Pendidikan Pemangkin Kelestarian Ekonomi Hijau
15 April 2026
Pendidikan Pemangkin Kelestarian Ekonomi Hijau
15 April 2026
Ditulis oleh:
Dr. Nur Fadzlunnisaa Binti Wakimin
Pensyarah
Fakulti Perhutanan Tropika,
Universiti Malaysia Sabah
Dr. Mohamad Zuber Abd Majid
Pensyarah
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Perkembangan globalisasi pada masa kini telah membawa kepada pelbagai cabaran baharu yang semakin kompleks, termasuk perubahan iklim, ketidaksamaan ekonomi dan pembaziran sumber asli. Fenomena seperti peningkatan suhu global, kejadian cuaca ekstrem yang semakin kerap, ketidaksamaan agihan pendapatan serta eksploitasi ekosistem secara berlebihan menunjukkan bahawa model pertumbuhan ekonomi tradisional semakin tidak mampan. Pergantungan yang tinggi terhadap sumber tenaga fosil bukan sahaja memberi tekanan besar kepada alam sekitar, malah turut menjejaskan kesejahteraan sosial dan kualiti hidup masyarakat (Ahamd et al., 2025). Keadaan ini memberi isyarat jelas bahawa pendekatan pembangunan ekonomi yang hanya menekankan pertumbuhan tanpa mengambil kira kesan terhadap alam sekitar dan masyarakat tidak lagi relevan untuk jangka masa panjang. Sekiranya pola pembangunan yang sama diteruskan, generasi akan datang berisiko mewarisi persekitaran yang semakin terjejas serta sumber alam yang semakin terhad.
Rentetan langsung cabaran tersebut, konsep ekonomi hijau muncul sebagai pendekatan pembangunan alternatif yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, perlindungan alam sekitar dan kesejahteraan sosial (Masia dan Mapangga, 2025). Berbeza dengan model pembangunan konvensional, ekonomi hijau menggalakkan pertumbuhan yang meningkatkan kualiti hidup masyarakat, memelihara serta memulihkan sistem ekologi, di samping memastikan pengagihan manfaat ekonomi yang lebih adil dan saksama. Hal ini menunjukkan bahawa daya tahan ekonomi jangka panjang hanya dapat dicapai apabila pembangunan ekonomi disokong oleh kelestarian ekologi dan keadilan sosial. Peralihan kepada ekonomi hijau bukan sekadar melibatkan pembaharuan dasar atau inovasi teknologi semata-mata. Ianya memerlukan perubahan yang lebih mendasar dari segi nilai, sikap dan tingkah laku masyarakat terhadap cara mereka berinteraksi dengan alam sekitar dan sistem ekonomi. Justeru, pemahaman terhadap terma ekonomi hijau perlu difahami terlebih dahulu.
“Ekonomi hijau merujuk kepada model ekonomi yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan manusia dan keadilan sosial, sambil mengurangkan risiko alam sekitar serta kemerosotan ekologi secara berpanjangan. Model ini menekankan penggunaan sumber secara cekap, pembangunan rendah karbon serta aktiviti ekonomi yang menyokong pemeliharaan alam sekitar dengan berteraskan tiga prinsip utama iaitu kemampanan, kecekapan sumber dan ekuiti sosial.”
Dalam konteks ini, pendidikan memainkan peranan yang amat penting sebagai pemangkin kepada perubahan jangka panjang. Melalui pendidikan, masyarakat didedahkan kepada isu-isu kelestarian serta dilengkapkan dengan pengetahuan, kemahiran dan kesedaran untuk membuat keputusan yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar. Pendidikan juga berperanan membentuk generasi yang peka terhadap kepentingan pemeliharaan alam sekitar, bertanggungjawab secara sosial serta mampu menjadi agen perubahan dalam usaha mentransformasikan ekonomi ke arah model ekonomi hijau yang lebih lestari (Judijanto et al., 2025). Pembudayaan ekonomi hijau dalam konteks pendidikan diilustasikan dalam Rajah 1.
Rajah 1: Kitaran pendidikan ekonomi hijau
Pembudayaan ekonomi hijau dalam konteks pendidikan dapat dijelaskan melalui kitaran seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1. Kitaran ini bermula dengan peranan pendidikan dalam memberikan pengetahuan dan kesedaran kepada murid atau pelajar mengenai kepentingan kelestarian alam sekitar dan pembangunan mampan. Pengetahuan yang diperoleh seterusnya membentuk kesedaran dan nilai dalam diri individu seperti sikap bertanggungjawab terhadap alam sekitar serta penggunaan sumber secara berhemah. Apabila kesedaran dan nilai ini berkembang, ia akan mendorong perubahan tingkah laku yang lebih mesra alam dalam kehidupan seharian. Perubahan tingkah laku tersebut kemudiannya diterjemahkan melalui pelbagai amalan lestari seperti pengurangan pembaziran sumber, penggunaan tenaga secara cekap dan sokongan terhadap aktiviti yang memelihara alam sekitar. Apabila amalan lestari ini diamalkan secara berterusan dalam masyarakat, ia akhirnya menyumbang kepada pembangunan ekonomi hijau yang menekankan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam sekitar.
Secara keseluruhannya, peralihan kepada ekonomi hijau merupakan satu keperluan mendesak dalam menghadapi cabaran pembangunan global pada masa kini. Model pembangunan yang lebih seimbang antara pertumbuhan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan sosial perlu diberi keutamaan bagi memastikan kelangsungan pembangunan untuk generasi masa hadapan, (Hasid et al., 2022). Dalam usaha mencapai matlamat tersebut, pendidikan memainkan peranan yang sangat penting sebagai pemangkin kepada perubahan jangka panjang. Melalui pendidikan, masyarakat bukan sahaja dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai kepentingan kelestarian, malah mampu membentuk sikap, nilai serta kemahiran yang diperlukan untuk menyokong pembangunan ekonomi hijau. Justeru, usaha memperkukuh integrasi elemen kelestarian dalam sistem pendidikan perlu terus diperkasakan di semua peringkat. Dengan melahirkan generasi yang berpengetahuan, berkemahiran dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar, pendidikan berpotensi menjadi asas penting dalam membina masa depan ekonomi yang lebih mampan, inklusif dan sejahtera.
Rujukan:
Ahmad, M. I., Senusi, N. W. M., Shakir, M. A., Hps, A. K., & Hanapi, M. S. (2025). Teknologi Alam Sekitar Dan Tenaga Berteraskan Nilai: Satu Naratif Dari Dimensi Saintifik, Pendidikan Dan Etika Islam. Jurnal'ulwan, 10(2), 251-276.
Hasid, H. Z., Se, S. U., Akhmad Noor, S. E., Se, M., & Kurniawan, E. (2022). Ekonomi Sumber Daya Alam Dalam Lensa Pembangunan Ekonomi. Cipta Media Nusantara.
Judijanto, L., Masri, M., Sari, F. P., Lestari, N., Islami, V., Siskawati, E., & Eka, A. P. B. (2025). Green Economy. Pt. Green Pustaka Indonesia.
Masia, I., & Mopangga, H. (2025). Ekonomi Hijau Tantangan Dan Peluang Pengelolaan Sumberdaya Alam Berkelanjutan. Cv. Cahaya Arsh Publisher & Printing.