Beruk Kentoi: Primat yang Terpinggir
29 November 2025
Beruk Kentoi: Primat yang Terpinggir
29 November 2025
Ditulis oleh:
Prof. Dr. Badrul Munir Md Zain
Pensyarah
Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Dr. Nur Azimah Osman
Pensyarah
Pusat Pengajian Biologi,
Fakulti Sains Gunaan
Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan,
Kampus Kuala Pilah
Dr. Mohd Ridwan Abd Rahman
Pensyarah
Pusat Pengajian Pra-Universiti,
Universiti Malaysia Sarawak
Ramai yang tidak mengetahui tentang kewujudan Beruk Kentoi di Malaysia. Primat ini kurang popular berbanding saudara terdekatnya, Kera dan Beruk, kerana taburan yang terhad. Di Malaysia primat ini hanya boleh ditemui di Taman Negeri Perlis sahaja (Rajah 1). Walau pun ianya boleh ditemui di taman negeri ini, penampakannya agak sukar untuk dilihat disebabkan ianya tidak terhabituasi sepenuhnya dengan kehadiran manusia. Walau bagaimana pun, terdapat satu kumpulan Beruk Kentoi yang sering melintas di kawasan jalan raya Wang Kelian, membolehkan pengunjung melihatnya dari jarak yang lebih dekat.
Penemuan pertama beruk ini di Malaysia direkodkan pada tahun 1994 di Hutan Simpan Mata Ayer, Perlis. Penampakan seterusnya dilaporkan pada 2000, juga di kawasan yang hampir sama semasa satu ekspedisi saintifik dijalankan. Beruk Kentoi ini bertaburan di Taman Negeri Perlis yang merangkumi Hutan Simpan Mata Ayer dan Hutan Simpan Wang Mu. Kajian pemerhatian beruk kentoi secara intensif telah dilakukan di Hutan Simpan Mata Ayer, Taman Negeri Perlis. Hasil pemerhatian ini telah diterbitkan dalam artikel saintifik Population census and age category character of stump-tailed macaque, Macaca arctoides, in Northern Peninsular Malaysia terbitan Biodiversitas 20(9): 2446-2452. Dapatan kajian menunjukkan beruk kentoi di kawasan tersebut terdiri daripada dua kumpulan yang sensitif terhadap kehadiran manusia serta kawasan habitatnya diancam oleh aktiviti pemburuan haram.
Rajah 1: Beruk Kentoi di Taman Negeri Perlis
Beruk Kentoi bertaburan secara meluas di seluruh Asia Tenggara termasuk Myanmar, Bangladesh, Thailand, Laos, Kemboja, Vietnam dan Malaysia. Primat ini turut direkodkan di beberapa kawasan Asia Selatan serta China. Morfologi luarannya agak berbeza dari spesies Macaca yang lain. Beruk Kentoi mempunyai bulu perang yang tebal, panjang dan gelap menutupi badan. Dari segi taksonomi, terdapat dua subspesies pada pengkelasan beruk ini iaitu M. a. arctoides dan M. a. melanota berdasarkan morfologi luaran. Namun, pengesahan subspesies ini memerlukan sokongan melalui analisis filogenetik molekul bagi memastikan ketepatan taksonominya. Primat ini hidup dalam kumpulan sosial yang besar dengan jumlah ahli yang boleh melebihi 100 individu. Beruk Kentoi telah disenarai dalam kategori Vulnerable oleh IUCN Red List.
Salah satu pendekatan genetik molekul dalam memahami kandungan mikrobiota usus adalah melalui kaedah analisa DNA metabarkod. Setakat ini, maklumat yang tersedia ada masih kurang untuk memahami kepelbagaian mikrobiota usus primat Macaca di Malaysia. Gen 16S rRNA telah dijujuk menggunakan platform MiSeq, melibatkan sampel Beruk Kentoi Malaysia. Hasil kajian menunjukkan 18 filum, 38 order, 46 famili, 76 genus, dan 131 spesies bakteria telah berjaya direkod. Famili bakteria yang paling lazim dalam usus M. arctoides ialah Firmicutes (4.69%), Spirochaetes (2.87%), dan Proteobacteria (2.40%). Hasil analisis juga mendapati tiada sebarang perbezaan ketara antara persekitaran habitat dan komposisi mikrobiom usus dalam Beruk Kentoi. Kajian ini adalah yang pertama mendokumentasikan kepelbagaian mikrobiom usus populasi Beruk Kentoi liar di Semenanjung Malaysia. Penemuan ini berpotensi digunakan sebagai asas pemantauan kesihatan populasi primat ini pada masa hadapan.
Merekod pengambilan diet di habitat semula jadi merupakan satu kemestian dalam kajian ekologi pemakanan primat. Namun, kaedah tradisional melibatkan pemerhatian langsung di lapangan sering berhadapan dengan kekangan, terutamanya apabila sukar untuk mengikuti kumpulan primat dari jarak dekat. Tambah lagi, pemerhatian ekologi pemakanan secara langsung dan pengecaman morfologi menggunakan sampel najis tidak berkesan dan hampir mustahil diperolehi di habitat semula jadi kerana Beruk Kentoi sangat sensitif terhadap kehadiran manusia. Kaedah tradisional bukan sahaja memakan masa, malah berisiko menghasilkan data yang tidak lengkap.
Sebagai alternatif, kaedah DNA metabarkod menawarkan pendekatan yang lebih berkesan dalam memahami kepelbagaian diet Beruk Kentoi. Kajian genetik molekul telah dijalankan menggunakan pendekatan DNA metabarkod kloroplas tRNL untuk mengenal pasti komposisi tumbuhan yang dimakan oleh Beruk Kentoi di Taman Negeri Perlis. DNA telah diekstrak daripada sampel najis, dan DNA tRNL kloroplas telah berjaya dijujuk menggunakan platform Illumina MiniSeq. Hasil kajian mendapati sebanyak 145 spesies tumbuhan daripada 46 famili berjaya dikenal pasti sebagai diet Beruk Kentoi. Spesies tumbuhan yang paling banyak dimakan oleh primat ini ialah Saraca thaipingensis (11.70%), Ficus carica (9.33%), Clathrotropis brachypetala (5.90%), Ficus superba (5.44%), dan Malmea dielsiana (1.70%). Walau bagaimanapun, Clathrotropis dan Malmea tidak dianggap pokok asli Malaysia kerana pengkalan data jujukan DNA terhad melibatkan tumbuhan Malaysia. Hasil kajian ini memberikan pemahaman penting mengenai diet Beruk Kentoi liar Taman Negeri Perlis dan boleh digunakan dalam pengurusan pemuliharaan melibatkan pengayaan habitat semulajadi Beruk Kentoi (Rajah 2).
Rajah 2: Habitat semulajadi Beruk Kentoi Taman Negeri Perlis
Rujukan:
Osman, N.A., Abdul-Latiff, M.A.B., Mohd-Ridwan, A.R., Yaakop, S., Nor, S.M. & Md-Zain, B.M. 2020. Diet composition of the wild stump-tailed macaque (Macaca arctoides) in Perlis State Park, Peninsular Malaysia, using a chloroplast trnL DNA metabarcoding approach: A preliminary study. Animals 10(12): 2215.
Osman, N.A., Mohd-Ridwan, A.R., Gani, M., Karuppannan, K.V., Abdul-Latiff, M.A.B., Aifat, N.R. & Md-Zain, B.M. 2025. Comparative metabarcoding analysis of gut microbiome in wild and captive stump-tailed macaques (Macaca arctoides). Journal of Medical Primatology 54: e70043.
Syamil, A.R., Mohd-Ridwan. A.R., Arif, A.M., Abdul-Latiff, M.A.B & Md-Zain, B.M. 2019. Population census and age category character of Stump-tailed macaque, Macaca arctoides, in Northern Peninsular Malaysia. Biodiversitas 20(9): 2446-2452.