Serangga Sebagai Sumber Protein Makanan Ikan?
20 Mac 2025
Serangga Sebagai Sumber Protein Makanan Ikan?
20 Mac 2025
Ditulis oleh:
Nik Aliyah Nik Ahmad
Pelajar PhD
Makmal Entomologi Gunaan (MEG),
Pusat Sistematik Serangga,
Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Dr. Johari Bin Jalinas
Pensyarah Kanan
Makmal Entomologi Gunaan (MEG),
Pusat Sistematik Serangga,
Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Mengapa ikan menjadi salah satu menu pilihan ramai orang ? Ini mungkin disebabkan khasiatnya yang mengandungi Omega-3 asid lemak tak tepu yang mempunyai bahan anti-oksida, mampu melindungi saraf, anti-keradangan dan boleh menangani masalah kardiovaskular. Tidak hairanlah mengapa ikan mampu menjadi pilihan makanan orang ramai. Selain itu, United Nations turut menjangkakan peningkatan populasi dunia pada tahun 2050 mencecah anggaran 9.7 bilion. Seiring dengan itu, permintaan ikan atau makanan laut akan turut meningkat pada masa akan datang.
Food and Agriculture Organization (FAO) pula telah menjangkakan peningkatan pengeluaran makanan akuatik sebanyak 15% pada tahun 2030. Dari segi penggunaan global, makanan akuatik menunjukkan kenaikan kadar purata tahunan sebanyak 3% sejak tahun 1961 seiring dengan kenaikan populasi dunia sebanyak 1.6%. Selain itu, jumlah pengeluaran perikanan dan akuakultur pada tahun 2020 mencecah rekod tertinggi iaitu sebanyak 214 juta tan bernilai 424 bilion dolar AS. Haiwan akuatik mewakili sebanyak 178 juta tan dan selebihnya ialah alga.
Malaysia juga tidak ketinggalan dalam penghasilan makanan akuatik. Kegiatan perikanan secara amnya dilakukan melalui dua cara iaitu secara akuakultur dan perikanan tangkapan. Lokasi Malaysia yang strategik bersempadan Selat Melaka dan Laut China Selatan menyediakan peluang yang banyak bagi kegiatan perikanan. Hal ini dapat dilihat dengan jumlah pengeluaran hasil akuakultur air payau dan air tawar yang masing-masing meningkat sebanyak 2.8% dan 9% dari tahun 2020 ke 2021.
Berbalik kepada tajuk artikel ini maka, di manakah serangga memain peranannya? Penghasilan makanan ternakan ikan, atau makanan ternakan haiwan secara amnya, menggunakan sumber yang banyak seperti tenaga, air dan kawasan yang luas. Contohnya, soya merupakan pilihan sumber protein sebagai bahan dalam makanan ternakan haiwan kerana kadar penghadaman dan kuantiti protein yang tinggi. Namun, soya juga mempunyai kesan sampingan yang menghadkan pemasukannya dalam makanan ternakan. Antara kesan sampingan yang dimaksudkan adalah kandungan amino asidnya yang tidak seimbang, kebolehterimaannya yang rendah dan kandungan serat yang tinggi. Tambahan lagi, proses pembuatannya menjadi makanan ternakan memerlukan sumber yang banyak dan telah memberi kesan yang buruk terhadap alam sekitar. Oleh sebab itu, pentingnya kita menggunakan sumber protein alternatif yang mampan dan boleh memberikan kesan yang sama bahkan lebih baik kepada ikan ternakan.
Serangga mampu menjadi sumber protein alternatif yang bagus dalam makanan ternakan ikan. Hal ini disebabkan serangga merupakan sumber yang boleh diperbaharui, boleh dibiak dalam kuantiti yang banyak, dan tidak memerlukan undang-undang etika untuk mengurus dan menggunakannya. Tambahan lagi, kandungan nutrisi serangga tersebut juga boleh dikawal melalui diet yang diberikan.
Pelbagai kajian dan penyelidikan telah dijalankan untuk mengkaji penggantian separa serangga dalam makanan ternakan ikan. Kajian yang dilakukan melibatkan pemasukan serangga secara berperingkat dalam makanan ikan komersial dan kesan terhadapnya. Antara serangga yang dikaji termasuklah lalat askar hitam, Hermetia illucens, ulat tepung, Tenebrio molitor, belalang, Acridiae sp., cengkerik, Grylloidea sp. dan pelbagai lagi (Rajah 1).
Rajah 1: Lalat askar hitam, Hermetia illucens, dewasa (kiri) dan larva lalat askar hitam (kanan) yang digunakan dalam makanan ternakan (Sumber: Ihsan Google)
Bagi ikan pula, pelbagai spesies ikan yang telah digunakan dalam kajian seperti siakap Eropah, Dicentrarchus latrix, salmon Atlantik, Salmo salar, tilapia Nil, Oreochromis niloticus, trout pelangi, Oncorynchus mykiss, bream laut, Sparus aurata, dan pelbagai lagi. Ikan-ikan yang dikaji kebanyakannya merupakan ikan komersial yang dijadikan makanan harian bagi manusia. Pelbagai jenis serangga telah dijadikan sebagai penggantian separa dalam makanan ternakan ikan tersebut. Antara kesan yang dikaji dalam penyelidikan tersebut adalah prestasi pertumbuhan, aktiviti penghadaman dan kualiti filet.
Menurut kajian yang pernah dilakukan menggunakan tiga jenis serangga iaitu lalat askar hitam, ulat tepung dan lalat rumah, penggantian separa sebanyak 30% ke dalam makanan ternakan ikan mampu memberi keputusan yang sama dengan makanan komersial daripada segi prestasi pertumbuhan ikan siakap Eropah. Bagi kualiti filet, kajian yang pernah dilakukan menunjukkan ulat tepung mampu menjadi penggantian separa dalam makanan ternakan ikan trout pelangi. Hal ini berlaku tanpa memberi kesan yang negatif terhadap sifat ikan termasuk tiada perbezaan yang ketara bagi komposisi filet ikan yang mentah dan yang dimasak.
Berdasarkan banyak kajian terdahulu dapat dibuktikan penggunaan serangga dalam makanan ternakan ikan wajar diberi pertimbangan kerana potensinya yang besar sebagai sumber protein alternatif. Permintaan bagi haiwan akuatik untuk pemakanan semakin meningkat dan perkara ini harus dikendali dengan cara yang boleh diperbaharui dan mesra alam.
Rujukan:
Bruni, L., Randazzo, B., Cardinaletti, G., Zarantoniello, M., Mina, F., Secci, G., Tulli, F., Olivotto, I. & Parisi, G. 2020. Dietary Inclusion of Full-Fat Hermetia Illucens Prepupae Meal in Practical Diets for Rainbow Trout (Oncorhynchus Mykiss): Lipid Metabolism and Fillet Quality Investigations. Aquaculture 529:735678.
Chen, J., Jayachandran, M., Bai, W. & Xu, B. 2022. A Critical Review on the Health Benefits of Fish Consumption and Its Bioactive Constituents. Food Chemistry 369(130874.
Fao. 2022. The State of World Fisheries and Aquaculture 2022. Towards Blue Transformation. Rome: FAO.
Iaconisi, V., Bonelli, A., Pupino, R., Gai, F. & Parisi, G. 2018. Mealworm as Dietary Protein Source for Rainbow Trout: Body and Fillet Quality Traits. Aquaculture 484:197-204.
Jabatan Perikanan Malaysia. 2021. Perangkaan Perikanan Tahunan 2021.
Mastoraki, M., Mollá Ferrándiz, P., Vardali, S. C., Kontodimas, D. C., Kotzamanis, Y. P., Gasco, L., Chatzifotis, S. & Antonopoulou, E. 2020. A Comparative Study on the Effect of Fish Meal Substitution with Three Different Insect Meals on Growth, Body Composition and Metabolism of European Sea Bass (Dicentrarchus labrax L.). Aquaculture 528:735511.
Mungkung, R., Aubin, J., Prihadi, T. H., Slembrouck, J., Van Der Werf, H. M. G. & Legendre, M. 2013. Life Cycle Assessment for Environmentally Sustainable Aquaculture Management: A Case Study of Combined Aquaculture Systems for Carp and Tilapia. Journal of Cleaner Production 57:249-256.
United Nations. 2022. World Population Prospects 2022: Summary of Results.
Zeng, Q., Dong, S. Y., Liu, Y. P., Fu, J., Shuai, P., Zhao, Z. M. & Li, T. X. 2017. Effects of Fish Oil-Derived Fatty Acids on Suboptimal Cardiovascular Health: A Multicenter, Randomized, Double-Blind, Placebo-Controlled Trial. Nutrition, Metabolism and Cardiovascular Diseases 27(11): 964-970.