Ancaman Penipuan: Bahaya Tersembunyi Era Digital
7 Oktober 2025
Ancaman Penipuan: Bahaya Tersembunyi Era Digital
7 Oktober 2025
Ditulis oleh:
Dr. Zarul Fitri bin Zaaba
Pensyarah Kanan,
Pusat Pengajian Sains Komputer,
Universiti Sains Malaysia
Sering terpampang di dada-dada akhbar rakyat Malaysia yang menjadi mangsa scam atau penipuan. Perkara ini hangat dibincangkan kerana menjadi satu polemik baharu yang sewajarnya tidak dipandang enteng oleh semua pihak. Scam atau penipuan ini didefinisikan sebagai perbuatan memperdaya seseorang dengan niat untuk mendapatkan keuntungan dari segi kewangan, data peribadi, atau akses kepada aset yang dimiliki oleh individu yang berkenaan. Penipuan terancang ini dapat dilakukan melalui pelbagai kaedah seperti tipu helah, penyelewengan fakta atau janji palsu. Dasawarsa ini, penipuan telah berevolusi menjadi lebih sofistikated dan sukar dikesan. Justeru, wajar untuk kita mengetahui jenis-jenis penipuan yang acapkali dibincangkan.
Antara jenis penipuan yang lazim ialah penipuan yang melibatkan pelaburan seperti skim piramid dan skim ponzi yang menjanjikan pulangan tinggi, scam penipuan identiti yang dilakukan melalui pancingan data e-mel dan panggilan palsu oleh pihak bank, penipuan cinta yang menggunakan platform media sosial dengan memberi harapan palsu dan janji manis untuk memeras wang, penipuan teknikal yang melibatkan panggilan palsu daripada syarikat telekomunikasi atau badan berkepentingan dan penipuan penjualan dalam talian yang menawarkan produk murah yang hakikatnya tidak pun wujud. Tuntasnya, semua jenis penipuan ini bermatlamat untuk mengeksploitasi kepercayaan, menimbulkan rasa ketakutan dan kesangsian sebagai modal tidak berbayar bagi meraih keuntungan kepada pihak yang ingin memanipulasi.
Kebergantungan masyarakat kepada platform dalam talian untuk melakukan tugasan harian, membuka lebih banyak ruang kepada penipuan ini lebih mudah untuk dilakukan. Scammer atau penipu menggunakan platform yang berasaskan teknologi dengan mencipta laman sesawang, aplikasi atau profil media sosial yang menyerupai entiti yang sebenar untuk memperdaya mangsa. Sebagai contoh, dalam kes penipuan pelaburan wang kripto, penipu menggunakan platform pelaburan yang kelihatan profesional dengan antara muka yang realistik. Antara muka ini memaparkan promosi atau jaminan pulangan yang lumayan untuk memujuk mangsa agar melabur untuk meraih keuntungan yang besar. Kendatipun begitu, mangsa hanya sedar bahawa mereka telah ditipu apabila platform tersebut tiba-tiba hilang atau wang pelaburan tidak dapat dikeluarkan.
Selain itu juga, terdapat contoh kes yang dipaparkan di kaca-kaca televisyen termasuk skim penipuan Macau yang melibatkan panggilan palsu daripada individu yang mendakwa dari pihak berkuasa tempatan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan atau Lembaga Hasil Dalam Negeri yang menyebabkan mangsa terdesak dengan membayar sejumlah wang untuk mengelakkan tangkapan, denda dan sebagainya. Dalam hal ini, penipu berjaya menggunakan faktor emosi dan situasi yang menyebabkan mangsa menjadi terdesak dan tidak dapat berfikir dengan rasional.
Penipuan ini memberikan implikasi yang besar kepada masyarakat. Bagi mangsa secara langsung, mereka bukan sahaja kehilangan wang, malah mungkin dibebani dengan belenggu hutang jika wang yang hilang itu merupakan hasil pinjaman. Dari sudut psikologi pula, kesan trauma seperti rasa malu, tertekan, kemurungan, dan hilang kepercayaan terhadap orang lain adalah perkara lazim. Malah, ada dalam kalangan mangsa yang memilih untuk menyendiri dan tidak terlibat dalam sebarang interaksi sosial kerana berasa dipermainkan dan dikhianati. Dari sudut komuniti dan ekonomi, penipuan mengurangkan keyakinan terhadap sistem kewangan, urus niaga dalam talian, dan tadbir urus dalam kalangan institusi rasmi. Ini secara tidak langsung boleh menjejaskan produktiviti negara akibat kerugian kewangan yang besar.
Justeru, langkah-langkah pencegahan wajar diambil oleh semua pihak dalam menangani gejala penipuan yang menular ini. Pencegahan penipuan amnya memerlukan pendekatan yang tuntas. Pada peringkat individu, langkah terbaik ialah meningkatkan literasi digital dan kewangan kerana modus operandi penipuan ini acapkali dikaitkan dengan penggunaan platform digital untuk melakukan penipuan.
Masyarakat perlu cakna dan peka tentang tanda-tanda penipuan. Antara petunjuk awal ialah apabila seseorang individu menerima tawaran yang kelihatan terlalu baik untuk menjadi kenyataan, dipaksa untuk membuat keputusan dengan segera, dan permintaan untuk mendapatkan maklumat peribadi atau kata laluan. Tawaran atau permintaan seperti yang dinyatakan ini merupakan perkara yang seharusnya dielakkan dalam segala situasi. Pengguna disarankan untuk bertindak dengan bijak dan tidak terburu-buru. Sebaliknya, ambil masa untuk menyemak dan menganalisis setiap maklumat serta tindakan yang bakal diambil. Sekiranya penipuan ini melibatkan institusi kewangan, pengguna disarankan untuk mengesahkan maklumat yang berkaitan dengan nama syarikat, nombor telefon dan nombor akaun bank di laman sesawang https://semakmule.rmp.gov.my/. Dalam konteks yang lebih besar, semua institusi kewangan dan platform digital perlulah memperkemas polisi dan dasar keselamatan maklumat, memperkukuh sistem keselamatan pelayan-pelanggan melalui mekanisme penyahihan dua faktor (2FA), mempertingkat kaedah pengesanan transaksi yang mencurigakan dan menyekat akaun yang disyaki dengan pantas.
Sebagai intiha, usaha memerangi penipuan yang semakin berleluasa di negara kita menuntut komitmen yang menyeluruh daripada semua entiti masyarakat. Individu bukan sahaja perlu meningkatkan tahap kewaspadaan, malah harus menjadi agen penyebar maklumat dengan mendidik rakan dan keluarga tentang taktik penipuan yang semakin sofistikated. Sektor swasta pula perlu melangkah lebih jauh daripada sekadar pematuhan, dengan melabur secara strategik dalam teknologi keselamatan siber dan membina sistem yang mampu mengesan serta menangkis ancaman secara proaktif. Kerajaan dan agensi penguat kuasa mesti memperkukuh kerangka perundangan dan dasar keselamatan digital agar sentiasa selari dengan evolusi modus operandi penjenayah siber. Hal ini termasuk mempercepat pendakwaan, memperketat hukuman, dan memperluas kerjasama pelbagai agensi domestik dan antarabangsa untuk mengekang sindiket penipuan ini dari berleluasa dalam konteks rentas sempadan. Dengan sinergi yang mantap antara rakyat, sektor swasta dan kerajaan, kita mampu membina benteng digital yang ampuh dan bukan sahaja untuk melindungi kesejahteraan kewangan individu, tetapi juga untuk menjamin kestabilan ekonomi dan keselamatan negara yang lebih holistik.