Mengapa Serangga Akuatik Merupakan Penjaga Kelestarian Hutan Kita?
16 Julai 2026
Mengapa Serangga Akuatik Merupakan Penjaga Kelestarian Hutan Kita?
16 Julai 2026
Ditulis oleh:
Farah Amalia binti Alhisam
Pelajar
Faculty of Applied Sciences,
Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang, Jengka Campus
Ts Dr Nurun Nadhirah Md Isa
Pensyarah Kanan
Faculty of Applied Sciences,
Universiti Teknologi MARA Cawangan Pahang, Jengka Campus
Apabila kita melangkah masuk ke dalam hutan, pandangan kita sering tertumpu kepada deretan pokok-pokok atau haiwan seperti monyet dan ular. Namun, di sebalik rimbunan hijau itu, terdapat hidupan mikro yang jarang sekali dibincangkan, iaitu serangga akuatik. Jika dibandingkan dengan serangga darat yang lebih sinonim dalam kehidupan seharian kita, serangga akuatik sebenarnya mempunyai peranan yang penting dalam ekologi bumi. Artikel ini membincangkan dunia serangga akuatik serta kepentingannya sebagai penjaga kelestarian ekosistem tasik kita.
Berdasarkan kajian yang telah dijalankan di Tasik UiTM Cawangan Pahang, sebanyak 65 individu serangga akuatik merangkumi 4 order dan 7 famili yang telah berjaya direkodkan. Daripada dapatan tersebut, komuniti serangga akuatik di kawasan ini didominasi oleh order Hemiptera, khususnya daripada famili Gerridae dan Corixidae. Kehadiran mereka dengan bilangan yang tinggi ini menunjukkan kemampuan mereka untuk beradaptasi dengan bernafas melalui udara. Kebolehan adaptasi ini membolehkan mereka menguasai ekosistem walaupun berhadapan dengan kualiti air yang mencabar.
Hasil kajian menunjukkan kualiti air tasik Adalah selamat dari segi tahap pH dan juga logam berat. Namun begitu, tahap oksigen terlarut (DO) berada di tahap yang sangat rendah, iaitu di dalam julat 0.90 ppm hingga 1.30 ppm. Tahap oksigen yang rendah ini menjadi punca kepada kekurangan kehadiran spesis yang lebih sensitif seperti order Trichoptera dan Plecoptera. Fenomena ini menjelaskan mengapa kawasan tasik ini didominasi oleh spesis yang mempunyai daya tahan yang tinggi berbanding spesis yang memerlukan oksigen yang tinggi.
Dapatan yang signifikan dari kajian ini mendedahkan bagaimana aktiviti di kawasan kampus secara langsung mencorak kualiti biodiversiti kehidupan mikro ini. Setiap aktiviti yang dilakukan boleh memberi impak secara langsung mahupun tidak langsung kepada ekosistem tasik dan seharusnya langkah berjaga-jaga boleh diambil dalam memastikan kualiti air sentiasa berada dalam keadaan yang optimum. Sebagai contoh, perubahan kecil terhadap parameter air seperti tahap oksigen mampu mengubah keseluruhan rantai kehidupan di tasik ini. Oleh itu, menjadi tanggungjawab bersama untuk menjaga kelestarian kawasan di sekitar tasik ini agar tidak terdedah kepada pencemaran yang boleh merosakkan habitat semula jadi bagi memastikan kelangsungan hidup mereka sentiasa terjamin.
Dua serangga akuatik yang dijumpai di Tasik UiTM Cawangan Pahang
Secara keseluruhannya, kajian ini bukan sekadar analisis data dan juga jumlah individu serangga akuatik yang direkodkan. Kewujudan serta kepelbagaian organisma akuatik di tasik ini mampu berfungsi sebagai indikator kritikal terhadap tahap kesihatan ekosistem persekitaran. Justeru, pemahaman yang mendalam mengenai peranan bioindikator ini amat penting demi menjaga kelestarian biodiviersiti pada masa hadapan. Semoga dengan mengenali komuniti kecil di Tasik UiTM Cawangan Pahang ini dapat meningkatkan kesedaran ekologi serta melahirkan rasa tanggungjawab untuk memelihara dan memulihara khazanah alam yang tidak ternilai ini.
Rujukan
Amusan, B. O., & Akin-Aina, O. F. (2024). Diversity and Seasonal Abundance of Aquatic Insects Associated with the Littoral Zone of a Tropical Inland Water. Journal of Life Science, 4, 14-21.
Azmi, W. A., & Geok, H. A. (2016). Aquatic insect communities in relation with water quality of selected tributaries of Tasik Kenyir Terengganu.
Cai, C., Huang, D., Wu, F., Zhao, M., & Wang, N. (2019). Tertiary water striders (Hemiptera, Gerromorpha, Gerridae) from the central Tibetan Plateau and their palaeobiogeographic implications. Journal of Asian Earth Sciences, 175, 121-127.
Hayasshi, M. (2023). Insect diversity of lentic water surface in Japan. Jpn. J. Syst. Entomol, 29, 199-210.
Jabatan Alam Sekitar. (2021). National Water Quality Standards for Malaysia. https://www.doe.gov.my/wp-content/uploads/2021/10/ii-Standard-Kualiti-Air-Kebangsaan.pdf