Keupayaan Semula jadi Tumbuhan Renek Mengekang Hakisan
5 Ogos 2025
Keupayaan Semula jadi Tumbuhan Renek Mengekang Hakisan
5 Ogos 2025
Ditulis oleh:
Siti Norhafizah Ahmad Tarmidzi
Pengawai Penyelidik Kanan,
Taman Botani Bangi (TBB),
Fakulti Sains & Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Prof. Madya Dr. Zulfahmi Ali Rahman
Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar (JSBAS), Fakulti Sains & Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Dr. Wan Mohd Razi Idris
Pensyarah Kanan,
Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar (JSBAS), Fakulti Sains & Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kejadian hakisan cerun dapat dikurangkan dengan menggunakan tumbuhan sebagai bahan penstabil cerun. Penggunaan spesies rumput menjadi kebiasaan dalam amalan pemuliharaan cerun secara semula jadi di Malaysia. Namun begitu, terdapat kekurangan kepada ciri rumput yang mempunyai sistem akar serabut dan kurang berupaya untuk berfungsi sepenuhnya dalam mengatasi masalah hakisan tanah ini. Potensi penggunaan tumbuhan renek sebagai bahan penstabil cerun adalah dilihat berdasarkan kelebihan yang ada pada sistem perakaran serabut dan tunjang. Menariknya, saiz pokok renek yang sederhana kurang menyumbang kepada masalah lebihan beban di cerun berbanding pokok besar. Malah, kelebihannya yang berbunga akan menarik minat serangga untuk menggalakkan lagi proses pendebungaan sekali gus meningkatkan nilai estetika pada cerun tersebut.
Masalah hakisan tanah dan tanah runtuh merupakan masalah yang utama yang dihadapi di kawasan khatulistiwa seperti Malaysia kerana menerima taburan hujan yang tinggi bagi setiap tahun. Malah, corak iklim yang panas dan lembap telah meningkatkan proses luluhawa kimia terhadap cerun yang terdedah. Selain itu juga, aktiviti pengubahsuaian cerun dan perubahan drastik ekosistem semula jadi bagi tujuan pembinaan infrastruktur kejuruteraan seperti bangunan dan jaringan sistem pengangkutan juga telah menyumbang kepada masalah tersebut. Kesan hakisan ini juga telah menyumbang kepada kehilangan nutrien yang mempengaruhi hasil tuaian para petani di samping terpaksa menanggung kos akibat daripada penanaman semula dan pembaikpulihan cerun di kawasan pertanian yang terbabit. Kejadian hakisan yang tidak terkawal dan berterusan boleh menyebabkan kejadian tanah runtuh yang bukan sahaja menyebabkan kerugian yang tinggi malah meragut nyawa manusia.
Kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan Batang Kali-Jalan Genting Highlands pada 16 Disember 2022 telah menunjukkan kesan besar aktiviti manusia terhadap kestabilan cerun terutamanya di kawasan berbukit. Kejadian ini dicetuskan oleh hujan lebat dan topografi curam yang mengakibatkan ketepuan tanah dan akhirnya membawa kepada kegagalan cerun dan kehilangan nyawa seramai 31 orang. Sehubungan dengan itu, terdapat keperluan mendesak bagi mempertingkatkan lagi amalan pengurusan tanah yang bersistematik, penilaian risiko secara menyeluruh dan peningkatan tahap kesiapsiagaan bencana terutamanya di kawasan berisiko tinggi.
Rajah 1: Tanah runtuh yang berlaku di Batang Kali, Selangor pada 16 Disember 2022 berhampiran kawasan pertanian telah meragut 31 nyawa.
(Sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Malaysia, 2022)
Dalam menangani masalah ini, penggunaan tumbuhan dalam kawalan hakisan cerun semakin mendapat perhatian. Fungsi tumbuhan ini sebagai sebahagian bahan penstabil merupakan satu kaedah yang bersifat mesra alam dan dibangunkan berteraskan konsep ekologi, mekanik dan hidrologi. Berdasarkan kepada Pelan Induk Teknologi Hijau Malaysia 2018-2030, setiap pembangunan yang dirancang di Malaysia perlu mengaplikasikan teknologi hijau merangkumi empat tonggak yang ditetapkan dalam Dasar Teknologi Hijau Kebangsaan iaitu tenaga, persekitaran, ekonomi dan sosial. Aplikasi tumbuhan ini untuk memenuhi hasrat tersebut dengan mengetengahkan sumber alam semula jadi bagi menjamin ekosistem yang stabil dan lebih mesra alam. Tumbuhan berpotensi menjadi sumber alternatif bagi mengganti penggunaan bahan mentah konvensional seperti simen, logam dan bata. Keadaan ini dapat mengurangkan kebergantungan terhadap sumber asli yang tidak dapat diperbaharui seperti pasir, kapur dan kerikil.
Terdapat spesies tumbuhan renek yang memiliki cirian yang sesuai digunakan sebagai bahan biologi iaitu mudah tumbuh, toleransi yang baik dan tahan kemarau. Tumbuhan renek ini terbukti berkesan dengan keupayaan sistem akarnya untuk memegang tanah cerun dan juga berupaya memperlahankan air larian pada permukaan cerun. Namun begitu, setiap spesies tumbuhan mempunyai prestasi pertumbuhan, toleransi dan kerentanan terhadap air yang berbeza yang menyebabkan spesies tersebut tidak bertahan lama dan berfungsi dengan baik dalam kawalan hakisan dan tanah runtuh di kawasan bercerun. Spesies rumput seperti Rumput Hampar (Axonopus compressus), Lalang (Imperata cylindrica), dan Rumput Kuda (Panicum maximum) sering digunakan di Malaysia dalam kawalan hakisan cerun. Namun begitu, sistem akarnya yang cetek mengurangkan tahap keberkesanannya dalam memberi kestabilan cerun yang optimum terutamanya pada cerun yang curam. Sebaliknya, penanaman pokok besar pada cerun seperti Pokok Akasia (Acacia mangium) dan Pokok Hujan (Albizia saman) boleh memberi beban tambahan dan mengurangkan kestabilan cerun kerana beratnya yang menyebabkan pergerakan akar yang agresif. Oleh itu, tumbuhan renek dilihat sangat berpotensi dalam kawalan hakisan cerun.
Rajah 2: Tumbuhan renek dan rumput tumbuh secara semula jadi pada kaki bukit menunjukkan potensi penggunaannya dalam kawalan hakisan
Peranan tumbuhan renek ini dapat dilihat pada sistem akarnya yang luas dan mencengkam jauh ke dalam tanah. Sistem akar ini bertindak sebagai penghalang semula jadi, menahan zarah tanah di tempatnya dan menghalangnya daripada dihanyutkan oleh air hujan atau diterbangkan oleh angin kencang. Pada cerun yang curam, graviti berfungsi melawan pengekalan tanah menyebabkan peranan pokok renek menjadi sangat penting dalam mengawal kestabilan cerun. Selain itu, pokok renek memainkan peranan penting dalam pengawalan kelembapan. Penyerapan lebihan air dari tanah akan dilepaskan secara perlahan-lahan ke atmosfera melalui proses yang dipanggil transpirasi. Proses ini membantu mengekalkan tahap kelembapan tanah sekali gus mengurangkan hakisan yang disebabkan oleh larian air. Fungsi ini amat berfaedah di kawasan yang terdedah kepada hujan lebat atau banjir kilat. Kanopi tumbuhan renek pula bertindak sebagai penampan semula jadi yang memecahkan titisan hujan dan mengurangkan kesannya pada permukaan tanah di bawah.
Kajian keberkesanan penggunaan tumbuhan renek didapati dapat mengurangkan kadar hakisan. Para penyelidik di Malaysia telah menyenaraikan beberapa spesies tumbuhan renek yang berpotensi digunakan dalam kawalan hakisan cerun iaitu Pecah Kaca (Strobilanthes crispus), Bunga Raya (Hibiscus rosa-sinensis), Pawan (Clerodendrum inerme), Powder puff (Calliandra surinamensis) dan Susun kelapa (Tabenaemontana divaricata), Kasia rimbun (Cassia biflora), Jambul (Caesalphina pulcherrima), Simpoh Air (Dillenia suffruticosa), Simpoh india (Dillenia indica), Spider lily (Hymenocallis littoralis), Janda kaya (Mussaenda eryhrophylla), Senduduk (Melastoma malabathricum) dan Bunga Tahi Ayam (Lantana camara). Penggunaan spesies-spesies tumbuhan renek ini diharap dapat meningkatkan pemahaman terhadap sistem akar dan ciriannya dalam meningkatkan kekuatan ricih tanah cerun. Peningkatan kekuatan ricih ini akan memastikan kadar hakisan pada cerun dapat dikurangkan sekali gus mengurangkan risiko berlakunya kejadian tanah runtuh. Malah, penanaman tumbuhan renek yang kebanyakannya berbunga mencantikkan pemandangan sekali gus meningkatkan lagi nilai estetika pada cerun.
Namun begitu, penggunaan tumbuhan renek di Malaysia masih menghadapi beberapa cabaran. Pemilihan spesies tumbuhan yang sesuai pada cerun bermasalah memerlukan kajian yang mendalam bagi memastikan fungsi tumbuhan dapat berjalan dengan baik. Selain itu, kerja-kerja penyelenggaraan juga perlu diberi perhatian terutamanya pada enam bulan pertama selepas proses penanaman tumbuhan pada cerun supaya tumbuhan tumbuh subur pada cerun. Keperluan kepada teknologi dan inovasi baharu bagi teknik penanaman atau pemantauan juga penting bagi meningkatkan keberkesanan pendekatan ini dalam jangka masa yang panjang. Malah, kesedaran terhadap penggunaan tumbuhan ini dalam kalangan pemaju, petani dan komuniti sangat penting bagi memastikan pendekatan ini dapat dijalankan secara meluas dalam projek pembangunan, aktiviti pertanian dan juga pelbagai aktiviti di tanah persendirian.
Rajah 3: Peranan penting tumbuhan renek dalam mengekalkan kestabilan cerun serta mengurangkan risiko hakisan
Rajah 4: Kajian penanaman pokok Susun Kelapa (Tabenaemontana divaricata) pada plot kajian biokejuruteraan cerun di Universiti Kebangsaan Malaysia
Malaysia juga proaktif dalam menyokong pendekatan ini dengan membangunkan beberapa dasar dan garis panduan berkaitan penggunaan kaedah mesra alam dalam mengawal hakisan yang termaktub dalam Pelan Induk Cerun Negara dan dasar pembangunan lestari yang menekankan kepentingan vegetasi dalam pengurusan cerun. Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) juga telah membangunkan Panduan Kerja Biokejuruteraan Cerun yang menekankan tatacara kerja bersepadu yang bermula dengan kajian tapak cerun, analisis makmal, inventori dan pemilihan spesies tumbuhan yang sesuai, penyediaan bahan, kerja penanaman dan pulih semula cerun serta pemantauan berkala. Selain itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga memainkan peranan penting dalam menggalakkan pemulihan cerun menggunakan tumbuhan melalui pembinaan landskap dan program pemuliharaan tanah di kawasan bandar dan luar bandar. Pelaksanaan strategi kawalan hakisan berasaskan pokok renek melibatkan perancangan teliti dan pemilihan spesies yang sesuai berdasarkan faktor seperti jenis tanah, iklim dan kecerunan cerun. Kolaborasi penyelidikan antara institusi akademik, industri dan kerajaan amatlah diperlukan bagi memperkukuhkan bukti secara saintifik serta mempertingkatkan pembangunan teknologi hijau dalam mengoptimumkan penggunaan tumbuhan bagi mengawal hakisan cerun sekali gus mengurangkan kejadian tanah runtuh. Penglibatan dan pendidikan komuniti juga merupakan komponen penting bagi kejayaan inisiatif kawalan hakisan yang melibatkan pokok renek.
Kesimpulannya, potensi pokok renek dalam kawalan hakisan cerun tidak boleh dipertikaikan. Dengan memanfaatkan kualiti sedia ada tumbuhan berdaya tahan ini, kita boleh mencipta landskap yang lebih berdaya tahan, mengurangkan kesan hakisan dan memelihara integriti ekologi persekitaran kita untuk generasi akan datang.
Rujukan:
Aznan, M. E., Rahman, Z. A., Tarmidzi, S. N., Idris, W. M. R., Lihan, T., & Kadir, A. A. (2024). Growth Characteristics and Root Tensile Strength’s Variability in Selected Potential Shrub Species for Slope Bio-engineering Applications. Sains Malaysiana, 53(12), 3845–3857.
Aznan, M., Ali Rahman, Z., Tarmidzi, S., Idris, W., Lihan, T., Kadir, A., Jalil, N., & Jasni, Z. (2025). Growth performance , root tensile resistance , and shear strength characteristics of root. Journal of Tropical Forest Science, 37(2), 180–198.
Jabatan Kerja Raya (2009). National Slope Master Plan 2009-2023.
Jabatan Kerja Raya (2012). Panduan Kerja Biokejuruteraan Cerun
Jabatan Kerja Raya (2016). Review of the national slope master plan 2016.
Jabatan Pertanian Malaysia (2020). Garis Panduan Pembangunan Pertanian Di Tanah Bercerun.
Maimon Abdullah, Sahibin Abd. Rahim & Siti-Norhafizah Ahmad Tarmidzi. 2022. Key Aspects in Bioengineering for Slope Protection in A Tropical Setting. Bangi: Penerbit UKM.
Saifuddin, M, & Normaniza, O. (2016). Rooting characteristics of some tropical plants for slope protection. Journal of Tropical Forest Science, 28(4), 469-478.
Saifuddin, M., Osman, N., & Khandaker, M. M. (2022). Evaluation of Root Profiles and Engineering Properties of Plants for Soil Reinforcement. Journal of Tropical Forest Science, 34(2), 176–186. https://doi.org/10.26525/jtfs2022.34.2.176