Pengorbanan yang Membina Kesejahteraan dan Kebajikan Pekerja
10 Jun 2026
Pengorbanan yang Membina Kesejahteraan dan Kebajikan Pekerja
10 Jun 2026
Ditulis oleh:
Ts. Dr. Khairul Hafezad Abdullah
Pengerusi Program Pascasiswazah,
Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia
Apabila Aidiladha menjelang, perbincangan tentang pengorbanan kembali menjadi topik yang dekat di hati masyarakat. Melalui ibadah korban, kita diajak menghayati nilai keikhlasan, ketaatan dan kesediaan melepaskan sesuatu yang berharga demi manfaat yang lebih besar. Namun, pengorbanan bukan sekadar nilai yang diraikan dalam konteks ibadah. Dalam kehidupan seharian, ia hadir dalam pelbagai bentuk yang sering tidak disedari. Di tempat kerja umpamanya, kesejahteraan pekerja dan kejayaan organisasi sering terbina hasil komitmen serta kesediaan pelbagai pihak untuk menyumbang ke arah kebaikan bersama, sama ada melalui dedikasi terhadap tugas, kesediaan membantu rakan sekerja mahupun keprihatinan majikan terhadap kebajikan pekerja.
Dalam konteks pekerjaan, pengorbanan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai bekerja lebih masa atau memikul beban tugas yang berat semata-mata. Sebaliknya, ia merangkumi kesediaan majikan dan pekerja bersama-sama memberikan komitmen, perhatian dan usaha dalam mewujudkan persekitaran kerja yang sihat, selamat dan sejahtera. Bagi majikan, pengorbanan mungkin terzahir melalui penyediaan kemudahan, sokongan dan peluang pembangunan yang lebih baik untuk pekerja. Bagi pekerja pula, ia dapat dilihat melalui kesungguhan melaksanakan amanah serta kesediaan menyumbang kepada kejayaan organisasi. Apabila semangat ini disemai dan diamalkan secara seimbang, ia bukan sahaja meningkatkan produktiviti organisasi, malah turut melahirkan pekerja yang lebih bermotivasi, berpuas hati dan berdaya tahan.
Dalam usaha mewujudkan persekitaran kerja yang sejahtera, majikan memainkan peranan yang amat penting. Ada kalanya, organisasi perlu berkorban dari segi kewangan dan sumber bagi memastikan kebajikan pekerja sentiasa terpelihara. Antara usaha yang lazim dilaksanakan ialah menganjurkan program keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja, menawarkan perlindungan insurans, memperkukuh pembangunan kompetensi melalui latihan, menyediakan kemudahan kerja yang lebih selesa serta memperkenalkan dasar kerja yang lebih anjal. Semua inisiatif ini memerlukan komitmen dan pelaburan yang bukan sedikit. Namun, organisasi yang berpandangan jauh memahami bahawa kebajikan pekerja bukanlah semata-mata melibatkan peningkatan kos pengurusan, sebaliknya satu pelaburan strategik. Walaupun memerlukan perbelanjaan yang lebih tinggi pada peringkat awal, manfaat yang diperoleh dalam jangka panjang jauh lebih besar, termasuk peningkatan produktiviti, pengukuhan kesetiaan pekerja, pengurangan kadar keluar masuk (turnover) pekerja serta pembentukan imej organisasi yang lebih baik.
Pada masa yang sama, pekerja juga tidak terkecuali dalam menghayati erti pengorbanan. Dalam melaksanakan tugas harian, para pekerja sering memperuntukkan masa, tenaga dan kadangkala mengorbankan keselesaan peribadi bagi memastikan amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Namun, komitmen tersebut perlu disertai dengan kebijaksanaan dalam mengurus diri supaya kesejahteraan fizikal dan mental kekal terpelihara. Dalam dunia pekerjaan yang semakin kompleks dan mencabar ini, keseimbangan antara tuntutan kerjaya dan kehidupan peribadi menjadi semakin penting. Walaupun kesungguhan dan dedikasi terhadap tugas merupakan nilai yang terpuji, ia perlu diamalkan secara seimbang. Memberikan yang terbaik kepada organisasi tidak seharusnya berlaku dengan mengabaikan kesejahteraan diri. Jika dibiarkan berlarutan, tuntutan kerja yang berlebihan boleh membawa kepada tekanan, keletihan fizikal dan mental serta pelbagai masalah kesihatan. Dalam jangka panjang, keadaan ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan pekerja, malah boleh mengurangkan produktiviti dan keberkesanan organisasi secara keseluruhan.
Konsep pengorbanan juga boleh dilihat melalui hubungan sesama rakan sekerja. Dalam sesebuah organisasi, budaya saling membantu dan menyokong antara satu sama lain merupakan bentuk pengorbanan yang sangat bernilai. Ada kalanya seseorang pekerja sanggup meluangkan masa untuk membimbing rakan yang baharu, membantu menyelesaikan tugasan pasukan atau berkongsi ilmu serta pengalaman demi kejayaan bersama. Tindakan ini mungkin tidak memberikan ganjaran material secara langsung, tetapi ia menyumbang kepada pembentukan budaya kerja yang positif dan harmoni.
Rajah di sebelah menggambarkan nilai pengorbanan dan keprihatinan dalam hubungan antara majikan dan pekerja melalui sokongan, empati dan komunikasi yang berkesan. Hubungan yang positif ini membantu mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sejahtera, harmoni dan produktif.
Selain itu, aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan turut mencerminkan makna pengorbanan yang sebenar. Organisasi yang komited terhadap keselamatan sanggup melaburkan sumber untuk menyediakan peralatan perlindungan diri, menjalankan latihan keselamatan dan memperkukuh sistem pengurusan risiko. Pengorbanan ini bukan sahaja memenuhi keperluan perundangan, malah menunjukkan penghargaan terhadap nilai nyawa dan kesejahteraan pekerja. Dalam konteks ini, setiap ringgit yang dilaburkan untuk program keselamatan sebenarnya merupakan pelaburan bagi melindungi aset paling berharga dalam sesebuah organisasi, iaitu pekerjanya.
Pengorbanan yang bermakna juga berkait rapat dengan empati dan keprihatinan. Majikan yang memahami cabaran hidup pekerja, seperti tanggungjawab keluarga, masalah kesihatan atau tekanan kewangan, akan lebih cenderung melaksanakan dasar yang menyokong kebajikan mereka. Sebagai contoh, cuti kebajikan, bantuan kewangan kecemasan, sokongan psikologi dan program kesejahteraan mental merupakan antara inisiatif yang dapat membantu pekerja berdepan dengan cabaran hidup dengan lebih baik. Apabila pekerja merasakan diri mereka dihargai, justeru, tahap komitmen serta kesetiaan terhadap organisasi turut meningkat.
Pada dasarnya, kesejahteraan dan kebajikan pekerja tidak boleh dicapai melalui usaha sebelah pihak sahaja. Ia memerlukan pengorbanan, kerjasama dan komitmen daripada semua pihak yang terlibat. Majikan perlu berkorban untuk menyediakan persekitaran kerja yang kondusif, manakala pekerja pula perlu berkorban untuk melaksanakan amanah pekerjaan dengan penuh integriti dan profesionalisme. Apabila kedua-dua pihak memahami dan menghargai peranan masing-masing, hubungan pekerjaan yang lebih harmoni dapat diwujudkan.
Sempena Aidiladha, pengorbanan wajar difahami bukan sekadar sebagai kesediaan melepaskan sesuatu yang bernilai, tetapi juga sebagai usaha yang ikhlas untuk membawa kebaikan kepada orang lain. Dalam dunia pekerjaan, semangat inilah yang menjadi asas kepada pembentukan organisasi yang lebih prihatin, pekerja yang lebih sejahtera dan masyarakat yang lebih harmoni. Sehubungan itu, pengorbanan yang lahir daripada keikhlasan bukan sahaja membawa manfaat kepada individu yang menerimanya, malah turut membina organisasi yang lebih berdaya tahan dan masyarakat yang lebih sejahtera.
Sempena Aidiladha, pengorbanan wajar difahami bukan sekadar sebagai kesediaan melepaskan sesuatu yang bernilai, tetapi juga sebagai usaha yang ikhlas untuk membawa kebaikan kepada orang lain. Dalam dunia pekerjaan, semangat inilah yang menjadi asas kepada pembentukan organisasi yang lebih prihatin, pekerja yang lebih sejahtera dan masyarakat yang lebih harmoni. Sehubungan itu, pengorbanan yang lahir daripada keikhlasan bukan sahaja membawa manfaat kepada individu yang menerimanya, malah turut membina organisasi yang lebih berdaya tahan dan masyarakat yang lebih sejahtera.