Hempedu Bumi, Khazanah Ubatan Secara Alami
9 April 2025
Hempedu Bumi, Khazanah Ubatan Secara Alami
9 April 2025
Ditulis oleh:
En Mohd Anuar Kamali
Penolong Pegawai Sains
Jabatan Sains Biologi & Bioteknologi,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Prof. Dr. Noraini Talip
Ketua Taman Botani
Jabatan Sains Biologi & Bioteknologi,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Hempedu bumi (Rajah 1), ialah nama tempatan bagi satu spesies tumbuhan herba ubatan yang agak tidak asing di kalangan penduduk di Malaysia. Istilah ‘hempedu’ menurut definisi Kamus Pelajar Edisi Kedua, Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud cecair yang bersifat alkali, mempunyai warna kuning kehijau-hijauan atau kuning kecoklat-coklatan dengan rasanya yang pahit. Biasanya dirembes oleh organ hati untuk membantu dalam proses menghancurkan makanan. Manakala istilah ‘Bumi’ pula didefinisikan sebagai planet tempat kita tinggal, yang berada pada kedudukan ketiga dalam sistem suria.
Menariknya, spesies tumbuhan herba ini dinamakan hasil daripada gabungan perkataan hempedu dan bumi. Nama saintifik pokok hempedu bumi ini ialah Andrographis paniculata (Bum.f) wall.ex Nees. Spesies ini berada di dalam famili Acanthaceae. Spesies ini pernah dilaporkan sebagai tumbuhan herba paling pahit sehingga diberi gelaran sebagai pokok ‘Raja Herba Pahit’ kerana tahap kepahitannya tidak dapat ditandingi oleh spesies pokok herba lain.
Rajah 1: Hempedu bumi atau Andrographis paniculata
Rajah 2: Ketinggian hempedu bumi boleh mencapai sehingga 90cm tinggi
Hempedu bumi berasal dari negara Asia Tenggara seperti India, Sri Lanka dan China. Spesies ini mempunyai jangka hayat yang pendek iaitu lebih kurang satu tahun sahaja dan boleh mencapai ketinggian sehingga 40 – 90 cm tinggi (Rajah 2). Secara umumnya, hempedu bumi boleh dijumpai tumbuh secara liar di kawasan yang ditumbuhi rumput terutama di kawasan tanah terbuka. Hempedu bumi adalah spesies tumbuhan yang boleh hidup dengan baik dalam pelbagai jenis tanah dan juga merupakan tumbuhan yang lasak serta tahan terhadap kekurangan nutrien dan air.
Daun pokok hempedu bumi berbentuk oval (bujur) ke lanseolat, akuminat (runcing di hujung) dan kuneat pada pangkal (Rajah 3). Daun berwarna hijau gelap, tersusun secara berselang dengan permukaan tepi daun licin. Spesies ini mempunyai batang berkayu yang berbentuk segi empat pada keratan rentasnya. Pokok hempedu bumi merupakan pokok syrub yang mempunyai mempunyai banyak dahan. Bunganya bersifat biseksual dan terdapat panikel, bunga berada di bahagian hujung dengan aksilari yang berukuran 2-5 cm panjang. Kelopak bunga berwarna putih berbintik ungu, dan saiznya lebih kurang 1.1 cm panjang dan juga di selaputi oleh rerambut atau trikom halus. Terdapat 5 sepal yang separa bercantum, berwarna hijau dan diselaputi dengan rerambut atau trikom halus. Terdapat 2 stamen yang bercantum, dengan filamen bertrikom atau berambut, dan mempunyai hanya satu stil berbentuk filliformis dengan stigma berbentuk silinder.
Pembentukan lengai atau kapsul biji benih (Rajah 4 dan Rajah 5) lazimnya bermula pada usia pokok ini 10 minggu dan mula matang apabila usianya mencapai 11 - 12 minggu. Lengai biji benih tumbuh menegak berbentuk bujur dengan panjang antara 1.0 - 1.3 cm, manakala lebarnya ialah 2 - 5 mm. Berwarna hijau muda sebelum matang dan berubah warna menjadi perang apabila telah matang.
Rajah 3: Daun bentul oval ke lanseolat
Rajah 4: Biji benih hempedu bumi di dalam lengai benih
Rajah 5: Kapsul atau lengai biji benih
Hempedu bumi juga dikenali dengan pelbagai nama mengikut negara seperti Malaysia dengan nama ‘akar cerita’ dan ‘raja pahit’, Indonesia dengan nama ‘sambiloto’ dan ‘sambiroto’, Nama Inggeris spesies ini ialah ‘The creat dan the king of bitter’, di negara China dengan nama ‘chuan xin lian’, masyarakat Arab dengan nama ‘quasabhuva’, Hindi dengan nama ‘kirayat’, Bengali dengan nama ‘kalmegh’, manakala masyarakat Tamil atau Telegu dengan nama ‘nilavembu’.
Di sebalik rasanya yang sangat pahit, tumbuhan ini mempunyai khasiat dan nilai perubatan yang tinggi serta telah mempunyai permintaan di peringkat antarabangsa dalam bidang perubatan dan juga dalam bidang farmaseutikal. Tiga sebatian bioaktif utamanya yang pernah dilaporkan ialah androgapolide, neo-androgapolide dan deo-androgapolide yang boleh dimanafaatkan untuk merawat penyakit kanser, diabetis, penyakit hati, tekanan darah tinggi, darah beku dan malaria.
Keseluruhan pokok hempedu bumi boleh digunakan untuk rawatan patukan ular dan sengatan serangga, demam selesema, dispepsia, malaria, disenteri dan infeksi pernafasan. Daunnya pula digunakan untuk rawatan demam, hilang selera makan, sakit kembung, diarrhea, hepatisis, ulser mulut, batuk kering, selsema biasa, kudis pada kulit dan paru-paru berair.
Selain itu, aerial hempedu bumi digunakan untuk rawatan kencing manis, darah tinggi, selsema biasa, kanser, malaria, infeksi salur kencing dan patukan ular. Akarnya pula boleh digunakan untuk dijadikan tonik kesihatan, agen hipotemia, sakit perut dan antelmintik. Walau bagaimanapun, pengambilan hempedu bumi pada dos tinggi boleh memberi kesan sampingan kepada pengguna seperti sakit perut, muntah dan hilang selera makan disebabkan rasanya yang pahit dan mengandungi bahan aktif sebatian kimia andrographolide. Pengguna yang alergi kepada tumbuh-tumbuhan herba, ibu yang sedang menyusukan anak dan ibu yang sedang hamil tidak digalakkan dan sewajarnya jangan mengambil pokok hempedu bumi untuk rawatan.
Berdasarkan nilai perubatan spesies tumbuhan herba ini, kerajaan melalui Jabatan Pertanian telah mengeluarkan Buku Pakej Teknologi Hempedu Bumi sebagai panduan kepada Pegawai Pertanian dan para pengusaha tanaman bagi menggalakkan penanaman dalam sekala besar. Dengan harga jualan serbuk kering hempedu bumi mencecah sehingga RM30 sekilo pada tahun 2019, dan semakin tinggi sehingga ke hari ini. Maka tidak mustahil pulangannya cukup lumayan jika diusahakan dengan baik kerana ramai pengguna telah mula mencari alternatif perubatan yang lebih bersifat semulajadi atau bersifat alami.
Siapa sangka, rumput yang dahulunya tidak dipandang dan hanya menjadi mainan kanak-kanak kecil yang menggunakan lengah benih hempedu bumi seperti mercun kerana sifatnya yang akan meletup apabila terkena air atau tekanan, boleh menjadi khazanah perubatan alami yang mempunyai potensi besar dalam bidang perubatan. Bertepatan dengan tajuk lagu Kumpulan Ukays iaitu Pahit Akan Manis Akhirnya, tumbuhan herba ini mampu merubah reaksi wajah penggunanya yang berkerut pada awal menahan rasa pahitnya, namun tersenyum akhirnya apabila penyakitnya dapat dirawati.
Rujukan:
Jabatan Pertanian Pulau Pinang (Herba : Hempedu Bumi) : https://jpn.penang.gov.my/index.php?option=com_content&view=article&id=57&Itemid=57&lang=ms
Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (Tumbuhan Ubatan: Hempedu Bumi)
https://www.forestry.gov.my/my/tumbuhan-ubatan/item/hempedu-bumi
Jabatan Pertanian (Pakej Teknologi Hempedu Bumi):
https://www.doa.gov.my/doa/resources/aktiviti_sumber/sumber_awam/penerbitan/pakej_teknologi/herba_rempahratus/pt_hempedu_bumi_2019.pdf
Sinar Harian (Nilai tinggi dalam perubatan moden): https://www.sinarharian.com.my/article/39544/sinar-aktif/nilai-tinggi-dalam-perubatan-moden