Peria Pantai: Ulam Biasa, Potensi Luar Biasa
6 Ogos 2026
Peria Pantai: Ulam Biasa, Potensi Luar Biasa
6 Ogos 2026
Ditulis oleh:
Ts. Dr. Noorul Syuhada Mohd Razali
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Makanan,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Pernahkah anda terdengar mengenai daun peria pantai? Peria Pantai atau nama saintifiknya Colubrina asiatica adalah sejenis tumbuhan renek yang rendah dengan ranting yang panjang. Pokok peria pantai tumbuh di kawasan tropika termasuk Malaysia dan boleh hidup di tepi pantai dan kawasan tebing berpasir yang terdedah kepada cahaya matahari terik. Daunnya berwarna hijau, nipis dan berkilat dan mempunyai bahagian tepi yang bergerigi halus.
Di kalangan masyarakat tempatan, tumbuhan ini bukanlah sesuatu yang asing kerana pucuk daun peria pantai sering dipetik untuk dijadikan ulam-ulaman segar atau dicelor dengan air panas untuk dimakan bersama nasi. Selain itu, tumbuhan ini turut digunakan secara tradisional sebagai bahan pencuci kerana daunnya boleh menghasilkan buih apabila diramas dengan air. Menariknya, di sebalik kegunaan tradisional tersebut, peria pantai sebenarnya menyimpan pelbagai sebatian semula jadi yang menarik perhatian penyelidik makanan.
Penyelidikan terkini menyingkap potensi menarik yang terdapat pada daun peria pantai. Selain membekalkan nutrien seperti serat kasar serta mineral penting, seperti kalium, kalsium dan ferum, daun ini juga mengandungi pelbagai sebatian bioaktif yang menunjukkan aktiviti antioksidan yang tinggi.
Apa yang menarik tentang daun peria pantai?
Tumbuhan secara semula jadi menghasilkan pelbagai sebatian yang dikenali sebagai fitokimia. Secara ringkasnya, fitokimia membantu tumbuhan mempertahankan diri daripada tekanan persekitaran, pendedahan kepada cahaya ultraungu, serangan patogen dan keadaan pertumbuhan yang kurang sesuai. Dalam bidang sains makanan, sesetengah fitokimia turut mendapat perhatian kerana berupaya bertindak sebagai antioksidan dan membantu meneutralkan radikal bebas.
Kajian terhadap daun peria pantai menunjukkan bahawa tumbuhan ini mengandungi pelbagai kumpulan fitokimia termasuk fenolik, flavonoid, alkaloid, terpenoid dan saponin. Antara sebatian yang dikenal pasti ialah rutin, kaempferol-3-O-rutinosida dan kuersetin-3-O-rhamnosida. Walaupun nama-nama ini kedengaran agak teknikal, secara mudahnya ia merupakan sebatian semula jadi dalam tumbuhan yang berpotensi bertindak sebagai antioksidan dan membantu mengurangkan kesan radikal bebas.
Antioksidan penting kerana ia membantu memperlahankan tindak balas pengoksidaan. Dalam makanan, tindak balas ini boleh menyebabkan perubahan rasa, bau, warna dan kualiti, terutama bagi makanan yang mengandungi lemak. Sebagai contoh, pengoksidaan lipid dalam produk daging boleh menghasilkan bau tengik, menjejaskan kesegaran dan seterusnya mengurangkan penerimaan pengguna.
Dari sudut komposisi pula, daun peria pantai mengandungi kandungan serat kasar dan karbohidrat yang tinggi dan turut mengandungi beberapa jenis mineral seperti seperti kalium dan ferum. Penemuan ini menunjukkan bahawa daun peria pantai bukan sahaja kaya dengan fitokimia, malah turut mempunyai nilai pemakanan yang berpotensi untuk diterokai dengan lebih lanjut.
Daripada Ulam Kampung ke Aditif Makanan Semula jadi
Satu aplikasi paling menarik dalam kajian yang pernah dijalankan di satu universiti tempatan di Malaysia ialah penggunaan ekstrak daun peria pantai dalam pemprosesan makanan harian iaitu burger ayam. Daging ayam segar mengandungi kandungan lemak serta komposisi asid lemak tak tepu yang tinggi, menjadikannya sangat mudah teroksida dan cepat berbau tengik apabila disimpan dalam tempoh tertentu.
Secara tradisinya, industri makanan mengunakan antioksidan sintetik seperti butil hidroksianisol (BHA) dan butil hidroksitoluena (BHT) untuk mengawal pengoksidaan lipid (lemak) dan memanjangkan hayat simpanan produk daging. Namun, kesedaran pengguna yang semakin meningkat terhadap risiko aditif sintetik telah menyebabkan penggunaan dan industri makanan mencari alternatif baharu berasaskan tumbuhan semula jadi yang lebih selamat. Penambahan ekstrak daun peria pantai ke dalam burger ayam yang telah dimasak berupaya melambatkan pengoksidaan lipid secara signifikan sepanjang tempoh penyimpanan sejuk. Ekstrak ini terbukti mengurangkan pembentukan produk pengoksidaan primer dan sekunder (seperti peroksida dan malondialdehid), sekali gus mengekalkan kestabilan kualiti serta kesegaran burger.
Bukan itu sahaja, ekstrak daun peria pantai juga didapati membantu mengawal nilai pH daging dan menunjukkan aktiviti antimikrob semula jadi. Ia berupaya merencat pembiakan bakteria dan patogen tertentu, seterusnya menjadikan produk makanan kita kekal segar dan selamat untuk dimakan lebih lama.
Kesimpulan
Bagi masyarakat umum, penemuan saintifik ini memberikan sudut pandang baharu terhadap nilai dan khasiat ulam tempatan. Menikmati daun peria pantai sebagai ulam celur ringkas, campuran kerabu, mahupun dijadikan teh bukan sahaja memperkayakan nutrisi harian, malah membekalkan perisai antioksidan semula jadi untuk kesihatan tubuh badan kita. Di samping itu, potensi ekstrak daun peria pantai sebagai bahan tambah makanan semula jadi membuktikan bahawa biodiversiti tempatan bukan sekadar warisan alam, tetapi boleh juga menjadi sumber inovasi makanan pada masa hadapan.