Sarang Burung Walit: Rahsia Tradisional, Kuasa Baharu Melalui Teknologi Sains
11 Jun 2025
Sarang Burung Walit: Rahsia Tradisional, Kuasa Baharu Melalui Teknologi Sains
11 Jun 2025
Ditulis oleh:
Dr. Ter Zhi Yin
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Makanan,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Sarang burung walit (SBW) telah lama dihargai dalam budaya Asia, khususnya dalam kalangan masyarakat Cina, sebagai makanan tradisional bernilai tinggi yang dipercayai mampu memberikan pelbagai manfaat kesihatan. Penggunaannya telah direkodkan sejak ratusan tahun dahulu, dan hingga kini, SBW masih dianggap sebagai tonik semula jadi yang eksklusif. SBW mentah (Rajah 1) yang dituai dari gua atau rumah ternakan perlu melalui proses pembersihan terlebih dahulu bagi menyingkirkan kekotoran seperti bulu burung dan bahan asing, sebelum menghasilkan SBW bersih yang sesuai untuk dimasak (Rajah 2).
Secara tradisional, sarang burung walit biasanya dimasak bersama air dan bahan-bahan seperti gula batu, kurma merah, goji berry, serta longan kering, menghasilkan hidangan sup yang dikenali sebagai “sup sarang burung” (Rajah 3). Dalam perubatan tradisional Cina, SBW dipercayai dapat merawat batuk kering dan kekurangan zat makanan, meningkatkan kadar metabolisme, menguatkan sistem imun, serta mencantikkan kulit (Lee et al. 2021). Kini, sains moden mula menyingkap rahsia sebenar di sebalik kepercayaan tradisional ini melalui kaedah penyelidikan yang lebih sistematik.
Rajah 1: Sarang burung walit - SBW mentah (belum dibersihkan)
Rajah 2: SBW mentah (bersih)
Rajah 3: Sup sarang burung
Dalam masyarakat moden, kajian saintifik telah mendapati bahawa SBW mempunyai pelbagai kesan terapeutik, termasuk sifat antioksidan, antidiabetik, antihipertensi, anti-radang, antikanser, anti-penuaan, anti-tuberkulosis, dan antivirus (Unal et al. 2022). Keupayaan ini menjadikan SBW sebagai salah satu makanan fungsian semula jadi yang berpotensi tinggi dalam bidang pemakanan kesihatan. Ini kerana SBW secara semula jadi mengandungi komponen bioaktif luar biasa, terutamanya glikoprotein dan asid sialik, yang diketahui memainkan peranan penting dalam menyokong kesihatan manusia (Ter et al. 2024a). Glikoprotein berfungsi dalam pelbagai mekanisme biologi seperti pengawalan sistem imun, komunikasi antara sel, dan pemulihan tisu, manakala asid sialik pula terlibat dalam perlindungan mukosa, pengenalan sel, serta fungsi neurologi (Ling et al. 2022).
Walau bagaimanapun, struktur glikoprotein SBW yang kompleks dan bersaiz besar sukar diurai sepenuhnya oleh sistem pencernaan manusia, menyebabkan penyerapan khasiatnya menjadi kurang optimum. Kekangan ini mengehadkan potensi bioaktiviti sebenar yang boleh diserap dan dimanfaatkan oleh tubuh manusia daripada SBW (Mun et al. 2024). Justeru, pendekatan saintifik dan teknologi pemprosesan lanjutan seperti hidrolisis enzimatik dan fermentasi proteolitik mula diterokai untuk meningkatkan keberkesanan penyerapan dan aktiviti biologi SBW (Ter et al. 2024a). Melalui kaedah-kaedah ini, struktur glikoprotein dapat dipecahkan kepada unit yang lebih kecil seperti peptida dan gula ringkas, yang bukan sahaja mudah diserap, malah menunjukkan aktiviti biologi yang lebih tinggi serta kesan terapeutik yang lebih ketara. Selain itu, bakteria asid laktik (LAB) yang digunakan dalam proses fermentasi turut menghasilkan pelbagai metabolit bernilai tinggi yang dapat meningkatkan lagi keberkesanan dan faedah kesihatan daripada SBW fermentasi (Ter et al. 2024b). Pendekatan ini membuka jalan baharu dalam usaha memaksimumkan potensi kesihatan SBW dan memperluas penggunaannya dalam formulasi makanan berfungsi dan produk nutraseutikal moden.
Hasil daripada pendekatan saintifik, SBW tidak lagi terhad sebagai makanan eksotik semata-mata, tetapi berpotensi menjadi sumber sebatian bioaktif yang lebih efisien. Kajian makmal menunjukkan bahawa SBW yang telah dirawat melalui hidrolisis enzimatik dan fermentasi proteolitik mempunyai keupayaan antioksidan yang tinggi, yang membantu melawan tekanan oksidatif yang boleh merosakkan sel, memperlahankan proses penuaan, serta mencegah perkembangan penyakit kronik (Ter et al. 2024a). SBW tersebut juga berpotensi tinggi untuk diproses dalam pelbagai bentuk produk kesihatan moden seperti minuman berfungsi, kapsul, serbuk larut air, dan bahan tambahan dalam makanan bernutrisi tinggi. Ini menjadikan pengambilan SBW lebih mudah, konsisten dan praktikal, berbanding penyediaan secara tradisional seperti kaedah pendidihan berlapis yang memerlukan masa dan kemahiran. Dalam erti kata lain, teknologi moden bukan sahaja meningkatkan keberkesanan pemakanan SBW, tetapi juga memperluaskan akses pengguna kepada manfaatnya.
Malaysia, sebagai salah satu pengeluar utama SBW dunia, memiliki kelebihan daripada segi sumber bahan mentah yang melimpah hasil daripada iklim tropika yang sesuai bagi habitat burung walit, serta kepakaran dalam penyelidikan makanan fungsian dan bioteknologi (Zulkefle et al. 2024). Dengan segala kelebihan ini, SBW berpotensi untuk terus berkembang sebagai makanan unggul bernilai tinggi yang bukan sahaja menyumbang kepada peningkatan pendapatan negara, malah turut menyokong amalan gaya hidup sihat masyarakat. Transformasi SBW daripada bahan eksotik tradisional kepada bahan aktif berteknologi tinggi mencerminkan keupayaan sains moden dalam memaksimumkan manfaat semula jadi melalui pendekatan inovatif. Penyelidikan berterusan membolehkan penerokaan ciri-ciri terapeutik SBW diterjemahkan kepada aplikasi yang lebih luas, sekaligus menyokong pembangunan produk kesihatan generasi baharu. Sinergi antara warisan budaya dan kemajuan teknologi ini bukan sahaja mengangkat martabat SBW dalam industri makanan fungsian, malah memberi impak positif kepada kesihatan masyarakat.
Rujukan:
Lee, T.H., Wani, W.A., Lee, C.H., Cheng, K.K., Shreaz, S., Wong, S., Hamdan, N. & Azmi, N.A. 2021. Edible bird’s nest: The functional values of the prized animal-based bioproduct from southeast asia–A review. Frontiers in Pharmacology 12: 1–16
Ling, A.J.W., Chang, L.S., Babji, A.S., Latip, J., Koketsu, M. & Lim, S.J. 2022. Review of sialic acid’s biochemistry, sources, extraction and functions with special reference to edible bird’s nest. Food Chemistry 367: 130755
Mun, S.L., Ter, Z.Y., Ariff, R.M., Rahman, N.F.A., Chang, L.S., Latip, J., Babji, A.S. & Lim, S.J. 2024. Fractionation and characterisation of sialylated-mucin glycoprotein from edible birds’ nest hydrolysates through anion exchange chromatography. International Journal of Biological Macromolecules 269(P1): 132022
Ter, Z.Y., Chang, L.S., Zaini, N.A.M., Fazry, S., Babji, A.S., Koketsu, M., Takashima, S., Kamal, N. & Lim, S.J. 2024a. Untargeted metabolomics profiling for revealing water-soluble bioactive components and biological activities in edible bird’s nest. Food Research International 198: 115289
Ter, Z.Y., Chang, L.S., Babji, A.S., Nurul Aqilah, M.Z., Fazry, S. & Lim, S.J. 2024b. A review on proteolytic fermentation of dietary protein using lactic acid bacteria for the development of novel proteolytically fermented foods. International Journal of Food Science & Technology 59: 1213–1236
Unal, K.I., Chang, L.S., Mustapha, W.A.W., Mohd Razali, N.S., Babji, A.S. & Lim, S.J. 2022. Edible bird’s nest, a valuable glycoprotein source: Current research prospects and challenges in Malaysia. Sains Malaysiana 51(9): 2829–2842
Zulkefle, N.N., Ibrahim, M.A., Azuan, N.F., Ch’ng, S.E., Ismail, N., Abu Bakar, M.Z. & Chan, K.W. 2024. A review on the edible bird’s nest quality and manufacturing standards of the three largest exporting countries in the world. Journal of Food Quality 608357