Pendekatan Lestari Efluen Akuakultur: Pemulihan Nutrien Kepada Baja Semulajadi
11 Jun 2025
Pendekatan Lestari Efluen Akuakultur: Pemulihan Nutrien Kepada Baja Semulajadi
11 Jun 2025
Ditulis oleh:
Dr. Azmi Bin Ahmad
Pensyarah Kanan
Jabatan Kejuruteraan Petrokimia,
Politeknik Tun Syed Nasir Syed Ismail
Akuakultur merupakan salah satu sektor penghasilan sumber makanan yang berkembang pesat, dengan memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan makanan dan pembangunan ekonomi. Walaubagaimanapun, sektor akuakultur juga menyumbang kepada penghasilan sisa terutamanya dalam efluen yang kaya nutrien. Jika dibiarkan tanpa rawatan yang sesuai, efluen ini boleh memberi kesan serius terhadap alam sekitar seperti eutrofikasi dan pencemaran air dalam ekosistem sekitaran. Maka, para pengkaji telah menerokai penyelesaian mampan yang mengatasi proses rawatan air sisa konvensional. Antara pendekatan yang berpotensi adalah pemulihan nutrien dari efluen akuakultur bagi penghasilan baja semulajadi. Kaedah ini tidak sahaja membantu dalam menangani isi pengurusan sisa tetapi turut menyumbang kepada prinsip ekonomi kitaran dengan menukarkan sisa menjadi hasil pertanian yang bernilai dan boleh digunakan.
Apakah Efluen Akuakultur?
Efluen akuakultur adalah air sisa yang dibuang keluar dari kolam penternakan hidupan akuatik seperti ikan seperti dalam Rajah 1.0 . Air sisa ini biasanya mempunyai kandungan nitrogen (N), fosforus (P) dan kalium (K) yang tinggi, sebatian organik, mineral yang diperolehi dari sisa makanan ikan, dan najis ikan. Walaupun nutrien ini merupakan satu masalah yang besar, tetapi ia juga merupakan satu elemen penting dalam pertumbuhan pokok, menjadikanya bahan yang berpotensi dalam penghasilan baja semulajadi.
Dalam sistem penternakan akuakultur secara tradisional, efluen dibuang ke sungai dan tasik berdekatan tanpa sebarang rawatan air sesuai dibuat terlebih dahulu, seterusnya menyebabkan pertumbuhan alga secara banyak, pengurangan oksigen terlarut, dan degradasi habitat. Maka, pemulihan nutrien tidak hanya menawarkan penyelesaian yang lestari tetapi juga mengurangkan masalah ekologi dari penternakan akuakultur.
Rajah 1.0: Pencemaran air dari pembungan efluen akuakultur
Teknik Pemulihan Nutrien
Terdapat beberapa kaedah untuk mendapatkan nutrien dari efluen akuakultur, dari penapisan fizikal sehingga ke rawatan biologi dan sistem gabungan. Antara pendekatannya adalah:
Enapan dan penapisan : sisa pepejal seperti hasil buangan ikan dan sisa makanan dirawat terlebih dahulu melalui proses enapan atau penapisan mekanikal. Langkah ini membantu dalam mengurangkan beban kandungan organik dan menyediakan efluen untuk rawatan lanjut.
Penuaian mikroalga : mikroalga seperti Chlorella sp. dan Scenedesmus sp. adalah mikroorganisma yang sangat membantu dalam menyerap nutrien dari air sisa akuakultur. Alga-laga ini boleh dituai dan ditukarkan menjadi baja semulajadi atau supplemen makanan binatang. Tambahan lagi, penuaian mikroalga ini turut berfungsi sebagai membantu dalam proses rawatan air dan penghasilan biomas.
Akuaponik bersepadu: dalam sistem akuaponik, efluen yang kaya nutrien dikitar semula untuk proses pertumbuhan sayuran dan herba dalam bekas hidroponik. Tumbuhan seperti sayuran ini menyerap nutrien dan membersihkan air yang dialir kembali ke tangki ikan. Enapcemar yang dikumpul dari penapis boleh dikompos menjadi baja organik.
Pencernaan anaerob: pepejal organik boleh diproses dalam mesin pencerna anaerob untuk menghasilkan biogas dan bahan yang dicerna (digestate). Bahan yang dicerna ini sangat kaya dengan nutrien dan boleh dipulih untuk menjadi baja semulajadi yang berbentuk pepejal atau cecair.
Dari Sisa Menjadi Baja Semulajadi
Nutrien yang diperolehi dari efluen akuakultur boleh diproses menjadi pelbagai baja semulajadi iaitu:
Baja cecair yang boleh digunakan terus melalui sistem pengairan
Enapcemar yang dikompos yang kaya dengan mikroorganisma bermanfaat
Baja pelet untuk digunakan dalam pertanian secara besar-besaran.
Baja-baja semulajadi ini boleh digunakan dalam penanaman padi, sayur-sayuran, dan herba serta usaha penanaman semula hutan.kajian menunjukkan baja semulajadi dari efluen akuakultur boleh meningkatkan kesuburan tanah, meningkatkan hasil tanaman, dan mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan baja kimia. Tambahan lagi, baja semulajadi yang mengandungi mikroorganisma yang bermanfaat seperti penitrit (nitrifiers) dan bakteria pelarut fosfat (phosphate-solubilizing bacteria) akan meningkatkan keperluan pengambilan nutrien dalam tumbuhan
Manfaat Alam Sekiar dan Ekonomi
Integrasi pemulihan nutrien dan penghasilan baja semulajadi membawakan beberapa manfaat.
Perlindungan alam sekitar: dengan proses rawatan dan penggunaan semula efluen, idustri penternakan dapat mengelakkan dari pembuangan nutrien ke sungai yang seterusnya memberi kesan terhadap eutrofikasi dan biodiversiti akuatik.
Pengurangan kos : rawatan air sisa adalah proses yang mahal. Para petani dapat mengurangkan atau membuang kos baja komersial untuk penamanan.
Ekonomi kitaran : pendekatan ini mengambarkan model ekonomi kitaran yang mana efluen ditukarkan menjadi sumber yang berguna, seterusnya meningkatkan kemampanan dalam industri akuakultur dan pertanian.
Penjanaan inovasi dan keusahawanan : penternak berskala kecil boleh bekerjasama dengan para petani untuk menghasilkan produk baja semulajadi yang boleh membuka kepada satu laluan penjanaan pendapatan serta model perniagaan.
Cabaran dan Prospek Masa Depan
Walaupun impak penggunaan baja semulaja boleh dianggap sesuatu yang sangat berharga, pemulihan nutrien dari efluen akuakultur turut menghadapi beberapa cabaran :
Piawaian kawal selia bgi penghasilan baja semulajadi dan penggunaannya mungkin dihadkan, menyukarkan proses pengkomersialan
Jenis komposisi efluen bergantung kepada jenis makanan ikan yang digunakan, jenis ikan yang diternak, dan rekabentuk kolam yang memerlukan perancangan penyesuaian rawatan.
Kos pembinaan awalan untuk sistem rawatan air sisa mungkin mahal bagi penternak berskala kecil.
Untuk mengatasi masalah ini, kerjasama diantara institusi penyelidikan, agensi kerajaan, pemain industri penternakan, dan juga para petani adalah sangat penting. Dengan sokongan yang betul, pemulihan nutrien boleh menjadi satu amalan standard untuk mencapai akuakultur yang lestari.
Kesimpulan
Pemulihan nutrien dari efluen akuakultur bagi penghasilan baja semulajadi adalah penyelesaian yang praktikal, mesra alam dan ekonomi untuk mengurangkan dan membantu isu berkaitan pengurusan sisa akuakultur dan kerosakan kesuburan tanah. Dengan menukarkan efluen akuakultur menjadi sumber yang bernilai, pendekatan ini tidak hanya memberi kesan terhadap aspek kelestarian alam tetapi juga meningkatkan sistem penghasilan makanan. Dengan Malaysia dan negara lain yang berusaha ke arah sistem akuakultur yang berdaya tahan dan bersepadu, inovasi seperti ini memainkan peranan penting dalam membentuk bio-ekonomi yang lebih produktif dan hijau untuk masa depan yang selamat dan lebih baik.