Makanan Kita, Alam Kita: Teknologi Hijau Penyelamat Bumi
19 November 2025
Makanan Kita, Alam Kita: Teknologi Hijau Penyelamat Bumi
19 November 2025
Ditulis oleh:
Dr. Norhidayah Suleiman
Pensyarah Kanan
Fakulti Sains dan Teknologi Makanan,
Universiti Putra Malaysia
Tahukah anda bahawa setiap hidangan yang kita nikmati daripada nasi lemak di pagi hari hingga kek lapis di petang hari sebenarnya melalui pelbagai proses teknologi yang kompleks di kilang makanan? Namun, di sebalik kemajuan ini, terdapat satu cabaran besar yang perlu kita tangani bersama iaitu pencemaran alam sekitar akibat aktiviti pemprosesan makanan. Proses seperti pengeringan, pembungkusan, dan penghantaran menghasilkan pelepasan gas rumah hijau serta menggunakan tenaga dalam jumlah yang tinggi. Jika tidak dikawal dengan baik, kesan ini boleh menjejaskan ekosistem bumi dan seterusnya memberi impak negatif kepada kesihatan manusia serta keselamatan makanan global.
Rentetan itu, istilah teknologi hijau sering kedengaran, tetapi apakah maksud teknologi hijau? Teknologi hijau bermaksud kaedah, sistem, atau teknologi yang digunakan bagi mengurangkan kesan negatif terhadap alam sekitar. Dalam industri makanan, pendekatan ini bertujuan untuk mengimbangi keperluan manusia dengan kelestarian alam, memastikan makanan yang dihasilkan bukan sahaja selamat dan berkualiti, tetapi juga mesra alam dan mampan. Antara prinsip utama teknologi hijau termasuk penggunaan tenaga secara cekap, pengurangan bahan kimia berbahaya, pengurusan sisa makanan secara lestari, dan penerapan konsep ekonomi kitaran (circular economy).
Salah satu contoh teknologi hijau yang semakin mendapat sambutan dikalangan pengusaha industri makanan ialah ekstraksi menggunakan karbon dioksida superkritikal (SC-CO₂). Kaedah ini digunakan untuk mengekstrak minyak pati, pewarna semula jadi, atau bahan bioaktif daripada tumbuhan tanpa menggunakan pelarut kimia. Proses ini menjamin produk yang lebih tulen dan berkualiti, sambil mengurangkan pencemaran sisa kimia. Sebagai contoh, penghasilan kopi tanpa kafein (Rajah 1) dan minyak pati aromatik kini banyak menggunakan SC-CO₂ kerana lebih selamat dan mesra alam. Inilah bukti bahawa kemajuan teknologi boleh seiring dengan penjagaan alam sekitar.
Rajah 1: Contoh-contoh kopi tanpa kafein di pasaran
(Sumber: www.decadentdecaf.com)
Rajah 2: Penjana tenaga elektrik, mampu menurunkan jejak karbon
(Sumber: my.greenhouse-china.com)
Selain itu, kecekapan penggunaan tenaga menjadi elemen penting dalam amalan teknologi hijau di kilang pemprosesan makanan. Dengan penggunaan peralatan moden yang menjimatkan tenaga dan sistem automasi pintar (Rajah 2), kilang kini dapat mengurangkan penggunaan elektrik secara signifikan tanpa menjejaskan kualiti atau produktiviti tetapi juga menurunkan jejak karbon (carbon footprint). Contohnya, penggunaan penukar haba yang cekap, sistem penyejukan pintar, dan pencahayaan LED mampu mengurangkan pembaziran tenaga yang ketara. Inisiatif seperti ini menjadikan industri makanan semakin efisien dan bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Dalam konsep ekonomi kitaran, sisa bukan lagi dianggap sampah, tetapi sumber baharu. Teknologi hijau juga memainkan peranan dalam mengurangkan sisa makanan. Contohnya, kulit buah, hampas kopi, atau serat sayuran boleh diproses semula untuk menghasilkan ramuan makanan berkhasiat atau bahan tambahan fungsian. Ini bukan sahaja mengurangkan sisa makanan, malah menjana nilai ekonomi baharu kepada petani dan pengusaha tempatan. Penyelidikan terkini di universiti juga menunjukkan bahawa bahan buangan makanan boleh dijadikan bio-komposit atau bioplastik (Rajah 3), menggantikan plastik konvensional yang mencemarkan. Pendekatan ini membuka jalan kepada industri makanan yang benar-benar lestari.
Rajah 3: Pembungkus makanan yang diperbuat daripada bio-komposit
(Sumber: www.kajianpustaka.com)
Rajah 4: Contoh label mesra alam,“eco-friendly” atau “sustainable”
Keberkesanan teknologi hijau bergantung bukan sahaja kepada industri, tetapi juga kesedaran pengguna. Setiap individu boleh memainkan peranan melalui tindakan kecil seperti memilih produk dengan label "mesra alam", “eco-friendly” atau “sustainable” (Rajah 4), mengurangkan pembaziran makanan di rumah, membawa bekas sendiri semasa membeli makanan serta menyokong jenama tempatan yang mengamalkan pengeluaran hijau. Apabila pengguna mula menghargai nilai kelestarian, industri akan lebih terdorong untuk menyesuaikan amalan mereka ke arah yang lebih mesra alam.
Kerajaan Malaysia melalui Dasar Teknologi Hijau Negara dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2030) telah memperkenalkan pelbagai insentif dan dana penyelidikan untuk menggalakkan penggunaan teknologi hijau. Universiti seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) memainkan peranan penting dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) melalui bidang teknologi makanan hijau, bioteknologi, dan pengurusan tenaga lestari. Usaha ini bukan sahaja menghasilkan pengetahuan baharu, tetapi juga melahirkan graduan yang berkemahiran tinggi serta bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Teknologi hijau bukan sekadar konsep saintifik, tetapi satu komitmen moral terhadap masa depan bumi. Setiap kali kita membeli, memasak, atau menikmati makanan, kita sebenarnya membuat pilihan, sama ada menyokong kelestarian atau menyumbang kepada pencemaran. Melalui kolaborasi antara kerajaan, industri, akademia dan masyarakat, kita mampu membina sistem makanan yang lebih mampan, bersih, dan seimbang. Makanan yang baik bukan hanya sedap di lidah, tetapi juga baik untuk bumi kita.