Teknologi Hijau: Mengunci Khasiat Emas Halia Bentong
8 Oktober 2026
Teknologi Hijau: Mengunci Khasiat Emas Halia Bentong
8 Oktober 2026
Ditulis oleh:
Dr. Norhidayah Suleiman
Pensyarah
Jabatan Teknologi Makanan,
Fakulti Sains dan Teknologi Makanan,
Universiti Putra Malaysia
Malaysia dikurniakan kekayaan kepelbagaian biologi yang luar biasa, namun sejauh manakah kita mampu mengubah hasil bumi tempatan ini menjadi produk bernilai tinggi di peringkat antarabangsa?
Di sebalik kedinginan kabus pagi Bukit Tinggi, Bentong, Pahang, tertanam satu warisam hijau negara iaitu Halia Bentong (Zingiber officinale var. Bentong). Dikurniakan status Penunjuk Geografi (GI), variati ini terkenal dengan aromanya yang kaya dan kepedasan yang tiada tandingan. Lebih daripada sekadar bahan peningkat rasa dalam masakan tradisi, khasiat sebenar halia ini terletak pada sebatian bioaktif utamanya yang dikenali sebagai 6-gingerol yang wujud dalam kepekatan jauh lebih tinggi berbanding halia biasa.
Sebatian 6-gingerol bertindak sebagai “enjin utama” yang memberikan sifat antioksidan, anti-radang, dan perlindungan metabolik yang tinggi. Langkah pertama ialah mengeluarkan bahan berkhasiat (6-gingerol) daripada Halia Bentong. Biasanya, kilang menggunakan bahan kimia seperti racun atau minyak petroleum (seperti heksana) untuk menarik keluar pati halia. Walaupun berkesan, kaedah lama ini berisiko meninggalkan sisa kimia berbahaya pada produk akhir dan mencemarkan alam. Di Makmal Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM, kami menggunakan gas karbon dioksida (CO2) yang diletakkan di bawah tekanan dan suhu khas. Dalam keadaan ini, gas karbon dioksida (CO2 ) bertindak seperti "cecair ajaib" yang meresap lembut ke dalam halia untuk menyerap 6-gingerol sahaja. Setelah selesai, tekanan dilepaskan dan CO2 menguap begitu sahaja tanpa meninggalkan setitik pun sisa kimia. Hasilnya, kita mendapat pati Halia Bentong yang 100% tulen, selamat, dan mesra alam.
scCO2 extractor yang terdapat di pilot plant UPM
Namun, wujud satu cabaran besar iaitu sebatian berharga ini sangat sensitif dan mudah terurai apabila terdedah kepada udara, cahaya, dan haba atau disimpan pada suhu bilik, strukturnya mula rosak dan kehilangan daya terapeutiknya dan sebahagian besar khasiatnya telah pun menguap sebelum sempat dimanfaatkan oleh tubuh badan. Bagi merungkai cabaran ini, pasukan penyelidik kini melangkah ke fasa seterusnya. Masih dengan penggunaan teknologi CO2, penyelidik kini dalam proses menyelaputi sebatian berharga ini dalam bentuk kapsul bersaiz mikro atau nano agar khasiatnya kekal terpelihara untuk industri masa depan. Teknologi ini memanfaatkan gas CO2 bertekanan tinggi untuk membina "perisai mesra alam" bersaiz mikro atau nano di sekeliling sebatian 6-gingerol. Baju perisai mikro ini melindungi sebatian aktif daripada serangan oksigen, cahaya, dan haba, sekali gus memanjangkan jangka hayatnya. Apabila dimakan kelak, perisai ini hanya akan terurai di dalam sistem penghadaman badan, memastikan khasiat halia diserap secara optimum. Ini ialah satu revolusi sains yang berpotensi mengubah wajah industri nutraseutikal dan kosmetik hijau negara.
Usaha penyelidikan berterusan ini memberi potensi yang sangat besar kepada beberapa sektor utama di Malaysia seperti membolehkan pengeluar tempatan menghasilkan produk suplemen dan penjagaan kulit berasaskan Halia Bentong yang stabil, berkesan, dan diiktiraf bebas bahan kimia toksik. Ekoran daripada itu, penyelidikan ini memberikan impak ekonomi langsung kepada para petani di Bentong dan Bukit Tinggi dengan menaikkan gred Halia Bentong daripada komoditi mentah kepada bahan mentah industri bernilai tinggi.
Sains dan teknologi hijau bukan sahaja mengenai rekaan jentera besar atau pemprosesan kilang, tetapi juga mengenai ketelitian menjaga molekul terkecil daripada khasiat bumi kita. Melalui penyelidikan aktif yang sedang berlaku di makmal tempatan seperti UPM, kita makin hampir untuk menyaksikan bagaimana warisan tradisional Halia Bentong dipadankan dengan nanoteknologi hijau membawa khasiat tempatan ke pentas kesihatan antarabangsa secara mampan dan selamat.