Khazanah Rumput Laut di Ambang Pembangunan
26 Januari 2026
Khazanah Rumput Laut di Ambang Pembangunan
26 Januari 2026
Ditulis oleh:
Wardina Inani
Pelajar Prasiswazah
Program Sains Laut,
Fakulti Sains & Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Prof. Madya Dr. Mohammad Rozaimi
Pensyarah
Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar,
Fakulti Sains & Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Pengenalan
Rumput laut merupakan satu-satunya tumbuhan angiosperma yang hidup di kawasan marin. Kebiasaannya, rumput laut tumbuh di kawasan persisiran pantai dan di perairan yang cetek. Organisma ini boleh hidup tenggelam sepenuhnya di dalam air laut dan memerlukan cahaya matahari. Jadi, rumput laut boleh hanya ditemui di kawasan pantai yang jernih ataupun yang cetek tempat cahaya matahari boleh sampai ke dasar laut. Hal ini kerana cahaya penting supaya tumbuhan ini dapat melangsungkan proses fotosintesis untuk mendapatkan tenaga dan seterusnya membiak dengan sihat. Rumput laut sering disalah anggap sebagai rumpai laut kerana ciri-cirinya yang serupa di samping hidup di habitat yang serupa. Walhal, kedua-duanya mempunyai morfologi dan taksonomi yang berbeza. Rumput laut mempunyai akar, rizom dan daun berbanding rumpai laut yang tidak berakar. Sebaliknya rumpai laut mempunyai struktur pelekap yang menyerupai akar untuk menunjang pada substrat. Akar rumput laut berperanan untuk menyerap nutrien daripada sedimen. Manakala, rumpai laut boleh menyerap nutrien melalui seluruh permukaannya. Selain itu, rumput laut menghasilkan bunga atau biji benih untuk pembiakan berbanding rumpai laut yang membiak melalui spora atau melalui proses pemecahan.
Biodiversiti Hamparan Rumput Laut
Ekosistem rumput laut merupakan salah satu habitat marin yang sangat produktif walaupun kurang diberikan perhatian. Kepelbagaian biologi di ekosistem rumput laut sangat tinggi dan memainkan peranan penting dalam keseimbangan ekologi setempat. Jenis rumput laut merangkumi julat 60-75 spesies di seluruh dunia. Secara amnya, habitat rumput laut menyediakan pelbagai jenis perkhidmatan ekosistem. Struktur fizikal rumput laut yang terdiri dari daun yang padat dan kanopi yang kompleks menyokong kepelbagaian hidupan marin. Rumput laut menyediakan habitat perlindungan di samping berfungsi sebagai tempat pembiakan serta sebagai tempat berlindung bagi hidupan marin kecil. Beberapa spesies peragut seperti penyu dan dugong bergantung secara khusus kepada hamparan rumput laut sebagai sumber makanan utama (Rajah 1).
Rajah 1: Jejak pemakanan dugong pada beting rumput laut di pesisir pantai Pasir Gudang, Johor.
Kredit gambar: Mohammad Rozaimi
Hamparan rumput laut juga berfungsi sebagai nurseri semula jadi bagi hidupan marin di kawasan pesisir pantai. Antara fauna yang boleh ditemui di kawasan rumput laut termasuklah ikan kecil seperti ikan sembilang (Siluriformes: Plotosidae), ikan gosok (Actinopterygii: Siluriformes) ikan belanak (Mugiliformes: Mugilidae) dan pelbagai jenis invertebrata seperti ketam bunga (Portunus pelagicus), belangkas (Merostomata: Xiphosura), dan tapak sulaiman (Echinodermata: Asteroidea) (Rajah 2). Terdapat juga pelbagai jenis moluska ditemui di antara kanopi rumput laut seperti kerang (Arcida: Arcidae), kupang (Mytilida: Mytilida), kepah (Venerida: Cyrenidae), siput gonggong (Laevistrombus canarium), dan siput beliung (Bivalvia: Pteriida: Pteriidae). Hamparan rumput laut menyediakan tempat perlindungan bagi hidupan juvenil sebelum haiwan ini berhijrah ke habitat marin lain apabila dewasa. Pelbagai organisma marin lain juga menghasilkan telur di hamparan rumput laut kerana ciri-ciri kanopi rumput laut yang kompleks membantu melindungi telur daripada pemangsa (Rajah 3). Selain itu, hamparan rumput laut menjadi habitat penting bagi pelbagai spesies poliket (Annelida: Polychaeta) (Rajah 4) yang hidup di dalam sedimen. Haiwan ini berperanan dalam mencepatkan penguraian bahan organik, mengitarkan nutrien dan secara tidak langsung menyalurkan oksigen ke lapisan sedimen yang lebih dalam. Haiwan ini kebiasaannya menjadi kumpulan invertebrata yang dominan di reruang sedimen justeru memainkan peranan penting dalam jaringan makanan di hamparan rumput laut.
Rajah 2: Sejenis spesies tapak sulaiman (Luidia maculata) di kawasan hamparan rumput laut di pesisir pantai Pasir Gudang, Johor.
Kredit gambar: Mohammad Rozaimi
Rajah 3: Telur sejenis moluska yang boleh dijumpai di kawasan hamparan rumput laut pesisir pantai Pasir Gudang, Johor.
Kredit gambar: Mohammad Rozaimi
Rajah 4: Sejenis haiwan poliket (Annelida: Polychaeta) yang boleh dijumpai di kawasan hamparan rumput laut di pesisir pantai Pasir Gudang, Johor.
Kredit gambar: Mohammad Rozaimi
Faedah Rumput Laut kepada Komuniti Pesisir Pantai
Rumput laut menyokong kehidupan masyarakat di pesisir pantai dari segi ekonomi, sosial dan sumber makanan. Komuniti pesisir pantai, khususnya golongan wanita dan nelayan menjalankan aktiviti mengutip hasil laut di kawasan rumput laut ketika waktu air surut. Antara hasil laut yang sering dikutip termasuklah pelbagai jenis ikan kecil, rumpai laut, kerang-kerangan dan siput (Rajah 5). Dengan adanya sumber makanan semula jadi ini, masyarakat pesisir pantai dapat menikmati bekalan makanan laut segar berkhasiat secara berterusan tanpa bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan laut dalam. Sebahagian hasil-hasil ini menambah kepada makanan harian manakala selainnya dijual untuk menambahkan sumber pendapatan. Aktiviti ini secara tidak langsung membuka peluang pekerjaaan dan membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
Spesies Rumput Laut di Tanjung Kopok dan Perigi Acheh
Antara hamparan yang ada di Malaysia, rumput laut boleh dijumpai di pesisir pantai di Pasir Gudang, Johor, khususnya di kawasan Tanjung Kopok dan Pantai Perigi Acheh. Rumput laut didapati tumbuh di perairan cetek di antara muara Sungai Kopok dan Sungai Kim Kim, dan di sebelah timur Sungai Kopok. Namun, dua kawasan ini masih kurang mendapat perhatian walaupun ekosistem rumput lautnya masih kaya dengan pelbagai bentuk hidupan marin. Antara spesies rumput laut yang boleh dijumpai termasuklah Halophila ovalis, Halophila spinulosa, Halodule uninervis, Halodule pinifolia, Thalassia hemprichii dan Enhalus acoroides (Rajah 6). Selain menjadi habitat kepada pelbagai hidupan marin, hamparan rumput laut ini berperanan penting dalam menakung karbon biru. Karbon biru merujuk kepada penyerapan dan penyimpanan karbon oleh ekosistem hamparan rumput laut, hutan bakau dan rawang garam. Secara langsung, fungsi ini mengurangkan kesan perubahan iklim justeru menjadikan kawasan tersebut aset semula jadi yang wajar dipelihara untuk generasi akan datang.
Rajah 5: Hasil kutipan siput gong gong (Laevistrombus canarium) dan kilah (Cymbiola nobilis) di kawasan rumput laut oleh penduduk tempatan di pesisir pantai Pasir Gudang, Johor.
Kredit gambar: Mohammad Rozaimi
Rajah 6 : Rumput laut yang boleh dijumpai di kawasan Tanjung Kopok, Pasir Gudang, Johor.
Kredit gambar: Mohammad Rozaimi
Ancaman kepada Rumput Laut dan Langkan-Langkah Pemuliharaan
Habitat rumput laut semakin berhadapan dengan pelbagai ancaman yang boleh menjejaskan kelangsungan hidupnya. Walaupun hamparan rumput laut memberi nilai ekologi yang penting dan nilai ekonomi yang tinggi, ekosistem ini semakin menghadapi risiko kemusnahan akibat tekanan daripada aktiviti manusia. Di kawasan Tanjung Kopok dan Perigi Acheh, semakin banyak pembangunan dan aktiviti perindustrian telah dijalankan di kawasan berhampiran sekali gus menjejaskan kualiti persekitaran marin setempat. Contohnya, pembuangan sisa ke dalam laut dan di hilir sungai boleh merosotkan kualiti air. Kawasan tadahan di sekeliling sungai-sungai ini telah dikenal pasti sebagai kelompok kawasan pencemaran tinggi. Pada tahun 2019 hingga 2020, kesan pencemaran terhadap beberapa kawasan di bandaraya Pasir Gudang telah dilaporkan secara meluas. Oleh sebab rumput laut di Tanjung Kopok dan Pantai Perigi Acheh terletak di muara Sungai Kim Kim dan Sungai Kopok, habitat tumbuhan ini terdedah kepada kesan buruk beban nutrien yang melepasi had tampungan ekosistem. Tambahan lagi, kandungan bahan kimia toksik, logam berat dan nutrien berlebihan daripada sisa buangan boleh mendorong kepada pertumbuhan alga yang tidak terkawal. Kemerosotan kualiti air juga boleh menjejaskan penumbuhan dan pembiakan rumput laut. Jika dibiarkan, keadaan ini boleh membawa kepada kehilangan habitat dan kemusnahan hamparan rumput laut dalam jangka panjang. Oleh itu, langkah-langkah pemuliharaan seperti penguatkuasaan undang-undang terhadap pencemaran, pengurusan sumber berasaskan komuniti, serta pendidikan alam sekitar perlu digiatkan agar khazanah semula jadi ini dapat terus dipelihara untuk generasi masa depan.