Aglaonema yang Pelbagai
19 Ogos 2025
Aglaonema yang Pelbagai
19 Ogos 2025
Ditulis oleh:
Dr. Muhamad Hafiz bin Che Othman
Pensyarah
Jabatan Sains Biologi & Bioteknologi,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Prof. Dr. Noraini Talip
Ketua Taman Botani
Jabatan Sains Biologi & Bioteknologi,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Popular sebagai tumbuhan hiasan yang cantik dan mudah dijaga, dan sering dianggap sebagai pokok keladi, Chinese Evergreen, adalah salah satu tanaman hiasan yang biasa ditanam sebagai tumbuhan hiasan di rumah, pejabat, atau bangunan komersial. Kecantikan dedaunan yang unik menjadikannya pilihan utama bagi mencantikkan landskap. Tanaman ini bukan sahaja sesuai ditanam untuk memperindah ruang, tetapi juga berfungsi sebagai penyaring udara yang efektif.
Nama sains bagi spesies ini ialah Aglaonema commutatum yang merupakan spesies tumbuhan berbunga daripada famili Araceae. Spesies ini berasal dari Filipina dan timur laut Sulawesi, dan telah diperkenalkan ke kawasan lain seperti Cuba, Puerto Rico, Trinidad dan Tobago, Comoros, Kepulauan Chagos, India, Bangladesh, dan Kepulauan Cook. Tumbuhan ini hidup secara semula jadi di hutan yang lembap dengan pencahayaan rendah. Keadaan persekitaran sebegini memberikan keupayaan luar biasa untuk spesies ini berkembang biak dengan cahaya yang minimum, menjadikan spesies ini sesuai untuk tumbuhan hiasan dalaman bangunan.
Tumbuhan ini, di habitat asalnya, tumbuh di bawah naungan pokok besar yang memberikan perlindungan semula jadi daripada cahaya matahari secara langsung. Tanah di kawasan tersebut biasanya kaya dengan humus yang membekalkan nutrien yang tinggi dan mempunyai kelembapan yang tinggi, untuk pertumbuhan Aglaonema. Apabila ditanam di persekitaran domestik, keadaan ini perlu diadaptasikan untuk memastikan kelembapan yang sesuai dan mengelakkan pendedahan terus kepada cahaya matahari.
Aglaonema commutatum juga dikenali dengan daunnya yang lebar, berbentuk bujur hingga runcing, berbentuk ovat hingga obovat, berwarna hijau dengan corak kemerahan atau kelabu. Daun mempunyai tekstur berkilat dan batang yang agak pendek, yang sering tersembunyi oleh rimbunan daun. Warna dan corak warna daun yang unik merupakan daya tarikan utama bagi peminat tanaman hiasan.
Spesies ini kurang dikenali dengan bunganya kerana bunga biasanya kecil yang muncul daripada struktur spadik dan dilindungi oleh spathe yang berwarna hijau pucat. Walaupun bunganya tidak setanding dengan keindahan daunnya, kehadiran bunga menandakan bahawa tumbuhan tersebut sihat dan bertumbuh dengan baik. Beberapa varieti Aglaonema commutatum yang popular dan sering dijadikan pilihan tanaman hiasan ialah seperti berikut:
Aglaonema "Golden"
Aglaonema "Red Velentino"
Aglaonema "Widuri Orang"
Aglaonema "Red Anjamani"
Aglaonema "Red Stardust"
Aglaonema "Dud Cream"
Aglaonema "Dona Carmen"
Aglaonema "Sparkling Sarah"
Salah satu kelebihan utama A. commutatum adalah penjagaannya yang mudah dan tidak memerlukan perhatian yang tinggi. Beberapa faktor yang perlu diambil perhatian dalam penjagaan spesies ini ialah seperti berikut:
1. Cahaya
Aglaonema adalah salah satu spesies tumbuhan yang beradaptasi dengan keadaan cahaya yang rendah, menjadikan spesies ini sesuai diletakkan di ruang yang kurang pencahayaan. Namun, untuk memastikan warna daun kekal cerah dan menarik, sebaiknya diletakkan di kawasan dengan pencahayaan yang sederhana tanpa kesan langsung daripada matahari. Cahaya matahari langsung boleh menyebabkan daun terbakar dan berwarna kekuningan.
2. Suhu dan Kelembapan
Tanaman ini memerlukan suhu antara 18°C hingga 24°C untuk pertumbuhan yang optimum. Spesies ini tidak tahan dengan suhu yang terlalu rendah, terutama di bawah suhu 15°C, kerana hal ini boleh menyebabkan daun menjadi layu dan rosak. Kelembapan yang tinggi juga penting untuk kesihatan tanaman. Jika udara terlalu kering, adalah perlu dilakukan semburan air pada daun.
3. Penyiraman
Spesies ini tidak memerlukan penyiraman yang kerap. Biarkan lapisan atas tanah kering sebelum melakukan penyiraman semula untuk mengelakkan akar menjadi reput akibat air berlebihan. Pada ketika musim panas atau kemarau, penyiraman mungkin perlu dilakukan lebih kerap, manakala pada musim hujan, penyiraman harus dikurangkan.
4. Pembajaan
Bagi memastikan pertumbuhan yang baik, perlu menggunakan baja cecair dengan kandungan nitrogen dan pembajaan dilakukan sekurang-kurangnya sebulan sekali semasa musim pertumbuhan aktif. Pembajaan yang berjadual akan membantu daun kekal sihat, subur dan berkilat.
Spesies ini boleh dibiakkan melalui beberapa kaedah yang sesuai untuk memastikan pertumbuhan tanaman yang sihat dan subur. Salah satu kaedah yang paling biasa digunakan adalah keratan batang, yang mana batang yang mempunyai sekurang-kurangnya dua nod dipotong dan ditanam dalam medium tanah yang lembap. Medium ini harus mempunyai sifat yang baik untuk mengekalkan kelembapan tanpa menyebabkan akar menjadi busuk.
Proses ini memerlukan perhatian yang rapi, dan memastikan tanaman diletakkan di tempat yang tidak terkena cahaya matahari secara langsung dan memberikan kelembapan yang mencukupi sehingga akar baru boleh tumbuh dengan sihat. Selain itu, pembahagian rumpun juga merupakan kaedah pembiakan yang biasa digunakan, terutamanya ketika tanaman telah matang dan menghasilkan beberapa rumpun. Semasa pemindahan, rumpun tanaman boleh dipisahkan dengan berhati-hati untuk mengelakkan kerosakan akar, kemudian ditanam dalam pasu berasingan yang mempunyai tanah yang subur dan pengaliran air yang baik. Kaedah ini bukan sahaja membantu dalam pembiakan tanaman baharu tetapi juga memberi ruang kepada induk tanaman untuk terus berkembang dengan lebih baik.
Kaedah penyemaian biji benih jarang digunakan kerana memerlukan tempoh yang lebih lama untuk tanaman mencapai tahap matang sepenuhnya. Biji benih perlu disemai dalam medium tanah yang telah disteril dan sentiasa dijaga kelembapannya agar percambahan berlaku dengan baik. Kaedah ini membolehkan pembiakan dalam jumlah yang lebih besar dan memberi peluang untuk melihat variasi dalam pertumbuhan tanaman baharu. Setiap kaedah pembiakan ini mempunyai kelebihan tersendiri dan bergantung kepada keperluan serta tahap kemahiran penjagaan tanaman.
Walaupun tahan lasak, A. commutatum boleh menghadapi beberapa masalah umum yang perlu diberikan perhatian. Salah satu masalah yang sering berlaku adalah daun menjadi kekuningan, yang biasanya berpunca daripada penyiraman berlebihan atau kekurangan nutrien dalam tanah. Selain itu, bintik coklat pada daun mungkin terjadi akibat pendedahan kepada cahaya matahari secara terus atau kekurangan kelembapan dalam persekitaran. Masalah lain yang sering dihadapi ialah serangan perosak, seperti hama labah-labah dan afid. Perosak ini boleh merosakkan daun dan mengganggu pertumbuhan tanaman, tetapi masalah ini boleh diatasi dengan penggunaan sabun insektisida atau minyak neem secara berkala. Melalui penjagaan yang betul, masalah ini dapat dikawal dan pertumbuhan akan berlaku dengan sihat.
Selain sebagai tumbuhan hiasan, spesies ini mempunyai pelbagai manfaat yang menjadikannya pilihan ideal untuk tanaman hiasan dalaman. Salah satu manfaat utamanya adalah sebagai penapis udara semula jadi yang mana tanaman ini berkesan dalam menyerap toksin seperti formaldehid dan benzena dari udara, sekali gus meningkatkan kualiti udara dalam rumah.
Selain itu, spesies ini juga dapat mengurangkan tekanan kerana warna hijau daunnya dipercayai boleh membantu mengurangkan tekanan dan memberikan rasa tenang kepada penghuni rumah. Tambahan lagi, spesies ini juga boleh meningkatkan nilai estetika ruang, dengan kombinasi warna daunnya yang unik, menjadikan ruang lebih hidup dan segar. Melalui manfaat yang pelbagai, tanaman ini bukan sahaja memperindahkan persekitaran tetapi juga memberi kesan positif terhadap kesejahteraan penghuni rumah.
Aglaonema commutatum merupakan pilihan tanaman hiasan yang sempurna untuk pelbagai jenis ruang, sama ada di rumah, pejabat, atau tempat komersial. Keindahan, ketahanan, dan kemampuannya dalam meningkatkan kualiti udara menjadikannya tanaman yang bernilai tinggi dalam industry hortikultur. Dengan penjagaan yang betul, tanaman ini dapat hidup bertahun-tahun dan terus boleh menghiasi ruang dengan keindahan semula jadinya.
Rujukan:
https://ourworldindata.org/global-aviation-emissions, diambil semula pada 17 Ogos 2025.
https://bernama.com/bm/news.php?id=2350229 , diambil semula pada 17 Ogos 2025.
Asikin-Mijan, N., AbdulKareem-Alsultan, G., Mastuli, M.S., Salmiaton, A., Azuwa Mohamed, M., Lee, H. V. & Taufiq-Yap, Y.H. 2022. Single-step catalytic deoxygenation-cracking of tung oil to bio-jet fuel over CoW/silica-alumina catalysts. Fuel 325.
Gyandoh, E. & Gomez, J. 2025. Techno-Economic Analysis ( TEA ) of Civilian Sustainable Aviation Fuel ( SAF ) – A systematic review of Hydrotreated Esters and Fatty Acids ( HEFA ) and Lignocellulosic Biomass Conversion ( LCBC ) Strategies. Applied Energy 399(July): 126421.