Saya Kongsi! Meneroka Faktor Mempengaruhi Penyebaran Maklumat Bencana di Media Sosial
10 Mac 2026
Saya Kongsi! Meneroka Faktor Mempengaruhi Penyebaran Maklumat Bencana di Media Sosial
10 Mac 2026
Ditulis oleh:
Dr. Nor Athiyah Abdullah
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Komputer,
Universiti Sains Malaysia
Dr. Nursakirah Ab Rahman Muton
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Komputer,
Universiti Sains Malaysia
Ts. Dr. Mohd Heikal Husin
Pensyarah Kanan
Jabatan Sains Komputer,
Universiti Sains Malaysia
Seiring dengan perkembangan dunia digital, cara komunikasi dan pencarian maklumat kini berada di hujung jari. Telefon bimbit, capaian Internet, media sosial dan pelbagai aplikasi digunakan hampir untuk semua urusan harian dan komunikasi sosial. Pernahkah anda terfikir, apakah kesan buruk akibat penggunaan media sosial sewaktu bencana? Menurut kajian oleh penulis dengan mengambil contoh kajian kes Gempa Bumi dan Tsunami Jepun 2011 (2011 The Great East Japan Earthquake), penggunaan media sosial misalnya X, dahulu dikenali sebagai Twitter, meningkat dengan drastik sewaktu dan selepas bencana.
Kajian literatur menunjukkan keupayaan media sosial sebagai sensor sosial untuk mengesan gempa, menyebarkan berita, komunikasi krisis dan menyelaras bantuan kemanusiaan pada penduduk sekitar. Lazimnya pengguna media sosial berkongsi amaran dan kesedaran awal, tahap kebimbangan mereka terhadap situasi bencana, pengalaman sendiri, status keselamatan dan permintaan bantuan. Hal ini boleh dilihat sewaktu situasi banjir besar di Malaysia di mana media sosial turut memainkan peranan dalam penyebaran maklumat secara cepat dan meluas. Penggunaan media sosial yang meluas semasa bencana menimbulkan isu kritikal berkaitan kebolehpercayaan maklumat dan penyebaran maklumat salah (misinformation) dan khabar angin. Hal ini boleh melambatkan usaha menyelamat serta menjejaskan keselamatan dan kebimbangan awam. Oleh itu, terdapat keperluan untuk memahami tingkah laku komunikasi dari sudut psikologi mengenai fenomena penyebaran maklumat di media sosial sewaktu bencana.
Contoh-contoh platform media sosial yang berpotensi digunakan sebagai ‘sensor sosial’ dalam penyebaran maklumat secara pantas dan meluas.
Soal selidik terhadap 999 peserta di Jepun telah dijalankan untuk meneroka motivasi di sebalik tindakan menyebarkan maklumat berkaitan bencana. Hasil analisis faktor mengenal pasti empat motivasi utama mengapa individu memilih untuk menyebarkan maklumat sewaktu bencana iaitu:
Faktor 1: Kesediaan Memberi Maklumat Relevan dan Terkini
Individu mengumpul dan menyediakan maklumat yang boleh dipercayai, mempunyai bukti sokongan, seperti gambar atau video, atau maklumat awal yang membantu semakan status keselamatan untuk diri sendiri dan pengikut media sosial mereka.
Faktor 2: Keinginan Berkongsi Maklumat Penting
Individu menilai maklumat tersebut sebagai sangat penting untuk diketahui oleh orang lain, terutamanya jika ia datang dari sumber kredibel atau mengandungi amaran.
Faktor 3: Perasaan Subjektif dan Minat Individu
Keputusan dibuat kerana maklumat itu menarik minat mereka, perasaan teruja berkongsi situasi luar biasa, atau rasa selesa setelah melihat jumlah perkongsian maklumat yang tinggi.
Faktor 4: Mendapatkan Maklum Balas dan Memberi Amaran
Individu ingin berinteraksi dengan pengguna lain, mendapatkan maklum balas pantas, dan mengingatkan orang lain agar sentiasa berwaspada.
Dapatan hasil kajian ini menunjukkan individu atau pengguna media sosial cenderung untuk menyebarkan maklumat yang mereka rasa benar dan boleh dipercayai dengan sokongan gambar atau video dengan tujuan supaya orang lain berwaspada dan mengambil iktibar. Perasaan ingin turut membantu, terlibat dalam perbincangan isu semasa dan merasakan maklumat tersebut boleh dipercayai kerana banyak orang telah berkongsi maklumat terbabit juga mempengaruhi faktor penyebaran maklumat sewaktu bencana. Dapatan kajian ini mencerminkan tingkah laku prososial yang membawa kepada kesatuan dan tidak mementingkan diri sendiri walaupun dikalangan orang yang tidak dikenali dalam situasi krisis. Selain itu, individu juga cenderung untuk berkongsi kerana ingin mendapatkan maklum balas yang cepat dari pengguna media sosial yang lain. Hal ini boleh dilihat dengan pola perkongsian masalah, memerlukan pendapat atau pertolongan dan sebagainya di media sosial seperti Facebook, Thread, X, Tiktok, Instagram dan lain-lain menunjukkan media sosial kini telah berkembang melebihi keperluan sosial, hiburan dan komunikasi.
Sebagai implikasi praktikal, penyelidik mencadangkan agar setiap individu, terutamanya yang tidak terjejas secara langsung dalam bencana untuk mengamalkan pemikiran kritikal dan analitikal sebelum menyebar maklumat di media sosial. Kita perlu sedar yang maklumat di Internet dan media sosial bukan semuanya benar. Mungkin benar pada masa tertentu, tetapi seiring perjalanan waktu, maklumat tersebut boleh berubah dan menjadi tidak tepat. Kerajaan memandang serius berkenaan penyebaran maklumat tidak sahih yang tular dengan melancarkan portal sebenarnya.my. “Tidak pasti, jangan kongsi” merupakan kata kunci yang perlu kita fikir sebelum menekan butang “Kongsi” di media sosial. Pihak berkuasa juga boleh menggunakan akaun media sosial rasmi mereka untuk menyalurkan maklumat bagi mengimbangi permintaan berita terkini yang tinggi sewaktu bencana, sekali gus menghapus khabar angin. Selain itu, pengguna media sosial yang lain juga boleh turut menyumbang kepada pengurangan penyebaran maklumat tidak sahih dengan membetulkan perkara yang tidak benar sekiranya mereka mempunyai maklumat lanjut. Dengan ini, setiap individu boleh memainkan peranan dalam mewujudkan sekitaran atas talian yang lebih baik.