Merungkai Filem Inside Out 2 dari Sudut Psikologi
14 Ogos 2025
Merungkai Filem Inside Out 2 dari Sudut Psikologi
14 Ogos 2025
Ditulis oleh:
Dr. Fitri Fareez Ramli
Pensyarah Perubatan
Jabatan Farmakologi
Fakulti Perubatan
Universiti Kebangsaan Malaysia
Perjalanan pergi dan pulang dari Kuala Lumpur ke London memberikan saya ruang dan waktu untuk membaca buku Cognitive Behavioural Therapy: Techniques to Improve Your Life dan menonton filem Inside Out 2 arahan Kelsey Mann. Saya tertarik dengan penggunaan elemen-elemen emosi yang berkait rapat dengan sebahagian kajian PhD yang saya jalankan sewaktu di University of Oxford. Cerita ini mengisahkan tentang Riley, seorang murid yang hampir tamat sekolah rendah. Pada permulaan cerita, Riley mengalami perubahan biologi kerana baru sahaja datang bulan buat kali pertama. Perubahan hormon yang berlaku ketika itu menyebabkan ketidakseimbangan emosi yang ditandai dengan kehadiran emosi-emosi baru.
Dalam filem ini, emosi-emosi hadir dalam bentuk individu-individu yang sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain dalam menentukan perasaan yang dirasai oleh Riley dengan menggunakan papan kawalan. Pada awalnya, terdapat lima emosi asas iaitu gembira, sedih, marah, jengkel dan takut sebelum emosi-emosi tambahan muncul. Emosi-emosi tambahan yang hadir pula termasuk cemas, cemburu, malu, bosan dan nostalgia. Cemas merupakan pengemudi utama bagi kumpulan emosi baharu. Pada awalnya, Cemas kelihatan cekap dalam mengendalikan Riley dengan menyajikan pelbagai kemungkinan yang bakal terjadi sekiranya tidak menyertai kumpulan senior bagi kelayakan sukan hoki.
Sumber: disney.my
Sumber: disney.my
Bagi menyesuaikan diri dalam kumpulan senior, pemikiran Riley telah menyebabkan dia melakukan pelbagai cara seperti menyembunyikan informasi tentang tempat asal dan penyanyi kegemaran. Malah cara pembawaan diri juga berubah. Ada kalanya dia bersikap sarkastik terhadap pertanyaan-pertanyaan tertentu. Untuk mengatasi kebimbangan tentang perlawanan hoki pula, Riley telah melakukan latihan pada awal pagi, beberapa jam sebelum latihan sebenar bermula. Latihan tersebut telah membantu Riley untuk meningkatkan lagi prestasinya. Kebimbangan yang dirasakan adalah satu perasaan ketakutan terhadap sesuatu perkara yang belum lagi terjadi. Perasaan ini lazim terjadi dalam kehidupan sehari-hari sewaktu melakukan aktiviti dan ketika berinteraksi dengan orang yang lain. Walau bagaimanapun, kebimbangan yang berlebihan tidak mendatangkan kebaikan kepada kesihatan mental dan boleh menyebabkan gangguan dalam jangka masa yang panjang.
Berbalik kepada Riley, pemikiran-pemikiran negatif yang muncul telah mengganggu sebahagian kehidupan Riley seperti tidur. Gangguan tidur atau insomnia merupakan salah satu gejala umum bagi gangguan kegelisahan. Kesukaran untuk melelapkan mata pada permulaan tidur adalah ciri yang lazim temukan pada gangguan tersebut. Insomnia adalah tidur yang tidak memuaskan dari segi kualiti dan kuantiti. Gejala ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk kesukaran untuk melelapkan mata, kekal tidur, atau terjaga awal dan kesukaran untuk tidur kembali.
Sumber: disney.my
Pemikiran tentang pelbagai kemungkinan untuk perkara-perkara buruk yang mungkin terjadi menyebabkan dia berasa gelisah dan memikirkan pelbagai cara untuk menangani perkara-perkara buruk yang mungkin terjadi. Salah satu tindakan yang diambil adalah memecah masuk bilik jurulatih bagi melihat rekod prestasi beliau dalam sukan tersebut. Komen ‘belum bersedia’ dalam rekod tersebut menyebabkan Riley bertambah risau sehingga pelbagai pemikiran negatif muncul dalam fikirannya. Ciri pemikiran negatif berulang-ulang (rumination) adalah salah satu ciri lain yang biasa ditemukan. Jika tidak dihentikan, seseorang boleh terperangkap dalam kitaran negatif yang melelahkan.
Sumber: disney.my
Dalam konteks psikologi, pemikiran terhadap sesuatu perkara dapat menentukan jenis emosi yang dirasai oleh seseorang individu. Emosi tersebut berikutnya menentukan reaksi fizikal dan kelakuan dan tindakan yang akan diambil. Dalam filem ini, pemikiran negatif Riley menyebabkan beliau merasa bimbang. Perasaan tersebut seterusnya menimbulkan gejala-gejala fizikal seperti yang dijelaskan di atas. Tingkah laku yang diambil juga selaras dengan perasaan dan pemikiran yang dialami.
Salah satu teknik rawatan kognitif yang dapat kita pelajari daripada kisah ini adalah perdebatan tentang pemikiran negatif yang timbul. Dalam satu babak, Joy (perasaan gembira) telah mengemukakan kemungkinan-kemungkinan positif bagi melemahkan pemikiran-pemikiran negatif oleh Anxiety (perasaan gelisah) dalam ruangan imaginasi. Pemikiran alternatif yang lebih positif ini dapat memberikan pandangan yang lebih seimbang. Bagi mencapai kesan yang lebih baik, mencari bukti berkaitan dengan pemikiran-pemikiran negatif tanpa meminggirkan bukti-bukti yang mengarah kepada pemikiran-pemikiran positif adalah satu lagi cara yang boleh dilakukan. Walau bagaimanapun, pemikiran-pemikiran yang lebih positif ini belum mampu untuk membentuk satu anjakan paradigma dan perubahan pada sistem kepercayaan dalam diri Joy.
Sumber: disney.my
Teknik ini perlu dilakukan secara berterusan dalam jangka panjang untuk membantu untuk membina semula sistem kepercayaan yang diubah daripada sistem yang sedia ada. Dalam kebanyakan waktu, pemikiran-pemikiran negatif, jika berlaku secara berterusan, dapat membentuk satu sistem kepercayaan yang bias terhadap negatif. Walaupun sukar untuk diubah, latihan berterusan mampu untuk melindungi diri seseorang daripada gangguan psikiatri seperti gangguan cemas dan kemurungan. Ia juga dapat membantu dalam rawatan penyakit-penyakit tersebut.
Kesimpulannya, filem Inside Out 2 merupakan satu filem yang baik dari sudut psikologi kerana mengetengahkan konsep perubahan emosi dalam diri seseorang remaja. Ia juga berkait rapat dengan pembentukan mood dan gangguan kesihatan mental yang boleh terjadi pada orang dewasa sekiranya pemikiran-pemikiran negatif ini berlaku secara berterusan sehingga membentuk satu sistem kepercayaan yang pincang kepada pemikiran negatif. Terapi kognitif tingkah laku merupakan satu teknik yang dapat digunakan untuk merawat dan mencegah gangguan kesihatan mental seperti gangguan kegelisahan dan kemurungan.
Sumber:
Mann, K. 2024. Inside out 2. Pixar Animation Studios; Walt Disney Studios Motion Pictures.
Wilding, C. 2015. Cognitive Behavioural Therap: Techniques to improve your life. Teach Yourself.
Harisson, P., Cowen, P., Burns, T., & Fazel, M. 2018. Shorter Oxford Textbook of Psychiatry. 7th edition.