Guna Tenaga Tidak Penuh: Menguntungkan atau Merugikan Negara?
16 Julai 2026
Guna Tenaga Tidak Penuh: Menguntungkan atau Merugikan Negara?
16 Julai 2026
Ditulis oleh:
Dr. Mohamad Zuber Abd Majid
Pensyarah
Fakulti Pendidikan,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Guna tenaga tidak penuh merujuk kepada keadaan apabila seseorang individu tidak bekerja di bawah potensi sebenar mereka, sama ada dari segi masa bekerja, bidang kepakaran, atau tahap pendidikan. Dalam konteks graduan lepasan Ijazah Sarjana Muda di Malaysia, isu ini semakin membimbangkan apabila ramai yang tidak memperoleh pekerjaan yang setimpal dengan kelulusan akademik mereka. Mereka mungkin menganggur, bekerja sambilan, atau bekerja dalam bidang yang tidak memerlukan ijazah. Situasi ini bukan sahaja memberi kesan kepada individu, malah menjejaskan pembangunan ekonomi dan sosial negara secara keseluruhannya. Graduan yang tidak bekerja atau bekerja dalam bidang tidak berkaitan sebenarnya menunjukkan berlakunya ketidakpadanan antara penawaran tenaga kerja dan permintaan pasaran. Masalah ini berpunca daripada pelbagai faktor, antaranya kurikulum yang tidak seiring dengan keperluan industri, kelembapan ekonomi, persaingan pekerjaan yang tinggi, serta kurangnya pengalaman kerja semasa belajar. Keadaan ini membawa kepada pembaziran modal insan, iaitu sumber daya manusia yang telah dilatih dengan kos yang tinggi tetapi tidak digunakan sepenuhnya dalam sektor ekonomi yang produktif.
Mengikut data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia dan Kementerian Sumber Manusia, kadar pengangguran graduan di Malaysia mencecah 4.1% pada suku pertama 2023, dengan lebih 180,000 graduan masih belum memperoleh pekerjaan tetap selepas enam bulan tamat pengajian. Keadaan ini lebih ketara di kawasan bandar dan dalam kalangan graduan daripada bidang pengajian yang kurang permintaan, seperti sastera, kemanusiaan, dan pengajian am. Lebih membimbangkan, sebahagian besar daripada graduan yang bekerja pula menerima gaji di bawah kelayakan mereka, menyebabkan mereka tergolong dalam kategori “bekerja tetapi miskin”. Walaupun ada pihak yang berpendapat bahawa keadaan ini boleh menjana ekonomi alternatif seperti gig ekonomi, realitinya pekerjaan tidak formal ini seringkali tidak menyediakan jaminan pekerjaan, caruman sosial, mahupun peluang kenaikan kerjaya. Graduan yang terpaksa menjadi penghantar makanan atau pemandu e-hailing sebenarnya tidak menggunakan sepenuhnya ilmu dan kemahiran yang mereka pelajari di universiti. Dalam jangka panjang, keadaan ini boleh menjejaskan motivasi, kesejahteraan mental, dan daya saing tenaga kerja negara.
Bagi menangani isu ini, pelbagai langkah perlu diambil secara menyeluruh dan bersepadu. Institusi pengajian tinggi perlu menyemak semula kurikulum agar lebih berorientasikan industri, termasuk memperluas program latihan industri dan pensijilan kemahiran tambahan. Graduan juga perlu dididik tentang kepentingan pembangunan diri, kemahiran insaniah, dan kebolehsuaian terhadap perubahan pasaran. Sementara itu, kerajaan boleh memperluas inisiatif seperti MyFutureJobs, Skim Perantisan, dan program latihan semula untuk membina kebolehpasaran graduan. Selain itu, kerjasama strategik antara kerajaan, universiti dan sektor swasta perlu diperkukuhkan. Sektor swasta boleh menyumbang melalui pembukaan peluang latihan industri yang lebih meluas, program bimbingan kerjaya, serta menawarkan pekerjaan peringkat permulaan kepada graduan baru. Dasar yang menyokong pemindahan teknologi, pertumbuhan syarikat baharu, dan perluasan ekonomi digital juga dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti untuk golongan muda.
Dalam usaha ke arah pembangunan negara maju berpendapatan tinggi, Malaysia tidak mampu membiarkan ratusan ribu graduan lepasan ijazah terpinggir daripada arus pembangunan. Mereka adalah aset negara yang telah dilaburkan melalui pendidikan tinggi, dan seharusnya menjadi pemacu kepada inovasi, produktiviti, serta kemajuan sosial. Jika isu guna tenaga tidak penuh ini terus dibiarkan, ia akan membentuk generasi yang tidak stabil dari segi ekonomi dan sosial, seterusnya membantutkan pembangunan negara.
Kesimpulannya, guna tenaga tidak penuh dalam kalangan graduan Sarjana Muda di Malaysia lebih banyak mendatangkan kerugian daripada keuntungan. Ia bukan sekadar isu pekerjaan, tetapi melibatkan hala tuju pendidikan, dasar ekonomi, dan masa depan negara. Semua pihak perlu berganding bahu untuk memastikan graduan bukan sahaja memperoleh pekerjaan, tetapi pekerjaan yang setimpal dengan kebolehan dan potensi mereka. Hanya dengan itu, Malaysia dapat membina sebuah ekonomi yang mampan dan masyarakat yang sejahtera.