Aktiviti Pengayaan Merangsang Harimau Malaya dalam Kurungan
7 September 2025
Aktiviti Pengayaan Merangsang Harimau Malaya dalam Kurungan
7 September 2025
Ditulis oleh:
Khairulmunir Mohamad
Pelajar Sarjana Sains
Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Prof. Dr. Badrul Munir Md Zain
Pensyarah
Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) merupakan haiwan ikonik dan berkarisma bagi negara Malaysia (Rajah 1). Harimau Malaya melambangkan keberanian dan kekukuhan Malaysia sehingga dipilih sebagai salah satu komponen pada jata negara Malaysia. Walau bagaimanapun, kini, bilangan populasi Harimau Malaya semakin berkurangan di Semenanjung Malaysia. Harimau Malaya telah diklasifikasikan sebagai terancam mengikut Senarai Merah International Union for Conservation of Nature (IUCN) dan dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) (dirujuk bersama pindaan 2022).
Rajah 1: Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni)
Aktiviti pengayaan dalam kurungan boleh memberi kesan terhadap kesejahteraan fisiologi dan psikologi haiwan dalam kurungan. Pengayaan aktif memerlukan haiwan melakukan aktiviti fizikal atau bersentuhan langsung dengan objek fizikal. Pengayaan pasif pula boleh melibatkan pengubahsuaian yang dimasukkan ke dalam ruang kurungan seperti menyembunyikan makanan di pelbagai lokasi di seluruh kurungan haiwan, menyediakan pelbagai jenis substrat untuk haiwan berjalan atau berinteraksi, atau mewujudkan kawasan untuk haiwan itu bersembunyi atau memanjat.
Aktiviti pengayaan boleh meningkatkan kekompleksan dalam persekitaran kurungan dan berpotensi meningkatkan kesejahteraan Harimau Malaya dalam kurungan dengan menggalakkan aktiviti aktif dan mengurangkan kecenderungan stereotipik yang selalu dipamerkan di zoo. Kebiasaannya, penggunaan item pengayaan yang lebih khusus kepada personaliti tersendiri dan menghampiri keadaan semula jadi Harimau Malaya mempunyai potensi yang lebih baik untuk meningkatkan kebajikan harimau dalam kurungan. Oleh itu, aktiviti pengayaan sangat penting dilakukan dalam zoo untuk menggalakkan variasi kelakuan kerana harimau dapat menyesuaikan diri dengan pelbagai jenis aktiviti pengayaan.
Kajian aktiviti pengayaan terhadap Harimau Malaysia telah dijalankan di Zoo Melaka dengan menggunakan beberapa jenis pengayaan seperti pengayaan sensori, pengayaan pemakanan dan pengayaan kognitif. Pengayaan sensori atau rangsangan deria adalah rangsangan yang direka untuk mencetuskan satu atau lebih deria haiwan seperti deria penglihatan, deria pendengaran dan deria bau. Pengayaan sensori boleh merangkumi mana-mana lima deria iaitu penglihatan, bunyi, sentuhan, bau dan rasa. Bentuk pengayaan sensori yang paling biasa digunakan ialah pengayaan olfaktori, yang menggunakan deria bau. Kebiasaannya objek seperti herba dan rempah ratus, minyak wangi dan deodoran boleh diletakkan di sekeliling kawasan pameran (Rajah 2). Hasil kajian terdahulu mendapati terdapat pengurangan tahap kelakuan mundar-mandir secara konsisten dalam Felidae selepas pengenalan rempah ratus seperti kayu manis, serbuk cili, dan jintan manis. Jenis pengayaan ini biasanya akan menyebabkan tanda bau tambahan dan dapat menarik perhatian harimau.
Rajah 2 : Gabungan pengayaan sensori dan kognitif. Rempah ratus yang direbus bersama air dimasukkan ke dalam botol semburan disembur ke guni berisi ayam
Pengayaan makanan juga sering digunakan sebagai salah satu bentuk pengayaan pada harimau dalam kurungan. Kaedah dan masa pemberian makanan, seperti jadual pemakanan rawak, ketidakpastian pemberian makanan dan peningkatan bilangan pemakanan boleh membantu menggalakkan kelakuan mencari makanan dan mengurangkan kekerapan dan tempoh kelakuan stereotaip harimau. Pendekatan yang digunakan dalam pengayaan makanan adalah dengan pemberian makanan secara berselerakan, makanan yang disembunyikan dan pemberian haiwan hidup kepada harimau seperti arnab dan ayam.
Proses kognitif ialah proses mental yang merangkumi pembelajaran, penyelesaian masalah, dan lain-lain membantu mengatur kelakuan dan menimbulkan tindak balas kelakuan yang berkesan. Kajian ini telah menggunakan labu sebagai salah satu bahan untuk melatih pengayaan kognitif. Selain itu, najis haiwan lain telah disembunyikan bawah kotak dan dalam masa yang sama terdapat daging yang disorokkan dalam kawasan kurungan. Hal ini bertujuan untuk mengelirukan harimau dan melatih kemahiran memburu harimau dalam kurungan (Rajah 3).
Hasil dapatan kajian menunjukkan menghidu (51.3%) merupakan kelakuan yang paling lazim dicerap diikuti dengan menarik, berguling, menyeret dan mengunyah. Kelakuan berehat dan berjaga merupakan kelakuan yang tinggi dicerap. Manakala, tidur adalah kelakuan pasif yang paling kurang dicerap. Kajian ini telah menunjukkan pengurangan kelakuan stereotipik dan peningkatan kelakuan yang berkaitan dengan aktiviti pengayaan seperti menghidu semasa fasa pengayaan. Harimau Malaya di Zoo Melaka dilihat tertarik dengan bau-bauan dan berinteraksi dengan baik bersama objek pengayaan. Hal ini selari dengan kajian terdahulu yang turut menunjukkan pengurangan aktiviti kelakuan stereotipik seperti mundar-mandir. Selain itu, penggunaan pengayaan sensori didapati dapat melatih kelakuan berburu dalam harimau dalam kurungan.
Rajah 3 : Pengayaan makanan melibatkan daging yang diletak di atas batang pisang, labu berisi hati ayam dan makanan diatur secara berselerakan
Harimau bergantung kepada kehadiran mikrobiota usus untuk pengekalan kesihatan yang baik. Dengan mengkaji kelakuan dan kepelbagaian mikrobiota usus, maklumat pemilihan diet, pencernaan makanan dan kesihatan Harimau Malaya dapat diketahui. Maklumat kepelbagaian mikrobiota dalam usus Harimau Malaya dalam kurungan menggunakan kaedah genetik molekul Penjujukan Generasi Hadapan (Next Generation Sequencing) perlu diketahui kerana ketiadaan data mengenai mikrobiota usus Harimau Malaya untuk dijadikan rujukan bagi pusat pemuliharaan harimau. Kajian metabarkod DNA mikrobiota usus membolehkan maklumat tentang kepelbagaian mikrobiota usus Harimau Malaya dalam kurungan diperolehi dan dijadikan data asas untuk pemonitoran kesihatan dan perancangan pengurusan Harimau Malaya. Sebanyak 15 filum, 21 kelas, 52 order, 97 famili, 212 genus, dan 85 spesies bakteria telah dicerap merentasi sampel dalam fasa pengayaan.
Secara keseluruhannya, peratusan filum Bacillota adalah yang paling dominan, menurun sepanjang keadaan berbeza daripada 48.6% sebelum pengayaan kepada 42.7% selepas pengayaan. Kehadiran bakteria ini juga diasosiasi dengan potensi penyakit diabetis dan obesiti. Pengambilan diet tinggi lemak dan tinggi gula secara konsisten menyebabkan penurunan Bacteroidetes dan peningkatan kadar Bacillota. Dapatan kajian ini telah membuktikan bahawa setiap aplikasi modifikasi yang dicetuskan oleh manusia terhadap haiwan dapat mempengaruhi kelakuan dan komposisi mikrobiota usus. Aktiviti pengayaan sememangnya memberi kesan baik terhadap usus Harimau Malaya dalam kurungan. Kajian kelakuan melalui aktiviti pengayaan boleh memberikan petunjuk tentang kesejahteraan harimau. Perubahan dalam kelakuan yang dipamerkan boleh mempengaruhi perubahan dalam komposisi mikrobiota usus. Strategi pengayaan yang positif akan mempengaruhi kelakuan harimau dan secara tidak langsung boleh menyumbang kepada kehadiran mikrobiota usus yang sihat.
Rujukan
Goodrich, J., Wibisono, H., Miquelle, D., Lynam, A.J., Sanderson, E., Chapman, S., Gray, T.N.E., Chanchani, P. & Harihar, A. (2022). Panthera tigris. The IUCN Red List of Threatened Species 2022: e.T15955A214862019. https://dx.doi.org/10.2305/IUCN.UK.2022-1.RLTS.T15955A214862019.en.
Khairulmunir, M., Gani, M., Mohd-Ridwan, A.R., Karuppannan, K.V., Abdul-Latiff, M.A.B. & Md-Zain, B.M. (2024). Alteration of the gut microbial composition of critically endangered Malayan tigers (Panthera tigris jacksoni) in captivity during enrichment phase. Molecular Biology Reports 51: 742.
Khairulmunir, M., Gani, M., Karuppannan, K.V., Mohd-Ridwan, A.R. & Md-Zain, B.M. (2023). High-throughput DNA metabarcoding for determining the gut microbiome of captive critically endangered Malayan tiger (Panthera tigris jacksoni) during fasting. Biodiversity Data Journal 11: e104757.