Pereskia sacharosa Griseb., Si Jarum Tujuh Bilah
18 Jun 2026
Pereskia sacharosa Griseb., Si Jarum Tujuh Bilah
18 Jun 2026
Ditulis oleh:
Prof. Dr. Noraini binti Talip
Pensyarah
Jabatan Sains Biologi & Bioteknologi,
Fakulti Sains & Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
En. Muhamad Amyrul bin Abdul Ladi
Pembantu Awam
Taman Botani Bangi,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Pokok jarum tujuh bilah berada dalam famili Cactaceae, yang merupakan salah satu daripada kumpulan tumbuhan kaktus. Kumpulan tumbuhan kaktus mempunyai daya tahan terhadap cuaca yang sejuk, sederhana juga dalam cuaca ekstrim dan panas yang melampau tetapi tidak di kawasan berais seperti kutub utara dan selatan. Ciri ini juga ada pada spesies tumbuhan jarum tujuh bilah.
Selain itu, pokok jarum tujuh bilah ini juga dikenali nama sebagai Pereskia bleo yang mana asal usul nama pokok ini adalah gabungan nama ahli astronomi dari Perancis, Nicholas Claude Fabri de Peiresc dan Bleo, seorang tempatan Amerika Selatan. Nama sinonim bagi spesies ini ialah Pereskia moorei Britton & Rose, Pereskia saipinensis Cárdenas dan Pereskia sparsiflora F.Ritter. Spesies ini berasal dari Argentina Timur Laut, Argentina Barat Laut, Bolivia, Brazil Barat-Tengah hingga Paraguay.
Spesies ini mendapat nama kerana kehadiran duri yang menyerupai bilah-bilah jarum. Duri-duri ini terdapat pada pangkal setiap daun. Bilangan duri ini biasanya ialah antara lima, enam, atau tujuh bilah. Namun terdapat juga kehadiran lebih daripada tujuh bilah duri pada pangkal setiap daun. Duri ini tajam dan boleh melukakan, maka perlu berhati-hati apabila menguruskan spesies ini di lapangan, sama ada untuk tujuan pembersihan, penanaman atau pengendalian.
Ciri Morfologi
Pokok jarum tujuh bilah atau dalam bahasa saintifiknya Pereskia sacharosa ialah jenis pokok renek separa berkayu, tetapi boleh tumbuh membesar mencapai ketinggian sehingga 2 - 8 m sekiranya tidak dicantas. Batangnya separa berkayu menjadikannya agak lembut, berwarna kehijauan ketika muda dan bertukar warna hijau keperangan setelah tua, mempunyai tompokan putih dan duri yang panjang halus seakan bentuk bilah jarum pada pangkai tangkai daun. Batang tua berkilat dan bertompok putih. Batangnya akan mengeluarkan lendir jika dipotong atau dipangkas. Malahan batangnya mudah bercambah dan dapat dibiakkan melalui penanaman keratan rentas batang dan juga melalui penyemaian biji benih.
Daunnya jenis daun tunggal, daun berkilat, tersusun secara berselang, berbentuk obovat menirus dengan hujung dan pangkalnya menirus, permukaan daun licin. Pucuk daunnya berwarna kemerahan bertukar warna menjadi hijau apabila matang, dengan permukaan daun yang berkilat. Urat daun tersusun secara berselangan dan bertemu pada bahagian pangkal daun, urat daun pada bahagian bawah daun berwarna keunguan.
Jarum tujuh bilah ini juga mempunyai bunga yang cantik daripada segi bentuk dan warnanya, bunga jenis tunggal yang keluar di hujung dahan, berukuran sederhana besar, berwarna jingga terang, hingga merah tua atau ungu. Ia juga mempunyai buah yang sederhana besar, berbentuk bulat dan leper di atasnya, seakan-akan bentuk buah teratai. Buahnya bewarna kehijauan ketika muda dan bewarna kekuningan setelah mencapai tahap matang.
Taburan dan Habitat
Spesies ini berasal dari kawasan tropika di Amerika Tengah dan Amerika Selatan, khususnya di negara Brazil serta rantau sekitarnya iaitu Paraguay, Uruguay, Argentina Timur Laut, Argentina Barat Laut, Bolivia dan Brazil Barat-Tengah. Spesies ini kemudian di bawa keluar sebagai tanaman hiasan dan kemudian tersebar luas, ditanam di negara-negara tropika termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, dan Thailand. Seperti yang kita tahu, di Malaysia spesies ini ditanam untuk dijadikan tanaman pokok hiasan dan tanaman herba di kawasan kediaman, sekolah, pejabat, nurseri, kebun dan sebagainya.
Bagi pertumbuhan spesies ini, ia dipengaruhi oleh pelbagai faktor habitat, iklim dan keadaan persekitarannya. Spesies ini boleh boleh ditanam dan hidup di kawasan beriklim panas dan lembap dengan suhu di antara 22°C hingga 35°C, mempunyai taburan hujan tahunan yang tinggi dan kadar kelembapan relatif melebihi 70 peratus. Spesies ini juga memerlukan cahaya matahari yang terang dan penuh pada kadar 6 - 8 jam sehari bagi menghasilkan daun lebih banyak dan pertumbuhan lebih cepat.
Pada keadaan semulajadi, spesies ini juga ada potensi yang tinggi boleh hidup pada keadaan yang agak kering tetapi daunnya boleh gugur jika terlalu kering. Walau bagaimanapun ia boleh tumbuh semula apabila mendapat air yang cukup. Selain itu, spesies ini juga boleh hidup dan tumbuh di kawasan yang terbuka antaranya di kawasan halaman rumah dan taman, di tepi jalan, dan di kawasan pesisir yang mempunyai tanah lapang yang menerima cahaya matahari mencukupi serta mempunyai tanah kadar pH sekitar 5.5 hingga 7.0, bersaliran yang baik, kaya dengan bahan organik, dan juga tidak terlalu berasid.
Pembiakan, Penanaman dan Penjagaan
Spesies ini sangat sesuai ditanam sebagai tanaman hiasan landskap kerana bunga dan habitnya yang cantik. Tambahan pula ia mempunyai pelbagai khasiat dan kebaikan serta sangat mudah ditanam di negara iklim tropika termasuk di Malaysia. Kaedah pembiakan dan penanaman terbaik ialah melalui keratan batang. Keratan dilakukan pada batang yang matang pada ukuran 15 - 20 cm, kemudian keratan itu direndam dalam hormon penggalak akar, dan disemai di dalam pasu dengan campuran tanah peroi atau yang bersaliran baik. Kemudian diletakkan di tempat separa teduh. Berikut adalah panduan langkah demi langkah yang lebih terperinci bagi menanam pokok jarum tujuh bilah:
Penyediaan keratan batang
Pilih batang atau dahan yang sihat dan matang yang tidak terlalu tua dan juga tidak terlalu muda. Kemudian, potong pada ukuran 15 - 20 cm, buang daun pada bahagian bawah keratan batang tersebut untuk mengelakkan kehilangan air dan menggalakkan penyerapan air.
Tanah dan medium semaian
Gunakan campuran tanah yang baik (seperti campuran tanah kompos, pasir sungai, dan tanah kebun). Kemudian, tanam keratan batang ke dalam polibeg atau pasu kecil yang berkedalaman 5-8 cm. Padatkan sedikit tanah di sekelilingnya.
Siraman dan pencahayaan
Siraman dilakukan secara sederhana sekadar untuk melembapkan tanah dan berikan pencahayaan yang penuh atau separa teduh untuk pertumbuhan yang optimum.
Penjagaan dan pembajaan
Selepas 3 - 4 minggu keratan yang ditanam akan mula mengeluarkan akar dan pucuk. Kemudian, boleh memindahkan ke pasu yang lebih besar atau di tanah selepas anak pokok kelihatan sihat. Gunakan baja organik seperti baja daripada najis haiwan yang diproses atau dikompos sekurang-kurang sebulan sekali untuk kesuburan dan pertumbuhan yang sihat.
Nilai Ekonomi Lain
Daun mudanya boleh dimakan sebagai ulaman dan rasanya dikatakan seperti rasa pucuk paku muda. Amalan memakan daunnya sebagai ulaman dipercayai boleh membantu dalam merawat atau menghindari penyakit darah tinggi, kencing manis dan barah. Selain itu, pokok jarum tujuh bilah ini juga dikatakan dapat merawat kanser terutamanya kanser kolon, kanser hidung dan beberapa jenis kanser lain. Antara cara penggunaannya ialah dengan merendam dua atau tiga helai daun jarum tujuh bilah di dalam air panas, kemudian air rendaman itu diminum seperti daun teh dan daunnya juga boleh dikisar dan dijadikan sebagai jus minuman.
Kajian dari Fakulti Sains Farmaseutikal, Universiti Sains Malaysia membuktikan pokok jarum tujuh bilah mempunyai potensi ubatan seperti berikut:
Potensi antikanser
Daunnya mempunyai sifat antikanser, terutamanya dalam membantu mencegah dan melambatkan pertumbuhan tumor. Biasanya dimakan sebagai teh atau jus. Daunnya mengandungi bahan metabolic sekunder flavonoid, fitosterol dan antioksidan.
Bahan untuk detoksifikasi dan tonik kesihatan
Daunnya dijadikan teh herba untuk penjagaan kesihatan umum, dan dikatakan boleh membantu membersihkan darah, menyahtoksik hati, dan meningkatkan daya imuniti.
Antikeradangan dan melegakan kesakitan
Daunnya boleh digunakan secara topikal atau diambil secara minuman, untuk merawat bengkak, sakit sendi, dan kecederaan ringan.
Penyembuhan luka
Daun segar yang dihancurkan digunakan pada luka, bisul, atau kerengsaan kulit untuk membantu dalam penyembuhan dan mengurangkan risiko jangkitan.
Mengatasi isu penghadaman
Daunnya dijadikan teh herba untuk membantu masalah sembelit, kembung perut dan gastrik. Ia bertindak ringan sebagai tonik penghadaman.
Sifat antimikrob
Spesies ini telah dibuktikan melalui kajian klinikal menunjukkan kesan antibakteria dan antikulat dalam beberapa kajian makmal, menyokong penggunaannya untuk mengatasi jangkitan pada kulitt.
Daripada segi perubatan tradisional, pokok jarum tujuh bilah telah lama digunakan untuk membantu merawat pelbagai masalah kesihatan seperti keradangan, luka, masalah pencernaan dan sebagai tonik kesihatan. Kajian saintifik juga mendapati tumbuhan ini mengandungi sebatian bioaktif seperti flavonoid, saponin, tanin dan fitosterol yang mempunyai potensi antioksidan, antiradang dan antimikrob. Walau bagaimanapun, kebanyakan manfaat perubatannya masih memerlukan kajian klinikal yang lebih mendalam untuk membuktikan keberkesanan dan keselamatannya pada manusia.
Secara keseluruhannya, pokok jarum tujuh bilah merupakan tumbuhan yang bernilai daripada segi perubatan tradisiona, berpotensi besar dalam bidang penyelidikan perubatan, mempunyai nilai landskap dan juga pemakanan. Namun penggunaannya perlu dilakukan secara berhemah dan banyak lagi penyelidikan perlu dilakukan jika ingin menggantikan tumbuhan ini dalam rawatan perubatan ke atas pesakit.
Rujukan:
Beng, J.C. 2010. Herba: Ekstrak jarum tujuh bilah membunuh sel kanser. Dewan Kosmik, Mei 2020.
Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS). 2022. Pereskia bleo. https://www.mybis.gov.my/sp/55531 [Diakses pada 8 Jun 2026]
Blog Andry@Daun. 2010. Daun Tujuh Bilah. Dedaun Alam. [Diakses pada 8 Jun 2026].
https://pha.usm.my/index.php/sustainability/herb-garden-ppsf?view=article&id=492&catid=46
https://www.researchgate.net/publication/248386786_Herba_Ekstrak_Jarum_Tujuh_Bilah_Membunuh_Sel_Kanser
https://jpn.penang.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=285:jarum-7-bilah&catid=26&Itemid=57&lang=ms
https://siraplimau.com/pokok-jarum-tujuh-bilah-pembunuh-sel-kanser/
https://www.picturethisai.com/ms/care/Pereskia_bleo.html