Keunikan Lumbah Rimba untuk Landskap dan Ubatan Tradisional
1 November 2025
Keunikan Lumbah Rimba untuk Landskap dan Ubatan Tradisional
1 November 2025
Ditulis oleh:
Prof. Dr. Zamri Bin Zainal
Pensyarah
Jabatan Sains Biologi & Bioteknologi,
Fakulti Sains & Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Prof. Dr. Noraini Talip
Pensyarah
Jabatan Sains Biologi & Bioteknologi,
Fakulti Sains & Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Curculigo latifolia (Dryand. ex W.T.Aiton), dikenali dengan nama tempatannya sebagai lemba, lumbah rimba atau kelapa bukit (Rajah 1). Manakala nama vernakularnya ialah weevil lily. Nama botani yang sinonim bagi spesies ini ialah Molineria latifolia (Dryand. ex W.T.Aiton) (Herb. ex Kurz.) Julat asli taburan spesies ini adalah dari negara China (Guangdong) hingga Malesia. Istilah “Malesia” merujuk kepada satu kawasan biogeografi yang meliputi beberapa wilayah di Asia Tenggara dan Australasia. Terminologi untuk kawasan ini digunakan terutamanya dalam bidang botani untuk menggambarkan kawasan yang mempunyai ciri flora yang hampir sama. Secara umum, kawasan Malesia ini merangkumi Semenanjung Tanah Melayu atau Semenanjung Malaysia (termasuk juga Malaysia Timur dan Thailand selatan), Kepulauan Indonesia, Filipina, Papua New Guinea, termasuk Timor dan Borneo keseluruhan.
Rajah 1: Curculigo latifolia, juga dikenali sebagai lemba, lumbah rimba atau kelapa bukit
Spesies ini merupakan tumbuhan herba saka yang banyak ditemui di Asia Tenggara. Ia adalah spesies tumbuhan berizom yang gemarkan persekitaran atau habitat yang lembap. Spesies ini berada dalam famili Hypoxidaceae dan terkenal di kalangan masyarakat orang kampung dan orang asli akan khasiat ubatannya. Ia tumbuh subur di hutan hujan tropika, terutamanya di kawasan lembap yang terlindung daripada cahaya matahari secara langsung. Seringkali juga disalahtafsirkan sebagai pokok palma kerana ciri daunnya yang menyerupai sesetengah spesies palma dengan daunnya yang mempunyai peruratan selari yang jelas dan menonjol (Rajah 2).
Artikel ini akan mengupas mengenai ciri morfologi, habitat, kepentingan etnobotani, peranan ekologi, kaedah penanaman dan pembiakan, kesesuaian spesies ini sebagai tanaman hiasan, status pemuliharaan, dan potensi lemba untuk dipelihara atau dipulihara dalam pembangunan secara mampan dan lestari.
Rajah 2: Daun Curculigo latifolia dengan corak peruratan selari
Rajah 3: Bunga pokok lumbah rimba
Ciri Morfologi
Lumbah rimba merupakan herba saka yang mempunyai ciri pertumbuhan yang unik. Daunnya besar dan melengkung menyerupai pelepah kelapa muda, berukuran 30 –105 cm panjang dan 5–15 cm lebar. Daun ini tumbuh dari pangkal tumbuhan, dengan pola urat daun yang jelas dan tekstur yang sedikit kasar. Sesetengah varieti menunjukkan warna keunguan di bahagian bawah daun. Spesies ini mempunyai bunga kecil berwarna kuning, yang tumbuh pada tangkai pendek berhampiran tanah (Rajah 3). Bunganya bersimetri radial (aktinomorfik) dan sering dikerumuni oleh serangga. Buahnya berbentuk kapsul bujur berwarna putih, ditutupi bulu halus, dan mengandungi banyak biji kecil. Buah ini boleh dimakan dan berpotensi digunakan sebagai pemanis semula jadi. Lumbah rimba membiak melalui rizom bawah tanah.
Lumbah rimba lebih sesuai hidup di kawasan yang separa atau sepenuhnya teduh, atau di bawah teduhan kanopi hutan atau pokok lain, memerlukan tanah lembap dengan saliran baik serta kaya dengan bahan organik, dan tumbuh secara semula jadi di hutan tanah rendah, kawasan berbukit, dan hutan sekunder. Ia mampu bertahan dalam persekitaran yang sangat lembap dan sesuai dengan iklim tropika.
Habitat dan Taburan
Lumbah rimba banyak ditemui di Asia Tenggara, termasuk di Malaysia, Indonesia, Thailand, Myanmar, Filipina, dan China Selatan. Ia tumbuh dalam ekosistem hutan hujan tropika, dan berkembang di persekitaran lembap yang teduh, seperti bawah lapisan hutan dan tebing sungai. Spesies ini memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekologi hutan hujan tropika. Bunganya menarik banyak spesies serangga seperti lebah, kumbang, dan lalat. Sistem akar serabut yang banyak dan kuat mencengkam tanah membantu mengelakkan hakisan tanah di kawasan berbukit dan berhutan. Rizomnya menyediakan habitat untuk aktiviti mikroorganisma, memperkayakan kesuburan tanah dan kitaran nutrien.
Kaedah Penanaman dan Pembiakan
Lumbah rimba mudah ditanam dalam persekitaran yang mempunyai tanah yang subur, kaya dengan bahan organik, dan mempunyai saliran yang baik. Jika spesies ini ditanam maka penyiraman yang mencukupi adalah penting bagi mengekalkan kelembapan tanah, namun tidak boleh dibiarkan terendam dalam air bertakung. Spesies ini juga lebih sesuai ditanam di bawah naungan separa kerana cahaya matahari langsung dan berlebihan boleh merosakkan daunnya.
Kaedah pembiakan lumbah rimba boleh menggunakan sama ada rizom ataupun biji benih, ataupun kedua-duanya sekali. Pembiakan melalui rizom lebih berkesan dan pantas kerana rizom dapat bercambah dengan mudah di dalam tanah yang lembap (Rajah 4). Manakala, biji benih pula mengambil masa lebih lama untuk bercambah dan memerlukan persekitaran yang stabil. Amalan pemangkasan daun tua dan rosak juga perlu dilakukan bagi membantu menggalakkan pertumbuhan yang lebih sihat, cepat dan subur.
Rajah 4: Pembiakan lumbah rimba
Potensi Penggunaan dalam Landskap Hijau
Spesies ini mempunyai potensi besar untuk diaplikasikan dalam pembangunan landskap hijau bandar kerana sifatnya yang tahan terhadap keadaan teduh dan penyelenggaraan yang rendah. Ia sesuai untuk ditanam di taman awam, lorong hijau, taman bumbung, dan bawah kanopi pokok besar. Tumbuhan ini juga dapat menyerap karbon dioksida dan menapis udara, menjadikannya sesuai dalam usaha penghijauan bandar. Selain itu, dalam pemulihan tanah lembap, sistem rizomnya yang luas membantu menstabilkan tanah dan mencegah hakisan. Ia juga berpotensi digunakan dalam sistem bio-remediasi untuk menyerap nutrien berlebihan dalam air dan mengurangkan pencemaran.
Analisis Fitokimia dan Kandungan Nutrisi
Kajian menunjukkan lumbah rimba mengandungi flavonoid, saponin, alkaloid, tanin, dan terpenoid yang memberikan sifat terapeutik. Buahnya mengandungi curculin, protein pemanis semula jadi yang boleh menjadi alternatif kepada pemanis tiruan. Daunnya pula mengandungi karotenoid dan mineral penting seperti kalsium dan magnesium. Daripada segi sifat farmaseutikal, kajian makmal menunjukkan bahawa ekstraknya mempunyai aktiviti antioksidan yang kuat dan dapat menghalang pertumbuhan bakteria patogen seperti Staphylococcus aureus dan Escherichia coli. Ini mengambarkan potensi besar dalam perubatan dan penghasilan produk farmaseutikal semula jadi. Di samping itu, buahnya terkenal dengan kemanisan semula jadi kerana mengandungi Curculin, sejenis protein pengubah rasa. Curculin berupaya meningkatkan persepsi rasa manis, menjadikan makanan masam terasa manis, dan berpotensi digunakan dalam industri makanan sebagai alternatif kepada pemanis tiruan. Dalam beberapa masyarakat, pucuk muda atau daun kadangkala digunakan sebagai sayuran.
Bagi komuniti luar bandar, daunnya digunakan untuk membungkus makanan dan bahan persembahan tradisional. Serat daripada daun boleh diproses menjadi tali atau benang, manakala nelayan tradisional menggunakan serat daripada daun untuk membuat jala dan perangkap ikan.
Aspek Etnobotani
Lumbah rimba sangat bernilai dalam perubatan tradisional kerana mengandungi sebatian bioaktif. Rebusan rizom digunakan untuk merawat menorrhagia (pendarahan haid berlebihan) dan ophthalmia (radang mata). Daun yang ditumbuk dijadikan ubat sapuan untuk luka dan jangkitan kulit. Ekstrak daripada akar digunakan sebagai tonik untuk kesihatan umum dan mengurangkan demam. Spesies ini dipercayai mempunyai sifat anti-radang dan antioksidan.
Kesimpulan
Kesimpulannya, lumbah rimba bukan sahaja penting dalam ekosistem hutan hujan tropika tetapi juga mempunyai pelbagai aplikasi dalam pemuliharaan, pertanian lestari, dan industri farmaseutikal. Keunikan tumbuhan ini dalam menghasilkan sebatian bioaktif seperti Curculin menjadikannya berpotensi dalam industri makanan sebagai pemanis semula jadi. Selain itu, sifatnya yang mampu menyerap karbon dioksida dan menyaring udara menjadikannya aset penting dalam pembangunan landskap hijau bandar dan sistem agroperhutanan. Dengan peranan penting dalam menstabilkan tanah, mengurangkan hakisan, dan menyokong biodiversiti serangga pendebunga, tumbuhan ini juga mempunyai nilai dalam pemuliharaan ekologi. Kajian lanjut perlu dilakukan untuk memahami sepenuhnya mekanisme biokimia yang terlibat dalam kesan terapeutiknya serta untuk meneroka potensi penggunaannya dalam pembangunan produk farmaseutikal, kosmetik semula jadi, dan industri pertanian lestari. Secara amnya, lemba adalah tumbuhan luar biasa yang berpotensi menyumbang kepada pelbagai bidang termasuk perubatan, pemakanan, pertanian, dan pemuliharaan alam sekitar. Dengan usaha pemuliharaan dan penyelidikan berterusan, spesies ini dapat dimanfaatkan dengan lebih meluas untuk kegunaan masa depan yang lebih lestari.
Rujukan:
Amanina Yusrina, T., Hartini, M.Y., Norhayati, A., Masayoshi, A. & Fairuzeta J. 2023. An investigation into the phytochemical content and antioxidant, antidiabetic, and wound-healing activities of Curculigo latifolia found in Brunei Darussalam. The Scientific World Journal. https://doi.org/10.1155/2024/5656744
Farr, E. & Kyi, D.Y.Y. 2003. A Checklist of the Trees, Shrubs, Herbs and Climbers of Myanmar. Contributions from the United States National Herbarium 45: 1-590.
Karthikeyan, S., Jain, S.K., Nayar, M.P. & Sanjappa, M. 1989. Florae Indicae Enumeratio: Monocotyledonae: 1-435. Botanical Survey of India, Calcutta.
Kress, W.J., DeFilipps, R.A. 2006. Vascular Plant Life Checklist Pulau Ubin www.nparks.gov.sg/nparks_cms/cms/cmsmgr/data/6/PlantChkList.xls.
Nazlina, S. 2005. Lemba (Curculigo latifolia) leaf as a new materials for textiles. 4th International Symposium on Environmentally Conscious Design and Inverse Manufacturing, page 109-111.
Syamsu, N., Heri, S., Muhammad, H. & Berna, E. 2023. Phytochemical composition, antioxidant, in vitro and in silico studies of active compounds of Curculigo latifolia extracts as a promising elastase inhibitor. Saudi Journal of Biological Sciences 30(8) 103716. https://doi.org/10.1016/j.sjbs.2023.103716
Syamsu, N., Heri, S., Muhammad, H. & Berna, E. 2024. Pharmacognostical and phytochemical studies and biological activity of Curculigo latifolia plant organs for natural skin-whitening compound candidate. The Scientific World Journal. https://doi.org/10.1155/2023/5785259