Aplikasi Ergonomik Tingkat Produktiviti
2 September 2025
Aplikasi Ergonomik Tingkat Produktiviti
2 September 2025
Ditulis oleh:
Prof. Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul
Dekan
Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB),
Universiti Kebangsaan Malaysia
Penerima Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu,
Kementerian Pendidikan Tinggi dan Anugerah Penulis Prolifik Terbaik MAPIM-KPT
Perubahan persekitaran masa kini menunjukkan teknologi maklumat dan komunikasi digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian. Platform digital kini memainkan peranan yang semakin penting dalam kehidupan seharian, merangkumi bidang pengajaran dan pembelajaran di sekolah mahupun institusi pendidikan, pelaksanaan kerja dari rumah, serta urusan jual beli barangan keperluan. Semua lapisan masyarakat meminimumkan komunikasi bersemuka dan menunjukkan kebergantungan yang kuat dengan teknologi. Sebaliknya, komunikasi dua hala atau pelbagai hala berlaku secara dalam talian dan dilakukan secara duduk di atas kerusi. Sekiranya aktiviti komunikasi berlangsung dalam tempoh yang lama, ia boleh menyebabkan rasa lesu, sengal, lenguh, serta sakit belakang. Kedudukan statik yang berpanjangan akan menimbulkan ketidakselesaan pada bahagian tubuh tertentu dan seterusnya menjejaskan tahap kesihatan serta produktiviti individu. Situasi ini lazimnya berpunca daripada pengabaian aspek ergonomik. Ergonomik menekankan kepentingan keselesaan persekitaran stesen kerja yang seharusnya diberikan perhatian oleh setiap individu. Justeru, reka bentuk ergonomik bagi sesuatu peralatan atau perabot perlu mengambil kira faktor kemanusiaan, iaitu dengan mewujudkan persekitaran kerja yang disesuaikan dengan keadaan fizikal dan keperluan pengguna. Adaptasi ini memberi keselesaan kepada individu dalam melaksanakan tugas tanpa menjejaskan tahap kesihatan.
Ergonomik sebenarnya adalah hadiah kejuruteraan yang boleh dimanfaatkan untuk kesejahteraan manusia. Ergonomik dan sifat manusia memang saling berkait. Reka bentuk produk yang ergonomik adalah cetusan idea bidang kejuruteraan yang boleh dimanfaatkan oleh manusia secara keseluruhannya. Ergonomik sebenarnya tercetus daripada fitrah kejadian manusia dengan mengambil kira batasan atau keupayaan manusia. Ia adalah aplikasi fisiologi, psikologi dan prinsip kejuruteraan terhadap interaksi antara manusia dan mesin atau persekitaran. Konsep ergonomik ialah memadankan persekitaran kerja dengan keupayaan serta batasan pekerja. Pemadanan ini lebih baik dilakukan, berbanding cuba memaksa pekerja menyesuaikan diri mereka dengan kerja yang dilakukan. Ini membolehkan pekerja melakukan tugas mereka dengan cekap, mudah dan melakukan kesilapan paling minimum. Selain itu, kesesuaian pekerja dengan pekerja lain, tugas yang dilakukan, objek yang digunakan, dan persekitaran tempat bekerja juga perlu diberi perhatian. Jika kesesuaian antara persekitaran dan individu tercapai, maka stres di tempat kerja dapat diminimumkan. Sesebuah stesen kerja optimum adalah suatu persekitaran yang menyokong keperluan pekerja dan membolehkan mereka bekerja dalam persekitaran yang sesuai dan sepadan dengan keupayaan mereka. Jika individu bekerja dalam persekitaran yang tidak seimbang dengan keupayaan mereka, pekerja tersebut akan terdedah kepada risiko keselamatan dan kesihatan yang tinggi.
Aspek pencahayaan juga memainkan peranan penting dalam membantu seseorang individu menjadi lebih bermotivasi dan produktif. Cahaya yang mencukupi sama ada daripada sumber semula jadi mahupun buatan mampu menyuntik semangat kepada individu. Ia boleh menambahbaik keceriaan dan keharmonian suasana. Aspek pencahayaan merupakan faktor penting yang banyak berkait dengan penggunaan komputer. Cahaya yang dihasilkan oleh skrin monitor menimbulkan ketidakselesaan terutamanya kepada mata pengguna apabila skrin komputer ditatap terlalu lama. Penggunaan komputer atau gajet berskrin seperti telefon pintar secara keterlaluan boleh mengakibatkan penyakit sindrom penglihatan komputer (CVS). CVS akan menyebabkan keupayaan daya penglihatan seseorang semakin merosot. Selain itu CVS boleh mencetuskan ketegangan mata, sakit kepala, kabur penglihatan, mata kekeringan, mata silau dan seumpamanya. Pendedahan yang terlalu lama terhadap gajet dan komputer bukan sahaja menjejaskan fizikal, malah turut mencetuskan keletihan mental yang membawa kepada sakit kepala, keletihan berpanjangan, serta kesukaran untuk menumpukan perhatian terhadap tugasan yang sedang dilaksanakan. Ketidakselesaan berterusan ini boleh menjadi pencetus kepada isu stres dan juga kemurungan.
Amalan persekitaran kerja yang ergonomik amat sesuai diterapkan dalam pelbagai sektor perkhidmatan seperti pendidikan, perbankan, penjagaan kesihatan dan sebagainya. Hasil kajian perbandingan menunjukkan bahawa tahap produktiviti pekerja adalah lebih tinggi apabila mereka bekerja di stesen kerja yang direka bentuk secara ergonomik berbanding stesen kerja yang tidak ergonomik. Kajian turut membuktikan bahawa reka bentuk stesen kerja berasaskan prinsip ergonomik bukan sahaja mampu meminimumkan stres pekerjaan, malah meningkatkan motivasi serta kepuasan kerja dalam kalangan pekerja. Sebaliknya, persekitaran kerja yang tidak selesa atau tidak ergonomik boleh menyebabkan peningkatan aduan berkenaan tubuh badan (somatic complaints), kelesuan/ kepenatan, sakit belakang, belikat dan leher. Oleh itu, adalah tidak salah jika dikatakan bahawa persekitaran stesen kerja penting untuk diberi perhatian memandangkan ia adalah lokasi paling lama dihabiskan dalam situasi pekerjaan masa kini.
Perubahan ke arah stesen kerja yang ergonomik membawa makna cukup besar kepada kesihatan dan kesejahteraan individu dan warga organisasi. Secara umum, kemudahan dan peralatan yang lengkap berserta latihan dan pembangunan berterusan akan menghasilkan prestasi tinggi dalam kalangan individu dan warga organisasi. Sebaliknya, persekitaran stesen kerja yang tidak ergonomik ditambah dengan peralatan yang tidak menyokong kecekapan dan keberkesanan dalam pelaksanaan tugas boleh menyebabkan kemerosotan prestasi.
Pemboleh ubah stesen kerja ergonomik perlu diberi perhatian oleh semua pihak dalam melaksanakan aktiviti rutin seharian. Walaupun ia kelihatan remeh, kealpaan pemboleh ubah ini bakal meninggalkan impak kesihatan yang amat besar kepada diri individu. Hargailah ergonomik demi memupuk kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.