Misi Sifar Sisa: Apabila Teknologi dan Kepimpinan Bergabung Tenaga di Kampus Universiti
12 Februari 2026
Misi Sifar Sisa: Apabila Teknologi dan Kepimpinan Bergabung Tenaga di Kampus Universiti
12 Februari 2026
Ditulis oleh:
Ts. Dr. Mohd Heikal Husin
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Komputer,
Universiti Sains Malaysia
Dr. Nor Athiyah Abdullah
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Komputer,
Universiti Sains Malaysia
Prof. Madya Dr. Sharifah Mashita Syed-Mohamad
Pensyarah Kanan,
Fakulti Sains Komputer dan Matematik,
Universiti Malaysia Terengganu
Ts. Dr. Mayawi Baba-Nalikant
Pensyarah Akademik,
Institut Pendidikan Guru Malaysia,
Kampus Tuanku Bainun
Ts. Dr. Mohd Najwadi Yusoff
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Komputer,
Universiti Sains Malaysia
Pernahkah anda terfikir ke mana perginya bekas polistirena dan sisa nasi yang kita tinggalkan di kafeteria universiti setiap kali selepas makan tengah hari? Di sebalik imej universiti sebagai "menara gading" yang serba moden dan intelektual, institusi pengajian tinggi di Malaysia sebenarnya sedang bergelut dengan satu krisis senyap iaitu gunung sisa pepejal yang semakin meninggi.
Dianggarkan Malaysia menjana kira-kira 38,427 tan metrik sisa pepejal setiap hari, satu angka yang cukup untuk menenggelamkan bangunan pencakar langit jika tidak diuruskan dengan baik. Universiti, sebagai sebuah ekosistem mikro dengan ribuan penghuni, menyumbang secara signifikan kepada statistik ini. Walaupun pelbagai kempen "Kampus Hijau" atau "Sifar Sisa" (Zero Waste) sering dilaungkan dengan penuh semangat, mengapa inisiatif ini sering kali pudar dan gagal menjadi budaya kekal?
Satu kajian saintifik terkini yang melibatkan tiga universiti penyelidikan utama negara iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), dan Universiti Putra Malaysia (UPM) telah dijalankan untuk merungkai misteri tingkah laku ini. Jawapannya mungkin mengejutkan anda: masalahnya bukan kerana warga kampus tidak tahu, tetapi kerana wujudnya jurang psikologi yang besar di antara "tahu" dan "buat".
Paradoks Intelektual: Tahu Tetapi Tidak Buat?
Siapakah warga universiti? Mereka adalah golongan pelajar, pensyarah, dan pentadbir yang rata-ratanya mempunyai tahap pendidikan yang tinggi. Melalui tinjauan ke atas 393 orang responden di ketiga-tiga universiti tersebut, data menunjukkan satu fenomena yang menarik. Skor Pengetahuan dan penggunaan Teknologi dalam kalangan warga kampus didapati sangat tinggi. Pendek kata, komuniti ini amat cakna tentang isu pemanasan global, pencemaran plastik, dan mereka juga sangat mahir menggunakan teknologi digital untuk mengakses maklumat terkini.
Namun, apabila kanta kajian difokuskan kepada amalan sebenar seperti mengasingkan sisa makanan, membawa bekas sendiri, atau mengurangkan penggunaan plastik sekali guna, skornya jatuh ke tahap sederhana. Ini membuktikan wujudnya satu paradoks: kita mempunyai komuniti yang bijak pandai dan celik IT, namun kesedaran yang tinggi di minda itu seolah-olah "tersangkut" dan tidak diterjemahkan sepenuhnya menjadi tindakan fizikal.
Teknologi: Pembentuk Jiwa, Bukan Tangan
Mengapa jurang ini wujud? Adakah teknologi yang kita banggakan selama ini tidak berkesan? Analisis mendalam menggunakan kaedah statistik Structural Equation Modelling (SEM) dalam kajian ini memberikan pencerahan yang kritikal. Teknologi didapati memainkan peranan sebagai "ejen penyebar maklumat" yang sangat ampuh. Data membuktikan bahawa teknologi mempunyai pengaruh langsung yang sangat kuat terhadap pembentukan Pengetahuan dan Nilai dalam diri seseorang.
Bayangkan apabila seorang pelajar menonton video tular tentang penyu yang tercekik straw plastik di media sosial. Teknologi berjaya menyentuh emosi dan membina nilai rasa bersalah atau tanggungjawab. Namun, kajian mendapati bahawa kekuatan pengaruh ini menurun apabila ia melibatkan transisi daripada Sikap kepada Amalan fizikal.
Mudah kata, teknologi boleh mendidik jiwa kita untuk membenci pencemaran, tetapi teknologi tidak mempunyai "tangan" untuk memaksa kita mengutip sampah atau mencuci bekas makanan kitar semula. Di sinilah letaknya keterbatasan teknologi digital dimana ia mampu mengubah minda, tetapi memerlukan sokongan lain untuk mengubah tabiat fizikal.
Resipi Baharu: Empat Tonggak Tadbir Urus Kampus
Berdasarkan dapatan ini, jelas bahawa meletakkan tong kitar semula pintar atau mencipta aplikasi mudah alih semata-mata tidak memadai. Universiti perlu beralih daripada pendekatan "kempen bermusim" kepada strategi tadbir urus yang lebih holistik. Kajian ini mencadangkan model empat tonggak utama untuk menjayakan agenda sifar sisa:
1. Kuasa Teladan (Leadership by Example)
Tiada poster atau e-mel yang lebih berkesan daripada teladan seorang pemimpin. Dalam sesi temu bual bersama warga kampus, ramai yang menyatakan bahawa tingkah laku pemimpin universiti memberi isyarat yang jauh lebih kuat berbanding memo arahan.
Jika Naib Canselor, Dekan atau pemimpin pelajar sendiri dilihat membawa bekas makanan sendiri ke majlis rasmi dan mengelakkan penggunaan botol air plastik, ia menjadi satu bentuk "pendidikan melalui pemerhatian" yang sangat berkesan. Kepimpinan bukan lagi sekadar memberi arahan, tetapi menjadi suri teladan yang dilihat dan ditiru.
2. Polisi yang "Bertaring"
Kekeliruan sering menjadi punca kegagalan. "Tong sampah ini untuk plastik atau kertas?", "Di mana saya boleh buang sisa makanan?". Tanpa garis panduan yang jelas, inisiatif sifar sisa akan gagal.
Dasar alam sekitar di kampus perlu digubal dengan teliti, bukan sekadar dokumen hiasan di laman web, tetapi peraturan yang boleh diukur dan dikuatkuasakan. Dasar ini harus menetapkan piawaian yang jelas, contohnya larangan penggunaan polistirena di semua premis makanan, dan ia mesti dipatuhi oleh semua pihak, daripada pembekal kafeteria sehinggalah kepada pelajar tahun akhir.
3. Psikologi Ganjaran dan Akibat
Sebagai manusia, tingkah laku kita sering didorong oleh akibat. Kajian mendapati bahawa sistem Kontingensi Pengukuhan (ganjaran dan penalti) adalah mekanisme motivasi yang kritikal namun malangnya kurang dimanfaatkan di universiti tempatan. Universiti boleh memperkenalkan sistem mata ganjaran digital ("Green Points") yang boleh ditebus untuk diskaun yuran atau barangan, bagi menghargai tingkah laku pelajar yang mengamalkan kitar semula. Sebaliknya, penalti atau denda bagi pelanggaran berat juga perlu wujud sebagai sempadan sosial. Gabungan "lobak dan rotan" (carrot and stick) ini membantu memperkukuh disiplin apabila motivasi dalaman mula luntur.
4. Teknologi Sosial sebagai Penghubung
Walaupun teknologi tidak boleh menggerakkan tangan secara fizikal, ia adalah "arkitek sosial" yang membentuk norma baharu. Peranan teknologi perlu diubah daripada sekadar alat penyampai maklumat kepada platform pembinaan komuniti.
Aplikasi mudah alih kampus lestari boleh berfungsi sebagai hab sosial dimana pelajar boleh berkongsi pencapaian pengurangan sisa mereka, melaporkan isu sampah, atau bersaing dalam cabaran kitar semula antara fakulti. Apabila amalan lestari menjadi satu "trend" sosial yang dipaparkan secara digital, ia akan mewujudkan tekanan rakan sebaya yang positif untuk turut serta.
Masa Depan Kampus Lestari
Impian menjadikan kampus universiti bebas sisa bukanlah satu utopia. Ia boleh dicapai, tetapi bukan dengan hanya bergantung harap kepada teknologi canggih semata-mata. Kajian ini membuktikan bahawa kunci sebenar terletak pada integrasi harmoni antara teknologi dan sentuhan kemanusiaan.
Kita memerlukan teknologi untuk mendidik minda, dan kita memerlukan kepimpinan serta polisi yang tegas untuk mendisiplinkan tindakan. Sudah tiba masanya universiti di Malaysia berhenti melihat sisa sebagai masalah kontraktor pembersihan semata-mata, dan mula melihatnya sebagai peluang untuk mendidik generasi masa hadapan melalui tadbir urus yang bijaksana. Jika universiti yang merupakan gedung ilmu negara tidak mampu menyelesaikan masalah sisa mereka sendiri, bagaimanakah kita boleh mengharapkan masyarakat luar untuk melakukannya?