Dron di Sawah: Inovasi Pintar Mengubah Wajah Pertanian Malaysia
21 Oktober 2025
Dron di Sawah: Inovasi Pintar Mengubah Wajah Pertanian Malaysia
21 Oktober 2025
Ditulis oleh:
Dr. Nor Diana Mohd Idris
Pensyarah
Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI),
Universiti Kebangsaan Malaysia
Di hamparan sawah padi Malaysia, bunyi desiran kecil kini menggantikan suara petani yang dahulunya menyembur baja dan racun secara manual. Dari kejauhan, kelihatan dron berlegar rendah di atas bendang, menyembur baja dengan ketepatan dan kecekapan tinggi. Inilah wajah baharu pertanian negara yang semakin memanfaatkan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi memastikan kelestarian pengeluaran makanan dan kesejahteraan petani terus terjamin. Teknologi Unmanned Aerial Vehicles (UAVs) atau lebih dikenali sebagai dron merujuk kepada pesawat udara tanpa juruterbang yang dikendalikan sama ada melalui alat kawalan jauh atau sistem alat pandu-automatik (autopilot). Dron beroperasi dengan menggunakan prinsip aerodinamik yang membolehkannya terbang pada pelbagai ketinggian dan kelajuan bergantung kepada reka bentuk serta fungsinya. Dahulunya, teknologi ini banyak digunakan dalam bidang ketenteraan, keselamatan, penyelidikan saintifik, kejuruteraan dan industri pembinaan. Namun kini, fungsi dron semakin berkembang luas, termasuk dalam bidang agroteknologi, yang memainkan peranan penting dalam mengubah cara petani mengurus, memantau dan meningkatkan hasil pertanian secara lebih efisien dan lestari.
Dron pertanian bukan sekadar mesin terbang, tetapi sistem pintar yang menggabungkan pelbagai cabang ilmu. Melalui kamera beresolusi tinggi dan penderiaan multispektrum, dron mengimbas tahap kesihatan tanaman dan kelembapan tanah, sementara algoritma kecerdasan buatan (AI) menganalisis kawasan yang memerlukan rawatan. Data dihantar ke sistem cloud computing untuk membantu petani membuat keputusan berdasarkan bukti saintifik (Gupta et al., 2022). Dari aspek kejuruteraan, reka bentuk aerodinamik dan muncung automatik membolehkan semburan baja dan racun lebih tepat dan sekata (Ali et al., 2023). Teknologi ini membantu mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan tenaga buruh dan memberi ruang serta peluang kepada generasi muda untuk terlibat dalam pertanian moden.
Rajah 1: Sawah padi sebagai ekosistem pertanian dan inovasi teknologi negara.
Sumber: kredit kepada Kelvin Tan
Penggunaan dron dalam sektor pertanian di Malaysia semakin terbukti membawa pelbagai manfaat dari segi kecekapan, keselamatan dan kelestarian pengeluaran. Melalui keupayaan menyembur racun, baja dan benih secara automatik serta seragam, teknologi ini membantu mengurangkan penggunaan input pertanian seperti air, baja dan racun kimia sehingga 30 peratus berbanding kaedah tradisional. Dron juga mempercepatkan kerja lapangan sehingga 70 peratus untuk ukuran satu hektar sawah boleh disembur dalam masa kurang daripada 15 minit berbanding hampir dua jam jika dilakukan secara manual.
Dari aspek kesihatan dan keselamatan, penggunaan dron mengurangkan pendedahan petani kepada bahan kimia berbahaya serta mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja fizikal terutama dalam kalangan petani berusia. Bagi petani muda dan usahawan tani moden, teknologi ini membuka peluang perniagaan baharu dalam perkhidmatan penyemburan dan pemantauan tanaman berasaskan data digital.
Beberapa projek perintis yang dijalankan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia dan syarikat tempatan seperti Aerodyne Group menunjukkan peningkatan hasil antara 10 hingga 20 peratus di beberapa kawasan jelapang padi utama termasuk Kedah, Perak dan Terengganu. Kajian MARDI (2023) mendapati hasil padi meningkat sehingga 12 tan sehektar berbanding purata nasional enam tan sehektar. Kejayaan ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti dan pendapatan petani tetapi turut menjadikan sawah kini menjadi makmal inovasi terbuka bagi teknologi pertanian pintar.
Rajah 2: Petani muda mengawal dron berasaskan AI dan IoT untuk pemantauan tanaman
Sumber: Teknologi AI
Rajah 3: Dron menyembur baja dengan ketepatan tinggi, mengurangkan kos dan masa kerja.
Sumber: Teknologi AI
Kemajuan ini juga mendorong penggunaan Internet Pelbagai Benda (IoT) dan AI secara meluas. Sensor tanah memantau kelembapan, manakala dron menghantar imej masa nyata untuk mengesan penyakit atau kekurangan nutrien tanaman (Dwiyanto et al., 2022). AI menganalisis imej tersebut bagi mengenal pasti corak pertumbuhan tanaman dan mencadangkan tindakan tepat seperti jadual penyiraman dan kadar baja (Nurul Ayni et al., 2025). Melalui konsep pertanian berasaskan data, petani bukan lagi bergantung pada tekaan, tetapi pada maklumat saintifik.
Inovasi ini juga menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) seperti SDG 2 (Kelaparan Sifar), dengan dron membantu meningkatkan hasil padi dan kecekapan pengeluaran makanan. Kedua, SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur), melalui pertumbuhan industri teknologi tempatan yang mencipta peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan dan analisis data. Ketiga, SDG 15 (Kelestarian Ekosistem Daratan), kerana semburan tepat mengurangkan pencemaran air dan melindungi biodiversiti sawah (Dey et al., 2025).
Namun, cabaran masih wujud iaitu kos pembelian dron yang tinggi, antara RM25,000 hingga RM50,000 seunit, telah menjadi halangan kepada petani kecil. Pengendali dron juga perlu mendapat lesen daripada Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM), selain menghadapi kekurangan kemahiran teknikal dan capaian internet di luar bandar (Sundar et al., 2023). Kerajaan disaran memperluaskan pusat latihan dan skim sewaan koperasi, sementara universiti dan syarikat teknologi tempatan seperti Aerodyne Group wajar meneruskan kerjasama dalam penyelidikan pertanian pintar.
Kesimpulannya, dron telah mengubah landskap pertanian bukan hanya meningkatkan hasil pengeluaran beras negara, tetapi memodenkan cara berfikir. Petani kini bukan sekadar penanam, tetapi juga pengguna teknologi yang berpengetahuan. Dengan sains sebagai panduan dan teknologi sebagai alat, sawah Malaysia bukan lagi sekadar tanah pertanian, tetapi simbol masa depan lestari di mana manusia, teknologi dan alam berganding bahu demi kelestarian penghidupan dan keterjaminan makanan negara.
Rujukan
Ali, M., Rahman, F., & Omar, S. Z. (2023). Technological readiness and adoption of agricultural drones among Malaysian paddy farmers. Journal of Agricultural Technology and Innovation, 12(3), 45–58.
Gupta, R., Sharma, P., & Singh, A. (2022). Applications of unmanned aerial vehicles in precision agriculture: A review. Computers and Electronics in Agriculture, 200, 107206. https://doi.org/10.1016/j.compag.2022.107206
MARDI. (2023). Laporan penggunaan dron dalam penanaman padi di Sekincan. Malaysian Agricultural Research and Development Institute.
Nurul Ayni, M.F., Mustaza, S.M., Zainal, N., Zaman, M.M. H. & Moubark, S.M. 2025. Artificial Intelligence in Precision Agriculture: A Review. Jurnal Kejuruteraan. 37(2). http://doi.org/10.17576/jkukm-2025-37(2-28.
Dwiyanto, S., Erni K., Hidayat, D.R. & Sulistiyono. (2022). Smart Agriculture Monitoring Penyiraman Tanaman Berbasis Internet of Things. Jurnal PROSISKO. 9(1).
Sundar, C. & Asokhan, Murugan & Chandrasekaran, Karthikeyan. (2023). Adoption of Drones in Agriculture: Social, Economic and Personal Factors. International Journal of Environment and Climate Change. 13. 587-597. http://doi.org/10.9734/ijecc/2023/v13i81987
Dey, S., Dhar, A., Mondal, S., Adak, S., Bhaduri, A., & Chatterjee.S. 2025. Impacts of Drones on Enhancing the Precision, Efficiency, and Sustainability of Agricultural System. Vigyan Varta 6 920: 213-222.