Pempengaruh Media Sosial sebagai Agen Globalisasi Budaya
4 Februari 2025
Pempengaruh Media Sosial sebagai Agen Globalisasi Budaya
4 Februari 2025
Ditulis oleh:
Nurul Izzati binti Mazlan
Pelajar Master
Antropologi & Sosiologi,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Siti 'Aliah Hafizah
Pensyarah
Sunway College
Pelajar Master
Antropologi & Sosiologi,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Dr. Velan Kunjuraman
Pensyarah
Antropologi & Sosiologi,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Globalisasi, satu fenomena yang telah mengubah landskap sosial, politik dan ekonomi. Menurut teori globalisasi oleh Anthony Giddens (1990), globalisasi bukan sahaja merujuk kepada integrasi ekonomi tetapi juga proses perubahan budaya yang mendalam dalam masyarakat. Ia merupakan satu proses yang mempercepatkan hubungan dan interaksi antara pelbagai masyarakat di seluruh dunia. Platform-platform seperti Instagram, YouTube, TikTok, dan aplikasi X telah mencipta ruang tanpa sempadan untuk interaksi budaya, pertukaran idea dan penyebaran maklumat secara pantas dan meluas. Muncul pempengaruh media sosial (influencers) sebagai agen budaya yang mempercepatkan proses globalisasi. Pempengaruh pada masa kini memainkan peranan utama dalam menyebarkan trend, gaya hidup, ideologi dan produk global kepada masyarakat. Semakin hari, masyarakat semakin terpengaruh dengan apa yang dipaparkan di media sosial, apakah ini sesuatu perkara yang positif atau negatif?
Pempengaruh media sosial memainkan peranan penting, antaranya dalam proses globalisasi budaya, terutamanya dalam aspek budaya pemakanan dan pemakaian yang semakin mendapat tempat dalam kehidupan seharian masyarakat. Menurut laporan Global Web Index (2023), sebanyak 55% pengguna media sosial di dunia mengakui mereka sering mendapatkan inspirasi gaya hidup dan budaya melalui kandungan yang dihasilkan oleh pempengaruh dalam media sosial. Hal ini adalah satu manifestasi jelas cara globalisasi budaya berlaku dengan pantas melalui media sosial, yang memudahkan penerimaan elemen-elemen budaya asing tanpa perlu berada di negara asal budaya tersebut. Pempengaruh media sosial yang mengembara ke seluruh dunia dan berkongsi pengalaman mereka di platform media sosial secara tidak langsung mendorong minat orang ramai untuk mencuba perkara yang sama, dan telah menjadi satu permintaan baru dalam negara bagi mereka yang tidak dapat ke negara-negara tersebut.
Sebagai contoh, jika dilihat makanan Korea yang dahulunya kurang dikenali di Malaysia, namun kini makanan seperti kimchi, tteokbokki, ramen telah menjadi salah satu makan popular yang mudah didapati di pasar raya dan restoran tempatan. Menurut laporan Statistik (2022), import makanan Korea ke Malaysia meningkat sebanyak 35% sejak tahun 2019, menunjukkan kandungan pempengaruh dalam media sosial telah mempengaruhi minat dan permintaan masyarakat tempatan. Media sosial telah menjadi satu alat penyebaran budaya dan proses ini juga dilihat sebagai penyebaran budaya (cultural diffusion) dengan elemen-elemen budaya dari sesuatu masyarakat disebarkan dan diadaptasi oleh masyarakat lain. Masyarakat bukan sahaja terdedah kepada pelbagai makanan baru tetapi juga mengadaptasi sebagai sebahagian daripada budaya tempatan yang lebih luas.
Dalam aspek pemakaian dan fesyen juga dapat dilihat dengan jelas berlakunya penyebaran budaya. Misalnya, fesyen dari Korea menjadi trend popular dalam kalangan rakyat Malaysia hasil daripada faktor pempengaruh ini. K-fashion yang menampilkan gaya pakaian kasual, ‘baggy dan oversized’ kini menjadi ikutan anak muda Malaysia. Pengikut media sosial dapat meniru gaya pempengaruh atau selebriti tanpa perlu ke Korea dan mereka boleh mendapatkan pakaian dengan reka bentuk yang serupa di platform e-dagang tempatan seperti Shopee, Lazada dan Tik Tok Shop. Selain dari Korea, fesyen unik dari Jepun juga menjadi ikutan anak muda di Malaysia dengan hanya melihat contoh penggayaan melalui media sosial. Seperti di Jepun, fesyen Harajuku yang menampilkan elemen seperti pakaian berlapis, warna cerah dan aksesori yang pelbagai dan kreatif telah menjadi ikutan remaja dan golongan muda bukan sahaja di Malaysia malah seluruh dunia. Proses globalisasi budaya ini dilihat membawa kepada cabaran dalam mempertahankan keunikan budaya tempatan, dengan pengaruh besar dari pempengaruh di media sosial, masyarakat lebih suka mengikut gaya hidup yang baru yang dianggap lebih moden. Masyarakat tempatan di Malaysia juga berkemungkinan lebih cenderung untuk mengabaikan pakaian tradisional atau makanan tradisional yang menjadi simbol identiti budaya mereka sendiri.
Bukan itu sahaja, globalisasi budaya melalui media sosial juga dilihat mempengaruhi pemikiran intelektual masyarakat. Salah satu aspek penting dalam konteks ini ialah penyebaran idea dan informasi yang cepat, yang membolehkan pengguna untuk mengakses pelbagai sumber pengetahuan dari seluruh dunia. Dengan demikian, ia mencabar struktur pemikiran tradisional, membuka ruang untuk fikiran lebih terbuka dan pelbagai. Namun, media sosial juga memberi kesan negatif terhadap pemikiran intelektual. Menurut Manuel Castells (1996) dalam teorinya tentang “network society”, media sosial mempercepatkan perubahan paradigma pemikiran masyarakat ke arah lebih global. Dalam situasi ini, algoritma media sosial cenderung memaparkan maklumat yang serupa dengan pandangan dan minat pengguna, menjadikan mereka kurang terdedah kepada perspektif yang berbeza. Hal ini boleh mengurangkan kebolehan individu untuk berfikir secara kritis dan menilai pelbagai pandangan secara objektif. Misalnya, dalam isu politik, pengguna boleh terjebak dalam ruang lingkup pandangan yang terhad dan cenderung mempercayai maklumat yang disahkan oleh kumpulan mereka sahaja. Sebagai contoh, sentimen yang diketengahkan oleh cybertrooper pada musim mengundi seperti isu 3R (race, religion, royalty) yang boleh menimbulkan konflik antara kaum.
Dari segi emosional, media sosial memainkan peranan yang besar dalam membentuk pengalaman peribadi dan interaksi sosial. Media sosial membolehkan orang ramai mengekspresikan diri, berkongsi cerita, dan berhubung dengan orang lain, yang sering membawa kepada pengalaman yang mengangkat emosi seperti kebahagiaan, kesedihan, atau kemarahan. Namun, pengaruhnya juga boleh jadi merosakkan, kerana ia memupuk perbandingan sosial yang tidak sihat dan ketidaksejahteraan emosi. Sebagai contoh, fenomena 'FOMO' (Fear of Missing Out) yang semakin popular dalam kalangan pengguna media sosial terutamanya golongan muda, mereka merasa terpinggir atau tidak cukup memenuhi piawaian sosial yang ditetapkan. Media sosial sering memaparkan gambaran kehidupan yang sempurna secara tidak langsung menyebabkan ketidakpuasan hati dan kecemasan dan seseorang itu mudah terperangkap dalam emosi negatif. Laporan daripada Pew Research Centre (2022) menunjukkan 60% pengguna muda merasakan media sosial meningkatkan perbandingan sosial yang tidak sihat. Nilai utama yang sering ditonjolkan dapat diumpamakan ibarat pepatah “biar papa asal bergaya”.
Media sosial secara jelasnya telah memberi impak yang besar dalam kehidupan seharian. Misalnya, dalam kalangan remaja dan dewasa muda, platform seperti Youtube telah menjadi ruang untuk berkongsi muzik dan bahasa. Hal ini membawa kepada impak positif terhadap pemikiran intelektual, kerana mereka terdedah kepada pelbagai budaya, yang membawa kepada pembentukan pemikiran global yang lebih terbuka. Namun, media sosial juga boleh bertindak dengan merosakkan pemikiran dan emosi. Sebagai contoh, peristiwa kematian Esha (seorang pempengaruh) yang menjadi mangsa buli siber yang tular di media sosial telah memperlihatkan cara platform ini boleh memberi kesan emosional yang mendalam terhadap penggunanya seperti ketegangan sosial, perasaan marah, atau rasa tidak puas hati yang berpanjangan.
Kesimpulannya, media sosial berperanan sebagai agen penting dalam globalisasi budaya pada masa kini. Dari aspek pemakanan dan juga pemakaian kita dapat melihat dengan jelas bahawa globalisasi budaya berlaku sangat cepat sehingga mengancam budaya tempatan yang diwarisi dari generasi terdahulu. Walaupun trend mengikut pola pemikiran pempengaruh ini mampu membuka peluang untuk pemikiran intelektual yang lebih luas dan pelbagai, ia juga membawa cabaran terhadap keupayaan kita untuk berfikir secara kritikal dan terbuka. Dari segi emosional, pengaruh media sosial boleh memberi kesan positif dan negatif, bergantung kepada cara ia digunakan. Oleh itu, penting bagi individu untuk lebih peka terhadap pengaruh ini dan mengambil langkah untuk menggunakan media sosial dengan bijak dan bertanggungjawab, untuk memastikan ia memberi manfaat kepada pemikiran dan kesejahteraan emosional mereka.