Timbang tara Penggunaan Sinar-X dalam Pemeriksaan Pergigian
1 oktober 2025
Timbang tara Penggunaan Sinar-X dalam Pemeriksaan Pergigian
1 oktober 2025
Ditulis oleh:
Prof. Madya Dr. Azizah Ahmad Fauzi
Pensyarah
Jabatan Diagnostik Kraniofasial & Biosains
Fakulti Pergigian
Universiti Kebangsaan Malaysia
Pengenalan
Semasa pemeriksaan mulut bagi rawatan pergigian, ada kalanya pesakit disarankan untuk menjalani pemeriksaan lanjut dengan menggunakan sinar-X (sejenis radiasi). Kebiasaannya, dos sinar-X yang diperlukan bagi pemeriksaan pergigian adalah sangat kecil dan jauh lebih rendah berbanding dos radiasi yang kita terima setiap hari daripada alam sekitar (contohnya sinaran kosmik dari matahari dan gas radon dari tanah dan bangunan). Namun begitu, adakah sinar-X benar-benar selamat?
Kepentingan Penggunaan sinar-X dalam Amalan Pergigian
Bagi mengenal pasti punca sebenar masalah mulut yang dihadapi pesakit, seorang pengamal pergigian memerlukan petunjuk yang jelas. Dalam hal ini, ada kalanya sinar-X memainkan peranan penting. Contohnya, sinar-X membantu:
a) Mengesan penyakit atau lesi – seperti lesi karies (gigi berlubang) yang berlaku di bahagian celahan gigi yang tidak dapat dilihat secara jelas dengan mata kasar.
b) Mengenal pasti keabnormalan akar gigi – contohnya keadaan akar yang mempunyai lapisan permukaan akar yang berlebihan, yang turut dikenali sebagai hypercementosis yang berpotensi menyukarkan cabutan gigi.
c) Menilai kedudukan gigi bongsu – terutamanya sebelum pembedahan cabutan gigi bongsu kerana kedudukannya mungkin berhampiran dengan saraf utama pada rahang.
Mengenali Risiko Sinar-X ke atas Tisu Manusia
Radiasi daripada sinar-X berinteraksi dengan tisu badan kita dan berpotensi menyebabkan perubahan pada DNA, yang seterusnya menyumbang kepada risiko kesan stokastik. Kesan stokastik ialah kesan jangka panjang akibat dedahan radiasi (seperti sinar-X) yang berlaku secara rawak, iaitu hanya berkemungkinan untuk berlaku. Contoh kesan stokastik adalah seperti kanser. Semakin tinggi dos dedahan radiasi, semakin tinggi risiko kepada kesan ini.
Umumnya, dos sinar-X dalam amalan pergigian adalah rendah. Oleh yang demikian, kebarangkalian/risiko untuk mendapat kesan stokastik daripada satu pengambilan sinar-X bagi pemeriksaan pergigian adalah rendah. Namun, sekiranya langkah-langkah keselamatan dan timbang tara terhadap keperluan dedahan radiasi ini diabaikan, ini boleh mengakibatkan dedahan radiasi yang berlebihan berlaku. Seterusnya, meningkatkan risiko terhadap kesan stokastik berkenaan.
Jenis-Jenis Mesin Sinar-X bagi Pengimejan Pergigian
Terdapat dua kategori utama mesin sinar-X yang digunakan dalam pemeriksaan pergigian:
a) Mesin sinar-X konvensional – contohnya mesin pengimejan intraoral dan mesin pengimejan panoramik. Kelebihan mesin sinar-X konvensional termasuklah menawarkan pengimejan gigi dan tulang rahang dengan kadar dos yang rendah (<1.5 – 30 µS) berbanding pengimejan dengan mesin sinar-X yang berteknologi lebih tinggi iaitu CBCT (16 – 280 µS). Dalam kebanyakan kes, diagnosis terhadap masalah pergigian dapat dicapai berdasarkan penilaian klinikal dan pengimejan dengan mesin sinar-X konvensional ini. Walau bagaimanapun, antara kelemahannya adalah ianya bersifat dua dimensi di mana terdapat pertindihan di antara struktur di bahagian depan dan belakang.
Rajah 1: Contoh imej introral dan imej panoramik yang terhasil daripada penggunaan mesin sinar-X konvensional
b) Mesin sinar-X berteknologi tinggi (CBCT) – memberikan gambaran tiga dimensi yang lebih jelas dan terperinci, yang sesuai digunakan apabila pengamal pergigian perlu melihat kedudukan gigi dan saraf dengan tepat. Contohnya untuk pembedahan implan atau cabutan gigi bongsu yang kompleks. Kelemahan CBCT ialah dos radiasinya lebih tinggi berbanding mesin sinar-X konvensional. Oleh itu, penggunaannya biasanya dihadkan kepada kes-kes tertentu sahaja.
Langkah-langkah Keselamatan Sinaran Pergigian
Buat masa ini, protokol sedia ada menghadkan penggunaan CBCT di dalam kes tertentu sahaja, iaitu apabila pengimejan konvensional tidak dapat menjawab masalah yang dihadapi pesakit, atau, dalam keadaan yang dijangkakan pengimejan 3D dapat memberi maklumat tambahan yang boleh membantu dalam rancangan rawatan ke atas pesakit. Ini adalah kerana dos dedahan sinar-X bagi mesin ini yang jauh lebih tinggi berbanding mesin sinar-X konvensional.
Rajah 1: Contoh imej 3D yang terhasil
daripada penggunaan mesin CBCT
Kesimpulan
Timbang tara bagi penggunaan sinar-X dalam pemeriksaan pergigian adalah penting sebelum dedahan sinar-X dilakukan ke atas pesakit. Dengan cara ini, jenis pemeriksaan pergigian yang bersesuaian dapat ditentukan, yang seterusnya turut membantu bagi merancang pilihan rawatan yang sesuai ke atas pesakit. Hal ini penting bagi memastikan kesejahteraan pesakit dengan mengelakkan berlakunya kecuaian dalam pengambilan sinar-X yang mengakibatkan dedahan kepada dos sinar-X yang berlebihan. Secara keseluruhannya, manfaat sinar-X dalam pemeriksaan pergigian jauh mengatasi risikonya, dengan adanya kawalan terhadap penggunaan sinar-X yang betul.
Rujukan
European Commission. Radiation protection no. 172: Cone beam CT for dental and maxillofacial radiology (evidence-based guidelines). Luxembourg: Directorate-General for Energy; 2012. Available from: https://op.europa.eu/en/publication-detail/-/publication/ec5936c7-5a29-4a93-9b3a-01a5d78d7b2e
Ludlow JB, Davies-Ludlow LE, White SC. Patient risk related to common dental radiographic examinations: the impact of 2007 International Commission on Radiological Protection recommendations regarding dose calculation. J Am Dent Assoc 2008;139(9):1237-43.