Beban Senyap di Tempat Kerja: Isu dan Cabaran Keselamatan Psikososial
23 Januari 2026
Beban Senyap di Tempat Kerja: Isu dan Cabaran Keselamatan Psikososial
23 Januari 2026
Ditulis oleh:
Ts. Dr. Khairul Hafezad Abdullah
Pensyarah Kanan
Program Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia
Dr. Intan Suraya Noor Arzahan
Pensyarah Kanan
Program Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan,
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia
Bahaya fizikal sering menjadi gambaran awal apabila isu keselamatan pekerjaan dibincangkan, khususnya kecederaan yang berlaku ketika mengendalikan mesin atau peralatan di tempat kerja. Persepsi ini, walau bagaimanapun, hanya mencerminkan sebahagian kecil daripada realiti sebenar keselamatan pekerjaan. Hakikatnya, risiko di tempat kerja turut merangkumi dimensi yang lebih halus tetapi signifikan, iaitu kesihatan mental dan kestabilan emosi pekerja. Aspek ini sering terpinggir walaupun kesannya sama besar terhadap kesejahteraan dan prestasi kerja. Kestabilan emosi dan kesihatan mental bukan sahaja mempengaruhi cara seseorang berfikir dan membuat keputusan, malah berperanan penting dalam memastikan kelangsungan rutin kerja yang konsisten, selamat dan produktif. Oleh itu, pendekatan terhadap keselamatan pekerjaan perlu dilihat secara lebih menyeluruh, dengan memberi perhatian seimbang kepada perlindungan fizikal serta kesejahteraan psikologi pekerja.
Kita perlu menyedari bahawa gangguan emosi di tempat kerja sering berlaku secara senyap, tanpa tanda yang jelas, namun kesannya boleh menjadi sangat mendalam terhadap kesejahteraan pekerja. Apabila isu ini tidak dikenal pasti dan ditangani secara berhemah, implikasinya berpotensi menjadi lebih serius berbanding kecederaan fizikal, kerana ia mempengaruhi keupayaan seseorang untuk berfikir secara rasional, membuat keputusan dan berinteraksi secara profesional. Keadaan emosi dan mental yang terganggu bukan sahaja menjejaskan individu, malah boleh memberi kesan berantai kepada keselamatan dan prestasi keseluruhan organisasi. Persoalan utama ialah bagaimana gangguan ini bermula. Jawapan yang paling asas, tetapi sering dipandang ringan, ialah tekanan di tempat kerja. Tekanan yang berpanjangan, sama ada akibat beban tugas, tuntutan masa atau persekitaran kerja yang tidak kondusif, berupaya menghakis kesejahteraan individu dan seterusnya menjejaskan produktiviti serta keharmonian organisasi.
Tekanan di tempat kerja bukan semata-mata berpunca daripada beban tugas fizikal, sebaliknya turut dipengaruhi oleh faktor psikososial yang sering tidak kelihatan dan kurang dibincangkan. Dalam landskap pekerjaan moden yang bergerak pantas dan berorientasikan prestasi, isu keselamatan psikososial semakin menonjol sebagai cabaran yang serius. Risiko ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan mental individu, malah berupaya menurunkan tahap produktiviti, meningkatkan kadar ketidakhadiran, serta mendorong kadar pusing ganti pekerja yang lebih tinggi. Data daripada National Health and Morbidity Survey (NHMS, 2023) menunjukkan bahawa 4.6 peratus rakyat Malaysia mengalami simptom kemurungan, satu angka yang mencerminkan peningkatan ketara isu kesihatan mental dalam masyarakat. Realiti ini menuntut perhatian yang lebih sistematik, khususnya dalam konteks tempat kerja, agar keselamatan dan kesihatan pekerjaan ditangani secara menyeluruh merangkumi dimensi fizikal dan psikososial selaras dengan tuntutan persekitaran kerja moden.
Apa Itu Keselamatan Psikososial?
Keselamatan psikososial merujuk kepada keadaan kerja yang memastikan individu berasa dihormati, disokong dan dilindungi daripada ancaman mental, emosi atau sosial semasa menjalankan tugas. Konsep ini bukan sekadar tiada gangguan atau buli, sebaliknya merangkumi pembentukan persekitaran kerja yang sihat dari segi komunikasi terbuka, kejelasan peranan, keseimbangan antara kerja dan kehidupan peribadi serta hubungan interpersonal yang positif. Dengan kata lain, keselamatan psikososial membentuk asas kepada kesejahteraan organisasi. Apabila pekerja berasa selamat untuk bersuara, membuat keputusan dan diiktiraf atas sumbangan mereka, hasil kerja akan lebih berkualiti dan suasana kerja menjadi lebih harmoni.
Punca Utama Risiko Keselamatan Psikososial di Tempat Kerja
Beban Kerja dan Tekanan Masa
Dalam organisasi yang berorientasikan prestasi tinggi, tekanan untuk mencapai sasaran sering kali menyebabkan beban kerja yang melampau. Tugas yang bertindih, kekurangan sumber serta jangka masa menyelesaikan kerja yang tidak realistik boleh mencetuskan tekanan kronik. Jika berlarutan, tekanan ini berpotensi membawa kepada keletihan emosi dan seterusnya menghakis tahap motivasi pekerja.
Konflik Peranan dan Kurang Sokongan
Ketidaktentuan tentang tanggungjawab atau kekaburan peranan sering menyebabkan kekeliruan. Apabila pekerja tidak jelas terhadap peranan dan jangkaan yang ditetapkan ke atas mereka, tahap kebimbangan cenderung meningkat dan menjejaskan keyakinan dalam melaksanakan tugas. Tambahan pula, kekurangan sokongan daripada penyelia atau rakan sekerja menambah perasaan terasing dan tidak dihargai.
Budaya Organisasi yang Toksik
Persekitaran kerja yang sarat dengan gosip, buli, diskriminasi atau ketidakadilan boleh mencetuskan tekanan psikologi yang serius. Dalam budaya organisasi sedemikian, pekerja cenderung memilih untuk berdiam diri kerana bimbang akan pembalasan atau implikasi negatif terhadap kerjaya mereka. Keadaan ini bukan sahaja melemahkan semangat dan keterlibatan kerja, malah berpotensi menyumbang kepada masalah kesihatan mental yang berpanjangan jika tidak ditangani secara berkesan.
Ketidakseimbangan Kerja dan Kehidupan Peribadi
Tekanan masa serta budaya “sentiasa sibuk” menyebabkan sempadan antara kerja dan kehidupan peribadi semakin kabur. Penggunaan teknologi, walaupun memudahkan komunikasi dan urusan kerja, turut menyukarkan pekerja untuk benar-benar “log keluar” selepas waktu bekerja. Ketidakseimbangan ini, jika berlarutan, boleh membawa kepada keletihan kronik dan seterusnya menjejaskan kesejahteraan diri serta hubungan kekeluargaan.
Kurangnya Pengiktirafan dan Peluang Pembangunan
Pekerja yang merasakan usaha mereka tidak dihargai atau melihat tiada ruang untuk berkembang lazimnya akan mengalami penurunan motivasi. Pengiktirafan dalam konteks ini bukan terhad kepada ganjaran kewangan semata-mata, sebaliknya merangkumi penghargaan moral, kepercayaan yang diberikan serta peluang untuk belajar, meningkatkan kemahiran dan maju dalam laluan kerjaya mereka.
Kesan Terhadap Organisasi
Kajian menunjukkan bahawa organisasi yang mengabaikan kesejahteraan psikososial berisiko kehilangan pekerja berpotensi tinggi serta menanggung kos tersembunyi yang signifikan, termasuk penurunan produktiviti dan peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan pekerja. Kegagalan mengurus keselamatan psikososial secara berkesan bukan sahaja menjejaskan prestasi individu, malah memberi kesan langsung kepada organisasi secara keseluruhan. Antara implikasi utama yang lazim berlaku ialah kemerosotan produktiviti dan mutu kerja akibat keletihan emosi, peningkatan kadar ketidakhadiran dan pusing ganti pekerja, penurunan imej organisasi di mata pekerja dan masyarakat serta berlakunya konflik dalaman yang menghakis kerjasama dan menghalang keupayaan inovasi.
Strategi Mewujudkan Iklim Kerja yang Sihat
Sebagai satu strategi yang praktikal dan mudah diingati dalam usaha mewujudkan iklim kerja yang sihat, penulisan ini memilih mnemonik SEJAHTERA. Pemilihan istilah ini bukan sahaja kerana ia ringkas dan senang diingati, malah kerana maknanya yang sarat dengan nilai murni sejagat. Konsep sejahtera melambangkan keseimbangan, keharmonian dan kebajikan insan, iaitu elemen teras yang perlu dipupuk dalam sesebuah organisasi. Hakikatnya, iklim kerja yang sihat tidak terbentuk secara spontan, sebaliknya dibina secara berperingkat melalui kepimpinan yang berjiwa insani serta budaya kerja yang menghargai dan memahami kesejahteraan pekerja. Justeru, persoalan yang wajar kita renungkan bersama ialah sama ada tempat kerja kita hari ini benar-benar telah mencapai makna SEJAHTERA yang sebenar.
Rajah 1: Menyusun stratergi untuk mewujudkan iklim kerja yang sihat
Apa itu konsep SEJAHTERA?
S merujuk kepada “Sokongan Psikologi”. Dalam konteks ini, organisasi perlu membina sistem sokongan psikologi yang jelas dan berfungsi. Pemimpin memainkan peranan penting dengan menunjukkan empati, keterbukaan dan komitmen yang konsisten terhadap kesejahteraan mental pekerja. Sokongan ini boleh diperkukuh melalui penganjuran sesi perbincangan berkala, ruang dialog yang selamat serta penyediaan saluran maklum balas yang telus dan bebas daripada unsur hukuman. Langkah-langkah ini bukan sahaja membantu pekerja meluahkan kebimbangan, malah membina kepercayaan dan rasa selamat dalam persekitaran kerja.
E merujuk kepada “Elak Risiko Psikososial”. Risiko psikososial boleh dikurangkan melalui pengukuhan amalan pengurusan keselamatan psikososial yang sistematik, selaras dengan Garis Panduan PrisMA 2024. Dalam hal ini, majikan memikul tanggungjawab untuk melaksanakan penilaian risiko, mengenal pasti punca tekanan, serta melaksanakan langkah kawalan secara berterusan dan berstruktur, bukan sekadar bersifat reaktif.
J pula membawa maksud “Jalin Komunikasi Terbuka”. Komunikasi yang berkesan bukan hanya penyampaian maklumat sehala, tetapi suatu proses dua hala yang membina kepercayaan dan rasa saling menghormati antara majikan dan pekerja. Kepimpinan perlu memupuk budaya mendengar untuk memahami, bukan sekadar mendengar untuk memberi jawapan. Mesyuarat berskala kecil, tinjauan kepuasan kerja dan sesi sumbang saran boleh dijadikan ruang selamat untuk pekerja menyuarakan pandangan tanpa rasa takut.
A merujuk kepada “Aktiviti Kesihatan dan Kesejahteraan”. Organisasi yang prihatin akan menyediakan program sokongan seperti senamrobik mingguan, sesi kesedaran kendiri atau bengkel pengurusan tekanan. Inisiatif sebegini bukan sahaja meningkatkan semangat kerja, malah berupaya mengurangkan tekanan dan kadar ketidakhadiran..
H ialah “Hargai Sumbangan Pekerja”. Pengiktirafan merupakan pemangkin utama motivasi dan tidak semestinya berbentuk ganjaran kewangan. Penghargaan lisan, sijil pencapaian atau pengiktirafan terbuka mampu memberikan kesan psikologi yang besar terhadap rasa dihargai.
T membawa maksud “Tingkatkan Literasi Keselamatan dan Kesihatan Mental”. Literasi ini merangkumi kefahaman tentang tanda awal tekanan, saluran bantuan dan kepentingan keseimbangan kerja dan kehidupan peribadi. Justeru, latihan dan bengkel berkala wajar dijadikan sebahagian daripada strategi pembangunan sumber manusia.
E kedua merujuk kepada “Empati Kepimpinan”. Pemimpin yang berempati mampu memahami cabaran pekerja dari sudut pandang mereka, bukan sekadar memberi arahan. Sikap ini membina kepercayaan, kesetiaan dan hubungan kerja yang lebih bermakna.
R pula ialah “Reka Persekitaran Kerja Positif”. Susun atur ergonomik, pencahayaan yang sesuai dan kemudahan rehat yang kondusif memberi kesan langsung terhadap emosi dan produktiviti pekerja.
A membawa maksud “Amalkan Keseimbangan Kerja dan Kehidupan”. Organisasi perlu menghormati masa rehat, menyediakan fleksibiliti kerja dan menggalakkan penggunaan cuti. Pekerja yang seimbang dari segi emosi cenderung lebih kreatif, produktif dan setia kepada organisasi.
Kesimpulan
Keselamatan psikososial bukan sekadar isu kebajikan pekerja, sebaliknya merupakan strategi teras bagi memastikan kelestarian dan daya saing organisasi. Majikan perlu mentafsir kesejahteraan psikososial sebagai satu pelaburan jangka panjang yang mampu meningkatkan produktiviti, mengukuhkan komitmen pekerja serta memperkukuh reputasi organisasi. Iklim kerja yang sihat tidak terbina secara kebetulan, tetapi lahir daripada budaya saling menghormati, sokongan emosi yang berterusan dan kepimpinan yang berempati serta berjiwa insani. Justeru, wajar kita merenung dengan jujur, adakah tempat kerja kita hari ini benar-benar selamat, bukan hanya dari sudut fizikal, tetapi juga dari aspek emosi dan psikososial.
Rujukan:
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia. (2024). Garis panduan pentaksiran dan pengurusan risiko psikososial di tempat kerja. Putrajaya: Kementerian Sumber Manusia. Diakses daripada https://intranet.dosh.gov.my/ms/competent-person-form/occupational-health/perundangan-1/garis-panduan/kesihatan-pekerjaan/4851-garis-panduan-pentaksiran-dan-pengurusan-risiko-psikososial-di-tempat-kerja-2024
National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023: Lembaran fakta (Fakta ringkas). Ministry of Health Malaysia. Retrieved from https://iku.gov.my/images/nhms2023/lembaran-fakta-nhms-2023.pdf