Ke Arah Pengurusan Keselamatan Tempat Kerja Bersepadu berasaskan Analogi Sistem Biologi
27 April 2026
Ke Arah Pengurusan Keselamatan Tempat Kerja Bersepadu berasaskan Analogi Sistem Biologi
27 April 2026
Ditulis oleh:
Ts. Dr. Khairul Hafezad Abdullah
Pengerusi Program Pascasiswazah,
Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia
Dewasa ini, aspek keselamatan di tempat kerja sering difahami sebagai suatu keperluan pematuhan. Perkara ini dapat diperhatikan melalui kewujudan pelbagai mekanisme formal seperti polisi, prosedur operasi standard, latihan keselamatan berkala serta audit keselamatan dalam organisasi. Namun demikian, persoalan yang lebih kritikal perlu diketengahkan, iaitu sejauh manakah keperluan tersebut berupaya diterjemahkan dalam amalan harian? Adakah ia dihayati secara konsisten oleh pekerja atau sekadar kekal sebagai dokumen formal yang tidak terserlah dalam pelaksanaannya?
Persoalan ini amat signifikan kerana jurang antara perkara yang didokumenkan dengan perkara yang diamalkan sering menjadi punca berulangnya insiden kemalangan di tempat kerja. Dalam konteks ini, situasi tersebut mencerminkan kewujudan jurang pengetahuan-tindakan (knowledge-action gap), iaitu keadaan pekerja mengetahui prosedur yang sepatutnya diikuti, namun gagal menterjemahkan pengetahuan tersebut kepada tindakan sebenar.
Untuk memahami fenomena ini dengan lebih mendalam, ia boleh dijelaskan secara konseptual melalui analogi struktur biologi yang merangkumi sel, tisu, organ dan sistem. Tubuh manusia bukan sahaja berfungsi dengan bergantung kepada satu komponen, sebaliknya terbina melalui interaksi berterusan antara semua lapisan tersebut. Dengan cara yang sama, keselamatan di tempat kerja tidak boleh difahami secara terpisah antara individu, kumpulan dan organisasi. Analogi ini membuka ruang untuk kita melihat keselamatan sebagai satu proses yang sentiasa berkembang dan dinamik, bukan sekadar mekanisme yang statik. Justeru, pendekatan terhadap keselamatan perlu beranjak daripada sekadar pematuhan kepada pemahaman yang lebih menyeluruh, bersepadu dan bermakna dalam konteks amalan sebenar.
Rajah 1 memperlihatkan situasi sebenar di tempat kerja melibatkan seorang penyelia menyampaikan taklimat keselamatan kepada sekumpulan pekerja. Walaupun terdapat poster amaran seperti “Noise Hazard” dan “Hygiene First”, interaksi secara bersemuka tetap menjadi medium utama dalam membentuk kefahaman pekerja. Situasi ini mencerminkan bagaimana keselamatan tidak hanya bergantung kepada maklumat bertulis, tetapi melibatkan elemen komunikasi, kepercayaan dan hubungan antara individu. Dalam konteks analogi yang dibincangkan, interaksi ini mewakili hubungan antara “sel” dan “tisu” yang membentuk asas kepada sistem keselamatan organisasi. Ia turut menjelaskan bahawa pembentukan budaya keselamatan bermula daripada komunikasi harian yang kelihatan biasa tetapi memberi kesan yang mendalam.
Pada peringkat paling asas, “sel” mewakili individu pekerja dalam organisasi. Setiap individu memiliki pengetahuan, sikap, pengalaman dan persepsi terhadap risiko yang berbeza. Dalam situasi sebenar, seorang pekerja mungkin memilih untuk tidak memakai sarung tangan keselamatan kerana ingin menyelesaikan kerja dengan lebih cepat. Tindakan kecil seperti ini mungkin kelihatan remeh, namun ia mencerminkan tahap keutuhan amalan keselamatan pada peringkat individu dalam organisasi tersebut. Jika ramai individu membuat keputusan yang sama, maka asas keselamatan pekerjaan di sesebuah organisasi mula terhakis.
Rajah 1: Sesi taklimat keselamatan yang menunjukkan interaksi langsung antara penyelia dan pekerja dalam menyampaikan amalan kerja selamat
Namun demikian, sebagaimana dalam sistem biologi, kewujudan sel yang berfungsi dengan baik sahaja belum memadai untuk menjamin keberkesanan keseluruhan sistem, kerana fungsi tersebut turut dipengaruhi oleh interaksi dan persekitaran. Dalam organisasi, persekitaran ini merujuk kepada interaksi sosial antara pekerja. Sebagai contoh, seorang pekerja yang pada awalnya mematuhi prosedur keselamatan mungkin berubah sikap apabila melihat rakan sekerja lain mengabaikan keselamatan tanpa sebarang teguran. Keadaan ini menunjukkan bahawa keselamatan tidak boleh dilihat sebagai tanggungjawab individu semata-mata, sebaliknya terbentuk melalui interaksi sosial yang mempengaruhi tingkah laku secara menyeluruh dalam kumpulan pekerja.
Apabila individu-individu ini berinteraksi, mereka membentuk “tisu”, iaitu kumpulan pekerja atau pasukan. Tisu bukan sekadar kumpulan pekerja, malah kumpulan yang berkongsi fungsi kerja dan matlamat yang sama dalam melaksanakan tugas tertentu. Di sinilah norma sosial mula terbentuk secara tidak formal tetapi memainkan peranan penting. Dalam sesetengah kumpulan, pekerja akan saling mengingatkan tentang penggunaan alat pelindung diri sebelum memulakan kerja. Sebaliknya, dalam kumpulan lain, budaya mengambil jalan pintas dianggap sebagai sesuatu yang biasa dan tidak dipersoalkan. Perbezaan ini menunjukkan bahawa kekuatan hubungan dalam kumpulan pekerja mempengaruhi bagaimana pekerja bertindak bersama.
Sehubungan itu, tisu, iaitu kumpulan pekerja, akan menguatkan amalan keselamatan melalui interaksi harian dan sokongan sesama rakan sekerja. Sebagai contoh, dalam satu pasukan penyelenggaraan, pekerja yang berpengalaman mungkin secara spontan menasihati pekerja baharu tentang risiko tertentu. Tindakan ini bukan sahaja memindahkan pengetahuan, malah juga membentuk budaya keselamatan yang lebih kukuh. Sebaliknya, jika tiada interaksi seperti ini, pekerja baharu mungkin belajar daripada amalan tidak selamat yang sudah menjadi kebiasaan. Maka, keselamatan pada tahap ini sangat bergantung kepada kualiti hubungan sosial dalam kumpulan.
Apabila tisu-tisu ini berkembang, ia membentuk “organ”, iaitu jabatan atau unit dalam organisasi. Pada peringkat ini, struktur formal seperti polisi, prosedur dan latihan keselamatan memainkan peranan utama. Sebagai contoh, sebuah jabatan mungkin mempunyai prosedur kerja selamat yang lengkap untuk mengendalikan bahan kimia berbahaya. Namun, keberkesanan prosedur ini bergantung kepada sejauh mana ia difahami dan diamalkan oleh pekerja. Jika prosedur terlalu kompleks atau kurang relevan dengan situasi sebenar, pekerja cenderung untuk mengabaikannya.
Justeru, cabaran utama di peringkat organ ialah memastikan penyelarasan antara apa yang dirancang dan apa yang dilaksanakan. Dalam konteks ini, banyak organisasi berdepan situasi iaitu, dokumen keselamatan kelihatan sempurna, namun amalan sebenar sering tidak selari. Sebagai contoh, laporan audit mungkin menunjukkan tahap pematuhan yang tinggi, namun pemerhatian di lapangan masih memperlihatkan tingkah laku tidak selamat yang berulang. Keadaan ini menunjukkan bahawa struktur semata-mata belum mencukupi tanpa penghayatan sebenar oleh setiap individu pekerja dan kesannya, organ yang tidak berfungsi dengan baik boleh menjadi punca kelemahan dalam keseluruhan sistem keselamatan.
Akhirnya, semua organ ini bergabung membentuk satu "sistem" pengurusan keselamatan yang menyeluruh. Sistem ini merangkumi kepimpinan, budaya organisasi, pemantauan, audit serta penambahbaikan berterusan berasaskan insiden yang berlaku. Sebagai contoh, organisasi yang berjaya mengurus keselamatan dengan baik lazimnya menyediakan mekanisme pelaporan insiden tanpa tindakan bagi menggalakkan pekerja menyuarakan kebimbangan dan melaporkan kejadian yang berlaku. Melalui pelaporan ini, organisasi dapat menilai, memahami dan seterusnya menambah baik sistem secara berterusan. Dalam keadaan tertentu, jika pekerja berasa takut untuk melaporkan sebarang pelanggaran keselamatan, sistem tersebut akan terbantut dan tidak dapat berkembang dengan baik.
Dalam sistem pengurusan keselamatan yang berfungsi dengan baik, setiap lapisan memainkan peranan yang saling melengkapi antara satu sama lain. Individu (sel) yang peka terhadap keselamatan akan mempengaruhi rakan sekerja untuk mengamalkan tingkah laku selamat. Apabila tingkah laku ini menjadi kebiasaan, ia membentuk norma kumpulan (tisu) yang positif dalam persekitaran kerja. Norma tersebut seterusnya menyokong pelaksanaan prosedur keselamatan di peringkat jabatan (organ) secara lebih konsisten. Tanpa keselarasan antara semua lapisan ini, sistem keselamatan (sistem) mudah menjadi rapuh walaupun kelihatan lengkap dari segi dokumentasi.
Analogi sel, tisu, organ dan sistem yang dibincangkan dalam penulisan ini membantu menjelaskan mengapa masalah keselamatan sering berulang dalam organisasi. Banyak intervensi lebih tertumpu kepada penambahbaikan prosedur atau penggunaan teknologi tanpa menyentuh aspek tingkah laku manusia. Sebagai contoh, pemasangan kamera keselamatan mungkin dapat meningkatkan tahap pemantauan di tempat kerja. Namun begitu, langkah ini tidak semestinya mengubah sikap pekerja terhadap risiko yang dihadapi. Jika norma kumpulan masih menggalakkan sikap sambil lewa, teknologi tersebut hanya berfungsi sebagai alat pemantauan, bukan sebagai pemacu perubahan budaya keselamatan yang unggul.
Lantaran itu, kepimpinan memainkan peranan yang sangat penting dalam membentuk keseluruhan ekosistem keselamatan yang cekap dan berkesan. Hal ini kerana pemimpin bukan sahaja menetapkan polisi, malahan menunjukkan teladan melalui tindakan harian. Sebagai contoh, seorang pengurus yang sentiasa mengutamakan keselamatan berbanding produktiviti akan mempengaruhi cara pekerja membuat keputusan di tempat kerja. Sebaliknya, jika pemimpin sendiri mengabaikan prosedur, mesej yang diterima oleh pekerja menjadi bercanggah dan mengelirukan. Justeru, kepimpinan yang konsisten merupakan kunci untuk memastikan keselamatan berupaya dihayati dan diamalkan dalam organisasi.
Sebagai penutup, keselamatan di tempat kerja tidak wajar dilihat sebagai sesuatu yang statik atau terasing. Ia merupakan satu ekosistem hidup yang bermula daripada individu, berkembang dalam kumpulan, distrukturkan dalam organisasi dan diselaraskan melalui sistem. Setiap lapisan memainkan peranan penting serta saling bergantung antara satu sama lain. Tanpa kefahaman ini, usaha meningkatkan prestasi keselamatan di sesebuah organisasi hanya tertumpu kepada pematuhan semata-mata tanpa menghasilkan perubahan yang ketara. Oleh itu, cabaran utama ialah memastikan setiap “sel” dalam organisasi memahami dan mengamalkan nilai keselamatan secara konsisten dalam tindakan harian mereka. Namun, persoalan yang lebih mendalam dan wajar direnungi bersama ialah sama ada sistem mampu membentuk semula “sel” atau “sel” sebenarnya yang menentukan kekuatan sistem itu sendiri.