Residu Antibiotik dalam Makanan: Implikasi, Cabaran dan Peraturan Global
7 Oktober 2025
Residu Antibiotik dalam Makanan: Implikasi, Cabaran dan Peraturan Global
7 Oktober 2025
Ditulis oleh:
Muhamad Firdaus Syahmi Sam-on
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Makanan,
Pusat Inovasi Teknologi Manisan,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Residu antibiotik dalam makanan kini menjadi isu global yang semakin membimbangkan kerana implikasinya terhadap kesihatan manusia dan keselamatan makanan. Penggunaan antibiotik dalam pengeluaran makanan, khususnya dalam ternakan dan akuakultur, diamalkan secara meluas bagi merawat penyakit, mencegah jangkitan serta meningkatkan kadar pertumbuhan haiwan. Namun begitu, amalan ini mengakibatkan kewujudan residu antibiotik dalam produk haiwan seperti susu, daging, telur, udang dan ikan. Keadaan menjadi lebih kritikal apabila terdapat ketidakpatuhan terhadap tempoh penarikan dan had residu maksimum (MRLs), sekali gus meningkatkan risiko pencemaran makanan (Pagano et al., 2025).
Dari sudut kesihatan, pengambilan makanan yang mengandungi residu antibiotik boleh membawa kesan sampingan seperti reaksi alahan, gangguan sistem penghadaman, serta komplikasi lebih serius termasuk kerosakan buah pinggang, kerosakan hati dan risiko kanser. Namun begitu, kebimbangan terbesar adalah kemunculan bakteria yang kebal antibiotik, yang berpotensi dipindahkan kepada manusia. Hal ini boleh menyebabkan rawatan penyakit menjadi kurang berkesan, jangkitan berlarutan, peningkatan kadar kemasukan ke hospital, serta kadar kematian yang lebih tinggi. Residu antibiotik juga memberi impak terhadap alam sekitar kerana ia boleh mencemari tanah dan air melalui perkumuhan haiwan atau pelupusan yang tidak terkawal, sekali gus mempercepatkan penyebaran bakteria kebal antibiotik dalam ekosistem.
Bagi mengawal isu ini, pelbagai negara telah melaksanakan dasar dan peraturan masing-masing. Di Amerika Syarikat, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) telah melaksanakan larangan penuh penggunaan antibiotik penting untuk tujuan pemacu pertumbuhan sejak 2017 (Sneeringer et al., 2020). Melalui Veterinary Feed Directive (VFD), setiap penggunaan antibiotik dalam makanan ternakan memerlukan pengawasan veterinar, manakala Guidance for Industry (GFI) #213 mewajibkan antibiotik penting untuk manusia hanya boleh digunakan dalam ternakan dengan kebenaran rasmi Dillon & Jackson-Smith, 2021). Usaha ini berjaya menurunkan jualan antibiotik penting sebanyak 43% antara 2015 hingga 2017, walaupun beban dokumentasi meningkat. Kesatuan Eropah pula menguatkuasakan kawalan ketat melalui penetapan MRLs, pelan pemantauan nasional dan larangan penggunaan antibiotik tertentu sebagai pemacu pertumbuhan, walaupun isu pematuhan antara negara anggota kekal sebagai cabaran utama (Lipińska, 2020). Di Amerika Selatan, negara seperti Argentina, Brazil, Chile, Colombia dan Uruguay melarang penggunaan antibiotik kritikal untuk pertumbuhan haiwan serta memperkenalkan garis panduan pengurangan penggunaan terapeutik, tetapi aspek pengedaran dan pelupusan masih perlu diperkukuh. Sementara itu, India masih berada di peringkat awal dengan kawalan yang lemah, menyebabkan kadar residu antibiotik yang tinggi dalam makanan serta peningkatan patogen kebal antibiotik.
Malaysia turut mengambil langkah serius dalam menangani isu ini. Penggunaan antibiotik dikawal melalui National Antimicrobial Guidelines (NAG 2014 dan NAG 2019) yang menekankan amalan rasional dan berhemat (Lim et al., 2024). NAG 2019 khususnya meningkatkan ketepatan preskripsi antibiotik serta mengurangkan kadar penggunaannya. Dalam sektor akuakultur, penggunaan antibiotik bagi udang dan ikan dipantau dengan ketat, meskipun kajian menunjukkan tahap rintangan bakteria di persekitaran akuakultur masih tinggi. Malaysia juga mempunyai peraturan khas berkaitan probiotik dalam makanan dan suplemen kesihatan, dengan senarai mikroorganisma yang diluluskan bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan penggunaannya. Walau bagaimanapun, cabaran besar masih wujud, termasuk tahap kesedaran awam yang rendah, amalan penternak yang tidak wajar, kadar penggunaan antibiotik lebih tinggi di sektor swasta berbanding sektor awam, serta isu pelupusan antibiotik yang tidak terkawal. Oleh itu, Malaysia disarankan mengamalkan pendekatan One Health yang menyatukan kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar bagi mengawal rintangan antimikrob secara menyeluruh.
Dari sudut teknikal, pelbagai kaedah canggih seperti kromatografi cecair-spektrometri jisim (LC-MS) dan kromatografi cecair prestasi tinggi (HPLC) digunakan untuk mengesan residu antibiotik dalam makanan, memastikan pematuhan kepada MRLs dan mengenal pasti antibiotik yang dilarang. Di samping itu, pendekatan praktikal seperti menggalakkan penggunaan antibiotik secara bertanggungjawab melalui pendidikan, latihan dan penguatkuasaan undang-undang perlu diperkasa. Alternatif lain seperti penggunaan probiotik, terapi bakteriofaj dan ekstrak tumbuhan juga boleh mengurangkan kebergantungan terhadap antibiotik. Pemprosesan makanan yang betul seperti memasak sempurna mampu menurunkan tahap residu, walaupun kaedah seperti pembekuan didapati kurang berkesan. Kesedaran pengguna turut memainkan peranan penting kerana permintaan terhadap produk bebas antibiotik semakin mendorong perubahan dalam industri.
Kesimpulannya, kehadiran residu antibiotik dalam makanan memberi kesan serius terhadap kesihatan manusia, keseimbangan ekosistem dan mempercepatkan masalah global rintangan antibiotik. Langkah tegas FDA di Amerika Syarikat, kawalan ketat EU, serta pelaksanaan garis panduan NAG di Malaysia menunjukkan komitmen dalam menangani isu ini, namun cabaran dari segi pematuhan, kesedaran awam dan amalan petani masih wujud. Justeru, penyelesaian menuntut pendekatan menyeluruh yang menggabungkan penguatkuasaan undang-undang, penggunaan antibiotik secara berhemat, pembangunan alternatif lebih selamat serta kerjasama antarabangsa berlandaskan prinsip One Health. Hanya dengan usaha kolektif melibatkan saintis, penggubal dasar, industri, petani dan pengguna, keselamatan makanan dan kesejahteraan kesihatan awam dapat dipelihara.
Rujukan
Lim, A. H., Ab Rahman, N., Ong, S. M., Mohamad Azman, S. R., Mohd Rathi, F. Z., Ismail, M., & Sivasampu, S. (2024). Impact evaluation of guidelines on antibiotic utilisation & appropriateness in Malaysian public primary care: an interrupted time series analysis. Journal of Pharmaceutical Policy and Practice, 17(1), 2355666.
Sneeringer, S., Short, G., MacLachlan, M., & Bowman, M. (2020). Impacts on livestock producers and veterinarians of FDA policies on use of medically important antibiotics in food animal production. Applied Economic Perspectives and Policy, 42(4), 674-694.
Dillon, M. E., & Jackson-Smith, D. (2021). Impact of the veterinary feed directive on Ohio cattle operations. PloS one, 16(8), e0255911.
Lipińska, I. (2020). Prawna problematyka stosowania antybiotyków w produkcji zwierzęcej. Przegląd prawa rolnego, (1 (26), 163-177.
Pagano, C., Puccetti, M., Perioli, L., Imbriano, A., Carloni, C., Diamanti, I., ... & Fioroni, L. (2025). Monitoring of antibiotic residues in muscles, milk and eggs of food-producing animals in Umbria and Marche regions (Central Italy) during the period time 2012-2021. Annali dell'Istituto Superiore di Sanità, 61(1), 50-60.