Bertahan Tanpa Plastik: Mampukah Pulpa Menjadi Jawapan?
23 Oktober 2025
Bertahan Tanpa Plastik: Mampukah Pulpa Menjadi Jawapan?
23 Oktober 2025
Ditulis oleh:
Dr. Farah Nadia Mohammad Padzil
Pensyarah
Jabatan Fizik Gunaan,
Fakulti Sains & Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Dr. Chen Ruey Shan
Pensyarah
Jabatan Fizik Gunaan,
Fakulti Sains & Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Pencemaran plastik kini menjadi antara isu alam sekitar paling meluas di dunia. Dari sisa pembungkus yang memenuhi tapak pelupusan hingga mikroplastik yang ditemui di lautan, dalam makanan, dan juga tubuh manusia menyumbang kepada kebimbangan sejagat seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1. Dalam menghadapi krisis ini, para penyelidik dan industri semakin giat mencari bahan alternatif yang lebih mesra alam. Salah satu potensi bahan yang semakin mendapat perhatian ialah pulpa. Ia merupakan bahan gentian semula jadi daripada tumbuhan yang boleh diperbaharui dan boleh terurai. Tetapi, mampukah pulpa benar-benar menjadi penyelesaian untuk dunia tanpa plastik?
Rajah 1: Sumbangan plastik kepada isu global
Apa itu Pulpa dan Mengapa ia Penting?
Pulpa ialah bahan berserat yang diperoleh daripada kayu, kertas kitar semula, atau sisa pertanian. Secara tradisional, ia digunakan untuk menghasilkan kertas dan produk seperti bekas telur atau dulang minuman. Namun, kemajuan dalam sains bahan telah memberi nafas baharu kepada pulpa sebagai alternatif mesra alam bagi menggantikan pembungkusan plastik seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 2. Berbanding plastik berasaskan petroleum, pulpa bersifat boleh diperbaharui dan mudah terurai. Ia akan terurai secara semula jadi dalam keadaan kompos tanpa meninggalkan sisa berbahaya. Kajian menunjukkan bahawa produk berasaskan pulpa acuan mempunyai jejak karbon yang lebih rendah berbanding plastik apabila dihasilkan secara lestari. Selain itu, pulpa juga boleh dikitar semula dan sesuai dimasukkan dalam sistem kitar semula kertas sedia ada, menjadikannya sebahagian daripada ekonomi kitaran, dengan bahan digunakan semula berulang kali dan bukannya dibuang selepas sekali pakai.
Rajah 2: Pembungkus makanan diperbuat daripada pulpa
Pulpa Mendominasi Bidang Sedia Ada sebagai Pengganti Plastik
Pembungkusan Makanan dan Minuman
Pulpa kini digunakan untuk menghasilkan bekas makanan, pinggan, dan kotak pembungkusan yang boleh dikompos. Produk ini bukan sahaja selamat dan boleh diperbaharui, tetapi juga bebas toksik. Namun begitu, pulpa asli mudah menyerap air, minyak dan lembapan, menjadikannya kurang sesuai untuk makanan berkuah atau berminyak. Bagi mengatasi hal ini, penyelidik sedang membangunkan salutan biodegradasi seperti lilin semula jadi atau polimer berasaskan tumbuhan yang dapat meningkatkan ketahanan pulpa terhadap kelembapan.
Pembungkusan Perlindungan dan e-Dagang
Pulpa juga semakin digunakan dalam pembungkusan pelindung bagi menggantikan styrofoam atau plastik penyerap hentakan. Produk berasaskan pulpa dapat melindungi barangan elektronik, kosmetik dan kaca dengan baik kerana sifatnya yang kukuh serta boleh dibentuk mengikut reka bentuk produk.
Pertanian dan Hortikultur
Dalam bidang pertanian, pasu dan dulang semaian pulpa semakin popular. Bekas ini boleh terus ditanam bersama pokok dan akan terurai dalam tanah, sekali gus mengurangkan penggunaan pasu plastik. Ini juga membantu pertumbuhan akar tanaman dengan lebih baik.
Penggunaan oleh Syarikat Global
Beberapa jenama terkenal kini mula menggunakan pembungkusan berasaskan pulpa sebagai sebahagian daripada strategi kelestarian mereka. Contohnya, jenama terkenal telefon pintar dan barangan elektronik Apple telah menggantikan dulang plastik dalam bungkusan produknya dengan pulpa acuan, manakala syarikat minuman sedang menguji botol kertas dan pembungkus luar berasaskan pulpa.
Cabaran dalam Penggunaan Pulpa secara Meluas
Walaupun mempunyai kelebihan dari segi alam sekitar, penggunaan pulpa masih berhadapan beberapa halangan teknikal dan ekonomi.
Sensitiviti Terhadap Kelembapan dan Ketahanan
Pulpa bersifat hidrofilik, iaitu mudah menyerap air. Hal ini mengehadkan penggunaannya dalam pembungkusan cecair atau persekitaran lembap melainkan ia disalut dengan bahan khas. Namun, sesetengah salutan ini boleh menyukarkan proses kitar semula atau pelupusan secara kompos, sekali gus menjejaskan kelebihan alam sekitar pulpa.
Kos dan Penggunaan Tenaga
Proses penghasilan pulpa acuan memerlukan tenaga yang tinggi, terutamanya pada peringkat pengeringan. Walaupun teknologi baharu sedang dibangunkan untuk meningkatkan kecekapan tenaga, plastik masih jauh lebih murah dan cepat dihasilkan dalam skala besar.
Kekuatan dan Fleksibiliti
Pulpa juga kurang tahan lasak berbanding plastik, terutamanya apabila basah. Untuk menangani masalah ini, penyelidik menggunakan nanoselulosa sebagai bahan penguat untuk meningkatkan kekuatan dan ketahanan pulpa tanpa menjejaskan kebolehuraiannya.
Inovasi Baharu dalam Dunia Pulpa
Masa depan pulpa dilihat cerah dengan pelbagai inovasi baharu. Penyelidik kini meneroka penggunaan sisa pertanian seperti sekam padi, tandan kosong kelapa sawit, hampas tebu dan jerami gandum sebagai sumber gentian untuk menghasilkan pulpa. Langkah ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada kayu, tetapi juga menambah nilai kepada sisa pertanian yang sering dibuang.
Selain itu, penyelidik turut membangunkan salutan kalis air berasaskan bahan semula jadi yang mampu mengekalkan ciri biodegradasi. Dengan sokongan dasar kerajaan dan peningkatan permintaan pengguna terhadap pembungkusan hijau, teknologi pulpa dijangka berkembang dengan lebih pesat dalam dekad akan datang.
Kesimpulan dan Prospek Masa Hadapan
Secara realistik, pulpa mungkin tidak akan menggantikan semua jenis plastik, terutamanya dalam aplikasi yang memerlukan ketelusan, kelenturan tinggi, atau jangka hayat panjang. Namun, dalam sektor produk pakai buang dan pembungkusan jangka pendek, pulpa mampu mengurangkan penggunaan plastik secara ketara.
Peralihan kepada bahan berasaskan pulpa menandakan langkah penting ke arah ekonomi rendah karbon dan pengurangan pergantungan terhadap bahan berasaskan fosil. Dengan peningkatan kecekapan pengeluaran, penambahbaikan salutan biodegradasi, dan sistem kitar semula yang lebih baik, pulpa berpotensi menjadi tonggak utama dalam perjuangan menentang pencemaran plastik.
Untuk bertahan tanpa plastik, dunia memerlukan kombinasi inovasi bahan, pengurangan penggunaan, dan pengurusan sisa yang lebih berkesan. Pulpa mungkin bukan penyelesaian sempurna, tetapi ia membuktikan bahawa bahan semula jadi yang telah lama wujud mampu menjadi sebahagian daripada penyelesaian moden. Dengan penyelidikan berterusan, sokongan industri, dan kesedaran masyarakat, pulpa boleh membantu membina masa depan yang lebih bersih dan lestari untuk generasi akan datang sekali gus menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab).
Rujukan
Zhang, Y., Duan, C., Bokka, S.K., He, Z. & Ni, Z. (2022). Molded fiber and pulp products as green and sustainable packaging materials. Journal of Biouresource and Bioproducts, 7, 14-25.
Gan, S., Chen, R.S., Padzil, F.N.M., Moosavi, S., Tarawneh, M.A., Loh, S.K. & Idris, Z. (2023). Potential valorization of oil palm fiber in versatile applications towards sustainability: A review. Industrial Crops and Products, 199, 116763.
Lacourt, C., Mukherjee, K., Garthoff, J., O’Sullivan, A., Meunier, L. & Fattori, V. (2024). Recent and emerging food packaging alternatives: Chemical safety risks, current regulations, and analytical challenges. Comprehensive Reviews in Food Science and Food Safety, 23(6), e70059.