledge-action gap, iaitu jurang antara mengetahui dan melaksanakan. Seseorang mungkin memahami bahawa sesuatu tindakan itu berisiko, namun tetap mengabaikannya.
Mengapakah keadaan sedemikian terjadi? Penjelasan yang lazim ialah berakar pada faktor psikologi dan sosial. Umpamanya, tekanan untuk mencapai sasaran kerja, budaya organisasi yang cenderung mengutamakan produktiviti berbanding keselamatan serta pengaruh norma rakan sekerja. Perihal sebegini berperanan membentuk keputusan harian pekerja. Dalam konteks ini, tindakan tidak lagi didorong sepenuhnya oleh rasionaliti tetapi tekanan persekitaran dan kebiasaan. Sehubungan itu, promosi keselamatan perlu melangkaui pendekatan konvensional yang berasaskan arahan semata-mata. Ia menuntut pemahaman yang lebih halus terhadap konteks sebenar di mana tingkah laku berlaku, termasuk dinamika sosial, tekanan kerja dan persepsi risiko dalam kalangan pekerja. Hanya dengan pendekatan sedemikian, usaha promosi keselamatan mampu menghasilkan perubahan yang lebih bermakna dan berterusan.
Dalam hal ini, peranan komunikasi menjadi sangat penting. Komunikasi keselamatan yang berkesan bukan sekadar menyampaikan maklumat, tetapi membina dialog. Pekerja perlu diberi ruang untuk bertanya, berkongsi pengalaman dan menyuarakan kebimbangan. Apabila komunikasi bersifat dua hala, ia bukan sahaja meningkatkan kefahaman, tetapi juga membina kepercayaan. Justeru, kepercayaan inilah yang menjadi asas kepada pembentukan budaya keselamatan yang kukuh.
Selain itu, pendekatan latihan juga perlu diteliti semula. Latihan keselamatan yang terlalu teoritikal atau berulang-ulang tanpa variasi sering kali gagal menarik minat pekerja. Sebaliknya, latihan yang melibatkan simulasi, perbincangan kes atau aktiviti berasaskan pengalaman lebih berkesan dalam membentuk ingatan dan kefahaman. Apabila pekerja dapat mendalami situasi risiko walaupun dalam bentuk simulasi, mereka lebih cenderung untuk mengingati dan mengaplikasikan pengetahuan tersebut.
Satu lagi aspek yang tidak wajar diketepikan ialah penglibatan pekerja. Dalam banyak organisasi, promosi keselamatan masih dilaksanakan secara “top-down”. Apakah yang dimaksudkan dengan pendekatan ini? Secara asasnya, arahan ditentukan oleh pihak pengurusan, manakala pekerja hanya bertindak sebagai pelaksana yang perlu mematuhinya. Pendekatan ini mungkin berkesan dalam jangka pendek, tetapi tidak semestinya mampu membina komitmen jangka panjang. Sebaliknya, apabila pekerja dilibatkan secara aktif, misalnya melalui program pemerhatian keselamatan, perbincangan kumpulan atau cadangan penambahbaikan, mereka akan merasakan suara mereka dihargai. Perasaan sedemikian sangat penting dalam memastikan amalan keselamatan menjadi sebahagian daripada rutin harian.
Rajah menunjukkan sesi taklimat keselamatan di tempat kerja bagi meningkatkan kesedaran dan amalan kerja selamat.
Selain itu, kita tidak boleh menafikan peranan pemimpin. Pemimpin dalam organisasi, sama ada di peringkat pengurusan tertinggi atau penyelia barisan hadapan, mempunyai pengaruh yang besar terhadap tingkah laku pekerja. Jika pemimpin sendiri tidak menunjukkan komitmen terhadap keselamatan, maka sukar untuk mengharapkan pekerja bertindak sebaliknya. Namun demikian, apabila pemimpin secara tekal menegaskan kepentingan keselamatan, mematuhi setiap prosedur yang ditetapkan serta mengambil tindakan terhadap sebarang pelanggaran, mesej yang disampaikan menjadi lebih jelas dan meyakinkan. Pendekatan ini selari dengan prinsip yang telah lama diungkapkan, iaitu “kepimpinan melalui teladan”.
Walau bagaimanapun, realiti pelaksanaan promosi keselamatan tidaklah semudah yang sering dibayangkan. Terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi, antaranya sikap sambil lewa dalam kalangan pekerja, kekangan masa dan sumber serta persepsi bahawa amalan keselamatan boleh mengganggu kelancaran kerja. Dalam keadaan sebegini, pendekatan yang terlalu bersifat paksaan atau keras tidak semestinya berkesan. Sebaliknya, pendekatan yang lebih halus dan berstrategi dilihat lebih sesuai, seperti pemberian ganjaran terhadap tingkah laku selamat atau penggunaan teknik psikologi yang mempengaruhi keputusan secara tidak langsung. Antaranya ialah konsep Nudge Theory yang diperkenalkan oleh Richard Thaler dan Cass Sunstein. Konsep ini merujuk kepada pendekatan yang mempengaruhi tingkah laku manusia tanpa paksaan, bukan dengan menyekat pilihan atau mengenakan hukuman, tetapi dengan membimbing individu ke arah keputusan yang lebih baik melalui cara pilihan tersebut disusun dan ditampilkan.
Perkembangan teknologi turut membuka ruang baharu dalam usaha mempromosikan keselamatan. Sebagai contoh, penggunaan aplikasi mudah alih bagi pelaporan bahaya, sistem amaran awal serta platform digital untuk tujuan latihan dan komunikasi mampu meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat. Malah, penerapan kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) kini dilihat memberi impak yang semakin signifikan dalam memperkukuh amalan keselamatan di tempat kerja. Namun begitu, kita perlu menilai dengan bijaksana bahawa teknologi hanyalah alat sokongan. Tanpa perubahan sikap dan pembudayaan keselamatan dalam kalangan warga kerja, keberkesanannya tetap mempunyai batas.
Akhirnya, kita perlu kembali kepada persoalan asas iaitu, apakah matlamat sebenar promosi keselamatan? Adakah sekadar untuk mengurangkan statistik kemalangan atau untuk memastikan setiap pekerja pulang ke rumah dengan selamat setiap hari? Jawapan kepada persoalan ini akan menentukan pendekatan yang bakal diambil oleh organisasi. Promosi keselamatan yang berkesan bukan sekadar bergantung kepada kempen yang menarik, tetapi usaha membina kesedaran yang berterusan dalam kalangan pekerja. Aspek ini memerlukan kesabaran, ketekalan dan komitmen daripada semua pihak. Mungkin perubahan tidak berlaku secara tiba-tiba atau serta-merta, tetapi dengan usaha yang berterusan, budaya keselamatan yang diimpikan bukanlah sesuatu yang mustahil.
Kita perlu sedar bahawa dalam konteks keselamatan pekerjaan setiap individu mempunyai peranan. Keselamatan bukan hanya tanggungjawab pegawai keselamatan atau pihak pengurusan, tetapi tanggungjawab bersama. Perubahan sebenar sering bermula daripada tindakan yang kecil seperti memilih untuk memakai alat pelindung diri (PPE), melaporkan bahaya atau menegur rakan sekerja dengan cara berhemah. Justeru, promosi keselamatan perlu dilihat sebagai satu perjalanan, bukan destinasi. Ia berkembang seiring dengan perubahan organisasi, teknologi dan cara kita memahami risiko. Dalam konteks ini, perkara yang paling utama ialah memastikan keselamatan perlu senantiasa diutamakan, bukan sekadar ungkapan tetapi benar-benar diterjemahkan sebagai amalan yang hidup dalam setiap tindakan kita semasa bekerja.