Dari Kuali Ke Salutan Besi; Minyak Sawit Merah Sebagai Perencat Kakisan Logam
2 Mei 2026
Dari Kuali Ke Salutan Besi; Minyak Sawit Merah Sebagai Perencat Kakisan Logam
2 Mei 2026
Ditulis oleh:
Prof. Dr. Mohamad Azwani Shah bin Mat Lazim
Pensyarah
Jabatan Sains Kimia,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil bin Othman
Pensyarah
Jabatan Fizik Gunaan,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Prof. Madya Dr. Mohd Shazrul Fazry bin Sa`Ariwijaya
Pensyarah
Jabatan Sains Makanan,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Minyak sawit merah (RPO) merupakan salah satu terbitan daripada minyak kelapa sawit yang kaya dengan vitamin E (tokoferol dan tokotrienol) serta karotenoid. Warna minyak ini kekal berwarna merah disebabkan kandungan beta karotena (sebatian yang berwarna merah) yang tinggi dan nutrien ini tidak dilunturkan semasa proses pemurnian dan penulenan dilakukan terhadap minyak kelapa sawit. Karotena juga boleh dijumpai dalam buah-buahan dan sayuran seperti lobak merah dan tomato. Namun begitu, dilaporkan bahawa kandungan karotena dalam minyak sawit merah adalah 15 kali ganda lebih banyak berbanding lobak merah dan 300 kali ganda lebih tinggi berbanding dengan tomato.
Secara umumnya, minyak sawit merah banyak digunakan dalam masakan seperti sos salad dan minuman. Minyak sawit merah turut dikategorikan sebagai makanan super kerana kandungan antioksidan, fotonutrien dan vitamin yang tinggi kerana ia dapat memberi pelbagai manfaat terhadap kesihatan seperti menyokong jantung menangani stres, mengawal tahap kandungan kolesterol dan tekanan darah. Dalam bidang kosmeseutikal pula, ia turut membantu membaiki sel-sel kulit dan rambut.
Sumber gambar: https://gokomodo.com
Berdasarkan kebaikan yang dimiliki oleh minyak sawit merah, maka kumpulan kajian yang diketuai oleh Prof Dr Azwan Mat Lazim, Prof Dr. Norinsan dan Prof Madya Dr. Shazrul dari Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia telah melakukan penyelidikan aplikasi RPO melangkau bukan sekadar bahan yang digunakan sebagai masakan dan kecantikan, malah kepada perencat organik tabii yang lebih hijau dan diperoleh daripada sumber komoditi Malaysia, iaitu kelapa sawit. Dalam kajian ini, minyak sawit merah telah digunakan sebagai perencat kakisan ke atas keluli dalam medium berasid dan dijalankan pada suhu yang berbeza.
Menyedari keperluan mengatasi masalah kakisan, pelbagai langkah telah diambil bagi mengatasi masalah ini dalam kajian terdahulu. Antara kaedah yang dilakukan ialah penyalutan logam menggunakan polimer dan aplikasi perlindungan katodik atau/dan anionik menggunakan perencat inorganik. Namun begitu, kaedah yang digunakan ini mempunyai kelemahan yang amat ketara. Sebagai contoh, kaedah penyalutan logam mempunyai risiko kerosakan kepada logam manakala kaedah perlindungan katodik atau/dan anionik menggunakan perencat inorganik pula menyumbang kepada peningkatan toksik kepada alam. Oleh yang demikian, kaedah perlindungan katodik atau/dan anodik menggunakan perencat organik (minyak sawit merah), dipercayai mempunyai kelebihan seperti mudah terbiodegrasi dan sumbernya boleh diperbaharui.
Kajian terdahulu yang telah dilakukan oleh Knox and Fischer (2008) telah mendapati perencatan kakisan dalam bidang minyak boleh dibuktikan melalui formulasi perencat yang diperoleh daripada asid lemak. Kehadiran pelbagai asid lemak serta beta karoten yang tinggi di dalam minyak sawit merah menjadikan sumber semula jadi ini berpotensi digunakan bukan sebagai perencat berantioksidan tinggi. Turut diketahui bahawa komponen utama dalam minyak sawit merah ialah asid oleik (C18H34O2), asid palmitik (C16H34O2) dan stigmastrol (C29H48O). Manakala komponen minor yang terkandung dalam minyak sawit merah ialah nonadekena, asid oktadekanoik, tetrakosaheksaena, kampestrol, siklopentana, trikosena dan siklooktakosanatetron.
Struktur molekul bagi asid oleik, asid palmitik dan asid oktadekanoik mempunyai kumpulan karboksil. Namun begitu, hanya asid oleik yang mempunyai ikatan ganda dua tunggal. Manakala stigmasterol pula mempunyai kumpulan berfungsi hidroksil pada gelang aromatik. Kereaktifan kumpulan berfungsi ini meningkatkan proses penjerapan minyak sawit merah pada permukaan logam. Kajian yang dijalankan oleh El-Etre (2007), telah mengesahkan bahawa struktur molekul yang besar, ikatan ganda dua, pusat atau kumpulan reaktif merupakan ciri-ciri yang memberikan kemampuan molekul untuk melindungi sebahagian besar permukaan logam. Oleh itu, minyak sawit merah mempunyai ciri-ciri perencat kakisan yang sangat efisien.
Rajah 1: Imej permukaan bagi (a) keluli karbon kawalan dan (b) keluli lembut kawalan selepas direndam di dalam larutan tanpa perencat
Dalam kajian tersebut, keputusan analisis yang telah dijalankan mendapati bahawa minyak sawit merah bertindak lebih efisien merencat kakisan keluli lembut dengan peratusan kecekapan mencecah 91.10 % manakala 80.11 % bagi keluli karbon berbanding sampel tanpa penambahan RPO sebagai bahan perencat (Rujuk Rajah 1 dan Rajah 2). Hal ini bertepatan dengan hipotesis bahawa sesuatu perencat kakisan bertindak selektif terhadap sesuatu permukaan logam. Kajian turut menawarkan kaedah alternatif kepada perencat keluli yang sedia ada di mana ianya lebih mesra alam, hijau dan tidak toksik.
Rajah 2: Imej permukaan bagi (a) keluli karbon dengan 12% v/v minyak sawit merah manakala (b) keluli lembut dengan 12% v/v minyak sawit merah yang direndam dalam larutan perencat
Rujukan
Malaysian Journal of Analytical Sciences, Vol 19 No 4 (2015): 679 - 691