Pokok Memali: Rahsia Herba Berduri di sebalik Nama Tragedi
15 Ogos 2026
Pokok Memali: Rahsia Herba Berduri di sebalik Nama Tragedi
15 Ogos 2026
Ditulis oleh:
Prof. Dr. Noraini binti Talip
Pensyarah
Jabatan Sains Biologi & Bioteknologi,
Fakulti Sains & Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Mohd Anuar bin Kamali
Penolong Pegawai Pertanian
Taman Botani Bangi,
Jabatan Sains Biologi & Bioteknologi,
Fakulti Sains & Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Pernahkah anda mendengar perkataan Memali? Bagi pengkaji dan peminat sejarah Malaysia, nama ini pasti mengingatkan kita kepada sebuah tragedi berdarah yang menggemparkan negara yang berlaku di Kampung Memali yang terletak di daerah Baling, Kedah pada tahun 1985. Peristiwa hitam itu kekal terpahat dalam memori kolektif bangsa sebagai satu episod duka yang meragut nyawa. Namun, tahukah anda wujud satu lagi "Memali" yang bersenjatakan duri tajam namun mempunyai nilai perubatan tradisional? Ia bukanlah sebuah kisah duka, melainkan sebuah anugerah alam yang tersembunyi di sebalik rimbunan hijau belantara kita. Mari kita rungkai kisah di sebalik nama Memali; dari bilah sejarah yang merentap jiwa, hinggalah ke sebatang pokok herba misteri yang jarang-jarang kita dengar, tetapi menyimpan sejuta penawar buat kehidupan manusia.
Nama Tempatan
Memali atau Mali – Mali Duri ialah nama tempatan bagi spesies tumbuhan herba ubatan yang nama saintifiknya ialah Leea angulata Korth. ex Miq. Spesies ini berada dalam genus Leea daripada famili Leeaceae. Ia sangat mudah dikenali melalui ciri habit berupa syrub dengan banyak cabang keluar daripada tanah, batang dan dahannya juga dipenuhi duri tajam berbentuk kon (tiga segi). Spesies ini boleh ditemui hidup secara semula jadi di kawasan hutan primer atau sekunder ataupun belukar pada altitud sehingga 1,500 meter dari paras laut.
Taksonomi dan Taburan
Spesies ini biasanya ditemui dalam habit berkelompok atau kelihatan seperti semak samuan (belukar kecil) atau pohon kecil yang boleh membesar sehingga 15 meter tinggi. Batang utama dan dahannya dilindungi daripada serangan haiwan dengan kehadiran duri tajam berbentuk kon yang keras dan tebal.
Daunnya tumbuh secara berselang-seli (alternate). Susunan daunnya sama ada bipinat (sirip berkembar dua) atau tripinat (sirip berkembar tiga) dengan panjang antara 15 hingga 60 cm dan mempunyai banyak anak daun. Tangkai daunnya (petiole) berukuran 3 hingga 6.5 cm panjang, berbentuk leper, dan mempunyai duri. Anak daunnya berbentuk elips hingga bujur (ovate), berukuran 7 - 10 cm panjang dan 5 cm lebar. Permukaan daunnya licin seperti kertas (papery), dengan tepi daun yang bergerigi (serrated margins), dan akan bertukar menjadi warna coklat apabila kering. Pangkal anak daun berbentuk baji (cuneate), manakala hujungnya meruncing tajam (acuminate).
Pokok ini tumbuh secara semula jadi di kawasan tropika bermula dari Kepulauan Andaman sehingga ke Asia Tenggara termasuk Indonesia, Malaysia, Filipina, Thailand dan Singapura. Berdasarkan status pemuliharaan global, spesies ini dikategorikan di bawah Risiko Rendah (Least Concern) dalam Senarai Merah Spesies Terancam IUCN, sekali gus mencerminkan kestabilan populasinya di kawasan semula jadinya tempat ia tumbuh.
Kajian Saintifik Bahan Aktif
Secara saintifik, kajian fitokimia yang khusus membina profil bahan aktif untuk spesies Leea angulata Korth. ex Miq. masih sangat terhad. Walau bagaimanapun, sebagai sebahagian daripada genus Leea (famili Vitaceae / Leeaceae), spesies berkongsi kumpulan sebatian bioaktif (metabolit sekunder) yang serupa dengan spesies komersial lain seperti Leea indica. Bahan aktif utama yang secara umumnya terkandung dalam profil kimia genus Leea termasuk :
Kumpulan Sebatian Bioaktif Utama
Flavonoid: Sebatian polifenol (seperti quercetin) yang bertindak sebagai agen antioksidan kuat untuk melindungi sel daripada kerosakan radikal bebas.
Tanin: Mempunyai sifat astringen, membantu mempercepatkan pembekuan darah dan penyembuhan luka luaran.
Terpenoid / Triterpenoid: Mengandungi rantaian karbon yang menyumbang kepada aktiviti antiradang dan antimikrob.
Saponin: Sebatian glikosida semula jadi yang sering dikaitkan dengan aktiviti sitotoksik (melawan sel abnormal) dan perlindungan imun.
Asid Fenolik: Termasuk asid galik (gallic acid) yang memberikan kesan perlindungan hati (hepatoprotektif) dan antibakteria.
Steroid Tumbuhan (Fitosterol): Seperti β-sitosterol yang membantu mengawal keradangan pada tisu badan.
Potensi Aktiviti Farmakologi
Kombinasi bahan aktif yang tersenarai di atas memberikan spesies dalam genus ini beberapa potensi ubatan tradisi dan antaranya ialah:
Antioksidan: Meneutralkan sisa toksik dalam badan.
Antiradang dan Analgesik: Mengurangkan bengkak, sakit sendi, dan membantu pemulihan kecederaan tulang.
Antimikrob: Menghalang pertumbuhan bakteria atau kulat pada luka.
Khasiat Perubatan Tradisional
Di Malaysia, bahagian daun dan akar pokok memali sering digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat masalah cirit-birit. Masyarakat tempatan di Kelantan pula memanfaatkan daun memali sebagai agen pemeraman semula jadi bagi merangsang proses kemasakan buah-buahan, terutamanya pisang, nangka, bacang, serta kuini. Selain itu, cecair daripada daun pokok memali yang ditumbuk sehingga lumat digunakan untuk merawat luka dengan menyapu cecair ke bahagian luka tersebut.
Bahagian akar memali juga merupakan ramuan campuran bersama beberapa jenis herba lain seperti pucuk buluh, akar dan duri buah mengkuang tikus, akar rumput senayan halus, daun dan akar pokok mempelas kasar dan akar daun tepus kerai yang direbus bersama-sama kemudian diminum boleh merawat penyakit batu karang.
Ekstrak jus daun muda pokok memali secara tradisinya digunakan sebagai tonik semula jadi bagi merangsang dan meningkatkan fungsi sistem pencernaan. Khasiat pokok memali tidak terhad untuk kegunaan dalaman sahaja; jusnya sering disapu pada kepala untuk melegakan pening atau vertigo, manakala amalan menyapu air rebusan pucuknya pula membantu menyembuhkan kudis.
Pucuk muda pokok memali boleh dikunyah secara terus bagi melegakan masalah batuk yang teruk. Untuk rawatan luaran, daunnya yang ditumbuk lumat amat sesuai dijadikan tuaman bagi menyembuhkan luka dan mengatasi pelbagai masalah kulit. Selain itu, pes daun ini juga boleh diletakkan pada bahagian kepala sebagai penawar demam, pereda sakit kepala, serta pelega (anodin) sengal-sengal badan. Di Wilayah Oro, Papua New Guinea, terdapat amalan unik penduduk di sana di mana badan akan dipukul lembut dengan pucuk berdaun untuk merawat kelesuan, demam, dan masalah sukar tidur.
Dari perspektif terapeutik, komponen akar tumbuhan ini memiliki sifat antipiretik (penurun demam) dan diaforetik (penggalak peluh) yang berfungsi meredakan sakit otot. Keupayaan bioaktifnya turut dimanfaatkan dalam formulasi herba khusus bagi merawat masalah leukorea (keputihan), neoplasma usus, serta kanser rahim. Di samping itu, pengambilannya secara oral melalui air rebusan akar terbukti efektif dalam meringankan simptom gangguan gastrointestinal termasuk sakit perut, disentri, dan cirit-birit.
Kaedah Penanaman
Meskipun dikategorikan sebagai khazanah hutan, pokok memali duri sebenarnya tidak sukar untuk ditanam di kawasan laman. Bagi peminat tegar ubat-ubatan tradisional yang berhasrat menjadikannya sebahagian daripada koleksi landskap, berikut adalah panduan asas penjagaannya:
Kaedah Pembiakan: Proses pembiakan paling mudah adalah melalui biji benih daripada buahnya yang telah matang (warna kelabu kebiruan). Setelah isi buah dibersihkan dan dikeringkan seketika, benih tersebut sedia untuk ditanam. Selain itu, kaedah keratan batang juga boleh digunakan sebagai alternatif untuk hasil yang lebih cepat.
Media Tanaman: Pokok ini memberikan tindakbalas pertumbuhan yang sangat baik dalam medium tanah gembur yang kaya dengan bahan organik. Faktor paling kritikal yang perlu dititikberatkan ialah memastikan sistem saliran air sentiasa lancar bagi mengelakkan masalah akar mereput.
Pendedahan kepada Cahaya Matahari: Spesies ini sesuai hidup di kawasan yang menerima pencahayaan matahari penuh mahupun separa teduh. Sifat asalnya yang menghuni pinggir hutan menjadikan tumbuhan ini sangat berdaya tahan menghadapi cuaca panas tropika.
Keperluan kepada Kelembapan: Pokok memali duri merupakan tumbuhan yang menggemari persekitaran lembap. Oleh itu, rutin penyiraman perlu dilakukan secara konsisten bagi memastikan pokok tidak mengalami stres air, terutamanya ketika musim kemarau panjang.
Kepentingan Pemuliharaan
Meskipun memiliki ciri morfologi yang berduri, usaha pemuliharaan spesies Leea angulata tidak seharusnya diabaikan. Pemeliharaan spesies ini adalah sangat wajar bagi memastikan rantaian biodiversiti tidak terjejas. Justeru, kepentingan ekologi pokok memali duri boleh dinilai berdasarkan beberapa faktor utama yang berikut :
Pusat Biodiversiti (Kolam Genetik Burung dan Rama-Rama): Di dalam hutan, pokok ini bertindak sebagai "pusat sehenti" makanan. Bunganya yang lebat menarik agen pendebunga seperti rama-rama dan lebah. Buah berinya yang unik pula menjadi kegemaran burung-burung tempatan. Menanam pokok ini bermakna kita sedang membantu mengekalkan rantaian makanan haiwan liar.
Perintis Penghutanan Semula: Oleh sebab ia sejenis pokok perintis yang cepat membesar di kawasan terbuka atau hutan sekunder, Memali Duri sangat sesuai digunakan dalam projek memulihkan hutan yang telah diteroka. Ia membantu memulihkan struktur tanah dan menyediakan naungan untuk pokok-pokok besar lain membesar.
Pagar Keselamatan Semula jadi: Pada seni bina landskap moden, duri tajam pada batang pokok ini boleh dieksploitasi secara positif sebagai "pagar hidup" (bio-fencing). Jika ditanam rapat di kawasan sempadan, ia mampu menghalang penceroboh atau haiwan liar daripada masuk, sekali gus mengurangkan kebergantungan kita kepada pagar besi atau konkrit.
Penutup
Di sebalik nama yang pernah menggegarkan lipatan sejarah tanah air, "Memali" di dalam ekosistem hutan kita sebenarnya menyimpan satu lagi naratif kehidupan yang jauh lebih mendalam. Tumbuhan yang dikenali sebagai Pokok Memali Duri ini sering kali dipandang sepi, malah kewujudannya di dalam belantara seolah-olah cuba menjauhkan diri daripada manusia. Ia tumbuh melata di celah-celah rimbunan hijau, hidup dalam keheningan rimba tanpa meminta perhatian. Walaupun susuk tubuhnya dipagari duri-duri tajam bagaikan memberi amaran keras kepada sesiapa yang menghampiri, terselit sebuah rahsia besar di sebalik perlindungan ampuh tersebut. Realitinya, duri yang menggerunkan itu hanyalah sebuah tabir yang menyembunyikan khazanah perubatan yang amat bernilai buat kelangsungan hidup manusia, seolah-olah alam sedang menguji keikhlasan kita untuk meneroka rahsianya.
Rujukan
Plant of the World Online, Royal Botanic Gardens Kew:https://powo.science.kew.org/taxon/urn:lsid:ipni.org:names:68276-1
The National Parks Board (NParks) Singapore: https://www.nparks.gov.sg/florafaunaweb/flora/4/3/4370
Malaysia Boidiversity Information System (MyBIS): https://www.mybis.gov.my/sp/60466
Mohamad Amin Abdullah, Pengasas dan Pengkaji PS Herbs https://www.psherbs.com/pokok-memali/
Khazanah Perubatan Melayu Tumbuhan Ubatan, Jilid 2, Nik Musa’adah Mustapha et al., Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM)
IUCN Red List of Threatened Species: https://www.iucnredlist.org/species/149653020/149822256