Dataran Lumpur Sebagai Nadi Penghijrahan Burung Pantai
27 Disember 2025
Dataran Lumpur Sebagai Nadi Penghijrahan Burung Pantai
27 Disember 2025
Ditulis oleh:
Mohd Ros Effendi
Pelajar PhD (Biologi)
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Dr. Mohammad Saiful Mansor
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Salah satu fenomena alam yang menakjubkan dalam dunia avifauna adalah penghijrahan burung, apabila sebahagian besar spesies yang hidup di kawasan beriklim sederhana dan subtropika memulakan perjalanan jauh merentas benua. Sepanjang musim penghijrahan, spesies burung ini meninggalkan kawasan pembiakan sebelum berlakunya kekurangan sumber akibat perubahan musim, dan berhijrah ke kawasan yang menawarkan keadaan persekitaran serta bekalan makanan yang lebih stabil. Fenomena ini bukan sahaja mencerminkan strategi kelangsungan hidup, malah menunjukkan kebergantungan burung hijrah terhadap rangkaian habitat yang luas di sepanjang laluan penghijrahan.
Dalam konteks ini, konsep laluan penghijrahan atau flyway diperkenalkan sebagai asas penting dalam pengurusan pemeliharaan dan pemuliharaan burung hijrah, khususnya bagi memastikan perlindungan habitat perhentian dan kawasan mencari makan. Konsep flyway ini diterima secara meluas sebagai satu sistem biologi yang menghubungkan tapak serta ekosistem merentasi pelbagai negara dan wilayah, selaras dengan pergerakan tahunan spesies burung hijrah dari kawasan pembiakan ke kawasan persinggahan sementara dan kawasan musim sejuk sepanjang laluan penghijrahan.
Terdapat sembilan laluan penerbangan utama di seluruh dunia yang digunakan oleh burung hijrah setiap tahun. Laluan-laluan ini membentuk rangkaian migrasi merentas benua utama dunia, merangkumi laluan-laluan seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1:
Laluan Penerbangan Pasifik Amerika (Pacific Americas Flyway)
Laluan Penerbangan Amerika Tengah (Central Americas Flyway)
Laluan Penerbangan Atlantik Amerika (Atlantic Americas Flyway)
Laluan Penerbangan Atlantik Timur (East Atlantic Flyway)
Laluan Penerbangan Laut Hitam–Mediterranean (Black Sea–Mediterranean Flyway)
Laluan Penerbangan Asia Timur–Afrika Timur (East Asia–East Africa Flyway)
Laluan Penerbangan Asia Tengah (Central Asian Flyway)
Laluan Penerbangan Asia Timur–Australasia (East Asia–Australasia Flyway)
Laluan Penerbangan Marin (Marine Flyways)
Setiap laluan ini adalah komponen penting dalam sistem migrasi global yang menyokong jutaan individu burung hijrah setiap tahun.
Rajah 1: Sembilan laluan penerbangan utama dunia yang digunakan oleh burung hijrah.
[Sumber: BirdLife International (2025)]
Daripada sembilan laluan penerbangan utama, Laluan Penerbangan Asia Timur–Australasia (EAAF) adalah laluan penghijrahan yang paling terancam di dunia. Laluan ini meliputi kawasan pembiakan burung pantai hijrah di Artik Rusia dan Asia Timur Laut, merentasi Asia Tenggara hingga ke Australia dan New Zealand. Laluan ini menyokong puluhan juta burung hijrah setiap tahun, termasuk pelbagai spesies burung pantai yang sangat bergantung kepada habitat pesisiran pantai dan dataran berlumpur sebagai kawasan berehat, mencari makan, dan pemulihan tenaga sepanjang perjalanan jarak jauh mereka.
Dalam rangkaian EAAF yang semakin terancam, Malaysia berada pada kedudukan strategik, khususnya di pantai barat Semenanjung Malaysia yang menempatkan empat kawasan pesisir pantai dan dataran berlumpur yang diiktiraf sebagai Kawasan Penting Burung dan Biodiversiti (Important Bird and Biodiversity Areas; IBA), iaitu Pesisir Teluk Air Tawar–Kuala Muda (TATKMC), Pesisir Matang (MC), Pesisir Utara–Tengah Selangor (NCSC), dan Pesisir Barat Daya Johor (SWJC). Keempat-empat kawasan IBA ini secara keseluruhan memainkan peranan penting dalam menyediakan habitat utama bagi populasi burung pantai hijrah, sekali gus menghubungkan Malaysia dengan rangkaian ekologi yang lebih luas dalam EAAF. Kepentingan pesisir pantai di pantai barat Semenanjung Malaysia dicerminkan oleh jumlah serta kepelbagaian spesies burung pantai yang hadir semasa musim penghijrahan (Rajah 2), didorong oleh ketersediaan habitat dataran berlumpur yang luas dan kaya dengan invertebrata bentik sebagai sumber makanan.
Sepanjang penghijrahan, kawasan persisiran pantai dan dataran berlumpur ini berfungsi sebagai habitat persinggahan penting untuk menyokong kelangsungan hidup burung hijrah melalui penyediaan sumber makanan utama (Colwell 2010). Oleh itu, kualiti habitat pesisir pantai dan dataran berlumpur yang baik bukan sahaja mempengaruhi tahap kesihatan burung hijrah, malah turut menentukan kejayaan penghijrahan. Selain itu, kehadiran spesies burung pantai berstatus Terancam Secara Kritikal (CR) dan Sangat Terancam (EN) berdasarkan penilaian Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) mengukuhkan lagi bahawa pesisir pantai barat Semenanjung Malaysia merupakan kawasan yang sangat penting bagi burung pantai hijrah di peringkat global (Effendi et al. 2024).
Rajah 2: (a) Ribuan burung pantai hijrah menggunakan pantai barat Semenanjung Malaysia sebagai kawasan persinggahan semasa penghijrahan ke Selatan; (b) Burung pantai hijrah mencari makan di dataran berlumpur sebagai sumber tenaga untuk meneruskan penghijrahan
Antara spesies burung pantai hijrah terancam yang singgah di pesisir pantai barat Semenanjung Malaysia termasuk Kedidi Hijau Kaki Berbintik (Tringa guttifer), Kedidi Besar Timur (Numenius madagascariensis), dan Kedidi Dian-Besar (Calidris tenuirostris) (Rajah 3; Effendi et al. 2025). Populasi global Kedidi Hijau Kaki Berbintik dianggarkan sekitar 2,000 individu sahaja (Cao et al. 2023). Lebih membimbangkan, spesies ini bersifat endemik kepada EAAF dan bergantung sepenuhnya kepada habitat pesisir pantai serta dataran berlumpur sebagai kawasan persinggahan untuk kelangsungan hidup. Kemerosotan habitat persinggahan spesies ini berpotensi memberi kesan serius terhadap dinamik populasinya dan seterusnya meningkatkan risiko kepupusan secara kekal.
Rajah 3: (a) Kedidi Hijau Kaki Berbintik (Tringa guttifer), spesies endemik Laluan Penerbangan Asia Timur–Australasia (EAAF) dengan populasi global sekitar 2,000 individu; (b) Kedidi Besar Timur (Numenius madagascariensis); (c) Kedidi Dian-Besar (Calidris tenuirostris), antara spesies burung pantai hijrah berstatus Sangat Terancam (EN) yang mengalami penurunan populasi membimbangkan
Kualiti dan kelestarian pesisir pantai serta dataran berlumpur di pantai barat Semenanjung Malaysia memainkan peranan kritikal dalam menyediakan sumber makanan serta menyokong pola penghijrahan dan kelangsungan hidup burung pantai hijrah sepanjang laluan EAAF. Ekosistem ini berfungsi sebagai habitat utama untuk mencari makan dan persinggahan bagi pemulihan tenaga sebelum burung pantai hijrah meneruskan perjalanan jarak jauh, sekali gus menjadikannya nadi ekologi dalam rangkaian EAAF. Kajian global dalam rangkaian EAAF menunjukkan bahawa kehilangan dataran berlumpur, terutamanya akibat pertanian, akuakultur, dan pembangunan telah menyebabkan penurunan mendadak populasi beberapa spesies burung pantai hijrah, termasuk Kedidi Dian-Besar (Conklin et al. 2014). Keadaan ini menjejaskan keupayaan burung pantai hijrah untuk memperoleh tenaga yang mencukupi sebelum meneruskan penghijrahan, sekali gus meningkatkan risiko kegagalan penghijrahan dan kemerosotan populasi pada skala global. Walau bagaimanapun, tekanan antropogenik seperti pembangunan pesisir, penambakan tanah, pencemaran, dan gangguan manusia terus berlanjutan dan mengancam integriti ekosistem ini. Tanpa usaha pemeliharaan dan pemuliharaan yang sistematik serta bersepadu, kehilangan dataran berlumpur bukan sahaja akan menjejaskan kestabilan populasi burung pantai hijrah di Malaysia, malah mengganggu keseluruhan fungsi rangkaian penghijrahan EAAF. Oleh itu, cadangan untuk menaik taraf salah satu IBA di pantai barat Semenanjung Malaysia sebagai Tapak Rangkaian Laluan Penerbangan (Flyway Network Site), seperti yang dicadangkan oleh Effendi et al. (2024), wajar diberikan keutamaan strategik. Pelaksanaan cadangan ini bukan sahaja berpotensi memperkukuh perlindungan jangka panjang terhadap kawasan IBA di pantai barat Semenanjung Malaysia, malah memainkan peranan penting dalam mengekalkan keterhubungan ekologi merentas negara serta menjamin kesinambungan fungsi rangkaian penghijrahan burung pantai hijrah di sepanjang laluan EAAF.
Rujukan:
Birdlife International. 2025. Flyways. https://datazone.birdlife.org/about-our-science/flyways [10 January 2025].
Cao, R., Liang, W., Guo, J., Yang, H., Sun, L., Chen, Q., Yu, T., Ren, S., Lu, C. & Lei, G. 2023. Global population estimate and conservation gap analysis for the Nordmann's Greenshank (Tringa guttifer). Avian Research 14: 100099.
Conklin, J., Y. I. Verkuil, and B. R. Smith. 2014. Prioritizing migratory shorebirds for conservation action on the East Asian-Australasian Flyway.
Colwell, M. A. 2010. Shorebird Ecology, Conservation, and Management. University of California Press.
Effendi, M. R., N. M. Azman, M. N. Azizan, W. J. W. Ahmad, and M. S. Mansor. 2024. Assessing Shorebirds Passage and Wintering on the West Coast of Peninsular Malaysia. Waterbirds 47:1–10.
Effendi, M. R., Azman, N. M. & Mansor, M. S. 2025. Ecological importance of middle intertidal mudflats for shorebirds on the west coast of Peninsular Malaysia. Estuarine, Coastal and Shelf Science: 109437.