Keajaiban Semambu: Rahsia Alam untuk Kesihatan dan Kelestarian
2 Mei 2026
Keajaiban Semambu: Rahsia Alam untuk Kesihatan dan Kelestarian
2 Mei 2026
Ditulis oleh:
Prof. Dr. Noraini binti Talip
Pensyarah
Jabatan Sains Biologi & Bioteknologi,
Fakulti Sains & Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
En. Mior Shahbandi bin Johari
Pembantu Awam
Taman Botani Bangi,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia
Semambu atau Azadirachta indica yang dikenali juga sebagai pokok neem merupakan spesies tumbuhan tropika yang tergolong dalam famili Meliaceae dan terkenal dengan pelbagai khasiatnya dalam bidang perubatan tradisional serta pertanian. Pokok ini berasal dari India, namun kini telah tersebar luas ke kawasan tropika dan subtropika termasuk Malaysia. Semambu dikenali sebagai pokok yang tahan lasak kerana mampu hidup dalam keadaan tanah yang kurang subur dan cuaca panas, menjadikannya sesuai ditanam di pelbagai persekitaran.
Semambu mendapat namanya melalui sejarah penggunaan dan penyebaran tumbuhan ini dalam kalangan masyarakat tempatan dan juga pengaruh bahasa dari luar, khususnya dari Asia Selatan. Pokok Azadirachta indica yang dikenali secara meluas sebagai “neem” dalam bahasa Inggeris berasal daripada perkataan Sanskrit “nimba” atau “nimb”, yang membawa maksud “pemberi kesihatan yang baik” atau “penyembuh segala penyakit”. Apabila pokok ini dibawa ke rantau Asia Tenggara melalui perdagangan dan penyebaran budaya, sebutan “nimba” ini mengalami perubahan fonetik mengikut lidah dan dialek tempatan.
Dalam konteks Bahasa Melayu, istilah “semambu” dipercayai terbentuk hasil penyesuaian bunyi daripada istilah asal tersebut, kemungkinan melalui perantaraan bahasa India atau bahasa tempatan lain di Nusantara. Perubahan daripada “nimba” kepada “semambu” menunjukkan proses evolusi linguistik yang biasa berlaku apabila sesuatu istilah asing diserap ke dalam bahasa tempatan, termasuk penambahan suku kata dan perubahan sebutan agar lebih mudah disebut oleh masyarakat setempat.
Selain itu, nama “semambu” juga berkait rapat dengan peranan dan fungsi pokok ini dalam kehidupan harian masyarakat. Oleh kerana sering digunakan sebagai bahan perubatan tradisional dan pelindung daripada serangga, nama yang diberikan turut mencerminkan nilai praktikalnya. Dalam beberapa budaya tempatan, semambu juga dikenali dengan nama lain, tetapi “semambu” menjadi istilah yang paling meluas digunakan di Malaysia.
Nama semambu bukan sekadar satu label, malah merupakan hasil gabungan sejarah, budaya, dan bahasa yang mencerminkan perjalanan panjang tumbuhan ini dari tanah asalnya hingga menjadi sebahagian daripada warisan botani dan perubatan di rantau ini. Semambu terkenal di negara Asia selatan iaitu di India kerana pokok semambu dianggap sebagai pokok perubatan dan digunakan pelbagai tujuan selama lebih 2000 tahun lalu sebelum wujudkan perubatan moden. Sehingga menjadikannya pokok teduhan di kampung dan di tanam di sepanjang jalan.
Dalam sektor pertanian pula, daun semambu sangat penting sebagai bahan asas racun serangga organik. Ekstrak daun ini digunakan untuk menghalau pelbagai jenis perosak tanaman tanpa memberi kesan negatif kepada alam sekitar. Hal ini menjadikan semambu pilihan utama dalam pertanian lestari dan organik. Selain kegunaan perubatan dan pertanian, daun semambu juga digunakan dalam kehidupan harian seperti penghalau serangga semula jadi dan bahan tradisional untuk kebersihan diri. Walaupun rasanya pahit, nilai manfaatnya sangat besar.
Ciri Morfologi Pokok Semambu
Pokok semambu boleh mencapai ketinggian antara 15 hingga 20 meter tinggi pada keadaan yang optimum, dengan daun berwarna hijau terang. Dari segi morfologi, daun semambu jenis majmuk dengan susunan anak daun setentang pada satu tangkai. Setiap anak daun berbentuk bujur tirus, berwarna hijau terang, dan mempunyai tepi bergerigi. Daun ini mempunyai rasa yang sangat pahit, yang sebenarnya menandakan kehadiran sebatian bioaktif seperti azadirachtin, nimbin dan nimbidin. Bunganya kecil, berwarna putih dan berbau harum, manakala buahnya berbentuk bujur dan berwarna kekuningan apabila masak. Berdaun hijau lebat yang banyak bercabang pada daun dan pada rantingnya. Mempunyai bunga berwarna putih dan dihujung ranting apabila cukup matang, pokok semambu jugak mengeluarkan buah berwarna hijau kekuningan berukuran 1.2 -1.8 cm.
Penanaman Pokok Semambu
Penanaman dan penjagaan semambu agak mudah kerana sifatnya yang tahan lasak dan mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan persekitaran. Namun, untuk mendapatkan pertumbuhan yang optimum, beberapa aspek penting perlu diberi perhatian sejak peringkat awal penanaman hingga ke penjagaan pokok matang.
Dari segi penanaman, semambu biasanya dibiakkan melalui biji benih yang diperoleh daripada buah yang telah masak. Biji perlu disemai segera kerana daya percambahannya cepat menurun jika disimpan terlalu lama. Medium semaian yang sesuai ialah tanah yang gembur dan mempunyai saliran yang baik. Anak benih yang telah mencapai ketinggian sekitar 20–30 cm boleh dipindahkan ke kawasan penanaman tetap. Pokok semambu sesuai ditanam di kawasan terbuka yang menerima cahaya matahari penuh, kerana memerlukan cahaya yang mencukupi untuk tumbesaran yang sihat.
Bagi penjagaan, semambu tidak memerlukan penyiraman yang kerap setelah matang kerana akarnya mampu mencari sumber air sendiri. Namun, pada peringkat awal pertumbuhan, penyiraman secara berkala amat penting untuk memastikan anak pokok tidak layu. Pembajaan boleh dilakukan menggunakan baja organik atau baja seimbang untuk menggalakkan pertumbuhan daun dan batang yang sihat, walaupun pokok ini tetap boleh hidup di tanah kurang subur.
Selain itu, kawalan rumpai di sekitar pangkal pokok perlu dilakukan bagi mengelakkan persaingan nutrien. Pemangkasan juga digalakkan untuk membentuk struktur pokok yang baik serta meningkatkan pengudaraan dan penembusan cahaya. Menariknya, semambu jarang diserang penyakit atau perosak kerana kandungan bahan semula jadinya yang bersifat antiparasit. Melalui teknik penanaman yang betul dan penjagaan minimum, semambu mampu tumbuh subur dan memberikan pelbagai manfaat. Sifatnya yang tahan lasak menjadikannya pilihan sesuai untuk ditanam sama ada di kawasan rumah, di ladang mahupun sebagai tanaman landskap.
Aspek Kebudayaan
Semambu bukan sahaja dikenali sebagai tumbuhan berkhasiat, malah mempunyai hubungan yang rapat dengan kebudayaan masyarakat, khususnya di Asia Selatan dan Asia Tenggara. Dalam pelbagai tradisi, semambu dianggap sebagai simbol perlindungan, kesucian dan kesihatan. Kepercayaan ini terbentuk hasil pemerhatian masyarakat terhadap keberkesanan pokok ini dalam merawat penyakit serta menghalau serangga perosak sejak zaman dahulu.
Dalam budaya India, semambu sering dikaitkan dengan amalan keagamaan dan perubatan tradisional seperti Ayurveda. Daun semambu digunakan dalam upacara keagamaan sebagai simbol penyucian, malah digantung di pintu rumah bagi menolak bala dan penyakit. Selain itu, ketika perayaan seperti Ugadi, daun dan bunga semambu dicampurkan dalam hidangan khas sebagai lambang keseimbangan antara pahit dan manis dalam kehidupan. Ini menunjukkan bahawa semambu bukan sekadar tumbuhan, tetapi turut membawa makna falsafah dalam kehidupan masyarakat.
Di Malaysia dan Nusantara pula, semambu digunakan dalam amalan perubatan tradisional Melayu, seperti mandi herba untuk merawat penyakit kulit dan mengurangkan panas badan. Dalam sesetengah komuniti, daun semambu juga digunakan dalam upacara tertentu sebagai bahan pembersih spiritual atau pelindung daripada gangguan makhluk halus. Walaupun amalan ini tidak seragam, mencerminkan bagaimana semambu diterima sebagai tumbuhan yang mempunyai nilai simbolik dan fungsi praktikal.
Selain itu, dalam konteks kehidupan harian, ranting semambu pernah digunakan sebagai berus gigi tradisional kerana sifat antibakterianya. Amalan ini bukan sahaja menunjukkan kebijaksanaan masyarakat tradisional dalam memanfaatkan sumber alam, malah juga menggambarkan hubungan harmoni antara manusia dan alam sekitar.
Dunia Perubatan
Dalam konteks perubatan, semambu telah lama digunakan sebagai bahan semula jadi untuk merawat pelbagai penyakit seperti demam, jangkitan kulit, serta masalah sistem penghadaman. Setiap bahagian pokok semambu seperti daun, kulit batang, biji dan akar mempunyai nilai kegunaan tersendiri, terutamanya dalam perubatan tradisional. Kandungan bahan aktif seperti azadirachtin menjadikan semambu juga sangat efektif sebagai agen antiparasit dan antibakteria. Selain itu, dalam sektor pertanian, ekstrak semambu digunakan secara meluas sebagai racun serangga organik yang mesra alam kerana mampu menghalang serangan perosak tanpa mencemarkan alam sekitar.
Menurut fakta yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kira-kira 80% penduduk di negara membangun bergantung kepada ubat-ubatan tradisional termasuk daripada spesies tumbuhan dan produk daripada tumbuhan itu sendiri seperti daun semambu. Hampir ke semua bahagian pokok ini boleh digunakan daripada biji, daun, buah, bunga, akar dan kulit kayunya.
Di negara Afrika dikenali sebagai spesies ini dipercayai boleh menyembuhkan 40 jenis penyakit ringan dan kronik. Ahli-ahli sains di negara Eropah, Jepun dan India telah menjumpai komponen seperti limonoid dan polisakarida yang ada pada pokok semambu boleh menghalang penyakit kanser dan virus. Daun semambu juga adalah sumber yang kaya dengan Vitamin C, Vitamin E, Antioksidan, Asid lemak omega-6 dan Nimbin.
Kajian terdahulu menunjukkan terdapat banyak khasiat semambu kepada kesihatan manusia, termasuk mencegah jangkitan bakteria dan kulat, membantu merawat bisul dan melegakan kulit yang sakit disebabkan cacar air, merawat penyakit kencing manis, kegelisahan dan menjaga fungsi hati, menguatkan sistem imun, membantu sistem penghadaman yang baik (dari kajian Bangladesh Academy of Sciences), mengawal plak gigi, sakit sendi, mencegah daripada penyakit demam malaria dan kolera, mengawal gula dalam darah dan pokok ini dianggap sebagai pembersih udara. Daun semambu merupakan antara bahagian paling bernilai kerana kandungan bahan aktifnya yang tinggi serta kegunaannya yang pelbagai dalam perubatan, pertanian dan kehidupan harian.
Dalam perubatan tradisional, daun semambu juga digunakan secara meluas untuk merawat pelbagai masalah kesihatan. Sering dijadikan air rebusan atau bahan mandian herba untuk merawat penyakit kulit seperti gatal-gatal, jerawat dan ekzema. Selain itu, daun ini juga dipercayai membantu menurunkan suhu badan, membersihkan darah dan meningkatkan sistem imun. Dalam sesetengah amalan, daun semambu yang ditumbuk digunakan sebagai sapuan pada luka bagi mengelakkan jangkitan.
Nilai Ekonomi Lain
Biji benih: Diekstrak untuk diproses menjadi minyak racun serangga perosak semula jadi tanpa bergantung kepada bahan kimia sintetik yang mahal dan berpotensi merosakkan alam sekitar. Sisa-sisa biji benih juga selepas proses pengekstrakan boleh dijadikan baja organik.
Kulit kayu/damar (getah kayu): Memberikan peluang eksport yang lumayan ke pasaran antarabangsa bagi industri kosmetik, contohnya, dapat merawat kulit kepala, menghalau kutu dan melebatkan rambut kerana sifat antibakteria dan antikulatnya. Getah dari kayu semambu dijadikan sabun, ubat gigi dan losyen kulit. Di Jawa Timur digunakan untuk membuat gam kertas.
Batang kayu/ Arang: Batang semambu dijadikan perabot seperti meja, almari buku, bahan binaan ringan dan sebagainya. Arang yang diperbuat dari pokok semambu adalah kualiti yang sangat baik yang dijadikan sebagai kayu api. Ini menyumbang kepada pendapatan tambahan bagi penanam.
Semambu merupakan sumber semula jadi yang sangat berharga kerana mengandungi pelbagai sifat terapeutik seperti antibakteria, antiparasit, antikulat dan antivirus yang menyokong kesihatan luaran dan dalaman. Penggunaan daun dan minyaknya terbukti membantu merawat pelbagai masalah termasuk penyakit kulit, gangguan rambut, kesakitan sendi serta sistem penghadaman, di samping meningkatkan imuniti dan keseimbangan tubuh. Kepelbagaian manfaat ini menjadikan semambu semakin relevan dalam perubatan tradisional dan moden, namun penggunaannya perlu diamalkan secara berhemah bagi memastikan keselamatan dan keberkesanan yang optimum.
Kesimpulannya, semambu memainkan peranan penting dalam kebudayaan sebagai lambang kesihatan, perlindungan dan keseimbangan hidup. Kepentingannya merentasi aspek perubatan, keagamaan dan kehidupan seharian menjadikan tumbuhan ini satu warisan budaya yang terus relevan hingga ke hari ini. Kepentingan semambu semakin mendapat perhatian dalam era moden, khususnya dalam usaha mempromosikan penggunaan sumber semula jadi yang lestari dan selamat. Oleh itu, semambu bukan sahaja penting dari segi nilai tradisional, tetapi juga berpotensi besar dalam pembangunan industri herba dan pertanian mampan di masa hadapan.
Rujukan:
Razanah Ramya, Rashidi Othman, Farah Ayuni Mohd Hatta, Wan Syibrah Hanisah Wan Sulaiman & Nur Hanie Mohd Latiff. 2024. Azadirachta indica (semambu) in traditional malay Medical manuscripts and assessment of bioactive Compounds. Asian Journal of Environment, History and Heritage 8(1):21-32.
https://www.facebook.com/mydoaHQ/posts/pokok-semambu-merawat-40-penyakitpokok-semambu-atau-juga-dikenali-sebagai-mambu-/680264348698356/
https://www.scribd.com/document/397915424/Khasiat-Daun-Semambu
https://mymnps.org/index.php/news/82-benarkah-daun-semambu-merawat-jangkitan-covid-19.html
Mohammad Alzohairy. 2016. Therapeutics role of Azadirachta indica (Neem) and their active constituents in diseases prevention and treatment. https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC4791507/
Jose Francisco Islas, Ezeiza Acosta, Zuca G-Buentello, Juan Luis Delgado-Gallegos, María Guadalupe Moreno-Treviño, Bruno Escalante, Jorge E. Moreno-Cuevas. 2020. An overview of Neem (Azadirachta indica) and its potential impact on health. Journal of Functional Foods 74, 104171
https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S1756464620303959
https://powo.science.kew.org/taxon/urn:lsid:ipni.org:names:1213180-2